Berbuat Baik Terhadap Anjing Yang Kesusahan

Berbuat Baik Terhadap Anjing Yang Kesusahan

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Dari hadis Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:berbuat baik terhadap haiwan

أَنَّ رَجُلًا رَأَى كَلْبًا يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ العَطَشِ، فَأَخَذَ الرَّجُلُ خُفَّهُ، فَجَعَلَ يَغْرِفُ لَهُ بِهِ حَتَّى أَرْوَاهُ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ، فَأَدْخَلَهُ الجَنَّةَ

“Bahawa pernah seorang lelaki terlihat seekor anjing sedang memakan tanah basah kerana kehausan, lalu lelaki tersebut mengambil khufnya (yakni kasut yang terbuat dari kulit), beliau pun menceduk air dengannya lalu memberikannya kepada anjing tersebut (untuk minum). Allah bersyukur (berterima kasih) kepadanya lalu dia dimasukkan ke dalam Syurga.” (Shahih Al-Bukhari, no. 173. Muslim, no. 2244)

Manakala dalam lafaz Muslim:

بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ، فَوَجَدَ بِئْرًا، فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ، ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ، فَقَالَ الرَّجُلُ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبَ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِي كَانَ بَلَغَ مِنِّي، فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلَأَ خُفَّهُ مَاءً، ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ حَتَّى رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَإِنَّ لَنَا فِي هَذِهِ الْبَهَائِمِ لَأَجْرًا؟ فَقَالَ: فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

“Pernah suatu ketika dahulu ada seorang lelaki sedang berjalan melalui suatu jalan, lalu dia merasa kehausan yang amat. Lalu dia menemukan sebuah telaga (atau kolam), maka dia pun turun ke telaga tersebut untuk minum. Setelah keluar dari telaga, dia mendapati ada seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Lelaki itu berkata (dalam hatinya), “Alangkah hausnya anjing ini, sepertimana yang baru aku alami.” Lalu dia pun turun semula ke telaga tadi, kemudian dia menceduk air dengan khuffnya, dibawanya ke atas, dan dia berikan minum kepada anjing tersebut. Maka Allah bersyukur (berterima kasih) kepadanya lalu mengampuninya.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah pada haiwan-haiwan buas seperti itu ada pahala?” Maka jawab Rasulullah:

“Pada setiap hati yang hidup itu ada pahala.” (Shahih Al-Bukhari, 2363. Muslim, no. 2244)

Dari hadis Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

بَيْنَمَا كَلْبٌ يُطِيفُ بِرَكِيَّةٍ، كَادَ يَقْتُلُهُ العَطَشُ، إِذْ رَأَتْهُ بَغِيٌّ مِنْ بَغَايَا بَنِي إِسْرَائِيلَ، فَنَزَعَتْ مُوقَهَا فَسَقَتْهُ فَغُفِرَ لَهَا بِهِ

“Pernah seekor anjing mundar-mandir mengelilingi sebuah telaga dan ia hampir mati kerana kehausan, tiba-tiba seorang pelacur dari kalangan Bani Israa’il melihatnya. Lalu dia pun menanggalkan kasutnya dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka Allah mengampuninya dengan sebab itu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3467. Muslim, no. 2245)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:

قوله صلى الله عليه و سلم ( فى كل كبد رطبة أجر ) معناه فى الاحسان إلى كل حيوان حى بسقيه ونحوه أجر وسمى الحى ذا كبد رطبة لأن الميت يجف جسمه وكبده ففى هذا الحديث الحث على الاحسان إلى الحيوان المحترم وهو ما لا يؤمر بقتله فأما المأمور بقتله فيمتثل أمر الشرع فى قتله والمأمور بقتله كالكافر الحربى والمرتد والكلب العقور والفواسق الخمس المذكورات فى الحديث وما فى معناهن وأما المحترم فيحصل الثواب بسقيه والاحسان إليه أيضا باطعامه وغيره سواء كان مملوكا أو مباحا وسواء كان مملوكا له أو لغيره والله أعلم

“Perkataan Nabi, “Pada setiap hati yang hidup itu ada pahala.” Maknanya adalah bersikap ihsan pada setiap haiwan yang hidup dengan memberinya minum (jika ia memerlukan – pent.) dan yang seumpamanya yang padanya terdapat pahala (ganjaran kebaikan). Orang yang hidup dinamakan sebagai “كَبِدٍ رَطْبَةٍ” (hati yang hidup/basah) kerana orang telah meninggal dunia, hati dan tubuhnya telah pun kering.

