Beginilah Seharusnya Merapatkan Saf Ketika Solat Berjama’ah

Beginilah Seharusnya Merapatkan Saf Ketika Solat Berjama’ah

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Sebaik-baik Saf Solat Dan Keutamaannya

Jabir bin Samirah berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَلَا تَصُفُّونَ كَمَا تَصُفُّ الْمَلَائِكَةُ عِنْدَ رَبِّهَا؟ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ تَصُفُّ الْمَلَائِكَةُ عِنْدَ رَبِّهَا؟ قَالَ: يُتِمُّونَ الصُّفُوفَ الْأُوَلَ وَيَتَرَاصُّونَ فِي الصَّفِّ

“Kenapa kamu semua tidak berbaris sebagaimana para malaikat berbaris di hadapan Rabb mereka.” Maka kami bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah para malaikat berbaris di hadapan Rabbnya?” Beliau menjawab, “Mereka menyempurnakan barisan yang depan dan saling merapat di dalam saf.” (Shahih Muslim, no. 430)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لاَسْتَهَمُوا، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي التَّهْجِيرِ لاَسْتَبَقُوا إِلَيْهِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي العَتَمَةِ وَالصُّبْحِ، لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

“Kalaulah orang-orang tahu apa yang terdapat pada seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk meraihnya melainkan dengan cara melakukan undian, nescaya mereka akan mengadakannya. Dan kalaulah mereka tahu apa yang terdapat dalam segera menuju solat, nescaya mereka akan berlumba-lumba. Dan kalaulah mereka mengetahui apa yang terdapat pada solat Isya’ dan Subuh, nescaya mereka akan mendatangi keduanya walaupun terpaksa dengan merangkak.” (Shahih Al-Bukhari, Bab: Saf yang awal, no. 721. Shahih Muslim, no. 437)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ تَخْتَلِفَ صُفُوفُكُمْ فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ، إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الصُّفُوفِ الأُوَلِ

“Jangan sampai saf kamu berselisih sehingga hati-hati kamu pun nanti akan berselisih. Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas saf yang awal.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 1552)

Dalam hadis Ubay bin Ka’ab radhiyallahu ‘anhu:

وَإِنَّ الصَّفَّ الْأَوَّلَ عَلَى مِثْلِ صَفِّ الْمَلَائِكَةِ

“Dan sesungguhnya saf yang awal (pertama) itu seperti saf para malaikat.” (Sunah Abi Dawud, no. 554)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ سَدَّ فُرْجَةً فِي صَفٍّ رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً و بَنَى لَهُ بِهَا بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

“Sesiapa yang memenuhkan saf, Allah mengangkat darjatnya dengannya dan membina untuknya rumah di Syurga.” (Majma’ Az-Zawa’id, no. 2502)

Keutamaan Orang di Saf Sebelah Kanan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى مَيَامِنِ الصُّفُوفِ

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang berada di saf sebelah kanan.” (Sunan Abi Dawud, no. 676. Dinilai hasan oleh Ibnu Hajar dan Al-Albani)

Menyempurnakan Saf Yang Hadapan Dahulu

Dari hadis ‘Abdullah bin Mas’oud, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

لِيَلِيَنِّي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، وَلَا تَخْتَلِفُوا فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ، وَإِيَّاكُمْ وَهَيْشَاتِ الأَسْوَاقِ

“Hendaklah berdiri mendekat di belakang aku orang-orang yang sudah baligh dan berakal, kemudian mereka yang berikutnya, kemudian mereka yang berikutnya. Dan janganlah kalian berselisih atau Allah akan jadikan hati-hati kalian saling berselisih. Jaga-jagalah kalian dari hingar-bingar seperti pasar.” (Shahih Muslim, no. 432. Sunan At-Tirmidzi, no. 228)

Dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

تَقَدَّمُوا فَأْتَمُّوا بِي، وَلْيَأْتَمَّ بِكُمْ مَنْ بَعْدَكُمْ، لَا يَزَالُ قَوْمٌ يَتَأَخَّرُونَ حَتَّى يُؤَخِّرَهُمُ اللهُ

“Majulah ke depan (jadilah yang terawal di saf depan), ikutilah aku, dan mengikutilah di belakang kalian siapa yang datang setelah kalian. Suatu kaum yang sentiasa terakhir (yakni yang sering lewat dan suka mengambil saf belakang) sampailah Allah pun akan mengakhirkannya.” (Shahih Muslim, no. 438)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

أي عن الصفوف الأول حتى يؤخرهم الله تعالى عن رحمته أو عظيم فضله ورفع المنزلة وعن العلم ونحو ذلك

“Yakni sering mengakhirkan (atau melambatkan) dari memenuhkan saf yang awal, sehingga Allah Ta’ala pun mengakhirkannya dari rahmat-Nya, atau dari keutamaan-Nya yang besar, atau dari kedudukan yang tinggi, dan ilmu kepada mereka, serta yang seumpama tersebut. (lihat: Syarh Shahih Muslim,  4/159)

Dari hadis Anas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَتِمُّوا الصَّفَّ الْأَوَّلَ، ثُمَّ الَّذِي يَلِيهِ، فَإِنْ كَانَ نَقْصٌ فَلْيَكُنْ فِي الصَّفِّ الْمُؤَخَّرِ

“Sempurnakanlah saf pertama, kemudian saf berikutnya. Jika kurang (saf pertama telah penuh), maka ambillah saf yang belakang.” (Musnad Ahmad, no. 12352. Al-Mujtaba An-Nasaa’i, Bab: Saf Yang Akhir, no. 818)

Dan saf bermula dari tengah, sebagaimana hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَسِّطُوا الْإِمَامَ وَسُدُّوا الْخَلَلَ

“Tempatkanlah imam di posisi tengah dan tutuplah celah-celah saf.” (Sunan Abi Dawud, no. 681)

Asy-Syaikh ‘Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah menyatakan, “Barisan itu dimulai dari tengah di dekat posisi imam. Barisan sebelah kanan lebih afdhal daripada barisan sebelah kiri. Yang wajib dilakukan adalah tidak dimulakan membuat barisan baru sehinggalah barisan pertama sempurna. Tidak ada masalah jika orang-orang yang berada di sebelah kanan barisan lebih banyak dan tidak perlu dilakukan penyeimbangan kerana perkara tersebut bertentangan dengan sunnah. Hanya saja, tidak diperbolehkan membuat barisan kedua sehingga barisan pertama sempurna dan tidak boleh juga membuat barisan ketiga hingga barisan kedua sempurna. Begitu jugalah barisan yang seterusnya.” (Fatawa Ibni Baaz, 11/205)

Posisi Makmum di Dalam Solat

[1] Kedudukan Saf Secara Umum Bagi Lelaki Dan Wanita.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا، وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا، وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

“Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah yang paling hadapan dan seburuk-buruknya adalah yang paling belakang. Sebaik-baik saf wanita adalah yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah yang paling hadapan.” (Shahih Muslim, no. 440)

1 – Imam (Seorang di depan), 2 – Makmum Lelaki (Belakang Imam), 3 – Makmum Wanita (Di saf belakang)

[2] Apabila solat berjamaah mengandungi dua orang lelaki, iaitu seorang imam dan seorang makmum.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan sebagaimana dalam mazhab Asy-Syafi’i:

السنة أن يقف المأموم الواحد عن يمين الامام رجلا كان أو صبيا قال اصحابنا ويستحب ان يتأخر عن مساواة الامام قليلا فان خالف ووقف عن يساره أو خلفه استحب له ان يتحول الي يمينه ويحترز عن افعال تبطل الصلاة فان لم يتحول استحب للامام ان يحوله لحديث ابن عباس فان استمر علي اليسار أو خلفه كره وصحت صلاته عندنا بالاتفاق (الثانية) إذا حضر امام ومامومان تقدم الامام واصطفا خلفه سوا كانا رجلين أو صبيين أو رجلا وصبيا: هذا مذهبنا ومذهب العلماء كافة الا عبد الله بن مسعود وصاحبيه علقمة والاسود فانهم قالوا يكون الامام والمأمومان كلهم صفا واحدا ثبت هذا عن ابن مسعود في صحيح مسلم دليلنا حديث جابر السابق قال اصحابنا فان حضر امام وماموم واحرم عن يمينه ثم جاء آخر احرم عن يساره ثم ان كان قدام الامام سعة وليس وراء المأمومين سعة تقدم الامام وان كان وراءهما سعة وليست قدامه تأخرا وان كان قدامه سعة ووراءهما سعة تقدم أو تأخرا

“Yang disunnahkan, jika hanya seorang makmum, maka dia berdiri di posisi kanan imam, sama ada dia makmum dewasa mahupun kanak-kanak. Para sahabat kami (dari kalangan ulama mazhab Asy-Syafi’i) menjelaskan, dianjurkan agar sedikit mundur dari posisi imam agar tidak sejajar.

Apabila menyalahi ketentuan ini, dan makmum berdiri di sebelah kiri atau di belakang, maka dianjurkan bagi makmum agar beralih ke sebelah kanan imam dan harus menghindari dari gerakan-gerakan yang membatalkan solat (yakni mengelak dari menambah gerakan-gerakan yang tidak diperlukan ketika melakukan proses peralihan).

Namun, jika makmum tetap tidak mengubah kepada posisi yang betul (ke sebelah kanan imam), adalah dianjurkan bagi imam agar mengalihkan si makmum ke posisi yang sepatutnya berdasarkan hadis Ibn ‘Abbas. Tetapi jika makmum seorang diri terus tetap tidak berganjak dengan berdiri di posisi kiri imam atau di belakangnya, hukumnya adalah makruh (dibenci), namun solatnya tetap sah menurut kami.

