Bolehkah Menggunakan Bekas Memasak Khinzir Yang Telah Disucikan?
Dalam sebuah hadis dijelaskan:
عَنْ أَبِي ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيِّ:
أَنَّهُ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمْ الْخِنْزِيرَ وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمْ الْخَمْرَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا
Daripada Abi Tsa’labah al-Khusyani (radhiallahu ‘anhu), beliau berkata:
“Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Bahawasanya kami bertetangga dengan Ahli Kitab. Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam bekas masak mereka (periuk/kuali/belanga) dan meminum khamar di dalam gelas mereka (lalu bolehkah kami menggunakan periuk dan gelas tersebut)?”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab:
“Jika kamu dapat mencari bekas yang selain darinya maka makan dan minumlah dengannya. Tetapi jika kamu tidak dapat mencari bekas yang lain, maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah (dengannya).” (Sunan Abi Dawud, no. 3839. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)
Al-Imam An-Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim menyentuh hadis ini dengan katanya, “Dilarang menggunakan bekas mereka sebelum disucikan, sehingga apabila telah disucikan bekas tersebut, maka tidak dilarang untuk menggunakannya. Kerana ia telah suci dan tidak terdapat di dalamnya sesuatu yang mengotorinya.” (Syarh Shahih Muslim, 13/80)
Kata Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah:
والفقهاء ـ رحمهم الله ـ ألحقوا نجاسته بنجاسة الكلب؛ لأنه أخبث من الكلب، فيكون أوْلى بالحكْم منه
وهذا قياس ضعيف؛ لأن الخنزير مذكور في القرآن، وموجود في عهد النبيِّ صلّى الله عليه وسلّم، ولم يَرِدْ إِلحاقه بالكلب. فالصَّحيح: أن نجاسته كنجاسة غيره، فتُغسل كما تُغسل بقية النَّجاسات.
“Sebahagian fuqaha’ (semoga Allah merahmati mereka), mereka menyamakan kenajisannya babi dengan kenajisan anjing kerana babi lebih khabits (jijik) berbanding anjing, maka babi lebih patut diberikan hukum tersebut (yakni disucikan dengan tujuh kali cucian yang salah satunya dicampur tanah). Akan tetapi qiyas ini adalah qiyas yang lemah, kerana babi disebutkan dalam Al-Qur’an, dan terdapat pula di zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tetapi ia tidak disamakan hukumnya dengan anjing. Maka pendapat yang sahih: kenajisan babi itu adalah sama saja sebagaimana najis yang lainnya, ia disucikan sebagaimana menyucikan najis-najis yang lainnya (yakni cukup dicuci dengan air seperti biasa – pent.).” (Asy-Syarh Al-Mumti’, 1/236 – Daar Ibnul Jauzi (Qahirah), cet. 1430H)
Dan ini jugalah yang dikemukakan oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
وأما الخنزير فحكمه حكم الكلب في هذا كله هذا مذهبنا وذهب أكثر العلماء إلى أن الخنزير لا يفتقر إلى غسله سبعا وهو قول الشافعي وهو قوى في الدليل
“Adapun al-khinzir (babi) maka hukumnya adalah mengikuti hukum anjing dalam semua perkara ini, dan inilah mazhab kami. Namun kebanyakan ulama berpendapat bahawa (najis) babi tidak perlu disucikan dengan 7 kali cucian, dan ini adalah qaul (pendapat) Al-Imam Asy-Syafi’i, dan inilah yang kuat berdasarkan dalil.” (Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi, 3/186)
Beiau juga menegaskan di tempat yang lain dengan katanya:
واعلم أن الراجح من حيث الدليل أنه يكفى غسلة واحدة بلا تراب وبه قال أكثر العلماء الذين قالوا بنجاسة الخنزير وهذا هو المختار لان الاصل عدم الوجوب حتى يرد الشرع لاسيما في هذه المسألة المبنية على التعبد
“Ketahuilah bahawa yang rajih (tepat) berpandukan dalil, (kesan najis babi) mencukupi disucikan dengan sekali cucian tanpa tanah. Dan inilah yang dipegang oleh kebanyakan ulama yang memperkatakan tentang kenajisan al-khinzir (babi) dan inilah pendapat yang terpilih. Ini adalah kerana hukum asal bagi perkara ini adalah tidak wajib sampailah ada dalil yang mensyari’atkannya yang mana perkara ini dibina atas dasar ta’bbud (ibadah kepada Allah).” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab oleh An-Nawawi, 2/586)
Kemudian disebutkan dalam hadis yang lain tentang makan dengan menggunakan bekas (atau perkakasan milik) ahli kitab (yakni Yahudi dan Nashara), dari hadis Abi Tsa’labah Al-Khusyani, beliau bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ وَبِأَرْضِ صَيْدٍ، أَصِيدُ بِقَوْسِي، وَبِكَلْبِي الَّذِي لَيْسَ بِمُعَلَّمٍ وَبِكَلْبِي المُعَلَّمِ، فَمَا يَصْلُحُ لِي؟ قَالَ: «أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا، وَمَا صِدْتَ بِقَوْسِكَ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ، وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ المُعَلَّمِ، فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ، وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ
“Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di wilayah ahli kitab, bolehkah kami makan dengan menggunakan bekas (atau perkakasan) mereka?” Aku juga berada di tempat berburu, aku berburu dengan anak panah dan dengn anjing yang tidak terlatih diiringi anjing yang terlatih, apa yang sebaiknya aku lakukan?”
Maka jawab Nabi:
“Adapun apa yang engkau sebutkan dari ahli kitab, sekiranya engkau dapatkan bekas yang lain, maka makanlah dengan bekas yang lain tersebut dan jangan makan dengan bekas ahli kitab, tetapi jika engkau tidak mendapatkan bekas yang lain, maka basuhlah bekas tersebut dan makanlah dengan menggunakannya.
Dan apa-apa dari haiwan hasil buruan yang engkau dapatkan dengan anak panahmu dan engkau sebutkan nama Allah maka makanlah, haiwan hasil buruan yang engkau dapatkan dengan anjing pemburu yang terlatih yang engkau sebutkan nama Allah (ketika melepasnya) maka makanlah, dan apa-apa dari haiwan hasil buruan yang engkau dapatkan dengan anjing tidak terlatih maka engkau sempurnakanlah dengan menyembelihnya lalu engkau makanlah darinya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5478)
Maka dari sini menunjukkan bahawa: tidak boleh makan dengan bekas/perkakas ahli kitab, kecuali apabila tidak didapatkan bekas/perkakas yang lain, maka baru boleh menggunakannya tetapi hendaklah terlebih dahulu dibasuh dengan bersih.
Dan cara menyucikannya adalah sebagaimana biasa dengan air. Tidak diperintahkan (atau disyaratkan mahupun diwajibkan) dengan air tanah dengan 7 kali basuhan sebagaimana difahami oleh sebahagian ilmuan atau pendapat. Memadai dengan basuhan sebagaimana biasa. Wallahu a’lam.
Tidak Perlu Cuci Mulut Dengan Tanah
Akhir-akhir ini ada satu pendapat yang diungkapkan dan disebarkan oleh beberapa tokoh terkenal tanah air tentang perlunya menyucikan mulut dengan air tanah jika termakan makanan yang mengandungi unsur khinzir atau babi. Sebenarnya pendapat tersebut tidaklah begitu tepat.
