Bimbingan Sunnah Agar Memilih Nama Yang Baik Bagi Anak

Bimbingan Sunnah Agar Memilih Nama Yang Baik Bagi Anak

Asy-Syaikh Mushthofa Al-‘Adawi
www.ilmusunnah.com

baby_shoes_

Ini adalah hak seorang anak yang harus dipenuhi oleh ibu dan bapa, maka janganlah memberikan nama yang membuat dia tidak senang. Juga janganlah anda memberikan gelaran yang membuat dirinya malu dan orang-orang memperlinya, akan tetapi berilah dia dengan nama yang indah dari nama-nama kaum muslimin, kerana nama yang baik kelak akan melahirkan keyakinan diri, optimisme dan kegembiraan bagi seorang anak. Bahkan nama yang baik mampu menzahirkan sifat dan harapan yang baik.

Al-Imam Muslim[1] meriwayatkan dalam Kitab Shahihnya dan Abu Dawud di kitab Sunannya dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

رَأَيْتُ ذَاتَ لَيْلَةٍ، فِيمَا يَرَى النَّائِمُ، كَأَنَّا فِي دَارِ عُقْبَةَ بْنِ رَافِعٍ، فَأُتِينَا بِرُطَبٍ مِنْ رُطَبِ ابْنِ طَابٍ، فَأَوَّلْتُ الرِّفْعَةَ لَنَا فِي الدُّنْيَا، وَالْعَاقِبَةَ فِي الْآخِرَةِ، وَأَنَّ دِينَنَا قَدْ طَابَ

“Pada suatu malam aku melihat sesuatu yang biasa dilihat oleh seseorang yang sedang tidur (bermimpi), seakan-akan kami berada di dalam rumah ‘Uqbah bin Rafi’, lalu dibawakan kepada kami kurma Ibnu Thab.[2] Lalu kami menafsirkan mimpi tersebut dengan kedudukan yang tinggi di dunia, tempat yang baik di akhirat dan sesungguhnya agama kami telah sempurna.”

Lihatlah sebuah hadis berikut yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari[3] dari jalan Sai’d bin Al-Musayyib dari ayahnya:

أَنَّ أَبَاهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «مَا اسْمُكَ» قَالَ: حَزْنٌ، قَالَ: «أَنْتَ سَهْلٌ» قَالَ: لاَ أُغَيِّرُ اسْمًا سَمَّانِيهِ أَبِي قَالَ ابْنُ المُسَيِّبِ: «فَمَا زَالَتِ الحُزُونَةُ فِينَا بَعْدُ

“Sesungguhnya ayah beliau (yakni datuk kepada Sa’ib Ibn Al-Musayyib) datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau bertanya, “Siapa namamu?” Jawabnya, “Hazn (sedih, tertekan, sukar).” Rasulullah berkata, “Namamu adalah Sahl (mudah).” Dia berkata, “Aku sama sekali tidak akan mengubah nama yang telah diberikan oleh ayahku.” Ibnul Musayyib berkata, “Maka tidak pernah putus kesedihan dan kesulitan pada urusan kami setelah itu.”.”[4]

Di hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

غِفَارُ غَفَرَ اللهُ لَهَا، وَأَسْلَمُ سَالَمَهَا اللهُ، وَعُصَيَّةُ عَصَتِ اللهَ وَرَسُولَه

“(Bani) Aslam (selamat), semoga Allah menyelamatkannya. (Bani) Ghifar (yang dimaafkan), semoga Allah mengampuninya, dan (Bani) ‘Ushayyah telah membuat maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.”[5]

Diriwayatkan di Shahih Al-Bukhari dengan sanad yang mursal, dari jalan ‘Ikrimah, beliau berkata:

لَمَّا جَاءَ سُهَيْلُ بْنُ عَمْرٍو، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَقَدْ سَهُلَ لَكُمْ مِنْ أَمْرِكُمْ

“Ketika Suhail (yang dimudahkan) bin ‘Amr datang, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata, “Semoga kemudahan bagi kalian dalam urusan kalian.”