Keduanya, apabila datang imam dan dua makmum (untuk solat berjama’ah), hendaklah imam maju ke depan manakala dua makmum hendaklah membuat saf di belakangnya sama ada dia lelaki dewasa mahupun kanak-kanak, atau seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak. Inilah mazhab kami dan juga mazhab ulama secara keseluruhannya kecuali ‘Abdullah bin Mas’oud dan kedua muridnya; Alqamah dan Al-Aswad, di mana mereka berpendapat imam dan makmum semuanya berada pada posisi satu saf yang sama. Ini diriwayatkan dari Ibn Mas’oud di Shahih Muslim. Adapun dalil kami adalah hadis dari Jaabir.

Sahabat-sahabat kami (dari kalangan mazhab Asy-Syafi’i) berkata, apabila hadir seorang imam dan seorang makmum, lalu mereka memulai solat di mana makmum di sebelah kanan imam, lalu kemudian ada makmum yang lain (yang masbuk) datang, maka hendaklah dia berdiri di sebelah kiri imam, kemudian jika didapati di depan imam masih terdapat ruang dan di belakang tiada ruang yang memadai, maka hendaklah imam yang maju ke depan, dan apabila di belakang masih terdapat ruang yang memadai, maka hendaklah kedua makmum tersebut mundur (untuk membuat saf di belakang imam bersama-sama). Dan apabila di depan imam mahupun di belakang makmum terdapat ruang yang memadai, maka imam boleh maju atau makmum yang mundur.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 4/292)

Beberapa faedah dapat diambil dari nash Al-Imam An-Nawawi rahimahullah tersebut, di antaranya:

1, Pada apa yang dikemukakan oleh Al-Imam An-Nawawi ini, beliau berpendapat bahawa kedudukan makmum jika hanya solat berdua bersama imam, maka makmum hendaklah mengambil posisi di sebelah kanan imam dengan sedikit mundur agar tidak sejajar, kerana ditakuti akan melampaui saf imam. Namun, ada pendapat yang lain yang menjelaskan posisinya adalah sejajar antara imam dan makmum jika mereka solat berdua sebagaimana akan kami kemukakan di bawah.

2, Keduanya, jika datang seorang makmum yang lain (yakni makmum yang kedua atau ketiga yang masbuk), maka hendaklah dia memulakan di sebelah kiri imam, lalu kemudian mereka beranjak untuk membuat saf yang betul di belakang bersama-sama, atau sekiranya tiada ruang untuk makmum di belakang, maka hendaklah imam yang beranjak maju ke depan untuk memberi ruang agar makmum dapat membuat saf bersama-sama di belakang.

3, Dari pendapat Al-Imam An-Nawawi tersebut juga terkandung faedah bahawa saf kanak-kanak adalah bersama saf orang-orang dewasa yang lainnya dalam satu saf. Yakni kanak-kanak tidak diasingkan ke saf belakang berbeza dari saf orang-orang dewasa sebagaimana yang difahami oleh sebahagian mayarakat kita hari ini.

Pendapat lain tentang susunan atau kedudukan saf solat seorang makmum bersama seorang imam harus sejajar dalam satu saf, berikut kami nukilkan dalil-dalilnya.

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat satu bab dalam kitab Shahihnya dengan judul:

بَابُ: يَقُوْمُ عَنْ يَمِيْنِ الإمامِ بِحِذائِهِ سَواء إِذا كانا اثْنَيْنِ

“Bab: Makmum berdiri rapat lagi sejajar di sisi kanan imam jika mereka hanya solat berdua.”

Kemudian beliau meletakkan hadis ini dalam bab tersebut. ‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

بِتُّ فِي بَيْتِ خَالَتِي مَيْمُونَةَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ العِشَاءَ، ثُمَّ جَاءَ، فَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ، ثُمَّ نَامَ، ثُمَّ قَامَ، فَجِئْتُ، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ، فَصَلَّى خَمْسَ رَكَعَاتٍ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ نَامَ حَتَّى سَمِعْتُ غَطِيطَهُ – أَوْ قَالَ: خَطِيطَهُ – ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلاَةِ

“Aku pernah menginap di rumah makcikku, Maimunah (isteri Rasulullah). Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pergi menunaikan solat ‘isya kemudian kembali ke rumah dan solat sunnah empat rakaat, kemudian beliau tidur.

Ketika tengah malam beliau bangun dan solat malam. Aku pun datang untuk turut serta solat bersama-sama beliau dan berdiri di sisi kiri beliau. Kemudian beliau menarikku ke sebelah kanannya. Lalu beliau solat lima rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian tidur sehingga aku mendengar suara dengkuran (atau nafas) beliau. Kemudian beliau bangun keluar untuk solat (subuh).” (Shahih Al-Bukhari, no. 697)

Dari hadis ini terkandung faedah bahawa apabila seorang makmum hendak masuk berjama’ah (menjadi makmum) kepada seorang imam yang sedang solat sendirian, maka cukup baginya mengambil posisi di sebelah kanan imam lalu dia langsung takbir memulakan solatnya (sebagai makmum). Ini sekaligus menjadi bantahan terhadap amalan dalam kalangan masyarakat kita yang menepuk bahu imam apabila hendak menjadi makmum kepada seorang imam yang sedang solat.

Pada hadis ini juga terkandung dalil yang menjelaskan bolehnya seorang imam mengubah posisi saf seorang makmum yang tersilap dalam mengambil posisi ketika sedang solat sebagaimana telah dikemukakan oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah.

Dalam riwayat yang lain – Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu ‘anhuma berkata:

بِتُّ عِنْدَ خَالَتِي فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ فَأَخَذَ بِرَأْسِي فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ

“Aku pernah tidur di rumah makcikku, lalu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bangun mengerjakan solat malam. Lalu aku pun turut serta solat bersamanya dan berdiri di sebelah kirinya. Kemudian beliau menarik kepalaku dan memindahkan aku ke sebelah kanannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 699)

Dalam hadis yang lain, dari hadis Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِ وَبِأُمِّهِ قَالَ فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ وَأَقَامَ الْمَرْأَةَ خَلْفَنَا

“Sesungguhnya Rasululah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam solat dengannya (Anas) dan ibunya. Anas berkata, “Baginda meletakkan aku di sebelah kanannya dan wanita (ibunya) di belakang kami.” (Shahih Muslim, no. 660)

Pada hadis-hadis ini terkandung faedah bahawa solat seorang makmum lelaki adalah di sebelah kanan imam pada posisi sejajar, manakala posisi seorang makmum wanita adalah di belakang mereka berdua.

Kemudian dalam Kitab Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menguatkan apa yang ditegaskan oleh Al-Imam Al-Bukhari tersebut dengan beberapa atsar sahabat dan tabi’in. Di antaranya adalah sebagaimana berikut:

1, ‘Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:

دَخَلْتُ عَلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ بِالْهَاجِرَةِ، فَوَجَدْتُهُ يُسَبِّحُ. فَقُمْتُ وَرَاءَهُ. فَقَرَّبَنِي حَتَّى جَعَلَنِي حِذَاءَهُ عَنْ يَمِينِهِ. فَلَمَّا جَاءَ يَرْفَا، تَأَخَّرْتُ. فَصَفَفْنَا وَرَاءَهُ.

“Aku masuk mengunjungi ‘Umar di waktu matahari sedang naik (waktu pagi/dhuha), aku dapati beliau sedang solat sunnah, maka aku pun berdiri di belakangnya (sebagai makmum). Lalu beliau menarikku sampai aku sejajar dengan bahunya (atau buku lalinya) di sebelah kanan beliau. Lalu datanglah Yarfa’ (pembantu ‘Umar – pent.), aku pun mundur dan membuat saf di belakang beliau (yakni di belakang ‘Umar radhiyallahu ‘anhu).” (Muwaththa’ Imam Malik, no. 532. Fathul Bari, 2/191)

2, Ibnu Juraij berkata:

قلت لعطاء الرجل يصلي مع الرجل أين يكون منه قال إلى شقه الأيمن قلت أيحاذى به حتى يصف معه لا يفوت أحدهما الآخر قال نعم قلت أتحب أن يساويه حتى لا تكون بينهما فرجه قال نعم

“Aku bertanya kepada Atha’, jika seorang lelaki solat bersama seorang lelaki, maka di mana ia perlu berdiri?” Jawab Atha’:

“Di sisi kanannya.” Aku bertanya lagi, “Adakah ia berdiri sejajar dengan imam sehingga posisi mereka seperti satu saf, tidak ada yang lebih hadapan atau terkebelakang?” Atha’ jawab:

“Benar.” Aku bertanya lagi, “Adakah engkau suka kalau ia berdiri rapat sehingga tidak ada lagi celah di antara keduanya?” Atha’ menjawab, “Ya.” (Mushannaf ‘Abdurrozzaq, no. 3870. Fathul Bari, 2/191)

1 – Imam (Kiri), 2 – Makmum (Kanan)

[3] Solat dengan dua orang makmum (atau lebih) bersama imam.

Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu berkata:

ثُمَّ جِئْتُ حَتَّى قُمْتُ عَنْ يَسَارِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَخَذَ بِيَدِي فَأَدَارَنِي حَتَّى أَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ، ثُمَّ جَاءَ جَبَّارُ بْنُ صَخْرٍ فَتَوَضَّأَ، ثُمَّ جَاءَ فَقَامَ عَنْ يَسَارِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَخَذَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدَيْنَا جَمِيعًا، فَدَفَعَنَا حَتَّى أَقَامَنَا خَلْفَهُ

“…(Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdiri untuk menunaikan solat), aku pun datang dan berdiri di sebelah kiri beliau. Rasulullah meraih tanganku lalu memindahkanku ke sebelah kanan beliau. Kemudian datang pula Jabbar B. Shakhr, beliau berwudhu’ lalu masuk ke dalam saf mengikuti solat kami, beliau berdiri di sebelah sisi kiri Rasulullah. Lalu Rasulullah pun meraih tangan kami berdua lalu memindahkan kami ke belakang beliau…” (Shahih Muslim, no. 3010)

Jika tiga orang makmum atau lebih solat bersama imam, maka mereka berdiri di belakang imam menurut kesepakatan para ulama. Hadis-hadis yang menyebutkan tentang masalah ini terlalu banyak untuk disebutkan satu persatu. Makmum tidak boleh berada di depan imam, kerana tidak sah bermakmum bersama seorang imam kecuali jika imam tersebut berada di depan mereka. Jumhur ulama berpendapat, sesiapa berada di depan imam maka batal solatnya. Imam Malik, Ishaq, Abu Tsaur dan Daud membolehkannya, jika tempat terlalu sempit. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shahih Fiqhus Sunnah, 1/529 – Matktabah at-Taufiqiyyah)

Hadis yang disebutkan ini dan hadis-hadis yang seumpamanya yang disebutkan pada bahagian sebelumnya, ia turut menunjukkan dibolehkan perbuatan menarik orang-orang yang berada di sebelah kanan atau kiri saf yang sama jika bertujuan untuk membetulkan atau merapatkan saf yang renggang di ketika dalam keadaan sedang solat.

[4] Solat seorang wanita bersama imam lelaki.

Anas radhiyallahu ‘anhu berkata:

صَلَّيْتُ أَنَا وَيَتِيمٌ، فِي بَيْتِنَا خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأُمِّي أُمُّ سُلَيْمٍ خَلْفَنَا

“Aku solat di rumahku bersama seorang anak yatim di belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan ibuku (Ummu Sulaim) di belakang kami.” (Shahih Al-Bukhari, Bab: Wanita Menjadi Makmum Seorang Diri Di Dalam Saf, no. 727)

Jika seorang lelaki dan seorang wanita solat bersama imam maka lelaki berdiri sejajar di sebelah kanan imam, sementara wanita ber-saf sendirian di belakang keduanya. Anas berkata, “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengimaminya, dan seorang wanita bersama mereka, maka beliau menempatkannya di sebelah kanannya, dan wanita tersebut di belakang mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 269). (Abu Malik Kamal, Shahih Fiqhus Sunnah, 2/529-530 – Maktabah at-Taufiqiyah)

Al-Imam Ibnu Abdil Barr rahimahullah berkata, “Para ulama bersepakat bahawa seorang wanita itu solat di belakang seorang lelaki dalam satu barisan. Yang disunnahkan adalah mengambil posisi tepat di belakang kaum lelaki, bukan di sebelah kanannya.” (Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, 3/53-54)

Seorang lelaki boleh menjadi imam solat bagi isterinya atau salah seorang mahramnya. Dan tidak boleh seorang lelaki mengimami seorang wanita asing (bukan mahramnya) seorang diri, berdasarkan keumuman hadis berikut:

لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

“Tidak boleh bagi seorang lelaki berduaan dengan seorang wanita, kerana yang ketiganya adalah syaitan.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1171)

Seorang lelaki boleh mengimami sejumlah wanita. Akan tetapi ini dibolehkan apabila aman dari fitnah.

 1 – Imam (Depan), 2 – Makmum Wanita (Belakang)

1 – Depan – Imam (Kiri), Makmum Lelaki (Kanan), 2 – Belakang & Tengah (Saf Wanita)

[5] Solatnya seorang wanita bersama kaum wanita yang lain.

Hujairah Binti Hushain rahimahullah berkata:

أَمَّتْنَا أُمُّ سَلَمَةَ فِي صَلَاةِ الْعَصْرِ قَامَتْ بَيْنَنَا

“Ummu Salamah mengimami kami ketika solat ‘Ashar dan beliau berdiri di sejajar tengah-tengah kami.” (Mushannaf ‘Abdurrozzaq, no. 5082)

Raythah Al-Hanafiyyah rahimahullah berkata:

أَنَّ عَائِشَةَ أَمَّتْهُنَّ وَقَامَتْ بَيْنَهُنَّ فِي صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ

“Sesungguhnya ‘Aisyah pernah mengimami para wanita dan beliau berdiri sejajar di tengah-tengah barisan mereka untuk solat maktubah (fardhu).” (Mushannaf ‘Abdurrozzaq, no. 5086)

Dengan itu, jika seorang wanita solat mengimami jamaah kaum wanita, maka ia berdiri di tengah-tengah mereka dalam keadaan satu barisan (saf) bersama yang lainnya. Hendaklah ia tidak maju (mengambil posisi ke hadapan).

[6] Posisi kanak-kanak dalam saf solat berjemaah.

Berdasarkan mazhab Asy-Syafi’i, susunan awal saf solat berjamaah hendaklah diutamakan untuk orang-orang yang baligh dan berakal (berilmu) terlebih dahulu, kemudian barulah diikuti atau dipenuhkan oleh kanak-kanak. Berikut adalah rinciannya.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan:

إذا حضر كثيرون من الرجال والصبيان يقدم الرجال ثم الصبيان هذا هو المذهب وبه قطع الجمهور وفيه وجه حكاه الشيخ أبو حامد والبندنيجي والقاضي أبو الطيب وصاحبا المستظهرى والبيان وغيرهم انه يستحب ان يقف بين كل رجلين صبى ليتعلموا منهم افعال الصلاة والصحيح الاول لقوله صلي الله عليه وسلم ليلني منكم اولوا الاحلام والنهى ثم الذين يلونهم

“Apabila hadir banyak jama’ah (atau makmum) dari kalangan lelaki (dewasa) dan kanak-kanak, maka kalangan dewasa hendaklah didahulukan dalam memenuhi saf depan, kemudian barulah kanak-kanak. Inilah mazhab kami (yakni mazhab Asy-Syafi’i), dan inilah yang dipastikan oleh jumhur.

Dan padanya ada juga pendapat yang lain yang diriwayatkan dari Asy-Syaikh Abu Hamid (yakni Al-Imam Al-Ghazali), Al-Bandaniji, Al-Qadhi Abu Thoyyib, penyusun kitab Al-Mustazhiri, penyusun kitab Al-Bayan (yakni Al-‘Imrani), dan yang lainnya; (yakni) dianjurkan agar seorang kanak-kanak diapit oleh dua orang dewasa dalam satu saf bagi mendidik mereka dengan perbuatan-perbuatan solat. Namun pendapat yang kuat (menurut Al-Imam An-Nawawi), adalah pendapat yang pertama berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Hendaklah orang-orang yang baligh dan berakal berada di belakangku, kemudian mereka yang berikutnya, kemudian mereka yang berikutnya.”.” (lihat: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 4/293)

Kemudian dikemukakan pula oleh Al-Khathib Asy-Syarbini rahimahullah (Wafat: 977H) dalam Mughni Al-Muhtaaj:

وَمَحَلُّ مَا ذَكَرَ مَا إذَا حَضَرَ الْجَمِيعُ دُفْعَةً وَاحِدَةً، فَلَوْ سَبَقَ الصِّبْيَانُ بِالْحُضُورِ لَمْ يُؤَخَّرُوا لِلرِّجَالِ اللاحِقِينَ، كَمَا لَوْ سَبَقُوا إلَى الصَّفِّ الأَوَّلِ؛ فَإِنَّهُمْ أَحَقُّ بِهِ عَلَى الصَّحِيحِ

“Dan apa yang dikemukakan tersebut (tentang susunan saf) adalah apabila jama’ah datang dalam waktu yang serentak, tetapi jika kanak-kanak datang lebih awal (dari orang dewasa), maka janganlah mereka dikebelakangkan bertujuan memberi tempat kepada orang yang datang kemudian, demikianlah pula jika kanak-kanak lebih awal berada di saf awal, maka merekalah yang lebih berhak terhadap saf tersebut berdasarkan pendapat yang sahih.” (Mughni Al-Muhtaj, 3/255)

Ini adalah sebagaimana hadis berikut,

Dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ يُقِيمُ الرَّجُلُ الرَّجُلَ مِنْ مَجْلِسِهِ ثُمَّ يَجْلِسُ فِيهِ

“Janganlah seseorang meminta orang lain berdiri dari tempat duduknya kemudian dia mengambil tempat tersebut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6269)

Dari hadis Jabir radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يُقِيمَنَّ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، ثُمَّ لْيُخَالِفْ إِلَى مَقْعَدِهِ، فَيَقْعُدَ فِيهِ وَلَكِنْ يَقُولُ افْسَحُوا

“Janganlah seseorang dari kalian menyuruh saudaranya berdiri (dari tempat duduknya) pada hari Juma’at sehingga membuatkannya meninggalkan tempat duduknya lalu kemudian dia pula yang duduk di situ. Akan tetapi katakanlah:

“Berilah kelonggaran (untuk duduk).”.” (Shahih Muslim, no. 2178)

Dari penjelasan ini menunjukkan bahawa saf hadapan itu asalnya hendaklah diutamakan untuk orang-orang yang telah baligh dan berakal (yakni yang lebih berilmu) supaya dia dapat membantu atau memperbetulkan imam seandainya tersilap. Dari itu, orang-orang yang berakal dan dewasa hendaklah memaklumi perkara ini sekaligus mendahului untuk menempati saf-saf yang paling hadapan.

