Catatan Dari Tafsir Surah At-Takaatsur

Catatan Dari Tafsir Surah At-Takaatsur
Peringatan Agar Tidak Bermegah-megahan

Abu Numair Nawawi bin Subandi
www.ilmusunnah.com

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam Surah At-Takaatsur:

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ (1) حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ (2) كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ (3) ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ (4) كَلَّا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ (5) لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ (6) ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ (7) ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ (8)

“Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, (1) Sampai kamu masuk ke dalam kubur. (2) Janganlah begitu (jangan bermegah-megah), kelak kamu akan mengetahui, (3) dan kemudian janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu). (4) Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin, (5) Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahiim, (6) dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yaqin. (7) Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu) (8).” (Surah At-Takaatsur, 102: 1-8)

Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H):

}ألهاكم التكاثر حتى زرتم المقابر} هذه الجملة جملة خبرية يخبر الله عز وجل بها العباد مخاطباً لهم يقول: {ألهاكم التكاثر} ومعنى {ألهاكم} أي شغلكم حتى لهوتم عن ما هو أهم من ذكر الله تعالى والقيام بطاعته، والخطاب هنا لجميع الأمة إلا أنه يخصص بمن شغلتهم أمور الآخرة عن أمور الدنيا وهم قليل

“Firman Allah: “ألهاكم التكاثر حتى زرتم المقابر” (Bermegah-megahan telah melalaikan kamu). Ini adalah ayat atau pernyataan berbentuk khabariyah (perkhabaran) Allah ‘Azza wa Jalla. Dengannya Allah menujukan bicara kepada para hamba-Nya dengan mengkhabarkan:

ألهاكم التكاثر

“Bermegah-megahan telah melalaikan kamu.” Dan makna “ألهاكم” adalah kalian telah disibukkan sehingga kalian lalai dengan apa yang lebih penting bagi kalian berupa berzikir mengingati Allah dan menegakkan ketaatan kepada Allah. Ucapan ini ditujukan kepada semua umat melainkan orang yang disibukkan dengan urusan-urusan akhirat hingga lupa dengan kesibukkan dunia. Dan mereka amatlah sedikit jumlahnya.” (Tafsir Surah At-Takaatsur, http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_17887.shtml)

وأما قوله: {التكاثر} فهو يشمل التكاثر بالمال، والتكاثر بالقبيلة، والتكاثر بالجاه، والتكاثر بالعلم، وبكل ما يمكن أن يقع فيه التفاخر، ويدل لذلك قول صاحب الجنة لصاحبه: {أنا أكثر منك مالاً وأعز نفراً} [الكهف: 34]. فالإنسان قد يتكاثر بماله فيطلب أن يكون أكثر من الآخر مالاً وأوسع تجارة، وقد يتكاثر الإنسان بقبيلته، يقول نحن أكثر منهم عدداً

“Adapun firman-Nya: “التكاثر” ia maknanya mencakupi bermegah-megah dengan harta, bermegah-megah dengan kabilah (puak), bermegah-megah dengan kedudukannya, bermegah-megah dengan ilmu, dan dengan segala sesuatu yang memungkinkan untuk bermegah-megah dengannya. Sebagaimana yang diucapkan si pemilik kebun:

“Hartaku lebih banyak dari hartamu dan para pengikutku lebih kuat.” (Surah Al-Khafi, 18: 34)

Seorang manusia memiliki keinginan agar harta yang ia usahakan menjadi lebih banyak berbanding harta yang dimiliki orang lain dan usaha perniagaannya lebih besar berbanding orang lain. Dan adakalanya seseorang itu bermegahan dengan kabilahnya, dia pun berkata, “Bilangan kami lebih banyak dari jumlah kalian.”.

