Bagaimana Ketika Ada Orang Hendak Melintas di Hadapan Kita Ketika Solat

Bagaimana Ketika Ada Orang Hendak Melintas di Hadapan Kita Ketika Solat

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Dari hadis Ibn ‘Umar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:solat sebagaimana nabi solat

لَا تُصَلُّوا إِلَّا إِلَى سُتْرَةٍ، وَلَا تَدَعْ أَحَدًا يَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْكَ، فَإِنْ أَبَى فَلْتُقَاتِلْهُ، فَإِنَّ مَعَهُ الْقَرِينَ

“Janganlah kamu solat melainkan dengan menghadap sutrah dan jangan biarkan seorangpun melintas di hadapanmu (di antara dirinya dengan sutrah). Dan apabila orang tersebut tetap berkeras untuk melintas, maka halanglah dia kerana bersamanya ada qarin (syaitan).” (Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 800)

Al-Imam Ibn Khuzaimah meletakkan hadis ini dalam bab: “Larangan Solat Tanpa Menghadap Sutrah.”

Hadis ini selain menjelaskan larangan solat tanpa sutrah, ia turut menjelaskan boleh dan perlunya menghalang orang yang cuba melintas di hadapan kita ketika sedang solat.

Dalam hadis yang lain dari Abi Sa’id, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا مَرَّ بَيْنَ يَدَيْ أَحَدِكُمْ شَيْءٌ وَهُوَ يُصَلِّي فَلْيَمْنَعْهُ، فَإِنْ أَبَى فَلْيَمْنَعْهُ، فَإِنْ أَبَى فَليُقَاتِلْهُ، فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

“Apabila ada sesuatu melintas di hadapan salah seorang di antara kamu yang sedang solat, maka hendaklah dia menghalangnya dari melintas sebanyak dua kali. Apabila dia enggan (yakni tetap juga mahu melintas), maka lawanlah (yakni halang dengan sungguh-sungguh) kerana ia adalah syaitan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3274)

Dalam riwayat yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

“Jika salah seorang dari kamu solat menghadap sesuatu sebagai sutrah yang membatasi dari orang ramai, kemudian ada seseorang yang hendak melintas di hadapannya (antara dia dengan sutrah), maka halanglah ia. Jika ia enggan mengalah maka lawanlah ia (dengan sungguh-sungguh), kerana ia adalah syaitan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 509)

Kata Al-Imam Ibn Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H):

فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ” أَيْ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ مَعَ الَّذِي يُرِيدُ الْمُرُورَ بَيْنَ يَدَيْهِ، لَا أَنَّ الْمَارَّ مِنْ بَنِي آدَمَ شَيْطَانٌ، وَإِنْ كَانَ اسْمُ الشَّيْطَانِ قَدْ يَقَعُ عَلَى عُصَاةِ بَنِي آدَمَ

“Sabda Nabi, “… kerana ia adalah syaitan”, maksudnya adalah syaitan yang berada bersama-sama orang yang melintas di hadapannya tersebut dan bukanlah bermakna orang itu sendiri yang dinamakan syaitan dan penamaan syaitan memang biasa turut ditujukan kepada orang-orang yang menentang dari kalangan bani Adam. (Sebagaimana firman Allah Ta’ala di Surah Al-An’am, 6: 112 – pent.).” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/17)

Dalam Sunan Abi Dawud, hadis daripada Hisyam bin Al-Ghaz daripada ‘Amru bin Syu’aib daripada ayahnya daripada datuknya beliau berkata:

هَبَطْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ ثَنِيَّةِ أَذَاخِرَ فَحَضَرَتِ الصَّلَاةُ – يَعْنِي فَصَلَّى إِلَى جِدَارٍ – فَاتَّخَذَهُ قِبْلَةً وَنَحْنُ خَلْفَهُ، فَجَاءَتْ بَهْمَةٌ تَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ فَمَا زَالَ يُدَارِئُهَا حَتَّى لَصَقَ بَطْنَهُ بِالْجِدَارِ، وَمَرَّتْ مِنْ وَرَائِهِ

“Kami pernah bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menuruni bukit Adzakhir, lalu tibalah waktu solat. Beliaupun melaksanakan solat dengan menghadap dinding yang mengarah ke kiblat, manakala kami berada di belakang beliau (sebagai makmum).

Tiba-tiba ada seekor anak kambing hendak melintas di hadapan beliau, maka beliau pun segera menghalangnya sehingga perut beliau hampir merapat (menyentuh) dinding. Akhirnya anak kambing tersebut melintas melalui belakang beliau.” (Sunan Abi Dawud, no. 708. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Hadis-hadis ini menunjukkan bolehnya bergerak dengan gerakkan yang banyak semata-mata untuk menghalang sesuatu yang melintas di hadapan kita ketika sedang solat walaupun dengan berjalan untuk merapatkan diri dengan sutrah.

Wallaahu a’lam.

Untuk lebih terperini, pembaca boleh meneliti artikel terdahulu berjudul, Sunnah Meletakkan Sutrah dan Larangan Melintas di Hadapan Orang Yang Sedang Solat.