Apa Yang Diucapkan Ketika Hendak Makan Atau Minum?

Apa Yang Diucapkan Ketika Hendak Makan Atau Minum?

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:before_eat

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ، فَذَكَرَ اللهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ، وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ، فَلَمْ يَذْكُرِ اللهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ، وَإِذَا لَمْ يَذْكُرِ اللهَ عِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ

“Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya lalu dia berzikir kepada Allah (menyebut nama Allah) ketika dia masuk dan ketika dia makan, maka  syaitan pun berkata (kepada kaum kerabatnya):

“Tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam untuk kamu semua.”

Apabila dia masuk tanpa berzikir kepada Allah ketika dia masuk, maka syaitan pun berkata:

“Kamu semua akan mendapat tempat bermalam.”

Apabila dia tidak berzikir kepada Allah (menyebut nama Allah) ketika makan, maka syaitan pun berkata:

“Kamu semua akan mendapat tempat bermalam berserta makan malam.”.” (Shahih Muslim, no. 2018. Abu Dawud, no. 3765)

Dari Hudzaifah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كُنَّا إِذَا حَضَرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا لَمْ نَضَعْ أَيْدِيَنَا حَتَّى يَبْدَأَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعَ يَدَهُ، وَإِنَّا حَضَرْنَا مَعَهُ مَرَّةً طَعَامًا، فَجَاءَتْ جَارِيَةٌ كَأَنَّهَا تُدْفَعُ، فَذَهَبَتْ لِتَضَعَ يَدَهَا فِي الطَّعَامِ، فَأَخَذَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهَا، ثُمَّ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ كَأَنَّمَا يُدْفَعُ فَأَخَذَ بِيَدِهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ الشَّيْطَانَ يَسْتَحِلُّ الطَّعَامَ أَنْ لَا يُذْكَرَ اسْمُ اللهِ عَلَيْهِ، وَإِنَّهُ جَاءَ بِهَذِهِ الْجَارِيَةِ لِيَسْتَحِلَّ بِهَا فَأَخَذْتُ بِيَدِهَا، فَجَاءَ بِهَذَا الْأَعْرَابِيِّ لِيَسْتَحِلَّ بِهِ فَأَخَذْتُ بِيَدِهِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، إِنَّ يَدَهُ فِي يَدِي مَعَ يَدِهَا

“Kami dahulu, jika kami hadir makan bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kami tidak meletakkan tangan kami (kepada makanan) sampailah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam terlebih dahulu meletakkan tangannya. Dan bahawa pernah suatu masa kami hadir makan bersama-sama beliau, lalu datanglah seorang perempuan kecil yang seakan-akan didorong oleh sesuatu lalu dia cepat-cepat untuk meletakkan tangannya pada makanan. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun memegang tangannya. Kemudian datang pula seorang ‘Arab Badwi yang seakan-akan didorong oleh sesuatu, maka Rasululah pun memegang tangannya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Sesungguhnya Syaitan menghalalkan makanan (untuknya, yakni turut serta makan) jika padanya tidak disebutkan nama Allah. Syaitan itu datang bersama perempuan kecil ini agar dapat makan bersamanya, maka aku pun mengambil tangannya. Lalu kemudian Syaitan datang pula bersama ‘Arab Badwi ini agar dapat makan bersamanya, maka aku pun mengambil tangannya. Demi Dzat yang jiwaku berada di Tangan-Nya, sesungguhnya tangan Syaitan berada dalam genggaman tanganku bersama dua tangan mereka.”

Dalam riwayat yang lain, ada tambahan:

ثُمَّ ذَكَرَ اسْمَ اللهِ وَأَكَلَ

“Kemudian beliau pun menyebut nama Allah lalu makan.” (Shahih Muslim, no. 2017)

Di riwayat yang lain dari hadis Hudzaifah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَسْتَحِلُّ الطَّعَامَ الَّذِي لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

“Sesungguhnya Syaitan menghalalkan makanan yang tidak disebut nama Allah padanya.” (Sunan Abi Dawud, no. 3766. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Hadis-hadis ini mengandungi dalil yang menjelaskan apabila kita makan tanpa mengingat Allah atau dengan tanpa membaca bismillah (yakni tanpa mengucapkan dzikir/doa yang disunnahkan sebagaimana akan dipaparkan), maka syaitan akan turut serta makan bersama-sama tanpa kita sedari. Dan dari hadis-hadis ini juga menjelaskan bahawa setiap orang masing-masing hendaklah membaca bismillah.

