Apabila Mendapat Mimpi Buruk
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُلَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ أَنْ تَكْذِبَ، وَأَصْدَقُهُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُهُمْ حَدِيثًا، وَالرُّؤْيَا ثَلَاثٌ: فَالرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ بُشْرَى مِنَ اللَّهِ، وَالرُّؤْيَا تَحْزِينٌ مِنَ الشَّيْطَانِ، وَرُؤْيَا مِمَّا يُحَدِّثُ بِهِ الْمَرْءُ نَفْسَهُ، فَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يَكْرَهُ، فَلْيَقُمْ، فَلْيُصَلِّ وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا النَّاسَ ” قَالَ: «وَأُحِبُّ الْقَيْدَ وَأَكْرَهُ الْغُلَّ، وَالْقَيْدُ ثَبَاتٌ فِي الدِّينِ» قَالَ أَبُو دَاوُدَ: «إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ يَعْنِي إِذَا اقْتَرَبَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ يَعْنِي يَسْتَوِيَانِ
“Apabila zaman (waktu) terasa dekat [dalam riwayat At-Tirmidzi: Pada akhir zaman…], hampir-hampir mimpi seorang mu’min tidak berdusta. Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling jujur perkataannya. Dan mimpi itu ada tiga keadaan:
1, Mimpi baik yang merupakan khabar gembira dari Allah.
2, Mimpi buruk (atau menyedihkan) yang datangnya dari Syaitan.
3, dan mimpi yang terjadi akibat mainan perasaannya hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.
Jika seorang daripada kalian melihat mimpi yang dia benci, maka bagunglah lalu solat, dan janganlah dia menceritakannya kepada orang.
Berkata Abu Hurairah:
“Aku menyukai mimpi melihat ikatan di kaki dan membenci mimpi melihat leher terbelenggu. Kerana mimpi melihat ikatan di kaki adalah tanda tsabat (keteguhan) di dalam agama.”
Imam Abu Daud berkata:
“Maksud: “zaman (waktu) terasa dekat” adalah malam dan siang terasa sama.” (Sunan Abi Dawud, no. 5019. Sunan At-Tirmidzi, no. 2291)
Dalam hadis yang lain dari hadis Abu Qotadah, beliau berkata, Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الرُّؤْيَا مِنَ اللَّهِ، وَالْحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَنْفُثْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ لِيَتَعَوَّذْ مِنْ شَرِّهَا، فَإِنَّهَا لَا تَضُرُّهُ
“Mimpi yang baik itu dari Allah, manakala mimpi buruk itu dari Syaitan. Jika salah seorang dari kalian melihat sesuatu yang dibenci dalam mimpinya, hendaklah dia meludah ke kiri tiga kali, kemudian mintalah perlindungan kepada Allah dari keburukannya, kerana sesungguhnya ia tidak dapat membahayakannya.” (Sunan Abi Dawud, no. 5021)
Dalam riwayat Muslim di Shahihnya:
الرُّؤْيَا مِنَ اللهِ، وَالْحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلْمًا يَكْرَهُهُ فَلْيَنْفُثْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا، وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْ شَرِّهَا، فَإِنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ
“Mimpi yang baik itu dari Allah, manakala mimpi buruk itu dari Syaitan. Jika salah seorang dari kalian bermimpi sesuatu yang dibenci, hendaklah dia meludah ke kiri tiga kali, kemudian mintalah perlindungan kepada Allah dari keburukannya, kerana sesungguhnya ia tidak dapat membahayakannya.” (Shahih Muslim, no. 2261)
Daripada Abi Qotadah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ مِنَ اللهِ، وَالرُّؤْيَا السَّوْءُ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَمَنْ رَأَى رُؤْيَا فَكَرِهَ مِنْهَا شَيْئًا فَلْيَنْفُثْ عَنْ يَسَارِهِ، وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ، لَا تَضُرُّهُ وَلَا يُخْبِرْ بِهَا أَحَدًا، فَإِنْ رَأَى رُؤْيَا حَسَنَةً، فَلْيُبْشِرْ وَلَا يُخْبِرْ إِلَّا مَنْ يُحِبُّ
“Mimpi yang baik itu dari Allah, manakala mimpi yang buruk itu dari Syaitan. Maka sesiapa yang bermimpi lalu dia membenci sesuatu darinya, maka hendaklah dia meludah ke sebelah kirinya dan memohon perlindungan kepada Allah dari (gangguan) Syaitan. Tidaklah mimpi itu membahayakannya dan janganlah dia menceritakan kepada siapa pun. Jika seseorang bermimpi suatu yang baik, maka bergembiralah dan jangan dia ceritakan melainkan kepada siapa yang dia cintai.” (Shahih Muslim, no. 2261)
Dari hadis Jaabir, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا، فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ ثَلَاثًا، وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ
“Apabila salah seorang daripada kalian bermimpi sesuatu yang dia benci, maka hendaklah dia meludah ke sebelah kiri sebanyak tiga kali dan memohon perlindungan kepada Allah dari (gangguan) Syaitan sebanyak tiga kali. Dan hendaklah dia mengubah posisi tidurnya dari posisi sebelumnya.” (Shahih Muslim, no. 2262)
Wallahu a’lam.