Adapun yang tepat adalah tidak perlu disucikan atau berkumur-kumur dengan air tanah. Tetapi hendaklah dia bertaqwa kepada Allah, memperbanyakkan istighfar dalam rangka menyedari kesalahannya, dan hendaklah dia lebih hati-hati di lain masa dalam mengambil atau memilih makan dan minumnya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
لَيْسَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جُنَاحٌ فِيمَا طَعِمُوا إِذَا مَا اتَّقَوْا وَآمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ ثُمَّ اتَّقَوْا وَآمَنُوا ثُمَّ اتَّقَوْا وَأَحْسَنُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
“Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh kerana memakan makanan yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa serta beriman, dan mengerjakan amal-amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka (tetap juga) bertaqwa dan berbuat kebaikan. Dan Allah mencintai para muhsinin.” (Surah Al-Ma’idah, 5: 93)
Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
“Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu tersalah padanya, tetapi (yang ada dosanya) adalah apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahdzab, 33: 5)
Selain itu, dari firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Sesungguhnya Allah mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi sesiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedangkan dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Baqarah, 2: 173)
Ayat ini menunjukkan dibolehkan memakan babi sekiranya dalam keadaan terpaksa atau darurat setelah diusahakan tiada lagi makanan yang lain. Tetapi ayat ini mendiamkan dan tidak menyebutkan sama sekali supaya setelah makan hendaklah mulut dan tangan dicuci dengan air bercampur tanah.
Apabila Allah Ta’ala mendiamkan hal tersebut, maka tidaklah termasuk syari’at untuk memandai-mandai menetapkan setelah makan atau jika termakan babi perlu cuci mulut dengan air tanah. Oleh yang demikian, maka cara menyucikannya kembali sebagaimana biasa.
Demikian juga bagi kaum bukan Islam yang biasa melazimi babi termasuk memakannya apabila mereka masuk Islam, tetap tidak terdapat saranannya dari hadis-hadis Nabi agar menyucikan tubuh badan mereka atau rumah kediaman mereka serta bekas-bekas makanan mereka dengan air tanah.
Dari ayat tersebut juga menunjukkan kenajisan babi sebaris dengan najisnya darah, bangkai, dan haiwan yang disembelih dengan disebut nama selain Allah. Jadi, seandainya kesan najis babi harus disucikan dengan air tanah, kenapa tidak najis yang lain yang diletakkan oleh Allah sebaris dengannya dari darah, bangkai dan haiwan yang disembelih dengan disebut nama selain Allah?
Maka jelaslah bahawa bukan termasuk tuntutan di dalam agama ini supaya kesan babi disucikan dengan air tanah.
Bolehkah Memanfaatkan Kulit Atau Bulu Khinzir?
Kata sahabat Nabi, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:
أَنَّ شَاةً لِمَوْلَاةِ مَيْمُونَةَ مَرَّ بِهَا يَعْنِي النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ أُعْطِيَتْهَا مِنْ الصَّدَقَةِ مَيْتَةً فَقَالَ هَلَّا أَخَذُوا إِهَابَهَا فَدَبَغُوهُ فَانْتَفَعُوا بِهِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهَا مَيْتَةٌ قَالَ إِنَّمَا حُرِّمَ أَكْلُهَا
“Bahawa kambing milik bekas hamba Maimunah yang telah diberikan kepadanya sebagai sedekah telah mati. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda, “Kenapa tidak diambil kulitnya dan disamak (diawet) agar ia dapat dimanfaatkan?” Mereka menjawab, “Wahai Rasulullah, kambing itu telah mati (menjadi bangkai)!” Nabi pun mengatakan, “Yang diharamkan adalah memakannya.” (Sunan Ibnu Majah, no. 3600. Diriwayatkan juga oleh Al-Bukhari dan Muslim dengan lafaz dan jalan yang berbeza)
Dalil ini termasuk hadis yang bersifat umum bagi setiap bangkai melainkan ada dalil yang yang mengecualikannya.
Sebagaimana dalam Al-Qur’an, pengharaman memakan babi terdapat dalam ayat yang bersamaan dengan pengharaman bangkai. Apabila bahagian dari bangkai boleh dimanfaatkan setelah proses samakkan (pengawetan), maka demikian juga bahagian dari babi. Sebaliknya, yang diharamkan adalah memakannya (sama ada bangkai mahupun babi), Yakni haram memakan babi baik dagingnya, gelatinnya, tulangnya, mahupun bulunya, dan mana saja dari bahagian babi adalah haram dimanfaatkan sebagai bahan makanan.