Asy-Syaikh Amir ‘Ali Yasin mengatakan:

ظاهر الأحاديث المتقدمة أن تسمية سنة عينية، لا يجزئ فيها واحد عن غيره، يشهد لهذا قصة الأعرابي الذي أكل الطعام بلقمتين، فلو كانت تسمية النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وحده مجزئة، لما ذهبت بركة الطعام

“Zahir hadis-hadis terdahulu (yang telah disebutkan) telah menunjukkan membaca tasmiyyah merupakan sunnah ‘ainiyyah (per individu), ucapan seseorang tidak mewakili yang lainnya. Telah kita lihat dalil bagi hal ini dari kisah ‘Arab Badwi yang makan makanan dengan dua suapan. Maka kalau seandainya tasmiyyah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam seorang telah mewakili bagi yang lainnya, nescaya keberkahan makanan tidak menghilang.” (Al-Adzkar dengan tahqiq Amir ‘Ali Yasin, m/s. 428)

Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى، فَإِنْ نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

“Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka sebutlah nama Allah Ta’ala (yakni mengucapkan, “Bismillaah.”). Jika dia terlupa untuk menyebut nama Allah Ta’ala di awalnya, hendaklah dia mengucapkan:

بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

Bismillaahi awwalahu wa aakhirahu (dengan nama Allah di awal dan akhirnya).”.” (Sunan Abi Dawud, no. 3767. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Atau dalam lafaz yang lain, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

“Apabila salah seorang dari kamu makan, maka ucapkanlah, “Bismillaah (dengan nama Allah).”

Jika dia terlupa mengucapkan di awalnya, maka ucapkanlah:

بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Bismillaahi fi awwalihi wa aakhirihi (dengan nama Allah di awalnya dan di akhirnya).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1858. Sunan Ibn Majah, no. 3264)

Di hadis yang lain, dari ‘Umar bin Abi Salamah, beliau berkata, “Ketika aku masih kecil aku berada di bawah jagaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Pernah ketika makan, tanganku ke sana ke mari. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَا غُلَامُ، سَمِّ اللهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

“Wahai Ghulam (anak kecil, atau anak muda), sebutlah nama Allah (bismillah), makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah makanan yang dekat denganmu.” Maka begitulah cara (adab) aku makan setelah itu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5376. Muslim, no. 2022)

Dalam hadis yang lain lagi, Seorang lelaki yang menjadi pelayan kepada Rasulullah mengatakan:

أنه كان يسمع النبي صلى الله عليه و سلم إذا قرب إليه طعاما يقول: بسم الله

“Bahawasanya beliau mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila makanan didekatkan (dihidangkan) kepadanya, maka beliau pun mengucapkan: “Bismillah”.” (lihat: Kalim Ath-Thayyib oleh Ibn Taimiyyah, no. 190. Dinilai sahih isnadnya oleh Al-Albani)

Dari hadis ini menjelaskan bahawa yang disunnahkan ketika membaca doa makan itu adalah secara individu (sendiri-sendiri) sebagaimana yang dicontohkan dan diperintahkan oleh Nabi, bukannya secara jama’ah sebagaimana yang banyak diamalkan oleh sebahagian masyarakat hari ini.

Juga di hadis yang lain, dari Wahsyi bin Harb dari ayahnya dari datuknya bahawa para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا نَأْكُلُ وَلَا نَشْبَعُ، قَالَ: فَلَعَلَّكُمْ تَفْتَرِقُونَ؟ قَالُوا: نَعَمْ، قَالَ: فَاجْتَمِعُوا عَلَى طَعَامِكُمْ، وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ يُبَارَكْ لَكُمْ فِيهِ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan tetapi tidak merasa puas?” Beliau bersabda:

“Mungkin kerana kalian makan sendiri-sendiri.”

Mereka menjawab, “Ya benar.”

