Berpada-pada Ketika Makan Agar Tidak Sering Kekenyangan

Berpada-pada Ketika Makan
Agar Tidak Sering Kekenyangan 

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Dari hadis Al-Miqdam bin Ma’dikarib Al-Kindi radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مَلَأَ ابْنُ آدَمَ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، حَسْبُ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ ، فَثُلُثُ طَعَامٍ، وَثُلُثُ شَرَابٍ، وَثُلُثٌ لِنَفْسِهِ

“Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika dia tidak dapat mengelak, maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3 untuk nafasnya.” (Musnad Ahmad, no. 17186. Sunan At-Tirmidzi, no. 2380. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ، وَالْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعًى وَاحِدٍ

“Orang-orang kafir makan dengan tujuh perut, manakala orang-orang beriman makan dengan satu perut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5395. Shahih Muslim, no. 2060)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat judul bab:

“Bab: Orang-orang beriman makan dengan satu perut.”

Penjelasan Hadis:

Hadis ini menunjukkan celaan terhadap orang yang gemar berlebih-lebihan dalam soal makan, atau celaan terhadap orang yang kekenyangan dan suka memenuhkan perutnya dengan makanan.

Hadis ini juga turut mengkhabarkan kesan buruk terhadap agama dan tubuh. Kerana makan yang berlebihan mampu menimbulkan pelbagai penyakit dan akan menghalang seseorang dalam menegakkan hukum-hukum Allah.

Selain itu, hadis ini turut menjelaskan sifat kebiasaan orang kafir itu sinonim dengan banyak makan, sedang orang yang beriman itu berpada-pada dalam urusan makannya.

Hadis ini merupakan sebahagian dari petunjuk terbaik bagi seorang manusia dari sebaik-baik manusia bahawa ukuran makanan terbaik untuk diisi ke dalam perut adalah 1/3 penuh. Kapasiti ini mampu meringankan kerja-kerja tapak penghadaman, bermanfaat bagi tubuh, dan mampu menguatkan tubuh serta menjauhkannya dari pelbagai jenis penyakit.

Terdapat banyak hadis-hadis yang mencela seseorang yang sering makan hingga kekenyangan. Di antaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar dengan dua sanad. Salah satunya diriwayatkan dengan sanad marfu’ dan para perawi yang tsiqah, iaitu:

إِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا، أَطْوَلُهُمْ جُوعًا فِي الآخِرَةِ

“Sesungguhnya, kebanyakan manusia yang sering kekenyangan di dunia adalah yang banyak mengalami kelaparan di akhirat.” (Musnad Al-Bazzar, no. 2498)

Hadis ini turut diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmidzi dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

 تَجَشَّأَ رَجُلٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: كُفَّ عَنَّا جُشَاءَكَ فَإِنَّ أَكْثَرَهُمْ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ جُوعًا يَوْمَ القِيَامَةِ

“Seorang lelaki bersendawa di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu Nabi pun bersabda:

“Tahanlah dari kami sendawa-mu. Kerana sesungguhnya kebanyakan mereka yang kekenyangan di dunia adalah yang banyak mengalami kelaparan di hari kiamat.”.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2478)

 

Dan Al-Imam Ath-Thabrani meriwayatkan sebuah hadis dengan sanad yang hasan:

إن أَهْلَ الشَّبَعِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْجُوعِ فِي الآخِرَةِ

“Sesungguhnya orang-orang yang biasa kekenyangan semasa di dunia, mereka adalah orang-orang yang akan kelaparan di akhirat.” (Al-Mu’jam Al-Kabir oleh Ath-Thabrani, no. 11693. Dinilai hasan oleh Al-Mundziri, Al-Bushairi, dan Al-Albani)

Ath-Thabrani meriwayatkan dengan sanad yang jayyid bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat seorang lelaki yang memiliki perut yang sangat gemuk (boroi), kemudian beliau pun berkata sambil memberikan isyarat dengan jari-jarinya:

لَوْ كَانَ هَذَا فِي غَيْرِ هَذَا لَكَانَ خَيْرًا لَكَ

“Sekiranya perutmu tidak seboroi ini, tentulah lebih baik bagimu.” (Musnad Ahmad, no. 15868. Al-Mu’jam Al-Kabir oleh Ath-Thabrani, no. 2184, 2185. Dinilai dhaif oleh Al-Albani)

Kata Al-Haitsami, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ath-Thabrani dengan diringkaskan, dan para perawinya adalah perawi Ash-Shahih kecuali Abu Isra’il Al-Jusyami, dan beliau adalah tsiqah.” (Majma’ Az-Zawa’id, 8/415)

Di hadis yang lain dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّهُ لَيَأْتِي الرَّجُلُ العَظِيمُ السَّمِينُ يَوْمَ القِيَامَةِ، لاَ يَزِنُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ، وَقَالَ: اقْرَءُوا، {فَلاَ نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ وَزْنًا}

“Sesungguhnya pada hari kiamat akan datang seorang yang bertubuh amat gemuk, tetapi di sisi Allah timbangannya tidaklah lebih berat dari sayap seekor nyamuk. Dan beliau berkata, bacalah (firman Allah, maksudnya):

“Kami tidak mengadakan sebarang penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat.” (Surah al-Kahfi, 18: 105).” (Shahih Al-Bukhari, no. 4360. Muslim, 4991)

Dalam sebuah hadis yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كُلُوا وَاشْرَبُوا وَالبَسُوا وَتَصَدَّقُوا، فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلاَ مَخِيلَةٍ وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: ” كُلْ مَا شِئْتَ، وَالبَسْ مَا شِئْتَ، مَا أَخْطَأَتْكَ اثْنَتَانِ: سَرَفٌ، أَوْ مَخِيلَةٌ

“Makan, minum, berpakaian, dan bersedekahlah. Tetapi jangan boros (berlebih-lebihan) dan jangan bersikap sombong.” (Musnad Ahmad, no. 6695. An-Nasaa’i, no. 2559. Disebutkan juga oleh Al-Bukhari dalam Shahih beliau sebagaimana dikemukakan)

Dan berkata Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:

“Makanlah apa yang kalian inginkan dan berpakaianlah sebagaimana yang kalian inginkan, selagi mana tidak berlebih-kebihan atau sombong.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 24878)

Kemudian, di hadis yang lain lagi, sebagaimana diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam Al-Ausath:

سيكون رجال من أمتي يأكلون ألوان الطعام ويشربون ألوان الشراب ويلبسون ألوان الثياب ويتشدقون في الكلام فأولئك شرار أمتي

“Kelak akan muncul para lelaki dari kalangan umatku yang makan dengan pelbagai jenis makanan, minum dengan pelbagai jenis minuman, berpakaian dengan pelbagai jenis pakaian, dan gemar cakap besar. Mereka adalah seburuk-buruk umatku.” (Al-Mu’jam Al-Ausath oleh Ath-Thabrani, no. 2351. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Diriwayatkan bahawa Luqman Al-Hakim pernah berkata kepada anaknya:

“Wahai anakku, apabila perut telah penuh maka fikiran pun akan tertidur, tidak dapat mendengar hikmah (pelajaran), dan anggota badan pun terasa berat dari ibadah.”

Perut yang kosong dari makanan memiliki faedah-faedah dan perut yang penuh memiliki kesan buruk. Perut yang lapar dapat membersihkan hati, menghilangkan sifat buruk, dan meningkatkan kecerdasan serta wawasan.

Manakala perut yang sentiasa kekenyangan akan menjadikan otak menjadi lembab, menggelapkan hati, banyak menguap, dan otak sering berkhayal. Dan ini boleh menyebabkan tertutupnya fikiran sehingga hati menjadi berat ketika dibawa untuk berfikir.