Kemudian barulah diikuti oleh kanak-kanak bagi memenuhi ruang-ruang saf yang masih kosong. Tidak timbul isu di sini supaya kanak-kanak harus diposisikan di saf tersendiri di belakang saf. Apatah lagi seandainya kanak-kanak tersebut memang datang awal dan lebih dahulu menduduki posisi saf pertama, maka tidak boleh bagi orang yang terkemudian mengambil hak kanak-kanak tersebut.

Kemudian, terdapat pula pendapat dalam kalangan ulama mazhab Asy-Syafi’i (sebagaimana yang dikemukakan oleh Al-Imam An-Nawawi di atas) yang membolehkan dan menganjurkan agar setiap seorang kanak-kanak yang hadir diposisikan di antara dua orang dewasa (yakni diapit oleh dua orang dewasa dalam satu saf) agar mereka dapat mempelajari praktik-praktik solat yang benar. Wallaahu a’lam.

Berikutnya, dalil-dalil dalam hal ini adalah sebagaimana berikut,

Antaranya sebagaimana hadis dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

صَلَّيْتُ أَنَا وَيَتِيمٌ، فِي بَيْتِنَا خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأُمِّي أُمُّ سُلَيْمٍ خَلْفَنَا

“Aku solat di rumahku bersama seorang anak yatim di belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan ibuku (Ummu Sulaim) di belakang kami.” (Shahih Al-Bukhari, no. 727)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah berkata tentang hadis ini:

وقيام الصبي مع الرجل صفا

“Kanak-kanak berdiri bersama orang dewasa dalam satu saf.” (Fathul Bari, 1/490)

Kata Al-Imam Ash-Shan’ani rahimahullah:

وعلى أن مقام الاثنين خلف الإمام. وعلى أن الصغير يعتد بوقوفه ويسد الجناح وهو الظاهر من لفظ اليتيم إذ لا يتم بعد الاحتلام

“Posisi makmum yang terdiri dari dua orang adalah di belakang imam, dan anak kecil juga turut diambil kira keberadaan posisinya dan ia dapat melengkapkan barisan (saf). Dalam hadis disebutkan dengan lafaz “yatim” yang mana ini menunjukkan maksud “anak kecil” (yang belum baligh), kerana tidak disebut sebagai yatim bagi anak yang telah baligh.” (Subulus Salam oleh Ash-Shan’ani, 2/57 – Al-Maktabah At-Taufiqiyah)

Kata Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H):

فلا أرى بأسا من وقوف الصبيان مع الرجال إذا كان في الصف متسع وصلاة اليتيم مع أنس وراءه صلى الله عليه و سلم حجة في ذلك

“Maka saya melihat adalah tidak mengapa anak-anak berdiri di saf kaum lelaki dewasa, jika saf tersebut masih ada ruang. Dan solat kanak-kanak lelaki yatim bersama Anas di belakang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah hujjah dalam masalah ini (saf kanak-kanak adalah bersama saf lelaki dewasa).” (Tamaamul Minnah oleh Al-Albani, m/s. 284)

Adapun hadis berikut daripada Abu Malik Al-Asy’ari, beliau berkata:

أَنَّهُ كَانَ يُسَوِّي بَيْنَ الْأَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي الْقِرَاءَةِ وَالْقِيَامِ، وَيَجْعَلُ الرَّكْعَةَ الْأُولَى هِيَ أَطْوَلُهُنَّ لِكَيْ يَثُوبَ النَّاسُ، وَيَجْعَلُ الرِّجَالَ قُدَّامَ الْغِلْمَانِ، وَالْغِلْمَانَ خَلْفَهُمْ، وَالنِّسَاءَ خَلْفَ الْغِلْمَانِ، وَيُكَبِّرُ كُلَّمَا سَجَدَ، وَكُلَّمَا رَفَعَ وَيُكَبِّرُ كُلَّمَا نَهَضَ بَيْنَ الرَّكْعَتَيْنِ إِذَا كَانَ جَالِسًا

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyamakan (tempoh) antara empat rakaat dalam bacaan dan berdiri. Beliau melamakan rakaat yang pertama, itulah yang terlama antara rakaat lainnya supaya orang-orang dapat berkumpul bersama. Beliau menempatkan kaum lelaki di barisan (saf) depan manakala anak-anak di belakang mereka, dan kaum wanita pula ditempatkan di belakang anak-anak. Beliau bertakbir di setiap kali bersujud, mengangkat kepala, dan di setiap kali bangun di antara dua rakaat apabila beliau duduk.” (Musnad Ahmad, no. 22911)

Hadis ini adalah hadis yang dha’if (lemah) dan tidak dapat dijadikan hujah sandaran dalam menetapkan posisi saf solat anak-anak dan kaum wanita. Malah bertentangan dengan apa yang dapat dilihat dari hadis-hadis lain yang sahih yang banyak. Hadis ini didha’ifkan antaranya oleh Syaikh Al-Albani dalam Tamamul Minnah dan Syaikh Syu’aib Al-Arnauth dalam Tahqiq Musnad Ahmad.

[7] Solat sisi imam kerana saf telah penuh.

Sesiapa yang memasuki masjid dan ia mendapati masjid telah penuh dan saf-saf pula telah sempurna, maka dia boleh masuk membelah saf menuju ke bahagian hadapan dan mengambil posisi untuk berdiri di sisi imam.

Ini adalah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika beliau sedang sakit. Ketika Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu sedang meng-imami solat orang ramai di masjid, Rasulullah pun datang dan membelah saf hingga ke saf yang paling depan dan duduk di sisi imam (Abu Bakar). (Lihat: Shahih Fiqhus Sunnah, 2/529)

Ini berdasarkan beberapa hadis. Antaranya sebagaimana daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha di mana beliau berkata:

وَالنَّاسُ عُكُوفٌ فِي الْمَسْجِدِ يَنْتَظِرُونَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِصَلَاةِ الْعِشَاءِ الْآخِرَةِ، قَالَتْ: فَأَرْسَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى أَبِي بَكْرٍ أَنْ يُصَلِّيَ بِالنَّاسِ، فَأَتَاهُ الرَّسُولُ فَقَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُكَ أَنْ تُصَلِّيَ بِالنَّاسِ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ وَكَانَ رَجُلًا رَقِيقًا يَا عُمَرُ صَلِّ بِالنَّاسِ، قَالَ: فَقَالَ عُمَرُ: أَنْتَ أَحَقُّ بِذَلِكَ، قَالَتْ: فَصَلَّى بِهِمْ أَبُو بَكْرٍ تِلْكَ الْأَيَّامَ، ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَدَ مِنْ نَفْسِهِ خِفَّةً فَخَرَجَ بَيْنَ رَجُلَيْنِ أَحَدُهُمَا الْعَبَّاسُ، لِصَلَاةِ الظُّهْرِ وَأَبُو بَكْرٍ يُصَلِّي بِالنَّاسِ فَلَمَّا رَآهُ أَبُو بَكْرٍ ذَهَبَ لِيَتَأَخَّرَ فَأَوْمَأَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ لَا يَتَأَخَّرَ وَقَالَ لَهُمَا: «أَجْلِسَانِي إِلَى جَنْبِهِ» فَأَجْلَسَاهُ إِلَى جَنْبِ أَبِي بَكْرٍ، وَكَانَ أَبُو بَكْرٍ يُصَلِّي وَهُوَ قَائِمٌ بِصَلَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ أَبِي بَكْرٍ، وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ

“(Pada suatu ketika Rasulullah sedang sakit) Orang ramai telah berkumpul di masjid menunggu Rasulullah untuk solat Isya’. Beliau pun mengutuskan seseorang untuk menemui Abu Bakr supaya dia dapat menjadi imam solat (menggantikan Rasulullah). Maka utusan Rasulullah pun menemui Abu Bakr dan mengatakan:

Rasulullah memerintahkan engkau supaya meng-imami orang ramai solat.” Abu Bakr berkata (kepada ‘Umar):

“Wahai ‘Umar, solatlah bersama orang ramai (sebagai imam).” Maka ‘Umar pun membalas, “Engkau lebih berhak untuk itu.”

Maka Abu Bakr pun solat meng-imami orang ramai untuk beberapa hari. Ketika Rasulullah merasa sedikit kebah dari sakitnya, beliau pun keluar dengan dipapah oleh dua orang yang salah seorangnya adalah Al-‘Abbas, untuk solat Zuhur.

Pada ketika itu Abu Bakr sedang solat sebagai imam kepada orang ramai. Ketika Abu Bakr perasan kehadiran Rasulullah, maka beliau pun mundur ke belakang tetapi Nabi segera memberi isyarat kepadanya agar tidak mundur dan tetap di posisi asalnya (posisi sebagai imam). Lalu Rasulullah pun mengarahkan kepada orang yang memapahnya, “Dudukkanlah aku di sisi Abu Bakr (sejajar di sebelah imam).” Maka mereka pun mendudukkan Rasulullah di sisi Abu Bakr.