Seseorang yang mencari nama untuk anaknya dari nama-nama orang-orang yang soleh dan memiliki keutamaan, tentu tidak akan sama dengan orang yang mencarinya dari nama-nama orang kafir dan para pelaku maksiat. Yang pertamanya dia akan diberi pahala, manakala yang keduanya dia akan diberikan balasan buruk atas niatnya yang buruk. Sungguh, sangat jauh berbeza antara orang-orang yang mencarikan nama bagi anaknya dari nama-nama para Nabi, Rasul, para Sahabat, dan Tabi’in yang mengikuti jejak mereka semua dengan orang-orang yang mencarikan nama bagi anak-anaknya dari nama-nama para penari dan orang-orang yang selalu berbuat maksiat agar anaknya dipanggil dengan nama mereka.

Biasanya seseorang cinta kepada orang lain yang namanya sama dengan nama dirinya, maka anda akan melihat seseorang yang namanya Muhammad mencintai orang lain yang bernama Muhammad. Seseorang yang bernama Yahya mencintai orang lain yang bernama Yahya, meka hendaklah kalian semua memilihkan nama bagi anak-anak kalian dengan nama orang-orang soleh. Demikianlah yang dilakukan oleh orang-orang yang soleh.

Tidakkah Anda memerhatikan bahawa Maryam adalah puteri ‘Imran dan saudaranya adalah Harun. Demikian pula Musa, putera ‘Imran, dan saudaranya Harun, akan tetapi Maryam bukanlah saudara perempuan Musa, kerana keduanya terpisah dalam kurun waktu yang sangat lama. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah ditanya tentang hal ini, beliau menjawab:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَمُّونَ بِأَنْبِيَائِهِمْ وَالصَّالِحِينَ قَبْلَهُم

“Sesungguhnya mereka menamakan (anak-anak mereka) dengan nama para Nabi dan orang-orang soleh sebelum mereka.”

Demikianlah diungkapkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim dari hadis Al-Mughirah bin Syu’bah.[6]

Al-Mughirah bin Syu’bah berkata, “Ketika aku datang ke Najran, mereka (penduduk Najran) bertanya kepadaku, “Sesungguhnya kalian membaca (dalam Al-Qur’an):

يَاأُخْتَ هَارُونَ…(28)

“Wahai Saudara Harun…” (Surah Maryam, 19: 28)

Sedangkan Musa berada sebelum ‘Isa dalam beberapa kurun waktu. Ketika aku menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, aku bertanya kepada beliau tentang hal itu, beliau menjawab:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَمُّونَ بِأَنْبِيَائِهِمْ وَالصَّالِحِينَ قَبْلَهُم

“Sesungguhnya mereka biasa menamakan (anak-anak mereka) dengan nama para Nabi dan orang-orang soleh sebelum mereka.”

Dengan demikian, merupakan kewajiban bagi anda untuk memilih nama bagi anak-anak anda dengan nama dari kalangan para Nabi atau orang-orang yang soleh. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ أَحَبَّ أَسْمَائِكُمْ إِلَى اللهِ عَبْدُ اللهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ

“Sesungguhnya nama yang paling Allah cintai adalah ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman.”[7]

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga turut bersabda:

تَسَمَّوْا بِاسْـمِي وَلَا تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي

“Berilah nama dengan namaku tetapi janganlah kalian memberi kun-yah (gelar atau panggilan) dengan kun-yahku (yakni Abul Qasim).”[8]

Diriwayatkan oleh Muslim di yang riwayat lain,[9] “Sesungguhnya seseorang dari kalangan  Anshar dikurniakan anak lelaki lalu dia hendak menamakan anaknya tersebut dengan nama Muhammad, lalu dia mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan menanyakan perkara tersebut kepadanya, dan beliau pun bersabda:

أَحْسَنَتِ الْأَنْصَارُ سَـمُّوا بِاسْـمِي، وَلَا تَكْتَنُوا بِكُنْيَت

“Sungguh bagus apa yang dilakukan oleh Anshar, berilah nama dengan namaku tetapi jangan engkau memberikan kun-yah dengan kun-yahku.”