Nabi pun bersabda:

“Hendaklah kalian bersama-sama (berjama’ah) ketika makan, dan sebutlah nama Allah atasnya, maka kalian akan mendapat barakah padanya.” (Sunan Abi Dawud, no. 3764. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْكُلُ طَعَامًا فِي سِتَّةٍ مِنْ أَصْحَابِهِ، فَجَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَأَكَلَهُ بِلُقْمَتَيْنِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَمَا إِنَّهُ لَوْ سَمَّى لَكَفَاكُمْ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah makan bersama-sama sejumlah 6 orang sahabatnya. Kemudian datang seorang ‘Arab Badwi, lalu dia makan sebanyak dua suapan. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Adapun kalau seandainya dia menyebut nama Allah (ketika hendak makan), nescaya makanan tersebut cukup bagi kalian.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1858. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Pada hadis-hadis ini menjelaskan bahawa keberkahan dan kecukupan akan dapat dicapai apabila menyebut bismillah ketika hendak makan dan menunjukkan anjuran makan secara berjama’ah.

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852) berkata:

المراد بالتسمية على الطعام قول بسم الله في ابتداء الأكل وأصرح ما ورد في صفة التسمية ما أخرجه أبو داود والترمذي من طريق أم كلثوم عن عائشة مرفوعا

“Adalah yang dimaksudkan dengan tasmiyyah ketika makan di sini adalah mengucapkan “bismillah” pada awal hendak makan.

Dan dalil yang paling tegas tentang maksud bacaan tasmiyah (menyebut nama Allah) ketika hendak makan adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan At-Tirmidzi dari jalan Ummu Kultsum daripada ‘Aisyah, secara marfu’:

إِذَا أَكَلَ أَحَدكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّه، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّله فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

“Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka ucapkanlah “Bismillah”. Jika terlupa menyebutnya, hendaklah dia mengucapkan:

بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Bismillaahi fii awwalihi wa aakhirihi (dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” (Hadis ini terdapat dalam Sunan At-Tirmidzi, no. 1858 dan dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

وله شاهد من حديث أمية بن مخشي عند أبي داود والنسائي

Hadis ini memiliki dukungan (syahid) dari hadis Umayyah bin Makhsyi yang dikeluarkan oleh Abu Dawud dan An-Nasaa’i.” (Fathul Bari oleh Ibn Hajar, 9/521)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

أجمع العلماء على استحباب التسمية على الطعام في أوله ، فإن ترك في أوله عامدا أو ناسيا أو مكرها أو عاجزا لعارض آخر ثم تمكن في أثناء أكله ، استحب أن يسمي ، للحديث المتقدم ، ويقول: – بسم الله أوله وآخره ، كما جاء في الحديث.

والتسمية في شرب الماء واللبن والعسل والمرق وسائر المشروبات كالتسمية في الطعام في جميع ما ذكرناه.

قال العلماء من أصحابنا وغيرهم : ويستحب أن يجهر بالتسمية ليكون فيه تنبيه لغيره على التسمية وليقتدى به في ذلك ، والله أعلم.

“Para ulama telah bersepakat (ijma’) atas dianjurkan bertasmiyyah (membaca bismillah) ketika makan di permulaannya. Maka jika tertinggal mengucapkannya di permulaan makan, kerana sengaja, atau lupa, atau kerana dipaksa, atau kerana tidak mampu (lemah disebabkan sakit), atau kerana sebab-sebab yang lainnya, lalu dia tersedar ketika di pertengahan makan, maka dianjurkan agar dia mengucapkan bismillah berdasarkan hadis yang terdahulu, yakni hendaklah dia mengucapkan:

Bismillaahi awwalahu wa akharahu…” sebagaimana yang terdapat dalam hadis.

Dan bentuk tasmiyyah ketika hendak minum air kosong, susu, madu, kuah, dan seluruh minuman yang lainnya adalah sebagaimana tasmiyyah ketika hendak makan sebagaimana yang telah kami sebutkan dalam seluruh perbahasan.

Para ulama dari kalangan sahabat-sahabat kami (yang bermazhab Asy-Syafi’i) dan selain mereka menganjurkan agar men-jahr-kan (memperdengarkan) bacaan tasmiyyah (yakni menguatkan sedikit suara ketika menyebutkan bismillah) agar dapat mengingatkan yang lain supaya tidak lupa membacanya, dan agar perbuatannya dapat diikuti (sebagai teladan). Wallaahu a’lam.” (Al-Adzkar oleh An-Nawawi, m/s. 427)

Boleh juga mengucapkan dengan doa sebagaimana dalam hadis berikut ini. Dari hadis Ibn ‘Abbaas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ أَطْعَمَهُ اللَّهُ الطَّعَامَ فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ، وَمَنْ سَقَاهُ اللَّهُ لَبَنًا فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ

“Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah dengan makanan, maka ucapkanlah:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ

“Ya Allah, berkahilah kami padanya dan kurniakanlah makanan yang lebih baik lagi.”