Abu Bakr ketika itu tetap solat dengan berdiri dengan bermakmumkan Rasulullah. Dan orang di belakang pula mengikuti solatnya Abu Bakr, manakala Nabi ketika itu solat dalam keadaan duduk.” (Shahih Muslim, no. 418)

Perintah Dan Tuntutan Merapikan Saf

Persoalan menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat adalah merupakan suatu permasalahan yang kian terabai. Ramai dari kalangan masyarakat hari ini, mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid sekeliling kita. Saf-saf solat mereka kelihatan renggang, tidak sekata, dan lebih mengecewakan adalah apabila para imam sendiri tidak ambil endah berkenaan dengannya. Sedangkan jika dilihat kepada hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan atsar para sahabat dalam persoalan merapatkan saf ini, sungguh betapa dititik beratkan kesempurnaannya, dan malah jika gagal menyempurnakannya, ada pula hadis-hadis yang berbentuk ancaman.

Meluruskan dan merapatkan saf (barisan) dalam solat berjamaah adalah merupakan suatu hal yang sangat diperintahkan (dituntut), sebagaimana banyak dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (antaranya):

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ، مِنْ تَمَامِ الصَّلَاةِ

“Luruskanlah saf-saf kamu, kerana sesungguhnya merapikan saf itu sebahagian dari kesempurnaan solat.” (Shahih Muslim, no. 433)

Dalam Riwayat yang lain:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

“Luruskanlah saf-saf kamu, kerana sesungguhnya merapikan saf-saf itu sebahagian dari mendirikan solat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 723)

Dalam hadis yang lain lagi:

أَقِيمُوا الصَّفَّ فِي الصَّلَاةِ، فَإِنَّ إِقَامَةَ الصَّفِّ مِنْ حُسْنِ الصَّلَاةِ

“Rapikanlah saf di dalam solat. Sesungguhnya merapikan saf itu adalah sebahagian dari kebaikan (kesempurnaan) solat.” (Shahih Muslim, no. 435)

Abu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ مَنَاكِبَنَا فِي الصَّلَاةِ، وَيَقُولُ: «اسْتَوُوا، وَلَا تَخْتَلِفُوا، فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ، لِيَلِنِي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

“Dahulu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasa mengusap-usap (memegang) bahu-bahu kami sebelum solat. Beliau bersabda, “Luruskanlah saf, jangan berselisih. Jika tidak, maka hati-hati kamu juga akan saling berselisih. Hendaklah orang-orang dewasa dan yang berilmu di belakangku, kemudian diikuti yang lainnya, kemudiannya yang berikutnya.” (Shahih Muslim, no. 432)

Nu’man bin Basyir radhiyallahu ‘anhu berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَوِّي صُفُوفَنَا حَتَّى كَأَنَّمَا يُسَوِّي بِهَا الْقِدَاحَ حَتَّى رَأَى أَنَّا قَدْ عَقَلْنَا عَنْهُ، ثُمَّ خَرَجَ يَوْمًا فَقَامَ، حَتَّى كَادَ يُكَبِّرُ فَرَأَى رَجُلًا بَادِيًا صَدْرُهُ مِنَ الصَّفِّ، فَقَالَ: «عِبَادَ اللهِ لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meluruskan saf-saf solat kami, seolah-olah beliau sedang meluruskan anak panah, sehingga beliau benar-benar telah melihat apa yang beliau inginkan dari kami. Suatu ketika beliau hendak solat dan hampir memulakan takbir, tiba-tiba beliau melihat seorang lelaki yang dadanya menonjol keluar dari saf. Beliau pun bersabda:

“Wahai hamba-hamba Allah, rapikanlah saf-saf kamu, atau Allah akan menjadikan perselisihan di antara wajah-wajah kamu.” (Shahih Muslim, Bab: Meluruskan saf-saf dan merapikannya, no. 436)

Hadis-hadis tersebut dan hadis-hadis lain yang seumpamanya, kata lbnu Hazm ia merupakan dalil wajibnya merapikan saf sebelum dan sepanjang melaksanakan solat. Kerana menyempurnakan solat itu wajib, manakala kesempurnaan saf merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat, maka merapikan saf merupakan kewajiban. Juga lafaz ‘amr (perintah) dalam hadis-hadis di atas menunjukkan maksud wajib. Demikian juga Imam al-Bukhari rahimahullah, beliau turut berpendapat bahawa merapikan saf solat ini adalah wajib, tetapi sesiapa yang tidak merapikan dan meluruskannya tetap sah solatnya, cuma ia berdosa.

Selain itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri di setiap kali akan memulakan solat (berjama’ah), beliau selalu menghadap kepada jama’ah (makmum) lalu memerintahkan untuk meluruskan saf. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu.

Anas radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Setelah iqamat solat dikumandangkan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menghadap kami lalu bersabda:

أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ، وَتَرَاصُّوا، فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي

“Rapikan dan rapatkanlah saf-saf kamu kerana sesungguhnya aku dapat melihat kamu dari balik punggungku.” (Shahih Al-Bukhari, Bab: Imam menghadap makmum ketika merapikan saf-saf, no. 719)

Dahulu, ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu pernah memukul kaki Abu ‘Utsman an-Nahdi kerana keluar dari barisan solatnya. Demikian juga dengan Bilal, beliau pernah melakukan hal yang sama ketika merapikan bahu-bahu dan saf-saf solat, sebagaimana yang dikatakan oleh Suwaid B. Ghaflah bahawa ‘Umar dan Bilal pernah memukul bahu kami dan mereka tidak akan memukul orang lain, kecuali kerana meninggalkan sesuatu yang diwajibkan. (Lihat: Fathul Bari, 2/210)

Anas radhiyallahu ‘anhu pernah ditanya, “Adakah sesuatu yang engkau ingkari (dari hal-hal yang tidak baik) dari apa-apa yang aku lakukan semenjak hari ketika engkau berada di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?”

Maka Anas pun menjawab:

مَا أَنْكَرْتُ شَيْئًا إِلَّا أَنَّكُمْ لاَ تُقِيمُونَ الصُّفُوفَ

“Aku tidak mendapati sesuatu yang patut aku ingkari kecuali perbuatan kamu yang tidak merapikan saf (ketika solat).” (Shahih Al-Bukhari, no. 724)

Demikian jugalah dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebelum memulakan solat, beliau berjalan memeriksa, merapikan saf dan memegang dada serta bahu-bahu para sahabat lalu memerintahkan agar saf-saf dirapikan, diluruskan, dan diratakan.

Berkenaan lafaz “menjadikan perselisihan di antara wajah-wajah kamu”, Al-Imam An-Nawawi menyebutkan dengan katanya:

معناه يوقع بينكم العداوة والبغضاء واختلاف القلوب

“Maksudnya, Allah akan menimpakan permusuhan dan kebencian di antara kamu serta menjadikan hati-hati kamu saling berselisih.” (Fathul Bari, 2/207)

Beliau juga mengatakan, “Perselisihan ketika ber-saf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir adalah kesan (atau hasil) dari perbezaan batin iaitu hati (batin).” (Fathul Bari, 2/207)

Al-Imam Al-Qurthubi juga berkata:

معناه تفترقون فيأخذ كل واحد وجها غير الذي أخذ صاحبه لأن تقدم الشخص على غيره مظنة الكبر المفسد للقلب الداعي إلى القطيعة

“Maknanya adalah kamu saling berpecah-belah. Setiap orang mengambil arah yang berbeza dengan arah yang diambil sahabatnya. Posisi seseorang yang agak maju dalam saf merupakan isyarat kesombongan yang merosakkan hati dan mendorong terputusnya hubungan.” (Rujuk: Fathul Bari 2/207. ‘Umdatul Qari, 8/453)

Kata Al-Imam Ash-Shan’ani rahimahullah, “Hadis-hadis ini dan ancaman (jika tidak meluruskan saf) yang terdapat di dalamnya menunjukkan hukum meluruskan saf itu adalah wajib. Tetapi pada hari ini, manusia telah meremehkannya.” (Subulus Salam 2/53 – al-Maktabah at-Tafiqiyah)

Beginilah Seharusnya Merapikan Saf-saf Solat

Kata Al-Baraa’ bin ‘Aazib radhiyallahu ‘anhu:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَخَلَّلُ الصَّفَّ مِنْ نَاحِيَةٍ إِلَى نَاحِيَةٍ يَمْسَحُ صُدُورَنَا وَمَنَاكِبَنَا وَيَقُولُ: «لَا تَخْتَلِفُوا فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ» وَكَانَ يَقُولُ: «إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الصُّفُوفِ الْأُوَلِ

“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau masuk memeriksa ke dalam saf-saf dari satu bahagian ke bahagian yang lainnya. Beliau biasa memegang dada dan bahu kami (untuk meluruskan kami) sambil bersabda:

“Janganlah kamu berselisih yang mengakibatkan hati-hati kamu juga saling berselisih.” Beliau juga bersabda:

“Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat untuk orang-orang yang solat di saf pertama.” (Sunan Abi Dawud, no. 664. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Al-Imam At-Timidzi rahimahullah (Wafat: 279H) berkata:

وَرُوِيَ عَنْ عُمَرَ: أَنَّهُ كَانَ يُوَكِّلُ رِجَالًا بِإِقَامَةِ الصُّفُوفِ، وَلَا يُكَبِّرُ حَتَّى يُخْبَرَ أَنَّ الصُّفُوفَ قَدِ اسْتَوَتْ. وَرُوِيَ عَنْ عَلِيٍّ، وَعُثْمَانَ، أَنَّهُمَا كَانَا يَتَعَاهَدَانِ ذَلِكَ، وَيَقُولَانِ: «اسْتَوُوا»، وَكَانَ عَلِيٌّ يَقُولُ: تَقَدَّمْ يَا فُلَانُ، تَأَخَّرْ يَا فُلَانُ

“Diriwayatkan daripada ‘Umar bahawa beliau mewakilkan beberapa orang lelaki untuk merapikan saf-saf solat, dan beliau tidak akan memulakan takbir sehinggalah telah benar-benar diberitahu bahawa saf-saf solat telah lurus rapi. Diriwayatkan juga daripada ‘Ali dan ‘Utsman, bahawa mereka berdua sentiasa menekankan perkara tersebut. Mereka berdua mengatakan:

“Istawuu (rapikanlah saf).” ‘Ali pula sering berkata:

“Ke depan sedikit ya Fulan, mundur sedikit ya Fulan. (dalam rangka memerintahkan supaya saf dirapikan)” (Sunan At-Tirmidzi, no. 227)

Apa yang perlu kita ketahui di sini bahawa berdiri di dalam saf bukan hanya sekadar berbaris lurus, tetapi merangkumi perbuatan merapatkan kaki dan juga bahu antara satu dengan yang lainnya, sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat. Inilah antara bentuk-bentuk perincian dari makna merapatkan, merapikan, dan merapatkan saf. Berikut kita lihat bentuk-bentuk perincian tersebut berpandukan dalil-dalilnya.