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menamakan anaknya dengan nama Ibrahim.”[10]

Diriwayatkan di Ash-Shahihain,[11] dari hadits Abu Musa radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «فَسَمَّاهُ إِبْرَاهِيمَ،

“Aku dikurniakan seorang anak, kemudian aku mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau menamakannya dengan nama Ibrahim.”

Syaikh Bakr bin ‘Abdillah Abu Zaid rahimahullah berkata di kitabnya, Tasmiyyatul Mauluud:

“Wahai saudaraku sesama muslim! Aku ulangi untuk menegaskan dan aku mengingatkan dengan kebenaran. Sesungguhnya suatu nama adalah judul atau karektor bagi seseorang, sebagaimana sebuah buku dilihat dari judulnya. Demikian pula seseorang diketahui keyakinan (keadaan hatinya) dan sudut pandang pemikirannya dari namanya, bahkan keyakinan orang yang memilih baginya sebuah nama dapat diketahui dari nama yang dia berikan.”

Nama seorang anak adalah wadah bagi dirinya sendiri, tanda pengenalan bagi dirinya, dan dia terikat dengannya. Seorang anak, orang tuanya, bahkan keadaan umatnya dapat diperhitungkan (yakni dikenal) dari makna nama yang dimiliki oleh anak-anak tersebut. Semua akhlak dan nilai-nilai luhur dan mulia yang ada, menunjukkan nama anak yang dilahirkan, kerana eratnya kaitan antara nama dengan pemiliknya. Perkara ini adalah sesuatu yang ditentukan oleh Allah Yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui, yang diilhamkan kepada diri seorang hamba dan ditanamkan di dalam hati-hati mereka.

Jarang sekali sebuah gelar meleset dari keperibadian pemiliknya, biasanya di antara keduanya ada sebuah persamaan.

Di antara ungkapan yang masyhur dalam kalangan kebanyakan orang bahawa sebuah gelar turun dari langit, tegasnya seringkali gelar (nama) yang buruk sesuai dengan keburukan pemilikya, dan sebaliknya jika gelar tersebut baik.

Dan di antara ungkapan yang sering terdengar adalah setiap sesuatu bersesuaian dengan keperibadian orang yang memiliki nama tersebut.

Dikatakan pula:

Sedikit sekali jika kalian membuka mata dan melihat seseorang yang memiliki laqab (gelaran),

Kecuali dia sinonim dengan makna nama dan gelaran yang dimilikinya.

Suatu nama dan laqab (gelaran) mengandungi makna yang menunjukkan keperibadian pemiliknya.

Dari sini, maka di antara pemahaman yang biasa digunakan dalam bahasa ‘Arab adalah bahawa:

Sebuah makna diambil dari susunan kata yang digunakan, kerana susunan ini menunjukkan kepada maknanya.

Kerana itu Anda melihat –sebagaimana diungkapkan oleh Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah-, kebanyakan orang bodoh bersesuaian dengan namanya, dan kebanyakan orang yang mulia bersesuaian dengan namanya.

Dari sini, jika sebahagian orang melihat, maka dia akan menggambarkan keperibadiannya dari nama yang dimilikinya dan seringkali apa yang dia bayangkan bersesuaian dengan kenyataan.

Benarlah bahawa sebuah nama memiliki pengaruh yang sangat besar terhadap pemiliknya, sama ada dalam kebaikan atau keburukan, sama ada dalam keringanan atau kesulitan, dan dalam kelembutan mahupun kekerasan.

Kerana itulah wahai saudaraku sesama muslim –semoga Allah memberkahi segala apa yang dikurniakan kepadamu- berbuat baiklah kepada diri anda sendiri, anak anda dan kepada seluruh umat, dengan memilih nama yang baik, apakah bentuk lafaznya, mahupun makna yang terkandung di dalamnya.

Sesungguhnya mencari nama yang baik menunjukkan banyak makna.