Sahabat Nabi, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
أَرَادَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَتَوَضَّأَ مِنْ سِقَاءٍ فَقِيلَ لَهُ إِنَّهُ مَيْتَةٌ ، فَقَالَ : دِبَاغُهُ يَذْهَبُ بِخَبَثِهِ، أَوْ نَجَسِهِ، أَوْ رِجْسِهِ
“Aku melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa beliau berwudhu’ dari bekas air yang terbuat dari kulit haiwan. Lalu dikatakan padanya bahawa kantong tersebut dari bangkai haiwan. Maka Nabi pun bersabda:
“Penyamakan (yakni peroses pembersihan dan pengawetan) telah menghilangkan keburukannya, atau kekotorannya, atau kenajisannya.” (Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, no. 574. Shahih Ibn Khuzaimah, no. 114)
Al-Imam Ibn Khuzaimah membuat bab bagi hadis ini dengan bab:
بَابُ الرُّخْصَةِ فِي الْوُضُوءِ مِنَ الْمَاءِ يَكُونُ فِي جُلُودِ الْمَيْتَةِ إِذَا دُبِغَتْ
“Bab rukhshah (keringanan) pada berwudhu’ dengan air dari bekas yang terbuat dari kulit bangkai haiwan yang telah disamak (diawet).”
Demikian juga dengan hadis:
أَيُّمَا إِهَابٍ دُبِغَ فَقَدْ طَهُرَ
“Apa jua kulit yang disamak (diawet), maka ianya suci.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1728. Ibnu Majah, no. 3599. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi dan mengatakan, para ahli ilmu mengamalkan hadis ini)
Kemudian Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) menyebutkan beberapa perbezaan pendapat di kalangan ulama:
“Al-Imam Asy-Syafi’i berkata, “Apa jua kulit bangkai jika disamak, maka ia menjadi suci kecuali anjing dan babi.”
Beliau berdalil dengan hadis ini. Sebahagian ulama dari kalangan sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan selain mereka tetap memakruhkan kulit binatang buas walaupun telah disamak. Ini adalah pendapat ‘Abdullah Ibnul Mubarak, Ahmad dan Ishaq. Dan mereka bersikap tegas tentang pemakaian atau mengenakannya dalam solat.
Ishaq bin Ibrahim berkata, “Hanya cuma makna dari sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Apa jua kulit jika disamak, maka ia menjadi suci”, maksudnya adalah kulit dari haiwan yang boleh dimakan dagingnya.
Demikianlah yang dijelaskan oleh An-Nadhr bin Syumail.”
Ishaq berkata lagi, An-Nadhar bin Syumail mengatakan, “Ungkapan disamak adalah untuk kulit dari binatang yang dagingnya halal dimakan.” (Sunan At-Tirmidzi, 6/338)
Kemudian, Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab turut menyebutkan perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam hal ini menjadi tujuh pendapat semuanya.
Salah satu pendapat yang dikemukakan menyatakan bahawa setiap kulit haiwan yang telah disamak (diawet), maka ia suci untuk dimanfaatkan (selain sebagai makanan), sama ada yang asalnya halal atau haram dimakan, termasuk anjing dan babi.
Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:
وَالْقَوْلُ الرَّاجِحُ هُوَ طَهَارَةُ الشُّعُورِ كُلِّهَا: شَعْرُ الْكَلْبِ وَالْخِنْزِيرِ وَغَيْرُهُمَا بِخِلَافِ الرِّيقِ وَعَلَى هَذَا فَإِذَا كَانَ شَعْرُ الْكَلْبِ رَطْبًا وَأَصَابَ ثَوْبَ الْإِنْسَانِ فَلَا شَيْءَ عَلَيْهِ كَمَا هُوَ مَذْهَبُ جُمْهُورِ الْفُقَهَاءِ: كَأَبِي حَنِيفَةَ وَمَالِكٍ وَأَحْمَد فِي إحْدَى الرِّوَايَتَيْنِ عَنْهُ: وَذَلِكَ لِأَنَّ الْأَصْلَ فِي الْأَعْيَانِ الطَّهَارَةُ فَلَا يَجُوزُ تَنْجِيسُ شَيْءٍ وَلَا تَحْرِيمُهُ إلَّا بِدَلِيلِ
“Dan qaul (pendapat) yang rajih (terkuat), setiap bulu itu suci termasuk bulu anjing, babi, dan selainnya, berbeza keadaannya dengan air liur. Oleh sebab itu, bulu anjing yang basah jika terkena baju seseorang, maka tidak ada kewajiban apa-apa. Sebagaimana ia adalah mazhab jumhur fuqahaa’ sebagaimana dalam mazhab Abu Hanifah, Malik, dan Ahmad dalam salah satu riwayat dari dua pendapatnya. Dikatakan demikian kerana hukum asal sesuatu itu adalah suci. Maka tidak boleh dikatakan najis atau haram melainkan dengan dalil.” (Ibnu Taimiyah sebagaimana dalam Majmu’ Al-Fatawa, 21/617). Wallahu a’lam.