Dan sesiapa yang dikurniakan minuman berupa susu oleh Allah, maka ucapkanlah:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ

“Ya Allah, berkahilah kami padanya dan tambahkanlah untuk kami darinya.”.” (Sunan Abi Dawud, no. 3730. Sunan At-Tirmidzi, no. 3455)

Adakah menambah menjadi “Bismillaahirrahmaanirrahiim” lebih afdhal?

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan:

وأما قول النووي في أدب الأكل من الأذكار صفة التسمية من أهم ما ينبغي معرفته والأفضل أن يقول بسم الله الرحمن الرحيم فإن قال بسم الله كفاه وحصلت السنة فلم أر لما ادعاه من الأفضلية دليلا خاصا

“Adapun perkataan Al-Imam An-Nawawi rahimahullah pada bab adab makan di kitab Al-Adzkaar, (Al-Imam An-Nawawi mengatakan):

“Sifat (cara) tasmiyyah yang paling penting untuk diketahui dan yang paling afdhal untuk diucapkan (ketika hendak makan) adalah:

بسم الله الرحمن الرحيم Bismillaahirrahmaanirrahiim…”

Tetapi jika hanya mengucapkan bismillah, maka itu juga sudah memadai dan dinilai sudah melaksanakan sunnah…”

Tetapi aku tidak melihat adanya dalil yang mengkhususkan sisi keutamaan (menambah menjadi bismillaahirrahmaanirrahiim) sebagaimana yang didakwakan oleh Al-Imam An-Nawawi tersebut.” (Fathul Bari, 9/521)

Maka, apa yang sahih dan bersesuaian dengan sunnah adalah dengan mengikuti sebagaimana yang terkandung di dalam dalil (hadis), yakni cukup dengan mengucapkan bismillah. Maka, inilah yang afdhal (utama) sebagaimana yang dianjurkan dan dicontohkan oleh Nabi.

Doa Makan Yang Masyhur Tetapi Tidak Sahih Dari Nabi

Doa (hadis) yang dimaksudkan tersebut adalah:

أنه كان يقول في الطعام إذا قرب إليه: اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللهِ

“Apabila Nabi dihidangkan dengan makanan, maka beliau pun mengucapkan:

اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللهِ

“Ya Allah berkahilah kami pada apa yang direzekikan untuk kami, dan jauhilah kami dari ‘azab neraka, bismillah.” (Lihat: Al-Adzkar An-Nawawiyah, m/s. 424, no. 674 – Daar Ibn Khuzaimah, Tahqiq: ‘Amir ‘Ali Yasin)

Kata Syaikh Amir ‘Ali Yasin:

“Hadis ini dha’if jiddan (tersangat lemah), diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam Ad-Du’a, no. 888, Ibnu as-Sunni, no. 457, dan Ibnu ‘Adi, 6/2212 dari beberapa jalur, “dari Hisyam bin ‘Ammaar, Muhammad bin ‘Isa bin Sami’ menceritakan kepada kami, “Muhammad bin Abi Az-Zu’aiza’ah, menceritakan kepada kami, daripada ‘Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya…” dengan hadis tersebut.

Sanad hadis ini adalah sanad yang bersangatan lemahnya. Hisyam dan Ibnu Sami’, keduanya dipertikaikan, tetapi masalah yang sebenarnya terletak pada Ibnu Abi Az-Zu’aiza’ah, kerana ia tertuduh pendusta lagi matruk (ditinggalkan hadisnya), dan hadisnya mungkar lagi sangat dha’if (syadid adh-dha’if). Dengannya, hadisnya ini dinilai mungkar oleh Ibnu ‘Adi, Adz-Dzahabi, dan Ibnu Hajar Al-‘Asqalani. (Al-Adzkar An-Nawawiyah dengan tahqiq Amir ‘Ali Yasin, m/s. 424 – Daar Ibn Khuzaimah)

Maka dari itu, hendaklah kita mengutamakan sunnah dan doa-doa yang sahih terlebih dahulu.

Wallaahu a’lam.