كذلك يتكاثر الإنسان بالعلم، فتجده يكاثر على غيره بالعلم لكن إن كان بالعلم الشرعي فهو خير، وإن كان بالعلم غير الشرعي فهو إما مباح وإما محرم. وهذا هو الغالب على بني آدم التكاثر. فيتكاثرون في هذه الأمور عما خلقوا له من عبادة الله عز وجل

“Demikian juga dalam bidang ilmu, manusia turut berlumba-lumba dalam ilmu, sampailah kalian dapati seseorang memiliki ilmu lebih banyak berbanding yang lainnya. Jika yang ia perbanyakkan adalah ilmu yang syar’i, maka ini adalah suatu perkara yang baik, tetapi jika ilmu yang selain dari ilmu syar’i, maka hukumnya boleh jadi mubah, atau boleh jadi haram. Perlumbaan selain dari menuntut ilmu yang syar’i, inilah yang banyak dialami oleh anak-anak Adam, sehingga mereka melupakan tujuan asal penciptaan mereka, iaitu untuk hanya beribadah kepada Allah ‘Azza wa Jalla.” (Tafsir Surah At-Takaatsur, http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_17887.shtml)

Kata Imam Ibnu Jariir Ath-Thabari rahimahullah (Wafat: 310H):

ألهاكم أيها الناس المباهاة بكثرة المال والعدد عن طاعة ربكم، وعما ينجيكم من سخطه عليكم

(Maksudnya): “Kalian telah dilalaikan wahai manusia yang bermegah-megahan (menunjuk-nunjuk) dengan banyaknya harta dan angka-angka dari mentaati Rabb kalian, dan terhadap apa yang dapat menyelamatkan kalian dari kemurkaan-Nya.” (Tafsir Ath-Thabari, 24/579)

Dari Imam Qotadah rahimahullah, beliau berkata:

كانوا يقولون: نحن أكثر من بني فلان، ونحن أعدّ من بني فلان، وهم كلّ يوم يتساقطون إلى آخرهم، والله ما زالوا كذلك حتى صاروا من أهل القبور كلهم

“Mereka selalu mengatakan (dalam rangka bermegah), “Kami lebih banyak dari bani fulan, dan kami lebih hebat dari bani fulan…” sementara mereka setiap harinya terus berguguran hingga yang terakhir dari mereka. Demi Allah mereka masih terus demikian sampai semuanya menjadi ahli kubur.”

Dalam riwayat lain dari Ma’mar, Qotadah mengatakan, “Mereka dilalaikan seperti itu sampailah mereka mati dalam keadaan sesat.” (Tafsir Ath-Thabari, 24/579)

Disebutkan dalam Tafsir Ibnu Katsir:

شغلكم حب الدنيا ونعيمها وزهرتها عن طلب الآخرة وابتغائها، وتمادى بكم ذلك حتى جاءكم الموت وزرتم المقابر، وصرتم من أهلها

“Kecintaan terhadap dunia, kenikmatan, dan segala bentuk kemegahannya telah menjadikan kalian lalai dari mencari akhirat dan melunturkan cita-cita terhadapnya. Dan kalian pun terus seperti itu sampai datang kepada kalian maut yang menjemput ke lubang kubur, dan kalian pun menjadi penghuninya.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/472)

Sebagaimana dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengkhabarkan:

لَوْ أَنَّ لِابْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ

“Kalau seandainya anak Adam diberi sebukit emas, nescaya dia akan mengharapkan lebih banyak bukit-bukit emas lainnya. Dan tidaklah yang memenuhi mulutnya melainkan tanah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6439)

Ini adalah gambaran betapa kebanyakan manusia itu tidak pernah puas dan cukup dalam mencari dan mengejar segala bentuk kemewahan dan harta-harta dunia. Melainkan sedikit dari mereka yang sentiasa merasa qona’ah, redha, syukur, dan sabar, iaitu orang yang kaya hati dan jiwanya.

Manusia itu selalu memandang orang yang lebih tinggi dalam hal kemewahan dan harta sehingga dia pun terus berusaha dan terus bekerja seakan-akan tidak pernah merasa cukup. Dia akan merasa seakan-akan dirinya miskin dan sentiasa kekurangan tidak berkecukupan.