Pada hadis tersebut terdapat anjuran untuk berbuat baik kepada makhluk hidup yang dimuliakan, iaitu yang tidak diperintahkan untuk dibunuh. Adapun makhluk hidup yang diperintahkan untuk dibunuh, maka harus diterapkan perintah syari’at untuk membunuhnya. Di antara makhluk hidup yang diperintahkan untuk dibunuh adalah seperti kafir harbi (yakni dengan ketetapan pemerintah atau peperangan yang syar’i – pent.), orang yang murtad, anjing yang berbahaya (atau liar), dan lima haiwan fawaasiq yang disebutkan di dalam hadis (yakni tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing liar, serta cicak dalam satu riwayat – pent.), serta haiwan-haiwan yang semakna dengannya.

Adapun terhadap makhluk hidup yang punya hak, maka bersikap ihsan (berbuat baik) kepadanya seperti dengan memberi makan (atau minum), dan yang selain itu yang seumpama sama ada dia seorang yang merdeka mahupun seorang hamba atau selainnya, maka orang yang bersikap ihsan ini mendapat pahala (ganjaran kebaikan). Wallahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 14/241)

Demikianlah, anjing secara umumnya adalah sama sebagaimana haiwan-haiwan yang lainnya cuma padanya ada beberapa perincian syari’at yang harus difahami dan dipatuhi. Maka hendaklah bersikap dengan sikap ihsan sebagaimana terhadap haiwan-haiwan yang lainnya selari dengan tuntunan Islam. Namun tidak pula boleh menunjukkan sikap suka dan redha apabila ada dari kalangan kaum muslimin mahupun orang-orang kafir yang memelihara anjing bukan pada tempatnya. Tidak pula boleh meraikan amalan dan acara berkaitan anjing yang diletakkan bukan pada tempatnya. Apatah lagi menjadikannya sebagai haiwan kesayangan yang dipeluk-cium serta dibelai di dalam rumah yang mana ini semua merupakan tradisi orang-orang kafir dan telah jelas larangannya berdasarkan nash-nash agama.

Diadzab Kerana Menyiksa Haiwan

Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَعُرِضَتْ عَلَيَّ النَّارُ، فَرَأَيْتُ فِيهَا امْرَأَةً مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ تُعَذَّبُ فِي هِرَّةٍ لَهَا، رَبَطَتْهَا فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ

“Dan telah ditampakkan kepadaku Neraka, lalu aku melihat di dalamnya seorang wanita dari kalangan Bani Isra’il yang sedang diadzab disebabkan kucing yang dia tambat/kurung, lalu tidak diberinya makan dan tidak pula dilepaskan agar kucing tersebut boleh makan dari jenis haiwan-haiwan kecil yang melata di bumi.” (Shahih Muslim, no. 904)

Dalam riwayat yang lain,

وَحَتَّى رَأَيْتُ فِيهَا صَاحِبَةَ الْهِرَّةِ الَّتِي رَبَطَتْهَا فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا

“Dan sampailah aku juga melihat di dalamnya (Neraka) ada seorang wanita pemilik kucing. Dia menambat/mengurung kucing itu tetapi tidak diberinya makan, dan tidak pula dilepaskan agar kucing tersebut boleh mencari makanannya sendiri dari jenis haiwan-haiwan kecil yang melata di bumi, sampailah akhirnya kucing itu pun mati kelaparan.” (Shahih Muslim, no. 904)

Wallahu a’lam.

Baca artikel lengkap di, https://ilmusunnah.com/?p=11567