(Pertama), menunjukkan kepada sejauh mana keterkaitan seorang ayah dengan petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

(Kedua), menunjukkan sejauh mana kesejahteraan pemikirannya dari pengaruh yang dapat menyimpangkannya dari jalan yang benar dan lurus.

(Ketiga), menunjukkan sejauh mana keteguhannya dalam beragama dan berbuat ihsan kepada anak yang lahir dengan memberikan nama yang baik padanya.

Kesimpulannya, nama adalah suatu bentuk ukuran atau lambang dari wawasan juga penunjuk atas keperibadian orang yang memberikan nama tersebut.

Di antara ungkapan yang terwarisi dari para leluhur adalah, “Dari namamu aku mengenal ayahmu.”

Sebuah nama akan mengikat seseorang kepada petunjuk syari’at dan adab-adabnya. Seorang anak akan menjadi orang yang penuh dengan keberkahan, ketika namanya disebut-sebut beserta orang-orang yang sama namanya dari kalangan para Nabi dan orang-orang soleh. Panggilan kepada sang anak akan disertai dengan harapan semoga sang buah hati mendapatkan keutamaan do’a dan kebaikan dari meneladani petunjuk para salaf as-soleh.

Dengan demikian, nama-nama mereka akan terjaga, dan nama anak itu sendiri akan disebut berikut sifat-sifat dan keadaan-keadaan mereka. Dengan demikian berlanjutlah sifat-sifat ishlah pada umat ini dan seterusnya pada generasi keturunannya.

Nama yang baik juga akan menjadikan hati sang anak terisi dengan kemuliaan dan kebanggaan. Kerana ketika dia berada di fasa masa tumbesaran dan perkembangan usia remajanya, ketika dia telah mampu membezakan antara angka 5 dan 6 atau ketika dia berada pada masa-masa yang penuh dengan pertanyaan (seperti pada umur 7 tahun), dia akan bertanya tentang masalah ini:

Kenapa ayah memberikan saya dengan nama seperti ini?

Dan kenapa nama ini yang ayah pilih? Apa maknanya? Pada ketika itu seorang ayah akan merasakan senang jika dia telah memilih nama yang baik bagi sang buah hati.

Atau jika sebaliknya, maka sang ayah akan berada pada posisi sukar di hadapan anaknya yang belum mencapai masa dewasa, ketika dia perlu menjelaskan nama anaknya yang buruk. Pada ketika itu terbukalah kedangkalan pemikiran dan kelemahan akal sang ayah.

Pada masa-masa tersebut, tepatnya di awal pendidikannya, sang ayah telah mengenakan sebuah pakaian asing bagi sang anak. Dia telah meletakkannya ke dalam wadah yang tidak sesuai dengan diri sang anak, dan inilah suatu bentuk penyelewengan dari ajaran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Benarlah apa yang disabdakan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ

“Tidaklah seorang anak dilahirkan kecuali dia dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang telah menjadikan dia Yahudi…”[12]

Kesimpulannya bahawa sebuah nama adalah wadah di mana sang anak berada di dalamnya. Jika namanya itu lengkap, maka anda dapat membayangkan keperibadiannya untuk pertama kali, petunjuk-petunjuk dari nama-nama tersebut langsung terakam dalam benak anda sehingga anda dapat berinteraksi dengannya dan menilainya.

Jika demikian pengaruh sebuah nama bagi sang anak dan orang tua, maka lihatlah di belakang semua ini! Apa yang telah menimpa umat Islam akibat dari pengguaan nama yang tidak dibenarkan, khasnya dengan nama-nama orang barat (yakni nama-nama orang-orang kafir).