Sedangkan dalam sebuah hadis dari Abi Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan dengan sabdanya:

انْظُرُوا إِلَى مَنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلاَ تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لاَ تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ

“Lihatlah orang yang berada di bawah kalian (dalam urusan harta dan dunia), dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atas kalian (dalam hal ini). Dengan demikian, engkau pun tidak akan meremehkan nikmat yang telah Allah kurniakan padamu.” (Shahih Muslim, no. 2963)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bertanya kepada sahabatnya, Abu Dzar:

يَا أَبَا ذَرّ أَتَرَى كَثْرَة الْمَال هُوَ الْغِنَى؟ قُلْت: نَعَمْ. قَالَ: وَتَرَى قِلَّة الْمَال هُوَ الْفَقْر؟ قُلْت: نَعَمْ يَا رَسُول اللَّه. قَالَ: إِنَّمَا الْغِنَى غِنَى الْقَلْب، وَالْفَقْر فَقْر الْقَلْب

“Wahai Abu Dzar, adakah engkau menganggap bahawa banyaknya harta itu yang disebut sebagai kaya (mewah)?” Jawab Abu Dzar, “Benar.”

Rasulullah bertanya lagi, “Adakah engkau menganggap bahawa sedikitnya harta itu bermakna faqir (miskin)?” Jawab Abu Dzar, “Benar ya Rasulullah.”

Rasulullah pun bersabda, “Sesungguhnya apa yang dinamakan kaya adalah kayanya hati. Dan faqir adalah faqirnya hati (yang tidak pernah merasa cukup).” (Shahih Ibnu Hibban, no. 685)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

فمن حصل له ما يكفيه واقتنع به أمن من آفات الغنى وآفات الفقر

“Maka sesiapa yang meraih hasil pendapatan yang dengannya dia merasa cukup, terlepaslah dia dari fitnah kekayaan dan penyakit kemiskinan.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 11/275)

Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah (Wafat: 110H) mengatakan:

إذَا رَأَيْت الرَّجُلَ يُنَافِسُ فِي الدُّنْيَا فَنَافِسْهُ فِي الآخِرَةِ

“Apabila engkau melihat seseorang mengunggulimu dalam masalah dunia, maka unggulilah dia dalam masalah akhirat.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 36351)

Penyakit Cinta Dunia

Kebanyakan dari kita ketika memejamkan mata untuk mengakhiri aktiviti di malam hari, seakan telah mendapatkan jaminan yang pasti bahawa keesokan harinya masih berkesempatan untuk membuka mata kembali. Ada yang membayangkan esok hari akan membeli rumah baru, kereta baru, atau akan melangsungkan pernikahan, atau akan pergi melancong, atau akan menuai keuntungan besar dalam kerjaya, serta bercita-cita memiliki itu dan ini dari hal-hal kemewahan duniawi.

Tanpa disedari dia sebenarnya seolah-olah sedang berharap agar dirinya hidup selamanya tidak akan mati. Dia tidak memikirkan apakah persiapan seandainya esok dia menghadapi kematian yang seandainya malam tersebut adalah malam terakhirnya di dunia.

Maka kerananya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajarkan doa:

بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ

“Dengan menyebut nama Engkau ya Rabb, aku baringkan sisi tubuhku, dan dengan (nama) Engkau aku mengangkatnya. Jika Engkau ambil nyawaku, rahmatilah ia, dan jika Engkau lepaskannya, maka peliharalah ia dengan pemeliharaan sebagai Engkau memelihara hamba-hamba Engkau yang soleh.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6302, 7393)

Kita semua tentu tahu bahawa dunia ini hanyalah sebentar, bahkan ibarat se-kerdipan mata saja jika mahu dibandingkan dengan kehidupan akhirat yang kekal selamanya.

Semua yang hidup di muka bumi tidak ada yang kekal, bahkan orang berusia paling panjang sekalipun pasti akan mati. Andaikata orang tersebut berusia seribu tahun sekalipun, di mana dia memulakan hidupnya dari tahun yang pertama, lalu kemudian dia pun akan mengakhirinya pada tahun yang ke seribu, lalu selesai setakat itu.