[1] Merapatkan bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, dan mata kaki dengan mata kaki.

Nu’man bin Basyir radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَقْبَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى النَّاسِ بِوَجْهِهِ، فَقَالَ: «أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ» ثَلَاثًا، «وَاللَّهِ لَتُقِيمُنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ» قَالَ: فَرَأَيْتُ الرَّجُلَ يَلْزَقُ مَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَرُكْبَتَهُ بِرُكْبَةِ صَاحِبِهِ وَكَعْبَهُ بِكَعْبِهِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasa menghadap kepada para jama’ah dengan wajahnya, lalu beliau pun bersabda, “Rapikanlah saf-saf kamu semua! (beliau ucapkan sebanyak tiga kali). Demi Allah, hendaklah kamu semua benar-benar merapikan saf-saf kamu, atau Allah benar-benar akan menjadikan hati-hati kamu saling berselisih.”

Kata Nu’man lagi, “Maka aku pun melihat orang-orang menempelkan (merapatkan) bahunya dengan bahu sahabat yang di sebelahnya, demikian juga lututnya dengan lutut di sebelahnya, dan mata kakinya dengan mata kaki sahabat yang di sebelahnya.” (Sunan Abi Dawud, no. 662. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

اعتبر الاتصال بتواصل المناكب

“Dianggap sebagai bersambungnya suatu saf itu adalah dengan bersambungnya (bersentuhan) bahu dengan bahu.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 4/306)

[2] Merapatkan bahu dengan bahu dan telapak kaki dengan telapak kaki dalam saf.

Hadis daripada Anas, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي، وَكَانَ أَحَدُنَا يُلْزِقُ مَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِ صَاحِبِهِ، وَقَدَمَهُ بِقَدَمِهِ

“Rapikanlah (atau ratakanlah, atau luruskanlah) saf-saf kamu, sesungguhnya aku dapat melihat kamu dari balik punggungku.”

Anas berkata, “Maka setiap seorang dari kami saling merapatkan bahu-bahu mereka dengan bahu sahabat-sahabat mereka yang ada di sebelahnya dan kaki-kaki mereka dengan kaki-kaki sahabat mereka yang di sebelah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 725)

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):

وأفاد هذا التصريح أن الفعل المذكور كان في زمن النبي صلى الله عليه و سلم وبهذا يتم الاحتجاج به على بيان المراد بإقامة الصف وتسويته

“Dan hadis ini memberi gambaran (penjelasan) bahawa perbuatan (merapatkan bahu dengan bahu dan kaki dengan kaki) yang disebutkan tersebut memang diterapkan (atau dilaksanakan) di zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan dengan ini; menjadi lengkaplah gambaran keterangan ke atas penjelasan maksud “Merapikan dan meluruskan saf-saf.” (Fathul Bari, 2/211)

Demikian juga dengan apa yang diungkapkan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420):

أن التسوية المذكورة إنما تكون بلصق المنكب بالمنكب، وحافة القدم بالقدم، لأن هذا هو الذي فعله الصحابة رضي الله عنهم حين أمروا بإقامة الصفوف

“Bahawa perbuatan taswiyah (merapikan saf) yang disebutkan di dalam hadis tersebut adalah dengan cara merapatkan (menempelkan) bahu dengan bahu dan merapatkan kaki dengan kaki, kerana begitulah para sahabat radhiyallahu ‘anhum melaksanakannya ketika mereka diperintahkan merapikan saf-saf.” (Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah, 1/72 – Maktabah al-Ma’aarif)

Mungkin ada suatu perkara yang menjadi pertanyaan, bagaimana mungkin kaki dapat dirapatkan antara satu sama lain. Maka Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyebutkan satu bab dalam kitab Shahihnya:

“Keutamaan menghadap kiblat, hujung kedua kaki perlu dihadapkan ke arah kiblat. Demikianlah yang diriwayatkan oleh Abu Humaid daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Shahih Al-Bukhari, 1/87. 1/162)

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H):

والمراد بأطراف رجليه رؤوس أصابعها وأراد بذكره هنا بيان مشروعية الاستقبال بجميع ما يمكن من الأعضاء

“Yang dimaksudkan dengan menghadapkan hujung kedua kaki adalah mengarahkan hujung-hujung jari (ke arah kiblat). Dengan mencantumkan lafaz tersebut di sini, al-Bukhari bertujuan menjelaskan tentang disyari’atkannya menghadap ke arah kiblat dengan seluruh anggota badan yang dapat dihadapkan (ke arah kiblat).” (Fathul Bari, 1/496)

 Betul – Kaki diluruskan ke arah hadapan (Kiblat)

Salah – Kaki tidak lurus ke hadapan

[3] Menutup ruang atau celah-celah di antara saf.

Hadis Ibnu ‘Umar. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَقِيمُوا الصُّفُوفَ وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ وَسُدُّوا الْخَلَلَ وَلِينُوا بِأَيْدِي إِخْوَانِكُمْ وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ، وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ

“Rapikanlah saf-saf kamu dan rapatkanlah bahu-bahu kamu dengan bahu-bahu saudara kamu serta tutuplah celah (di antara saf-saf kamu), berlemah-lembutlah terhadap tangan saudara-saudara kamu, dan jangan biarkan ada celah yang boleh dimasuki Syaitan. Sesiapa yang menyambung saf nescaya Allah akan menyambung hubungan dengannya, dan sesiapa yang memutuskan saf nescaya Allah akan memutuskan hubungan dengannya.” (Sunan Abi Dawud, no. 666. Dinilai sahih oleh al-Albani)

[4] Meletakkan posisi badan dalam keadaan yang baik, sejajar, dan betul.

Nu’man bin Basyir radhiyallahu ‘anhu berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَوِّي صُفُوفَنَا حَتَّى كَأَنَّمَا يُسَوِّي بِهَا الْقِدَاحَ حَتَّى رَأَى أَنَّا قَدْ عَقَلْنَا عَنْهُ، ثُمَّ خَرَجَ يَوْمًا فَقَامَ، حَتَّى كَادَ يُكَبِّرُ فَرَأَى رَجُلًا بَادِيًا صَدْرُهُ مِنَ الصَّفِّ، فَقَالَ: «عِبَادَ اللهِ لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meluruskan saf-saf solat kami, seolah-olah beliau sedang meluruskan anak panah, sehingga beliau benar-benar telah melihat apa yang beliau inginkan dari kami. Suatu ketika beliau hendak solat dan hampir memulakan takbir, tiba-tiba beliau melihat seorang lelaki yang dadanya menonjol keluar dari saf. Beliau pun bersabda:

“Wahai hamba-hamba Allah, rapikanlah saf-saf kamu, atau Allah akan menjadikan perselisihan di antara wajah-wajah kamu.” (Shahih Muslim, Bab: Meluruskan saf-saf dan merapikannya, no. 436)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

رُصُّوا صُفُوفَكُمْ وَقَارِبُوا بَيْنَهَا وَحَاذُوا بِالْأَعْنَاقِ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنِّي لَأَرَى الشَّيْطَانَ يَدْخُلُ مِنْ خَلَلِ الصَّفِّ كَأَنَّهَا الْحَذَفُ

“Rapat-rapatkanlah saf-saf kamu (saling berhimpit), saling mendekatlah, dan seiringkanlah antara bahu dengan bahu. Demi Dzat yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, aku melihat Syaitan masuk dari celah saf-saf seperti anak kambing hitam.” (Sunan Abi Dawud, no. 667. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kedudukan atau susunan Saf Yang Betul Dan Rapi

Kedudukan atau Susunan Saf Yang Salah yang mana banyak terjadi di sekeliling kita Masa ini

Imam disunnahkan tidak memulakan solat selagi mana saf belum rapi

Kata Al-Imam Ar-Rafi’i rahimahullah (Wafat: 623H) dan Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

ويستحب للامام ان لا يكبر حتى تستوى الصفوف ويأمرهم بذلك ملتفتا يمينا وشمالا وإذا فرغ المؤذن من الاقامة قام الناس واشتغلوا بتسوية الصفوف

“Dan disunnahkan bagi seorang imam untuk tidak memulakan takbir (solat) kecuali setelah saf-saf dirapikan sambil imam tersebut mengarahkan dengannya orang-orang yang di kanan dan di kiri. Apabila mu’adzin selesai dari iqamah, maka para jama’ah hendaklah bangun lalu merapikan saf-saf.” (Fathul ‘Aziz bi Syarh Al-Wajiz, 4/380. Raudhatuth Thalibin, 1/369)

