Angkara Yahudi, Isra’el Menjadi Mangsa

Angkara Yahudi, Isra’el Menjadi Mangsa

www.ilmusunnah.com

Kerap kali kita melihat, mendengar, atau membaca tajuk-tajuk akhbar, istilah-istilah, atau slogan-slogan seperti:

“Isra’el mengganas.”

“Isra’el membantai kaum muslimin.”

“Isra’el penjajah dunia.”

“Celaka Isra’el.”

“Jahannam Isra’el.”

Bahkan sehingga dimasukkan ke dalam do’a-do’a kaum Muslimin dengan do’a-do’a yang buruk dan laknat.

Demikianlah, sungguh mendukacitakan sekali. Yahudi punya angkara, tetapi nama “Isra‘el” yang menjadi mangsa sehingga dilaknatnya. Sedangkan Isra‘el itu adalah nama yang mulia, milik orang yang dimuliakan. Isra’el ‘alaihis Salam. Lalu mengapa kita menamakan kelompok yang dihinakan (Yahudi) dengan nama yang telah dimuliakan (Isra’el)? Sedangkan Isra’el sendiri berlepas diri dari sikap kaum Yahudi! Yang dihinakan dan dilaknat sebagaimana termaktub dalam kitab adalah Yahudi, bukannya Isra’el. Bukannya ‘Isra‘el la’natullah!

Wahai saudaraku sekalian, berilmu-lah sebelum berkata dan beramal.

Dalam Al-Qur‘an, Allah Ta’ala berfirman:

كُلُّ الطَّعَامِ كَانَ حِلًّا لِبَنِي إِسْرَائِيلَ إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرَائِيلُ عَلَى نَفْسِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ تُنَزَّلَ التَّوْرَاةُ

“Setiap makanan adalah halal bagi Bani Isra‘el (keturunan Isra‘el) melainkan makanan yang diharamkan oleh Isra‘el untuk dirinya sendiri dari sebelum Taurat diturunkan.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 93)

Dalam ayat yang lain, Allah menyebutkan tentang Isra’el yang mana beliau termasuk manusia terpilih dan mendapat petunjuk:

أُولَئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ مِنْ ذُرِّيَّةِ آدَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِنْ ذُرِّيَّةِ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْرَائِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَاجْتَبَيْنَا إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَنِ خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا

“Mereka itu adalah orang-orang yang telah diberi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi dari keturunan Adam, dan dari orang-orang yang Kami angkat bersama Nuh, dan dari keturunan Ibrahim dan Isra’el, dan dari orang-orang yang telah Kami beri petunjuk dan telah Kami pilih. Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur sujud dan menangis.” (Surah Maryam, 19: 58)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menyebutkan dalam Tafsir beliau:

فإسرائيل هو يعقوب عليه السلام، بدليل ما رواه أبو داود الطيالسي: … قال: حضرت عصابة من اليهود نبي الله صلى الله عليه وسلم فقال لهم: “هل تعلمون أن إسرائيل يعقوب؟”. قالوا: اللهم نعم. فقال النبي صلى الله عليه وسلم: “اللهم اشهد

“Maka Isra’el adalah Ya’qub ‘alaihis Salam, berdasarkan dalil yang diriwayatkan oleh Abu Daud ath-Thayalisi… …(Daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma), “Sekumpulan orang-orang Yahudi datang menghadap kepada Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka Nabi berkata kepada mereka:

“Adakah kalian mengetahui bahawa Isra’el adalah Ya’qub ‘alaihis Salam?” Maka mereka menjawab, “Ya Allah, benar.” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata: “Ya Allah, saksikanlah.” (Tafsir Ibnu Katsir, 1/241)

Dalam Musnad Ahmad, ada hadis di mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertanya kepada sekumpulan Yahudi:

فَأَنْشُدُكُمْ بِاللهِ الَّذِي أَنْزَلَ التَّوْرَاةَ عَلَى مُوسَى، هَلْ تَعْلَمُونَ أَنَّ إِسْرَائِيلَ يَعْقُوبَ عَلَيْهِ السَّلَامُ مَرِضَ مَرَضًا شَدِيدًا فَطَالَ سَقَمُهُ

“Maka aku bertanya kepada kalian dengan nama Allah yang telah menurunkan Taurat ke atas Musa, adakah kalian mengetahui bahawa Isra’el adalah Ya’qub ‘alaihis Salam di mana beliau pernah mengalami sakit yang kuat untuk tempoh yang lama…” (Musnad Ahmad, no. 2471. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)

Demikian juga sebagaimana yang disebutkan oleh Imam ath-Thabari rahimahullah (Wafat: 310H):

يعني بقوله جل ثناؤه:”يا بني إسرائيل” ولد يعقوب بن إسحاق بن إبراهيم خليل الرحمن وكان يعقوب يدعى”إسرائيل”، بمعنى عبد الله وصفوته من خلقه. و”إيل” هو الله، و”إسرا” هو العبد، كما قيل:”جبريل” بمعنى عبد الله. وكما: عن ابن عباس: أن إسرائيل كقولك: عبد الله

“Maksud “bani Isra’el” adalah anak keturunan Ya’qub B. Ishaq B. Ibrahim Khalilurrahman (kekasih dekat yang maha Penyayang). Ya’qub dipanggil dengan nama Isra’el dengan makna hamba Allah dan Dia memilihnya dari kalangan hamba-Nya. Berasal dari kata ‘il (إيل) yang bermaksud Allah, dan Isra (إسرا)  yang bermaksud hamba. Sebagaimana Jibrail yang juga bermaksud hamba Allah. Dan sebagaimana diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas: Bahawasanya Isra’el bersamaan dengan hamba Allah.” (Tafsir ath-Thabari, 1/553 – Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir)

Kemudian Imam asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H) menguatkan lagi hal ini dalam Tafsir beliau, Fathul Qadir:

تفق المفسرون على أن إسرائيل هو يعقوب بن إبراهيم عليهم السلام، ومعناه: عبد الله؛ لأن ” إسر ” في لغتهم هو: العبد، ” وإيل ” هو : الله ، قيل: إن له اسمين . وقيل: إسرائيل لقب له، وهو اسم عجمي غير منصرف

“Al-mufassirun (para ahli tafsir) telah ittifaq (sepakat) atas makna Isra’el, beliau adalah Ya’qub B. Ishaq B. Ibrahim ‘alaihimussalam. Dan maknanya adalah hamba Allah, yg mana إسر dalam bahasa mereka ia adalah hamba, dan إيل adalah Allah. Dikatakan juga beliau memiliki dua nama (Ya’qub dan Isra’el) dan dikatakan Isra’el adalah laqab (gelaran) bagi beliau dan merupakan nama selain ‘arab yang tidak dapat ditashrif.” (Asy-Syaukani, Fathul Qadir, 1/84)

Penamaan kelompok Yahudi dengan nama Isra’el

Walaupun Yahudi adalah keturunan Nabi Ya’qub ‘alaihis Salam (Isra’el), tetapi hakikatnya mereka tidak berhak ke atas nama-nama mulia tersebut. Mereka sengaja menggunakan nama Isra’el, sedangkan hakikatnya Isra’el berlepas diri dari setiap kekejian yang sinonim dengan ke-Yahudi-an mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

“Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang hanif (lurus) lagi seorang muslim (yang berserah diri), dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 67)

Dalam ayat seterusnya:

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ

“Sesungguhnya orang yang paling berhak terhadap Ibrahim adalah orang-orang yang mengikutinya dan Nabi ini, beserta orang-orang yang mukmin, dan Allah adalah wali (pelindung) bagi kaum mukminin.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 68)

Nama Isra’el adalah nama yang mulia, iaitu nama Nabi Ya’qub B. Ishaq B. Ibrahim ‘alaihimus Salam dan Allah memuji beliau dalam banyak tempat di dalam Al-Qur’an. Sungguh tidak tepat nama yang mulia ini dinisbahkan untuk suatu kelompok yang keji lagi terkutuk.