Di antara faedah diperolehi hasil perut yang lapar adalah seperti melemahnya dorongan hawa nafsu untuk bermaksiat dan mengurangkan dorongan melakukan kerja-kerja yang buruk. Kerana di antara faktor yang memperkuatkan dorongan hawa nafsu dan syahwat itu adalah makanan.

Dengan meminimakan makan bererti dapat melemahkan dorongan hawa nafsu. Kehidupan yang sejahtera mampu dikecapi oleh seseorang apabila ia mampu mengawal nafsunya. Adapun hasil kehidupan yang buruk akan diperolehi oleh seseorang yang tidak mampu mengawal hawa nafsunya dengan betul.

Ketika perut lapar maka yang pertama sekali melemah adalah nafsu seks dan keinginan berbicara. Jika perut seseorang sedang lapar maka tidak ada dorongan nafsu dan keinginan untuk berbicara sehingga orang tersebut terhindar dari kesalahan lisan. Dalam keadaan seperti ini, nafsu seks juga akan melemah sehingga orang tersebut terhindar dari perbuatan-perbuatan yang terlarang.

Di antara faedah yang lain adalah berkurangnya keinginan untuk tidur. Kerana seseorang yang makan dan minum dalam jumlah yang banyak maka tidurnya juga akan semakin lama dan sudah tentu tidur yang banyak tersebut akan menimbulkan kerugian di dunia dan akhirat serta akan terluputlah banyak perkara agama dan dunia yang bermanfaat.

Di dalam kitab Al-Ihyaa’, Imam Al-Ghazali menyenaraikan 10 faedah hasil sedikit makan (tidak melampau dalam urusan makan) dan 10 kesan buruk akibat banyak makan. Oleh sebab itu, hendaklah seorang hamba tidak mengamalkan perkara tersebut (mengamalkan banyak makan) kerana akan mendorong dirinya bersikap rakus dan dia akan merasa sukar untuk meninggalkannya.

Oleh sebab itulah, dari awal perlu dilakukan pencegahan (atau penjagaan), kerana mencegah itu lebih mudah berbanding menghilangkan kesan buruk yang telah timbul. [Sekian]

Faedah, ulasan dan komentar ini dipetik dan diringkaskan dari Kitab Subul As-Salam oleh Al-Imam Ash-Shan’ani rahimahullah (4/311-312 – Al-Maktabah at-Taufiqiyyah).

Kurang makan Tubuh Menjadi Lemah

Tubuh manusia memang memerlukan makanan yang bermanfaat dalam kadar yang betul agar tubuh menjadi segar dan boleh bekerja serta beribadah. Tetapi apabila makan terlalu banyak atau berlebih-lebihan dengan kerap, maka kesan yang tidak baik lainnya pula yang mungkin muncul. Demikian juga apabila makan makanan yang tidak baik atau mengamalkan pengambilan makanan pada kadar yang tidak betul, maka ia juga mampu menjadi faktor penyebab kemudharatan dan penyakit.

Sebab itulah Rasulullah menyarankan melalui sabdanya di atas:

“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung).” Sunan At-Tirmidzi, no. 2380)

Tetapi apabila makan sehingga kenyang itu bukan termasuk amalan kebiasaan atau terjadi pada waktu-waktu yang jarang (kadang-kadang) dan tidak terus-menerus diamalkan, maka insyaAllah tidak mengapa, dan ia termasuk dalam hal yang mubah.

Hal ini antaranya sebagaimana disebutkan dalam Shahih Al-Bukhari bahawa Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu pernah minum susu sehingga beliau berkata:

“Demi Allah wahai Rasulullah, aku sudah tidak memiliki cara untuk terus meminumnya (kerana perut telah penuh).”