Syaikh Zakariya Al-Anshari rahimahullah (Wafat: 926H):

( وَيُسْتَحَبُّ قَبْلَ التَّكْبِيرِ ) لِلْإِحْرَامِ ( أَنْ يَأْمُرَهُمْ الْإِمَامُ بِتَسْوِيَةِ الصُّفُوفِ ) كَأَنْ يَقُولَ اسْتَوُوا رَحِمَكُمْ اللَّهُ ، أَوْ سَوُّوا صُفُوفَكُمْ لِخَبَرِ الصَّحِيحَيْنِ { اعْتَدِلُوا فِي صُفُوفِكُمْ وَتَرَاصُّوا فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَائِي } قَالَ أَنَسٌ رَاوِيهِ { فَلَقَدْ رَأَيْت أَحَدَنَا يُلْصِقُ مَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَقَدَمَهُ بِقَدَمِهِ } وَلِخَبَرِ مُسْلِمٍ { كَانَ يُسَوِّي صُفُوفَنَا كَأَنَّمَا يُسَوِّي بِهَا الْقِدَاحَ } ( وَ ) أَنْ ( يَلْتَفِتَ ) لِذَلِكَ ( يَمِينًا وَشِمَالًا )؛ لِأَنَّهُ أَبْلَغُ فِي الْإِعْلَامِ ( وَأَنْ يَقُومُوا بَعْدَ فَرَاغِ ) الْمُقِيمِ مِنْ ( الْإِقَامَةِ ) فَيَشْتَغِلُوا بِتَسْوِيَةِ الصُّفُوفِ لِخَبَرِ مُسْلِمٍ { لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ }

“Dan disunnahkan bagi seorang imam sebelum memulakan takbir dengan takbiratul ihram agar dia memerintahkan (para makmum) dengan perintah merapikan saf-saf solat iaitu dengan mengatakan (seperti):

“Istawuu rahimakumullah (rapikanlah saf agar kamu dirahmati Allah).” Atau “Sawwu shufufakum (Rapikanlah saf-saf solat kamu).” Ini sebagaimana yang dikhabarkan dalam dua kitab Shahih:

“Rapikanlah saf-saf kamu dan merapatlah, sesungguhnya aku melihat kamu dari balik punggungku.” Anas berkata, “Bahawasanya aku melihat setiap orang saling merapatkan bahunya dengan bahu sahabatnya yang di sebelah, dan kakinya dengan kaki saudaranya yang di sebelah.” Dan diriwayatkan oleh Muslim, “Beliau (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) biasa merapikan saf-saf kami seolah-olah beliau sedang meluruskan anak panah.”

Dan sambil itu dia menoleh ke kanan dan ke kiri, kerana itu lebih menyampaikan pada kesempurnaan. Dan imam juga disunnahkan untuk menyibukkan diri saf-saf para makmum sebaik iqamah selesai dikumandangkan sebagaimana dikhabarkan dalam Shahih Muslim:

“Kamu hendaklah benar-benar merapikan saf-saf kamu atau Allah menjadikan perselisihan di antara wajah-wajah kamu.” (Syarah Raudhatuth Thalib, 3/324)

Kata Ibnu Hajar Al-Haitami rahimahullah (Wafat: 974H):

وَفِيهِ أَيْضًا يُسَنُّ بَعْدَ الْإِقَامَةِ لِكُلِّ أَحَدٍ، وَالْإِمَامُ آكَدُ الْأَمْرُ بِتَسْوِيَةِ الصُّفُوفِ بِنَحْوِ اسْتَوُوا رَحِمَكُمْ اللَّهُ وَأَنْ يَلْتَفِتَ بِذَلِكَ يَمِينًا، ثُمَّ شِمَالًا فَإِنْ كَبُرَ الْمَسْجِدُ أَمَرَ الْإِمَامُ مَنْ يَأْمُرُ بِالتَّسْوِيَةِ فَيَطُوفُ عَلَيْهِمْ، أَوْ يُنَادِي فِيهِمْ وَيُسَنُّ لِكُلِّ مَنْ حَضَرَ أَنْ يَأْمُرَ بِذَلِكَ مَنْ رَأَى مِنْهُ خَلَلًا فِي تَسْوِيَةِ الصَّفِّ

“Padanya juga disunnahkan bagi setiap orang sebaik dikumandangkan iqamah dan juga imam agar memerintahkan dengan merapikan saf-saf dengan mengatakan “istawuu rahimakumullah (rapikanlah saf supaya Allah merahmati kamu).” Dan imam juga dianjurkan memeriksa bahagian kanannya kemudian kiri. Jika masjid tersebut besar (atau luas), maka imam boleh mewakilkan petugasnya untuk memerintahkan para makmum dengan perintah merapikan saf. Dan sesiapa sahaja dari kalangan makmum yang melihat ada kekosongan di saf, maka disunnahkan baginya untuk memerintahkan para makmum yang lainnya untuk sama-sama merapikan dan merapatkan saf.” (Tuhfatul Muhtaj bi Syarh Al-Minhaj, 5/119)

Larangan Membuat Saf Sendirian

Seorang makmum dilarang membuat saf sendirian, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Wabishah bin Mi’bad radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى رَجُلًا يُصَلِّي خَلْفَ الصَّفِّ وَحْدَهُ فَأَمَرَهُ أَنْ يُعِيدَ الصَّلَاةَ

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat seseorang solat di belakang saf sendirian, maka beliau memerintahkan untuk mengulang solatnya.” (Sunan Abi Dawud, no. 682. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Menurut Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah, apabila seseorang mendapati saf yang telah penuh, sementara ia terpaksa bersendirian di saf belakang dan tidak ada yang ditunggu, maka boleh baginya solat sendiri di belakang saf tersebut. (lihat: Asy-Syarhul Mumti’, 4/376-385)

Untuk menjaga keutuhan, seseorang dibolehkan berjalan maju atau bergerak ke hadapan ketika mana mendapati ada saf di hadapannya yang terputus (untuk memenuhi celah-celah yang kosong). Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ عَلَيْهِمُ السَّلَام يُصَلُّونَ عَلَى الَّذِينَ يَصِلُونَ الصُّفُوفَ، وَمَنْ سَدَّ فُرْجَةً، رَفَعَهُ اللهُ بِهَا دَرَجَةً

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang menyambung saf. Sesiapa yang menutupi saf terputus (atau saf yang renggang), nescaya Allah akan meninggikan kedudukannya dengan sebab amalnya tersebut.” (Musnad Ahmad, no. 24587. Dinilai hasan oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Tiada langkah paling baik melebihi apa yang dilakukan oleh seseorang untuk menutupi celah dan kekosongan di dalam saf. Dan semakin banyak teman dan saf dalam solat berjama’ah, maka akan semakin afdhal-lah solatnya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

وَإِنَّ صَلَاةَ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ وَحْدَهُ، وَصَلَاتُهُ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ مَعَ الرَّجُلِ، وَمَا كَثُرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى

“Solat seorang bersama seseorang lebih baik daripada solat sendirian, dan solat bersama dua orang lebih baik dari solat bersama seseorang. Dan bila lebih banyak, maka itu lebih disukai oleh Allah Ta’ala.” (Sunan Abi Dawud, no. 554. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Dibencinya Membuat Saf di Tempat Ber-tiang

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):

وفيه نظر لورود النهى الخاص عن الصلاة بين السواري كما رواه الحاكم من حديث أنس بإسناد صحيح وهو في السنن الثلاثة وحسنه الترمذي

“Perkataan sebahagian pihak yang membolehkan membuat saf di antara tiang-tiang perlu diteliti baik-baik kembali, ini kerana di sana ada larangan yang bersifat khusus daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana diriwayatkan oleh al-Hakim daripada hadis Anas dengan sanad yang sahih, juga oleh 3 kitab Sunan (Abu Dawud, At-Tirmidzi dan An-Nasaa’i). Dan At-Tirmidzi menghasankannya.” (Fathul Bari, 1/578)

Al-Muhib Ath-Thabari berkata:

كره قوم الصف بين السواري للنهى الوارد عن ذلك ومحل الكراهة عند عدم الضيق والحكمة فيه إما لانقطاع الصف

“Sebahagian ulama membenci perbuatan solat di antara tiang-tiang kerana adanya dalil yang melarangnya. Hikmah dari larangan ini adalah kerana ia menyebabkan terputusnya saf sedangkan tempat tersebut tidaklah sempit…” (Fathul Bari, 1/578)

‘Abdul Hamid bin Mahmud rahimahullah berkata:

صَلَّيْنَا خَلْفَ أَمِيرٍ مِنَ الأُمَرَاءِ، فَاضْطَرَّنَا النَّاسُ فَصَلَّيْنَا بَيْنَ السَّارِيَتَيْنِ فَلَمَّا صَلَّيْنَا، قَالَ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ: كُنَّا نَتَّقِي هَذَا عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Kami pernah solat di belakang salah seorang pemimpin, maka kami terpaksa untuk solat di antara dua tiang kerana kesempitan. Setelah solat kami selesai, Anas B. Malik pun berkata:

“Dahulu di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kami (para sahabat) biasa mengelak dari membuat saf di tempat-tempat bertiang.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 229. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi, manakala Ibnu Hajar dan Al-Albani menilainya sahih)

Kata At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) setelah membawakan hadis ini:

“Sebahagian ahli ilmu membenci membuat saf di antara tiang-tiang. Ini adalah pendapat Imam Ahmad dan Ishaq, tetapi sebahagian ahli ilmu ada yang memberikan keringanan.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 229)

Qurrah bin Iyas radhiyallahu ‘anhu berkata:

كُنَّا نُنْهَى أَنْ نَصُفَّ بَيْنَ السَّوَارِي عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنُطْرَدُ عَنْهَا طَرْدًا

“Dahulu ketika di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kami dilarang membuat saf-saf solat di antara tiang-tiang, dan kami dijauhkan dari tiang-tiang itu.” (Sunan Ibnu Majah, no. 992. Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 1567. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Berdasarkan hadis-hadis yang sahih ini, maka pendapat yang menegah atau melarang dari membuat saf di antara tiang-tiang adalah lebih kuat. Maka elakkanlah dari membuat saf di kawasan yang bertiang kerana tiang-tiang tersebut akan mengakibatkan terputusnya saf, melainkan jika sudah tidak ada tempat lagi yang boleh menampung.