Sebagaimana kita menafikan penisbahan nama ‘Isa ‘alaihis Salam sebagai tuhan (atau anak tuhan) di sisi kaum Nashara, demikianlah juga kita menafikan nama Isra’el untuk penamaan wilayah haram terkutuk dan kelompok keji dari kalangan Yahudi tersebut. Menisbatkan ‘Isa sebagai tuhan, dan nama Isra’el untuk golongan Yahudi serta wilayah haram mereka, ini semua adalah termasuk dusta atas nama para Nabi.

Istilah Yang Tepat

Gunakanlah istilah yang tepat, iaitu sebagaimana yang telah Allah Subhanahu wa Ta’ala tunjukkan untuk kita di dalam al-Qur’an. Juga sebagaimana yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikan sebagaimana dalam hadis-hadisnya.

Apa yang Allah dan rasul-Nya istilahkan untuk mereka? Adakah Isra’el? Tidak bukan…

Maka, dahulukanlah istilah yang ditunjukkan oleh nash-nash wahyu. Janganlah kita terikut-ikut dengan istilah-istilah yang diada-adakan oleh musuh-musuh Islam seperti Yahudi ini untuk menipu-daya umat Islam.

Ketahuilah bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengingatkan:

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

“Orang-orang Yahudi dan Nashaara tidak akan senang kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).” Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kehendak mereka setelah pengetahuan datang kepada kamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, 2: 120)

Demikianlah yang terbuku di lubuk hati-hati mereka dari kalangan musuh-musuh Islam dari kalangan Yahudi dan Nashaara. Sehinggalah hal yang mungkin dianggap kecil sebahagian pihak seperti persoalan istilah seperti ini pun cuba mereka selewengkan sampai-sampai begitu ramai sekali umat Islam yang terpedaya dan terikut-ikut rentak permainan mereka. Yang akhirnya umat Islam pun terlalaikan dari istilah yang benar yang syar’i.

Ingatlah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:

وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لاَ يُلْقِى لَهَا بَالاً يَهْوِى بِهَا فِى جَهَنَّم

“Sesungguhnya ada seorang hamba yang mengucapkan satu kalimat (perkataan) yang mendatangkan murka Allah, diucapkan tanpa dikawal yang dengan perkataan tersebut telah menjerumuskannya ke Jahannam.” (Shahih al-Bukhari, no. 6478)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِنْد اللَّه عَظِيم

“Mereka menyangka itu adalah ringan, sedangkan ia di sisi Allah adalah besar.” (Surah an-Nuur, 24: 15)

Banyak contoh boleh dipaparkan berkaitan penyelewengan istilah dan penisbahan seumpama ini. Antaranya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda tentang larangan menamakan solat isya’ dengan nama yang lain, walaupun ia hanya sekadar istilah saja yang mana hakikat maksudnya adalah sama. Kata Nabi:

لَا يَغْلِبَنَّكُمْ الْأَعْرَابُ عَلَى اسْمِ صَلَاتِكُمْ، فَإِنَّهَا الْعِشَاءُ، إِنَّمَا يَدْعُونَهَا الْعَتَمَةَ، لِإِعْتَامِهِمْ بِالْإِبِلِ لِحِلَابِهَا

“Janganlah kalian mengikuti orang-orang arab badwi dalam menamakan solat kalian. Sesungguhnya ia adalah solat Isya’, manakala orang badwi menamakan solat Isya’ dengan al-‘atamah kerana mereka mengakhirkan (melewatkan) memerah susu unta sampai masuknya waktu malam.” (Musnad Ahmad, no. 4688. Dinilai sahih isnadnya oleh Syu’aib al-Arnauth)

Al-‘atamah adalah waktu 1/3 malam yang awal. Dari hadis ini dapat kita perhatikan adalah disunnahkan agar kita menggunakan penamaan atau istilah-istilah yang telah sedia ditunjuk-ajarkan oleh Allah dan Rasul-Nya pada tempatnya.