Namun sungguh sangat menghairankan fenomena yang kita saksikan dalam kehidupan ini, kebanyakan orang berlumba-lumba mengumpulkan harta dengan pelbagai macam cara. Dunia dan segala bentuk kemegahannya pun menjadi dambaan. Bahkan tidak sedikit dari kalangan mereka yang berusia senja pun masih turut mengambil bahagian dalam perlumbaan mengaut dunia seakan-akan ia akan kekal bersamanya. Padahal, harta dan kemegahan dunia yang direbutkan tersebut hanya sekadar dapat mengisi perutnya untuk seketika, dan untuk menutupi tubuhnya buat sementara.

Dalam sebuah hadis dari Mutharrif bin ‘Abdillah, dari ayahnya (‘Abdullah bin Asy-Syikh-khiir), beliau berkata:

دَخَلْتُ عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقْرَأُ: ” أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ ” قَالَ: فَقَالَ: ” يَقُولُ ابْنُ آدَمَ: مَالِي مَالِي، وَهَلْ لَكَ يَا ابْنَ آدَمَ مِنْ مَالِكَ إِلَّا مَا أَكَلْتَ فَأَفْنَيْتَ ، أَوْ لَبِسْتَ فَأَبْلَيْتَ ، أَوْ تَصَدَّقْتَ فَأَمْضَيْتَ

“Aku masuk menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau sedang membaca:

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ

“Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur.” (Surah At-Takaatsur, 102: 1-2)

Beliau pun bersabda:

“Berkata Anak Adam: “Hartaku, hartaku… (dengan bangga).” Sedangkan hartamu wahai anak Adam hanyalah sekadar yang engkau makan lalu ia pun lenyap? Atau yang engkau kenakan dari pakaianmu lalu ia pun usang? Atau yang engkau sedekahkan maka itulah hartamu.” (Musnad Ahmad, no. 16327. Shahih Muslim, no. 2958)

Dalam riwayat yang lain, dari Abi Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَقُولُ الْعَبْدُ: مَالِي، مَالِي، إِنَّمَا لَهُ مِنْ مَالِهِ ثَلَاثٌ: مَا أَكَلَ فَأَفْنَى، أَوْ لَبِسَ فَأَبْلَى، أَوْ أَعْطَى فَاقْتَنَى، وَمَا سِوَى ذَلِكَ فَهُوَ ذَاهِبٌ، وَتَارِكُهُ لِلنَّاسِ

“Berkata para hamba, “Harta, hartaku… (dengan bangga).” Bukankah apa yang dari hartanya itu hanya tiga: (Iaitu) apa yang ia makan, maka ia akan habis. Atau apa yang ia kenakan dari pakaiannya, maka ia akan usang. Atau yang ia beri (sedekahkan), maka itulah sebenarnya harta yang ia kumpulkan. Dan apa-apa jua harta selain dari itu akan pergi dan diberikan untuk orang-orang yang ia tinggalkan.” (Shahih Muslim, no. 2959)

Anas bin Malik berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَتْبَعُ المَيِّتَ ثَلاَثَةٌ، فَيَرْجِعُ اثْنَانِ وَيَبْقَى مَعَهُ وَاحِدٌ: يَتْبَعُهُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ وَعَمَلُهُ، فَيَرْجِعُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ وَيَبْقَى عَمَلُهُ

“Ada tiga hal yang akan mengiringi si mati, dua darinya akan kembali, dan hanya satu akan ikut bersamanya: (Iaitu) Keluarganya, hartanya, dan amalnya. Keluarga dan hartanya akan pulang, dan amalnyalah yang akan mengikutinya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6514)

Dunia ini tidak bernilai sedikitpun di sisi Allah, bahkan tidak lebih bernilai dari sehelai sayap nyamuk pun di sisi Allah. Dari itu, tidaklah sepatutnya dunia ini kita jadikan ia sebagai tujuan dan cita-cita tertinggi kita. Dunia adalah tempat persinggahan sementara. Tempat yang padanya kita bercucuk-tanam menabur benih-benih pahala mencari rahmat dan kasih-sayang Allah. Sesiapa yang menanam kebaikan maka dia pun akan menuai kebaikannya, dan sesiapa yang menabur benih-benih keburukan, maka dia pun akan menuai hasil yang buruk.