Saf di Balik Dinding

Jika makmum solat di belakang imam di luar atau di dalam masjid, sedangkan keduanya dipisahkan oleh dinding, jika safnya masih bersambung, maka perkara tersebut dibolehkan berdasarkan kesepakatan ulama. (Majmu’ al-Fatawa, 23/407. Lihat: Shahih Fiqhis Sunnah, 1/532)

Ini dibenarkan selagi mana makmum dapat melihat sekaligus mengikuti pergerakan imamnya atau para makmum yang berada di hadapannya.

Memasuki Saf Dalam Keadaan Tenang

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لِيَلِنِي مِنْكُمْ، أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثَلَاثًا، وَإِيَّاكُمْ وَهَيْشَاتِ الْأَسْوَاقِ

“Hendaklah orang-orang dewasa dan yang berilmu di antara kamu berada di belakangku, kemudian yang berikutnya, kemudian yang berikutnya, kemudian yang berikutnya. Dan hindarilah riuh-rendah seperti di pasar.” (Shahih Muslim, Bab: Meluruskan dan merapikan saf-saf, no. 432)

Hadis ini turut menjelaskan susunan di belakang imam mengikut prioriti keutamaan ilmu dan kematangan. Orang-orang dewasa yang berilmu lebih diutamakan agar berada di hadapan (saf pertama), di belakang imam, kemudian orang-orang yang setelah mereka. Ini bertujuan apabila imam melakukan kesilapan atau ragu, maka orang di belakang yang memiliki ilmu dapat menegur sekaligus membetulkannya. Jika tiada orang dewasa yang memiliki kematangan dan tahap keilmuan tersebut, maka orang yang lebih muda tetapi berilmu dan baik hafalan al-Qur’annya, hendaklah lebih diutamakan.

Ini adalah selama mana anak-anak atau orang-orang yang lebih muda tidak terlebih dahulu datang dan menduduki saf depan tersebut. Kerana dalam hadis yang lain terdapat larangan memindahkan orang dari saf yang dipilihnya terlebih dahulu.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ يُقِيمُ الرَّجُلُ الرَّجُلَ مِنْ مَجْلِسِهِ ثُمَّ يَجْلِسُ فِيهِ

“Janganlah seseorang memindahkan orang lain dari tempat duduknya kemudian dia pula yang duduk di tempat tersebut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6269)

Di hadis seterusnya – Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا أُقِيمَتْ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ وَأْتُوهَا تَمْشُونَ عَلَيْكُمْ السَّكِينَةُ فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

“Apabila iqamat solat dikumandangkan, maka janganlah mendatanginya dengan berlari. Tetapi datangilah dengan tenang berjalan (seperti biasa). Maka, apa yang kamu dapat (bersama imam) maka solatlah, dan yang tertinggal (untuk bersama imam) sempurnakanlah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 908. Shahih Muslim, no. 602)

Masuk ke Dalam Saf Sambil Ruku’

Atha’ pernah mendengar ‘Abdullah bin Az-Zubair radhiyallahu ‘anhu di atas mimbar mengatakan kepada orang ramai:

إذا دخل أحدكم المسجد و الناس ركوع فليركع حين يدخل ثم ليدب راكعاحتى يدخل في الصف فإن ذلك السنة

 قال عطاء: و قد رأيته هو يفعل ذلك

“Apabila salah seorang di antara kamu memasuki masjid dan orang-orang (yang bersolat) telah pun ruku’, maka ruku’lah, kemudian merangkaklah dalam keadaan ruku’ sehingga sampai masuk ke dalam saf kerana perbuatan tersebut termasuk sunnah.”

Kata Atha’: “Dan aku pernah melihat beliau (Ibnu az-Zubair) melakukannya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 1571. Al-Mustadrak Al-Hakim, no. 777. Disepakati kesahihannya oleh Adz-Dzahabi)

Zayd bin Wahb rahimahullah berkata:

دَخَلْتُ أَنَا وَابْنُ مَسْعُودٍ الْمَسْجِدَ وَالْإِمَامُ رَاكِعٌ، فَرَكَعْنَا، ثُمَّ مَضَيْنَا حَتَّى اسْتَوَيْنَا فِي الصَّفِّ، فَلَمَّا فَرَغَ الْإِمَامُ قُمْتُ أُصَلِّي فَقَالَ: قَدْ أَدْرَكْتَهُ

“Aku dan Ibnu Masoud memasuki masjid dan imam ketika itu sedang ruku’, maka kami pun terus ruku’, kemudian berjalan dalam keadaan ruku’ memasuki saf. Maka apabila selesai, aku pun bangun (untuk menyempurnakan raka’at yang tertinggal), tetapi Ibnu Mas’oud menegaskan, “Engkau telah mendapatkannya.”.” (Mushannaf ‘Abdurrozzaq, no. 3381)

Datang Awal, Ambil Saf Pertama

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لاَسْتَهَمُوا، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي التَّهْجِيرِ لاَسْتَبَقُوا إِلَيْهِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي العَتَمَةِ وَالصُّبْحِ، لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

“Kalaulah orang-orang tahu apa yang terdapat pada seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk meraihnya melainkan dengan cara melakukan undian, nescaya mereka akan mengadakannya. Dan kalaulah mereka tahu apa yang terdapat dalam segera menuju solat, nescaya mereka akan berlumba-lumba. Dan kalaulah mereka mengetahui apa yang terdapat pada solat Isya’ dan Subuh, nescaya mereka akan mendatangi keduanya walaupun terpaksa dengan merangkak.” (Shahih Al-Bukhari, Bab: Saf yang awal, no. 721. Shahih Muslim, no. 437)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَإِنَّ الصَّفَّ الْأَوَّلَ عَلَى مِثْلِ صَفِّ الْمَلَائِكَةِ وَلَوْ عَلِمْتُمْ مَا فَضِيلَتُهُ لَابْتَدَرْتُمُوهُ

“Dan sesungguhnya saf yang awal (pertama) itu seperti saf para malaikat. Seandainya kamu semua mengetahui fadhilatnya (keutamaannya), nescaya kamu semua akan cepat-cepat (berlumba-lumba) menujunya.” (Sunah Abi Dawud, no. 554. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

فَمَنْ جَاءَ أَوَّلَ النَّاسِ وَصَفَّ فِي غَيْرِ الْأَوَّلِ فَقَدْ خَالَفَ الشَّرِيعَةَ وَإِذَا ضَمَّ إلَى ذَلِكَ إسَاءَةَ الصَّلَاةِ أَوْ فُضُولَ الْكَلَامِ أَوْ مَكْرُوهَهُ أَوْ مُحَرَّمَهُ وَنَحْوَ ذَلِكَ : مِمَّا يُصَانُ الْمَسْجِدُ عَنْهُ فَقَدْ تَرَكَ تَعْظِيمَ الشَّرَائِعِ وَخَرَجَ عَنْ الْحُدُودِ الْمَشْرُوعَةِ مِنْ طَاعَةِ اللَّهِ

“Maka siapa yang datang ke masjid lebih awal berbanding yang lainnya tetapi dia tidak memilih saf yang pertama, bererti dia telah menyalahi syari’at. Jika keadaan itu ditambah lagi dengan buruknya solat, berlebihan dalam berbicara (berbual-bual), atau mengucapkan perkataan-perkataan yang dibenci atau diharamkan, juga hal-hal lain yang perlu dihindarkan dari masjid, maka dia dianggap sebagai orang yang tidak menghormati syari’at dan telah keluar dari batas-batas ketaatan kepada Allah yang telah disyari’atkan.” (Ibnu Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 22/262)

Nasihat dan Penutup

Setelah kita mengetahui bahawa sunnah, suruhan, dan keutamaan merapatkan, meluruskan, dan meratakan saf-saf solat ini didukung oleh hadis-hadis yang sahih, maka menjadi kewajiban bagi kita semua sama ada masyarakat Islam secara umum ataupun para imam dan kakitangan masjid-masjid untuk melaksanakannya di setiap kali solat berjama’ah dilaksanakan.

Di dalam hadis-hadis sahih tersebut turut dikemukakan ancaman yang sangat keras dan kesan yang buruk terhadap mereka yang enggan dan ingkar merapatkan serta merapikan saf. Di antaranya, Allah mengancam akan memutuskan (hubungan) dengannya, Allah akan menjadikan hati-hati dan wajah-wajah sesama mereka saling berselisih, dan kesempurnaan solat-solat mereka tergugat. Serta yang akan mengisi ruang-ruang kosong di antara saf-saf mereka pula adalah Syaitan yang menganggu sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Wallahu a’lam.