Bolehkah Menjenguk Orang Kafir Yang Sedang Sakit, dan Apa Yang Sunnah Untuk Diucapkan?
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah
www.ilmusunnah.com
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
فرعٌ فيما يقولُ إذا عَادَ ذمِّيًّا:اعلم أن أصحابنا اختلفوا في عيادة الذميّ، فاستحبَّها جماعة، ومنعها جماعةٌ؛ وذكر الشاشي الاختلاف، ثم قال: الصوابُ عندي أن يُقال:عيادةُ الكافر في الجملة جائزة، والقربةُ فيها موقوفةٌ على نوعِ حرمةٍ تقترنُ بها من جوارٍ أو قرابةٍ.
“Cabang perbahasan: Pada apa yang diucapkan apabila menjenguk seorang ahli dzimmah (orang kafir yang bernaung dalam negara Islam – pent.);
Ketahuilah, bahawa para sahabat kami (ahli ilmu dari kalangan mazhab Asy-Syafi’i – pent.) berselisih pada perkara melawat ahli dzimmah, sejumlah mereka menganjurkannya, manakala sejumlah yang lain melarangnya. Dan perselisihan ini telah disebutkan oleh Asy-Syaasyi, kemudian beliau berkata:
“Yang benar di sisiku adalah pendapat dari mereka yang membolehkan melawat orang kafir, padanya bernilai ibadah jika dilakukan sebagai menghormati hak kejiranan atau kekerabatan.”
قلتُ: هذا الذي ذكره الشاشيُّ حسنٌ، فقد رَوَيْنَا في صحيح البخاري، عن أنس رضي الله عنه، قال:
“Aku (An-Nawawi) katakan, apa yang disebutkan oleh Asy-Syaasyi ini adalah baik. Kami meriwayatkan dari Shahih Al-Bukhari, daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
كَانَ غُلاَمٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: «أَسْلِمْ»، فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا القَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: «الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ
“Bahawa pernah ada seorang pemuda Yahudi yang biasa membantu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau mendapat sakit. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang menjenguknya lalu mengambil posisi di sisi kepalanya. Maka beliau pun bersabda:
“Masuklah Islam.” Pemuda tersebut melihat kepada ayahnya yang sedang berada di sisinya, lalu ayahnya berkata padanya:
“Taatilah Abal Qaasim (yakni Nabi),” Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka beliau pun masuk Islam. Setelah itu Nabi pun keluar dan beliau bersabda:
“Alhamdulillah (segala puji hanya bagi Allah) yang telah menyelamatkannya dari Neraka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1356)
وَرَوَيْنَا في صحيحي البخاري [رقم: 3884] ، ومسلم [رقم: 24] ؛ عن المسيِّب بن حزنٍ والدِ سعيدِ بن الْمُسَيِّبِ رضي الله عنه، قال: لما حضرتْ أبا طالبٍ الوفاةُ، جاءهُ رسولُ الله صلى الله عليه وسلم فقال: “يا عَمّ! قُل لا إلهَ إِلاَّ اللَّهُ”، وذكر الحديث بطُوله.
“Dan kami juga meriwayatkan dari Shahih Al-Bukhari dan Muslim, daripda Al-Musayyib bin Hazn, yakni bapa kepada Sa’id ibn Al-Musayyib radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
“Ketika Abu Thalib menghampiri kewafatannya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendatanginya lalu bersabda:
“Wahai ‘ammu (pakcik sebelah bapa), ucapkanlah laa ilaaha illallaah (tiada yang berhak diibadahi melainkan Allah),” sebagaimana dalam hadis yang panjang.” (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 1360. Muslim, no. 24 – pent.)
قُلتُ: فينبغي لعائدِ الذميّ أن يرغبهُ في الإِسلام، ويبينَ لهُ محاسنهُ، ويحثهُ عليهِ، ويحرضهُ على معاجلته قبل أن يصيرَ إلى حالٍ لا ينفعهُ فيها توبتهُ، وإن دعا له دعا بالهداية ونحوها.
“Aku (An-Nawawi) katakan: Orang yang menjenguk orang kafir yang sakit hendaklah berusaha mengajak (yakni mendakwahi atau menariknya) kepada Islam, menjelaskan kepadanya tentang keindahan Islam, mendorongnya, dan memotivasikannya (atau memberinya semangat) untuk bersegera kepada Islam sebelum dia sampai pada keadaan yang taubatnya tidak lagi bermanfaat. Jika dia mendoakan untuknya, maka hendaklah dia mendoakannya dengan hidayah (agar menerima Islam) dan yang semakna.”
Sekian nukilan –
Dari kitab Al-Adzkar An-Nawawiyyah oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H), m/s. 465 – Tahqiq ‘Amir ‘Ali Yasin, Daar Ibn Khuzaimah (Cet. 1, 1422H, Riyadh).