Adat singgah di suatu tempat, tentu kita tidak mahu berlama-lama di situ, sebaliknya berharap agar dapat segera meneruskan perjalanan ke destinasi sebenar agar cepat sampai. Kita hanya membeli keperluan secukupnya di tempat persinghan untuk perbekalan di tempat tujuan.

Demikianlah halnya dengan dunia, ia adalah tempat persinggahan sebelum sampai ke destinasi sebenar yang kekal. Kita mungkin saja sampai bila-bila dari sekarang sesuai dengan ketentuan dari-Nya. Dan ketika ketentuan dari-Nya sampai, pasti kita tidak akan dapat kembali lagi. Kerana itu, sudah seharusnya kita lebih memikirkan dan lebih bercita-cita untuk membangun rumah yang sebaik-baiknya yang akan kita huni selamanya di akhirat sana berbanding rumah-rumah yang ada di dunia sementara ini.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwasiat kepada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ

“Jadikanlah keberadaan engkau di dunia sebagaimana orang asing atau orang yang sedang melintasi suatu negeri.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6416)

Dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا لِي وَلِلدُّنْيَا، مَا أَنَا فِي الدُّنْيَا إِلَّا كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا

“Apalah urusanku dengan dunia ini, tidaklah keberadaan aku di dunia ini melainkan seperti seorang yang menempuh suatu perjalanan lalu berteduh (barang sebentar) di bawah sebatang pohon, lalu kemudian pergi meninggalkannya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2377)

Maka demikianlah kita. Mengingati kematian dan janji-janji setelah kematian itu harus lebih diutamakan dan menjadi tujuan yang paling tinggi. Jangan sampai gemerlapan dunia yang memukau melalaikan dan memperdayakan kita.

Kata sebahagian salaf, “Jaga-jagalah diri kalian dari dunia, kerana sihirnya lebih hebat dari Harut dan Marut, yang mereka berdua ini mampu memisahkan antara suami dan isteri, sedangkan dunia pula berupaya memisahkan seorang hamba dari (mengingati) Rabb-nya.”

Sampai Masuk Kubur

Syaikh Ibn ‘Utsaimin berkata:

وقوله: {حتى زرتم المقابر} يعني إلى أن زرتم المقابر، يعني إلى أن مُتم، فالإنسان مجبول على التكاثر إلى أن يموت، بل كلما ازداد به الكِبر ازداد به الأمل، فهو يشيب في السن ويشب في الأمل، حتى إن الرجل له تسعون سنة مثلاً تجد عنده من الآمال وطول الأمل ما ليس عند الشاب الذي له خمس عشرة سنة. هذا هو معنى الآية الكريمة. أي: أنكم تلهوتم بالتكاثر عن الآخرة إلى أن متم.

Dan firman-Nya: “حتى زرتم المقابر” (sampai kalian masuk ke kubur), maksudnya sehingga kalian masuk ke lubang kubur, iaitu sampai engkai meninggal, kerana termasuk sifat manusia itu umumnya suka bermegah-megah sampailah ajalnya datang menjemput. Bahkan semakin bertambah umur seseorang, semakin bertambahlah semangat dan angan-angannya. Usianya semakin tua, tetapi angan-angannya tetap muda. Sampai-sampai engkau akan menemui seseorang yang telah berusia sembilan puluh tahun, tetapi angan-angan dan cita-citanya begitu tinggi dan tidak dipunyai walau oleh si remaja berusia lima belas tahun. Inilah makna dari ayat yang mulia ini, iaitu: Sesungguhnya kalian dilalaikan dengan bermegah-megahan dari mengingati akhirat sampailah kalian dijemput oleh kematian.” (Tafsir Surah At-Takaatsur, http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_17887.shtml)

Ini adalah sebagaimana dalam sebuah hadis dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَكْبَرُ ابْنُ آدَمَ وَيَكْبَرُ مَعَهُ اثْنَانِ: حُبُّ المَالِ، وَطُولُ العُمُرِ

“Semakin bertambah tua anak Adam, akan bertambah besar darinya dua perkara: (iaitu) kecintaan terhadap harta, dan kecintaan terhadap umur yang panjang.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6421)

