Amankah Demonstrasi Di Bumi Mesir?

Amankah Demonstrasi Di Bumi Mesir?

Abu Numair
www.ilmusunnah.com
15/02/2011

Februari 2011 – Setakat hari ini, krisis Mesir masih terus berlarutan biarpun Housni Mubarak telah memaklumkan perletakan jawatannya selaku presiden negara tersebut. Bersoraklah para ahli demonstrasi di sana berserta para pendukungnya di serata dunia. Dalam masa sama, siapa yang bakal menggantikannya masih tidak diketahui. Dalam siri demonstrasi kedua pula kini mereka menuntut hak demokrasi (kesamarataan pengundian) yang juga bukan suatu yang benar di sisi Islam.

Belum pun reda gelombang di Mesir, kini bangkit pula rakyat di Yaman dan Algeria. Demikian fenomena demonstrasi yang muncul di sana-sini seiring dengan berkobarnya fitnah akhir zaman sebagaimana banyak dikhabarkan dalam hadis-hadis Nabi.

Seruan-seruan demonstrasi ini bukanlah suatu yang lahir dari anjuran sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedikit pun. Tidak pula dianjurkan oleh para sahabat dan ulama yang mengikuti mereka dengan baik. Sebaliknya ia muncul melalui idea dan tangan-tangan ghaib golongan kuffar dan ahli bid’ah, lalu ia dihias menggunakan slogan “Keamanan”, “Kebebasan Bersuara”, “Hak Asasi Manusia”, dan “Keadilan Sejagat” sehingga umat Islam pun ramai yang terpesona lalu terpedaya.

Di ketika masyarakat sedang marah dan emosi, seruan tersebut datang dihambur massa tepat mengena sasarannya. Menjadikan masyarakat hilang pertimbangan lantas turun ke jalan-jalan! Demikianlah apabila agama ditancapkan di atas paksi emosi berkiblatkan ideologi kuffar dan ahli bid’ah. Hadis-hadis Nabi tidak lagi dibaca melainkan dicari bagi tujuan menghalalkan cara melepaskan dendam amarah.

Hari ini, mereka yang berdegil menghalalkan demonstrasi jalanan ini berdalih dengan slogan “Demonstrasi Aman” pula. Ironinya, apakah spesifikasi aman yang mereka maksudkan? Dan dari manakah mereka mengambil definisi tersebut?

Apakah dikatakan aman apabila batas-batas Allah dilanggar semahunya? Apakah dengan menjadikan lumpuhnya sistem pentadbiran sesebuah negara itu boleh dikatakan aman? Kehidupan masyarakat awam terganggu, ketakutan menghantui, perintah darurat dikuat-kuasakan, jenayah berlaku di sana sini, pergaduhan dan pembunuhan serta pertumpahan darah berlaku tanpa kawalan, gejala ikhtilath (percampuran lelaki dengan perempuan) dan budaya menjerit-jerit berlaku dalam kalangan para pendemonstrasi, rusuhan dan kerosakan harta-benda tidak lagi dapat dielakkan, trauma dan gangguan emosi menyerang sebahagian masyarakat, sehingga sebahagian besar pelajar kita sendiri terpaksa dipindahkan dengan belanja yang bukan sedikit. Budaya caci-mencaci dan saling mencerca pula menjadi subur. Inikah yang mahu dikatakan aman?

Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

“Seseorang Muslim (yang sempurna keislamannya) ialah apabila Muslim yang lain selamat dari keburukan lidah dan tangannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 10)

Kebutaan dan kejahilan apakah yang menutupi mata dan hati-hati mereka sehingga gagal melihat kemudharatan yang menimpa ini? Inikah pembaharuan yang diperjuangkan sehingga mengusahakan menolak mudharat dengan mudharat yang lain?

Ada pula di antara mereka yang menggelarkannya sebagai aksi jihad dan kematian yang diraih adalah syahid?! Subhanallah, bendera jihad mana yang mereka perjuangkan? Adakah perbuatan yang begitu jauh dari nilai-nilai agama ini dianggap jihad manakala matinya dianggap syahid?

Hala-tujunya di sisi agama sendiri tidak jelas sama-sekali! Mereka keluar atas dasar kemarahan sedangkan kesatuan mereka atas nama agama (tauhid) begitu rapuh lagi terpinggir. Mereka menyatakan sebagai menuntut hak, tetapi dalam masa sama mereka sendiri melupakan hak-hak Allah dan hak-hak manusia yang lainnya.