Dalam hadis Anas juga disebutkan bahawa para sahabat makan makanan hasil berkat doa Nabi sehingga kenyang. (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 3578, 5381, 5450, 6688)

Juga dalam hadis yang lain, ‘Abdurrahman bin Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu berkata:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلاَثِينَ وَمِائَةً، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَلْ مَعَ أَحَدٍ مِنْكُمْ طَعَامٌ» فَإِذَا مَعَ رَجُلٍ صَاعٌ مِنْ طَعَامٍ أَوْ نَحْوُهُ، فَعُجِنَ، ثُمَّ جَاءَ رَجُلٌ مُشْرِكٌ مُشْعَانٌّ طَوِيلٌ، بِغَنَمٍ يَسُوقُهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَبَيْعٌ أَمْ عَطِيَّةٌ» أَوْ قَالَ: «هِبَةٌ» قَالَ: لاَ، بَلْ بَيْعٌ، قَالَ: فَاشْتَرَى مِنْهُ شَاةً فَصُنِعَتْ، فَأَمَرَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَوَادِ البَطْنِ يُشْوَى، وَايْمُ اللَّهِ، مَا مِنَ الثَّلاَثِينَ وَمِائَةٍ إِلَّا قَدْ حَزَّ لَهُ حُزَّةً مِنْ سَوَادِ بَطْنِهَا، إِنْ كَانَ شَاهِدًا أَعْطَاهَا إِيَّاهُ، وَإِنْ كَانَ غَائِبًا خَبَأَهَا لَهُ، ثُمَّ جَعَلَ فِيهَا قَصْعَتَيْنِ، فَأَكَلْنَا أَجْمَعُونَ وَشَبِعْنَا، وَفَضَلَ فِي القَصْعَتَيْنِ، فَحَمَلْتُهُ عَلَى البَعِيرِ، أَوْ كَمَا قَالَ

“Kami seramai seratus tiga puluh orang pernah bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (dalam perjalanan), lalu beliau bersabda:

“Adakah di antara kalian yang memiliki makanan? Jika ada sebanyak satu sha’ makanan atau sejenisnya, maka buatlah adunan.” Kemudian datang seorang musyrik yang berambut panjang lagi kusut-masai membawa kambing yang digembalainya. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:

“Adakah kambing ini untuk dijual atau untuk diberi percuma?” Atau Beliau berkata dengan perkataan: “Atau sebagai hadiah?” Orang tersebut pun menjawab, “Tidak, tapi untuk dijual.”

Maka beliau pun membeli seekor darinya. Lalu kambing tersebut pun dimasak dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan agar hatinya dibahagi-bahagikan. Demi Allah, tidak ada daripada kami yang berjumlah seratus tiga puluh orang melainkan telah diberikan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam potongan jantung dari isi perut kambing tersebut. Jika ada yang hadir di situ, pasti diberi, dan jika tidak tidak ada, disimpan untuknya. Maka ia pun dibuat menjadi dua bekas (atau pinggan), lalu mereka pun makan semuanya dan kami merasa kenyang, dan masih tersisa dua bekas lalu kami bawa di atas unta, atau sebagaimana dikatakannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5382)

Al-Imam Al-Bukhari membuat bab bagi hadis ini dengan judul:

“Bab: Sesiapa Makan Hingga Kenyang.”

Al-Imam Ibnu Baththal mengatakan sebagaimana disebutkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H):

جواز الشبع وأن تركه أحيانا أفضل

“Hadis-hadis ini menunjukkan dibolehkan makan hingga kenyang walaupun adakalanya tidak kenyang itu lebih afdhal.” (Fath Al-Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, 9/528)

Ath-Thabari berkata:

غير أن الشبع وأن كان مباحا فإن له حدا ينتهي إليه وما زاد على ذلك فهو سرف والمطلق منه ما أعان الأكل على طاعة ربه ولم يشغله ثقله عن أداء ما وجب عليه

“Walaupun kenyang itu mubah, tetapi ia memiliki batas dan tidak boleh melampau dari itu. Kenyang yang dibenarkan secara umum adalah yang dapat membantu seseorang untuk melakukan ketaatan kepada Rabb-nya dan beratnya makan tidak menjadikannya lalai dari menunaikan kewajibannya.” (Fath Al-Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, 9/528)