Azab Kubur           

Firman Allah, “حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ” (Sampai kamu masuk ke dalam kubur). Kata Ibnu Jariir Ath-Thabari rahimahullah:

وفي هذا دليل على صحة القول بعذاب القبر، لأن الله تعالى ذكره، أخبر عن هؤلاء القوم الذين ألهاهم التكاثر، أنهم سيعلمون ما يلقون إذا هم زاروا القبور وعيدا منه لهم وتهدّدا

“Dan pada ayat ini adalah dalil akan kebenaran adanya adzab kubur, kerana Allah Ta’ala pun telah menyebutkannya, iaitu mengkhabarkan tentang kaum yang dilalaikan oleh perbuatan bermegah-megah, bahawa mereka akan mengetahui apa yang akan mereka dapatkan sebaik masuk ke dalam kuburan. Dan ini adalah sebagai ancaman dari Allah atas mereka. (Tafsir Ath-Thabari, 24/580)

Diperlihatkan Neraka Jahiim Kepada Orang Yang Lalai Dengan Dunia

Firman Allah, “كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ (3) ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ” (Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu), dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui). Kata Ibnu Jariir Ath-Thabari:

لأن العرب إذا أرادت التغليظ في التخويف والتهديد كرّروا الكلمة مرتين.

“Kerana orang-orang ‘Arab itu apabila mahu mengungkapkan beratnya perkara yang menakutkan dan berupa ancaman, mereka pun akan mengulangnya sebanyak dua kali.” (Tafsir Ath-Thabari, 24/580)

Adh-Dhahhak berkata:

““كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ” (Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu)), iaitu wahai orang-orang kafir. “ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ” (Kemudian janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu)), iaitu wahai orang-orang yang beriman.” (Tafsir Ath-Thabari, 24/581. Tafsir Ibnu Katsir, 8/478)

Maksudnya:

سوف تعلمون إذا زرتم المقابر، أيها الذين ألهاهم التكاثر، غبّ فعلكم، واشتغالكم بالتكاثر في الدنيا عن طاعة الله ربكم.

“Kelak kalian akan mengetahui apabila masuk ke dalam kubur wahai orang-orang yang dilalaikan dengan amalan bermegah-megah, iaitu akibat dari perbuatan dan kesibukan kalian bermegah-megah dengan dunia yang melalaikan kalian dari amalan mentaati Allah, Rabb kalian.” (Tafsir Ath-Thabari, 24/580)

Kemudian Imam Ibnu Jarirr berkata:

وقوله:( كَلا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ ) يقول تعالى ذكره: ما هكذا ينبغي أن تفعلوا، أن يلهيكم التكاثر أيها الناس، لو تعلمون أيها الناس علما يقينا، أن الله باعثكم يوم القيامة من بعد مماتكم من قبوركم ما ألهاكم التكاثر عن طاعة الله ربكم، ولسارعتم إلى عبادته، والانتهاء إلى أمره ونهيه، ورفض الدنيا إشفاقا على أنفسكم من عقوبته.

“Dan firman-Nya, “كَلا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ” (Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin). Maksudnya adalah, bukanlah begitu yang patut kamu lakukan wahai manusia sampai dilalaikan oleh banyaknya harta. Jika kalian benar-benar mengetahui dengan pengetahuan yang yakin bahawa Allah akan membangkitkan kalian pada hari Kiamat dari kuburan kalian setelah kematian kalian, nescaya banyaknya harta tidak akan melalaikan kalian dari ketaatan terhadap Allah, Rabb kalian. Dan sudah tentu kalian akan bersegera meng-ibadahi-Nya, serta melaksanakan perintah dan larangan-Nya. Kalian akan menolak dunia (dengan tidak menjadikan dunia sebagai tujuan) kerana mengasihani diri-diri kalian dari akibat siksa Allah (di akhirat).” (Tafsir Ath-Thabari, 24/581)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkata:

وقوله: { كَلا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ } أي: لو علمتم حق العلم، لما ألهاكم التكاثر عن طلب الدار الآخرة، حتى صرتم إلى المقابر.