Selain itu, para ulama turut berbeza pendapat dalam hal ini sekitar skop memahami kalimat “rijs” (najis). Untuk penjelasan lebih lanjut berkaitan kefahaman kalimat ini, sila dapatkan di, https://ilmusunnah.com/?p=92
Tidak Boleh Dijual-beli (atau Diperniagakan)
Walau bagaimanapun, kulit haiwan-haiwan yang haram dimakan ini tidaklah halal diperjual-belikan walaupun boleh untuk dimanfaatkan (sebagai selain dari dijadikan makanan). Ini adalah sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا عِنْدَ الرُّكْنِ، قَالَ: فَرَفَعَ بَصَرَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَضَحِكَ، فَقَالَ: «لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ، ثَلَاثًا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْهِمُ الشُّحُومَ فَبَاعُوهَا وَأَكَلُوا أَثْمَانَهَا، وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا حَرَّمَ عَلَى قَوْمٍ أَكْلَ شَيْءٍ حَرَّمَ عَلَيْهِمْ ثَمَنَهُ
“Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang duduk bersandar di suatu tiang sambil merenung ke langit, beliau tersenyum lalu bersabda:
“Semoga Allah melaknat orang-orang Yahudi.” Sebanyak tiga kali. Beliau meneruskan, “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas mereka memakan lemak (bangkai) haiwan, tetapi mereka menjual dan memakan hasil jualannya. Sesungguhnya jika Allah mengharamkan bagi suatu kaum dari memakan sesuatu, maka Dia juga akan mengharamkan harganya.” (Musnad Ahmad, no. 2221. Sunan Abi Daud, no. 3488)
Dalam Shahih Al-Bukhari, dari Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhuma bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaannya:
إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ»، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: «لاَ، هُوَ حَرَامٌ»، ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: «قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ
“Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli khamr, bangkai, babi, dan patung-patung (berhala).” Maka ditanyakan kepada Rasulullah:
“Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau dengan lemak bangkai haiwan? Kerana sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, menyapu kulit, dan dijadikan minyak lampu oleh ramai orang.” Maka Jawab Rasulullah:
“Tidak boleh, ianya haram.” Kemudian beliau bersabda lagi pada ketika itu:
“Semoga Allah memerangi para Yahudi, sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya lalu mereka menjualnya kemudian memakan hasil darinya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2236)
Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
جمهور العلماء العلة في منع بيع الميتة والخمر والخنزير النجاسة فيتعدى ذلك إلى كل نجاسة
“Jumhur (majoriti) ulama menjelaskan ‘illat (sebab) dari larangan menjual bangkai, al-khamr, dan khinzir adalah kerana sifatnya yang najis. Maka, larangan ini mencakupi seluruh najis.” (Fathul Bari, 4/425)
Berdasarkan syarah dan huraian Al-Hafiz Ibnu Hajar, dari hadis ini dapat difahami bahawa dibolehkan untuk memanfaatkannya sebagai selain makanan, dan yang diharamkan oleh hadis adalah memperjual-belikannya. (lihat: Fath Al-Bari, 4/424-426)
Wallahu a’lam.