Al-Qurthubi berkata dalam Al-Mufhim ketika menyebutkan kisah Abu Haitsam, ketika Nabi menyembelihkan seeokor kambing untuknya dan untuk dua orang sahabatnya, mereka pun makan sehingga kenyang. Maka kata Al-Qurthubi:

“Pada kisah ini terdapat dalil dibolehkan kenyang. Adapun hadis-hadis yang melarang dari kenyang, ia dapat difahami bahawa kenyang yang dilarang tersebut adalah yang memberatkan perut dan menghalang seseorang dari melaksanakan ibadah, melahirkan perasaan sombong, angkuh, asyik tidur, dan menjadi malas. Kenyang yang dibenci ini boleh menjadi haram bersesuaian dengan kesan buruk yang ditimbulkannya.” (Fath Al-Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, 9/528)

Menurut Al-Imam Al-Ghazali rahimahullah (Wafat: 505H):

“Peringkat-peringkat kenyang itu ada beberapa bahagian.

Pertama, kenyang yang menjadi penopang kehidupan.

Kedua, kenyang yang bertujuan agar mampu berpuasa dan mendirikan solat.

Ketiga, kenyang supaya boleh melaksanakan amalan-amalan sunnah.

Keempat, kenyang yang menjadikannya mampu bekerja (mencari nafqah).

Kelima, kenyang yang cukup-cukup memenuhi sepertiga perut, dan ini diharuskan (dibolehkan).

Keenam, kenyang yang melebihi 1/3 perut sehingga menyebabkan badan menjadi berat dan banyak tidur. Ini merupakan hal yang dibenci.

Ketujuh, kenyang yang melebihi 1/3 perut sehingga memudharatkannya, dan ini adalah kenyang yang dilarang dan ianya haram.” (Fath Al-Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, 9/528-529)

Dalam Kitab Thibb An-Nabawi karya Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H), dijelaskan bahawa pengambilan makanan perlulah pada kadar yang betul. Di antara sebab-sebab timbulnya penyakit adalah:

1, Mengambil makanan dengan belebihan, pelbagai aneka jenis, dan dari jenis yang sukar untuk dihadam oleh sistem penghadaman.

2, Mengambil makanan yang banyak sebelum makanan yang dimakan di waktu pertama (atau sebelumnya) sempat dihadam atau dicernakan sistem penghadaman.

3, Makan sehingga melampaui keperluan tubuh.

Kata Al-Imam Ibnul Qayyim lagi:

“Jika seseorang itu mengambil makanan pada kadar yang betul, hanya makan bersesuaian kuantiti diperlukan, serta makan dengan kualiti apa yang dimakan itu terjaga pada kadar yang betul, maka tubuh akan mendapat manfaat yang banyak dari hasil makanan tersebut.”

Kata beliau lagi:

“Seseorang itu cukup dengan beberapa suap makanan yang dapat menegakkan tulang sulbinya sehingga kekuatannya tidak berkurang dan badannya tidak lemah. Tetapi jika lebih dari itu, hendaklah dia makan paling banyak pun tidak lebih dari 1/3 perutnya. Manakala 1/3 lainnya dibiarkan untuk minuman dan pernafasan. Ini adalah cara makan yang paling bermanfaat untuk badan dan jantung. Sekiranya perut seseorang penuh dengan makanan, maka tempat untuk minuman pun menjadi sempit. Jika tempat tersebut diisi dengan minuman, maka tempat untuk pernafasan menjadi sempit dan ia akan mengalami kepayahan. Ini juga akan menjadi faktor terganggunya fungsi tubuh dan jantung sekaligus menyebabkan mudharat (atau bahaya).

Kekenyangan yang melampau akan mengurangkan daya tubuh walaupun ia mungkin menaikkan kapasiti tubuh badan. Kekuatan tubuh badan yang betul itu sebenarnya terbina hasil dari khasiat (atau gizi) yang diserapnya (dari makanan yang berkualiti), bukan dari banyaknya makan (secara umum).” (Thibb An-Nabawi, m/s. 18-19)

Wallahu a’lam