“Dan firman Allah: “كَلا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ” (Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin). Maksudnya, sekiranya kalian benar-benar mengetahui secara pasti (akan akibatnya), nescaya kalian tidak akan bermegah-megahan sampai dilalaikan dari mencari bekalan akhirat hingga kalian pun dimasukkan ke dalam kubur.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/474)

Al-Hafiz Ibnu Katsir melanjutkan:

ثم قال: { لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ } هذا تفسير الوعيد المتقدم، وهو قوله: { كَلا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ثُمَّ كَلا سَوْفَ تَعْلَمُونَ } تَوعَّدَهم بهذا الحال، وهي رؤية النار التي إذا زفرت زفرة خَرَّ كل ملك مقرب، ونبي مرسل على ركبتيه، من المهابة والعظمة ومعاينة الأهوال، على ما جاء به الأثر المروي في ذلك.

“Kemudian Allah berfirman, “لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ” (Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahiim, dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yaqin). Ini adalah tafsir kepada ayat sebelumnya, iaitu firman Allah:

““كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ” (Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu)), “ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ” (Kemudian janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu)).”

Allah mengancam mereka (penghuni Neraka) dengan hal tersebut, iaitu mereka benar-benar akan melihat Neraka. Yang mana dengan kehebatan, kedahsyatan, dan kengerian yang terlihat ketika Neraka itu menyala dengan sekali nyalaan (atau hembusan) maka setiap malaikat yang berada di sisi Allah dan setiap Nabi yang diutus, mereka pun jatuh melutut, sebagaimana yan disebutkan dalam sebuah atsar yang diriwayatkan dalam perkara ini.” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/474)

Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H) berkata:

}ثم لترونها عين اليقين} تأكيد لرؤيتها، ومتى ترى؟ تُرى يوم القيامة، يؤتى بها تُجر بسبعين ألف زمام، كل زمام يجره سبعون ألف ملك، فما ظنك بهذه النار ـ والعياذ بالله ـ إنها نار كبيرة عظيمة لأن فيها سبعين ألف زمام، كل زمام يجره سبعون ألف ملك، والملائكة عظام شداد فهي نار عظيمة ـ أعاذنا الله منها

Allah berfirman, “ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ” (… kemudian sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yaqin). Ini adalah ta’kiid (penegasan) akan diperlihatkan Neraka, dan bilakah ia akan dilihat? Ia akan terlihat di hari Kiamat kelak. Didatangkan Neraka pada hari itu dengan cara ditarik oleh tujuh puluh ribu malaikat. Maka bagaimana agaknya menurut engkau An-Naar (Neraka) itu? Wa ‘iyya udzubillaah (dan kita berlindung kepada Allah). Sesungguhnya Neraka itu sangatlah besar, kerana padanya ada tujuh puluh ribu tali, setiap tali ditarik oleh tujuh puluh ribu malaikat yang sangat besar dan kasar. Maka Naar itu sangatlah besar. A’aazanallaahu minha (Semoga Allah melindungi kita darinya). (Ibn ‘Utsaimin, Tafsir Surah At-Takaatsur: http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_17887.shtml)

Mensyukuri Nikmat

Kata Imam Ibnu Jariir:

وقوله:( ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ ) يقول: ثم ليسألنكم الله عزّ وجلّ عن النعيم الذي كنتم فيه في الدنيا: ماذا عملتم فيه، من أين وصلتم إليه، وفيم أصبتموه، وماذا عملتم به.

“Dan firman Allah, “ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ” Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu)). Maksudnya, Allah akan menanyakan kepada kalian tentang kenikmatan yang kalian nikmati sewaktu di dunia: (seperti) apa yang kalian lakukan padanya, dari mana kalian mendapatkannya, pada apa kalian memanfaatkannya, dari mana kalian mendapatkannya, dan apa yang kalian lakukan dengannya?” (Tafsir Ath-Thabari, 24/581)

Al-Hafiz Ibnu Katsir melanjutkan:

وقوله: { ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ } أي: ثم لتسألن يومئذ عن شكر ما أنعم الله به عليكم، من الصحة والأمن والرزق وغير ذلك. ما إذا قابلتم به نعمه من شكره وعبادته.