Al-Imam Al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah (Wafat: 544H) ada menyebutkan sebahagian adab dan prinsip mengubah kemungkaran secara umum. Beliau berkata:

“Dalam mengubah kemungkaran, seseorang hendaklah dengan sedaya upaya berlemah-lembut terhadap orang yang jahil serta terhadap orang yang bersifat kuku besi dan zalim, di mana sangat dibimbangi kejahatannya yang mampu membahayakan. Kerana dengan cara lemah-lembutlah sebuah amar ma’ruf nahi mungkar (atau teguran) lebih mudah untuk diterima. Begitu juga teguran terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh mereka yang berkedudukan.”

Beliau berkata lagi:

“Selain itu, pada keadaan tertentu, mengubah kemungkaran juga diperlukan dengan tangan jika pelaku tersebut berterusan dalam kesesatan dan kezaliman. Tetapi sekiranya dia yakin bahawa mengubah kemungkaran dengan tangan dapat menyebabkan kemungkaran yang lebih dahsyat lagi seperti kematiannya atau terbunuhnya orang lain, maka dia wajib menahan tangannya dan cukup sekadar dengan lisan atau peringatan. Selain itu, jika perkara yang sama juga dijangkakan berlaku (mengganggu keselamatan diri dan orang lain), maka cukup untuk dia mengubah kemungkaran dengan hatinya.” (Syarh Shahih Muslim, 2/25)

Demikianlah kaedah yang didukung oleh para ulama ahli sunnah wal-jama’ah dalam melaksanakan tanggungjawab amar ma’ruf nahi mungkar secara umum. Iaitu dengan mengharapkan kebaikan (kemaslahatan) dan dengan sedaya-upaya mengelakkan keburukan yang lain pula dari timbul. Tetapi apa yang berlaku hari ini, sebahagian dari kita sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan nafsu kemarahan sendiri tanpa mempedulikan keselamatan dan nyawa orang lain. Sudahlah tidak mempedulikan orang lain, menggadaikan pula prinsip-prinsip agama. Fahamilah bahawa niat untuk meraih kebaikan, sama sekali tidak boleh dijadikan sebagai hujjah untuk menghalalkan cara dan tindakan.

Lebih-lebih lagi, Islam telah menggariskan kaedah dan prinsip bagaimana untuk bermu’amalah terhadap para pemerintah yang kita duduk di bawah naungannya sama ada mereka ini adil mahupun sebaliknya.

Walaupun di sana terdapat sebilangan ulama yang berpendapat bahawa pemerintah yang zalim dan tidak mempedulikan peringatan boleh dilucutkan jawatannya, tetapi perkara ini perlu diperhalusi dengan baik. Ini antaranya sebagaimana perkataan Al-Imam Al-Haramain:

“Apabila kejahatan dan kezaliman seseorang pemimpin negara bermaharaja-lela, dan ia tidak mengendahkan sebarang peringatan dan nasihat, maka Ahlu Hal wa al-‘Aqd (para ulama dari kalangan syura) berhak untuk melucutkannya walaupun akan menimbulkan kekacauan.”

Tetapi perkataan ini dikritik oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah dengan katanya:

“Pendapat yang disebutkan oleh imam Al-Haramain berkenaan melucutkan jawatan seseorang pemimpin adalah pendapat yang gharib (asing dan aneh). Sebab masih ada cara lain untuk mengubahnya yang tidak menimbulkan mafsadah (kerosakan) yang lebih besar padanya.” (Syarh Shahih Muslim, 2/25-26)

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) juga turut menukilkan perkataan Imam Ad-Dawudi:

“Yang menjadi kewajiban ulama kepada para pemimpin yang zalim sekiranya ia mampu untuk melucutkannya dari kedudukannya tanpa menimbulkan fitnah (kekacauan) dan kezaliman, maka ia wajib melakukannya. Sebaliknya sekiranya tidak mampu, maka wajib untuk bersabar.” (Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, 13/8)

Dari perkataan sebahagian ulama tersebut dapat kita lihat bahawa mereka yang dibenarkan untuk melucutkan jawatan pemerintah adalah para ulama (dari kalangan ahli syura). Ini turut disebutkan oleh Al-Imam Al-Mawardi dalam Al-Ahkam As-Sultaniyah dan Al-Qurthubi dalam Tafsirnya. Sama-sekali ia bukan bidang tugas orang awam. Tindakan ini dilakukan dengan jalan teguran dan nasihat berdasarkan kemampuan dan kerelaan pemerintah secara aman, iaitu tanpa menimbulkan fitnah serta huru-hara. Sekiranya pemimpin tetap berkeras untuk tidak meletakkan jawatannya, maka para rakyat tetap perlu bersabar dan bersikap taat (secara makruf) selagi mana pemerintah tersebut tetap melaksanakan syi’ar solat dan menzahirkan keislamannya biarpun ia bersikap zalim dan fasiq.