Demikianlah penamaan bagi kelompok Yahudi itu adalah Yahudi, penamaan dengan nama Yahudi disebutkan pada banyak tempat di dalam al-Qur’an juga di dalam dalil-dalil hadis. Allah Ta’ala serta Rasul-Nya telah melaknat mereka (atau mencelanya) dengan nama Yahudi atas sebab kekejian-kekejian yang mereka lakukan, tetapi tiada satupun disebut dengan penamaan Isra’el (nama nabi yang mulia).

Tidak sepatutnya bagi kita apabila Allah telah menamakan mereka dengan suatu nama, telah melaknat, telah memurkai mereka, dan mencela mereka dengan suatu nama, lalu kemudian kita menukarnya dengan nama-nama yang lain, lebih-lebih lagi dengan nama seorang Nabi yang mulia.

Kata Syaikh Dr. Rabe’ B. Hadi al-Madkhali hafidzahullah:

لقد ذم الله اليهود ف القرآن كثيراً ولعنهم وحدثنا عن الغضب عليهم لكن باسم اليهود وباسم الذين كفروا من بني إسرائيل لا باسم اسرائيل النبي الكريم يعقوب ابن الكريم إسحاق نبي الله ابن الكريم إبراهيم خليل الله عليهم الصلاة والسلام!

ليس لهؤلاء اليهود أي علاقة دينية بنبي الله إسرائيل (يعقوب عليه السلام) و لا بإبراهيم خليل الله عليه الصلاة والسلام ولاحق لهم في وراثتهما الدينية إنما هي خاصة بالمؤمنين

“Sungguh Allah telah mencela orang-orang Yahudi di dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an, melaknat mereka, dan mengkhabarkan kepada kita kemurkaan-Nya atas mereka dengan menyebutkan nama Yahudi, dan nama orang-orang kafir dari Bani Isra’el, bukan atas nama Isra’el, seorang nabi yang mulia Ya’qub, anak seorang yang mulia Ishaq Nabiyullah, anak seorang yang mulia, Ibrahim Khalilullah ‘alaihimush-sholatu was Salam.

Orang-orang Yahudi tidak memiliki kaitan keagamaan dengan Nabiyullah Isra’el (Ya’qub ‘alaihis Salam) sama sekali, dan tidak juga dengan Ibrahim Khalilullah ‘alaihish-sholatu was Salam, dan mereka juga tidak memiliki hak terhadap agama yang diwariskan oleh kedua Nabi tersebut. Akan tetapi (warisan agama keduanya) itu hanya khusus bagi kaum mukminin (yang beriman) saja.” (Website Syaikh Rabe’: http://www.rabee.net/show_book.aspx?pid=3&bid=52&gid=)

Kita tidaklah mengingkari bahawa Yahudi merupakan anak cucu nabi Ibrahim dan Isra’il, akan tetapi, kita sebagai kaum yang beriman dengan al-Qur’an dan as-Sunnah telah menetapkan bahawa Yahudi adalah tergolong musuh-musuh Allah dan para Rasul-Nya, di antaranya: Muhammad, Ibrahim, dan Isra’il ‘alaihimush Sholatu was Salam, dan umat Islam juga menetapkan bahawa tidak ada warisan di antara para nabi dengan musuh-musuh mereka dari kalangan orang-orang kafir, sama ada Yahudi, Nashaara, atau dari kalangan musyrikin arab dan selain mereka.

Sesungguhnya orang yang paling dekat dengan Ibrahim dan seluruh para nabi adalah kaum muslimin yang beriman kepada mereka, mencintai dan memuliakan mereka, beriman dengan segala yang diturunkan kepada mereka berupa kitab-kitab dan shuhuf, yang mana kaum muslimin menganggap hal tersebut sebagai prinsip dasar agama, dan kaum muslimin adalah para pewaris para nabi dan orang-orang yang paling dekat dengan mereka.

Wallahu a’lam.