Sebuah nama memiliki pengaruh terhadap umat sama ada pada perilaku, tindak-tanduk, dan akhlak mereka bersesuaian dengan yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:Anak-anak dilahirkan Dalam Keadaan Fitrah

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَلَهُ أَجْرُهَا، وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِـهَا

“Siapa yang menunjukkan sebuah sunnah (yakni jalan) yang baik dalam Islam, maka dia mendapatkan pahala (atas apa yang dia lakukan) dan mendapat pahala bagi setiap orang yang mengamalkannya.”[13]

Sebuah nama memberikan gambaran yang jelas sejauh mana pengaruh pola atau metode berfikir dan keyakinan umat, juga gambaran akhlak dan keperibadian mereka.

Sejauh mana orang asing telah menguasai mereka, termasuk budayanya yang menyusup ke dalam sanubari mereka?!

Cuba bayangkan bagaimana sebuah ikatan nasab boleh terputus kerana coretan tangan yang merosak apa-apa yang dibentuk oleh Islam, tepatnya nama-nama yang bersesuaian dengan tuntunan syari’at?!

Kemudian kenyataan tersebut merupakan sebuah petanda kekurangan dan kerendahan yang dialami oleh suatu kaum yang kalah, kerana jiwa biasanya selalu mengikuti gerak langkah kaum yang telah menguasainya, bagaikan seorang hamba dengan tuannya.

Selanjutnya kenyataan tersebut menunjukkan bahawa kekuatan suatu umat telah jauh terhampar dan terdampar. Bahawa tidak ada lagi pahlawan yang dapat memadamkan bara api budaya yang telah bercokol di dalam dada-dada mereka dan menjadikannya berada di dalam himpitan dan kekuasaan para musuh.

Berdasarkan semua itu, jelaslah bahawa memilh nama yang baik untuk anak merupakan sebuah kewajiban yang disyari’atan.

Sekian Nukilan, Wallaahu a’lam.


 

[1] Shahih Muslim, no. 2270. Sunan Abi Dawud, no. 5025.

[2] Jenis kurma yang bagus, terkenal di kalangan penduduk Madinah, jenis kurma yang dikaitkan kepada seorang penduduk Madinah yang bernama Thab. (Yakni Nama Ibnu Thab dikaitkan dengan kedudukan yang tinggi dan baik – pent.).

[3] Shahih Al-Bukhari, no. 6190.

Catatan: bagi yang ingin mengetahui lebih luas mengenai permasalahan ini, maka lihatlah kitab yang sangat bagus dan penuh manfaat, sebuah risalah denga judul Tasmiyatul Mauluud Aadaab wa Ahkam, karya Asy-Syaikh Al-Fadhil Bakr bin ‘Abdillah Abu Zayd rahimahullah.

[4] Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata (di Kitab beliau, Fat-hul Baari 10/575), “Ad-Dawudi berkata, “Maksudnya adalah kesukaran dalam memperbaiki akhlak. Hanya cuma Sa’id Ibn Al-Musayyib membongkar hal ini kerana terdorong oleh rasa marah kerana Allah.” Manakala ulama yang lainnya menyatakan, “Hadis ini mengisyaratkan kekerasan akhlak mereka yang tersisa.” Ahli nashab meriwayatkan bahawa di antara anaknya ada yang memiliki akhlak buruk yang amat sukar untuk diperbaiki. Di riwayat Abu Dawud, no. 4956 (disebutkan): “Sesungguhnya orang tersebut berkata:

لا، السَّهْلُ يُوطَا ويُمْتَهَن

“Tidak, nama Sahl itu diinjak-injak dan dihinakan…”

[5] Shahih Al-Bukhari, no. 3513. Muslim, no. 2518, dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma secara marfu’.

[6] Shahih Muslim, no. 2135.

[7] Shahih Muslim, no. 2132, dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma secara marfu’.

[8] Shahih Al-Bukhari, no. 6287. Muslim, no. 2133, dari hadis Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhuma.

[9] Shahih Muslim, no. 1683.

[10] Lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 6194, 6195.

[11] Shahih Al-Bukhari, no. 6198. Muslim, no. 2145.

[12] Shahih Al-Bukhari, no. 1358. Muslim, no. 2658, dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu.

[13] Dari potongan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim di kitab Shahihnya, no. 1017, dari Jarir bin ‘Abdillah Al-Bajali.