Dan firman Allah, “ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ” (Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu)). Maksudnya, kamu benar-benar akan akan ditanya, adakah kau bersyukur atas nikmat-nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kamu? Sama ada ianya nikmat berupa kesihatan, nikmat keamanan, nikmat rezeki, dan yang selainnya. Adakah kamu telah mensyukurinya dengan cara meng-ibadahi Allah?” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/474)

Kata Ibnu Jariir Ath-Thabari:

ثم لَيُسْئَلُنّ يومئذ عما أنعم الله به عليهم مما وهب لهم من السمع والبصر وصحة البدن

(Ada juga yang menafsirkan): “Kemudian mereka pada hari itu akan ditanya tentang apa yang dianugerahkan oleh Allah atas mereka yang berupa pendengaran, penglihatan, dan kesihatan tubuh badan.” (Tafsir Ath-Thabari, 24/582)

Ada juga yang mengatakan bahawa maksudnya mereka akan ditanya berupa nikmat dari apa-apa yang dimakan dan diminum. (Tafsir Ath-Thabari, 24/583)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ القِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ، وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ، وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ، وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلاَهُ

“Tidak akan berganjak kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang ilmunya untuk apa dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia perolehi dan ke mana dia belanjakan, dan tentang tubuhnya untuk apa dia gunakan.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2417)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berkata kepada Abu Bakr dan ‘Umar tatkala sedang makan-makan hasil sembelihan:

لَتُسْأَلُنَّ عَنْ هَذَا النَّعِيمِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمُ الْجُوعُ، ثُمَّ لَمْ تَرْجِعُوا حَتَّى أَصَابَكُمْ هَذَا النَّعِيمُ

“Kalian benar-benar akan ditanya tentang nikmat ini pada hari Kiamat. Kalian keluar dari rumah-rumah kalian dengan keadaan lapar. Kemudian tidaklah kalian kembali melainkan dalam keadaan mendapatkan nikmat-nikmat ini.” (Shahih Muslim, no. 2038)

Dalam sebuah hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالفَرَاغُ

“Dua nikmat yang ramai orang terpedaya dengannya adalah nikmat sihat dan nikmat masa lapang.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6412)

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir:

ومعنى هذا: أنهم مقصرون في شكر هاتين النعمتين، لا يقومون بواجبهما، ومن لا يقوم بحق ما وجب عليه، فهو مغبون.

“Maknanya di sini adalah: mereka selalu lalai untuk mensyukuri dua nikmat tersebut. Mereka tidak melaksanakan apa yang diwajibkan atas mereka dengan nikmat tersebut, dan sesiapa yang tidak melaksanakan haq dari apa yang diwajibkan atasnya, maka itulah orang yang terpedaya atau tertipu.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/478)

Dalam sebuah hadis qudsi dari Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

يَا ابْنَ آدَمَ حَمَلْتُكَ عَلَى الْخَيْلِ وَالْإِبِلِ، وَزَوَّجْتُكَ النِّسَاءَ، وَجَعَلْتُكَ تَرْبَعُ، وَتَرْأَسُ، فَأَيْنَ شُكْرُ ذَلِكَ

“Wahai Anak Adam, Aku telah membawamu di atas belakang kuda dan unta. Aku menikahkanmu dengan wanita, dan Aku menjadikanmu hidup mewah dan terhormat (sebagai pemimpin). Jadi, di manakah syukur engkau atas semua itu?” (Musnad Ahmad, no. 10378)

Dan pendapat yang benar adalah mereka akan ditanya oleh Allah tentang nikmat-nikmat secara umum yang dianugerahkan atas mereka semuanya sebagaimana yang Dia khabarkan, bukan hanya sebahagian sahaja. (Tafsir Ath-Thabari, 24/586)

Kita memohon kepada Allah agar kita tetap taat kepada-Nya dan menjadikan apa yang Dia anugerahkan kepada kita (dari nikmat-nikmat seluruhnya) sebagai penolong untuk selalu taat kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Wallahu a’lam.

* Ini adalah hasil dari nukilan dan catatan penulis secara ringkas terhadap bacaan beberapa kitab tafsir untuk Surah At-Takaatsur.