Demikianlah padangan para ulama yang teguh dalam melazimi Al-Qur’an dan As-Sunnah di atas manhaj salaf dengan mendahulukan kemaslahatan berbanding kemudharatan. Iaitu bukan dengan bertindak keluar ke jalan-jalan melakukan demonstrasi bersama slogan-slogan pembakar emosi, cacian, dan makian. Tidak juga menyeru untuk berdemonstrasi bersama-sama kaum wanita sehingga timbulnya ikhtilath, juga bersama-sama orang awam dan kaum kuffar yang mengakibatkan timbulnya pelbagai mudharat serta kekacauan.

Dalam soal ketaatan terhadap pemerintah ini sama ada yang adil atau yang fasiq, tidak sedikit perkataan para ulama yang menegaskan berlangsungnya ijma’ (kesepakatan ahli sunnah wal-jama’ah).

Ini antaranya sebagaimana disebutkan oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah dengan katanya:

“Ahli Sunnah telah sepakat (ijma’) bahawa seseorang pemimpin itu tidak boleh dilucutkan kerana sebab kefasikannya. Adapun pendapat yang disebutkan dalam kitab-kitab fiqh oleh (sebahagian) dari sahabat kami bahawa pemimpin itu boleh dilucutkan, begitu juga dengan pendapat kelompok muktazilah, maka pendapat tersebut adalah salah (keliru), kerana ianya bertentangan dengan ijma’.

Para ulama mengatakan, “Adapun sebab dibiarkan seseorang pemimpin dan pengharaman pemberontakan (khuruj) kepadanya adalah dibimbangi akan timbul pelbagai fitnah disebabkan perbuatan tersebut, pertumpahan darah, dan rosaknya hubungan di kalangan masyarakat.” Dengan perbuatan tersebut, kerosakan yang sangat besar akan muncul akibat melucutkan pemimpin, berbanding sekiranya pemimpin tetap meneruskan kepimpinannya.” (Syarh Shahih Muslim, 12/229)

Penegasan ijma’ seperti ini turut dinukilkan daripada perkataan Imam Ibnu Baththal, Al-Qadhi ‘Iyadh, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Katsir, dan Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahumullaah.

Mereka menjelaskan bahawa ijma’ ini ditetapkan pada fasa tabi’in setelah berlakunya pelbagai peristiwa fitnah pemberontakan di era sahabat dan tabi’in. Ini adalah seperti yang banyak berlaku di era pentadbiran Khalifah ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, Yazid bin Mu’awiyah, Abdul Malik bin Marwan, Al-Hajjaj bin Yusuf Ats-Tsaqafi, dan ‘Abdulah bin Az-Zubair.

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah:

“Sebagaimana yang diriwayatkan berkenaan pendapat yang menyatakan bolehnya keluar (khuruj) mengangkat pedang (senjata) terhadap para pemimpin yang zalim (tirani). Maka, ini adalah mazhab salaf qadim (mazhab sebahagian orang-orang salaf terdahulu dari minoriti sahabat dan tabi’in disebabkan ijtihad tatkala fitnah (kesamaran) – pent.). Akan tetapi, kemudiannya ada sebuah ketetapan untuk meninggalkan perkara (kefahaman) tersebut, kerana ia menimbulkan kesan yang jauh lebih buruk. Apa yang terjadi dalam peristiwa Al-Harrah dan Ibnu Al-Asy’ats menjadi pengajaran yang baik bagi mereka yang mahu mengambil pelajaran.” (Tahdzib At-Tahdzib, 2/250)

Dan dalam masa yang sama, kesepakatan ini diikat pula dengan banyaknya hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bersifat khusus dalam persoalan bermu’amalah terhadap pemerintah di mana hadis-hadis tersebut memerintahkan kita selaku umat yang beriman untuk menasihati dengan cara yang benar jika mampu, atau mengambil sikap sabar. Lebih-lebih lagi, fenomena ini adalah sebahagian dari tanda-tanda fitnah akhir zaman yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Antaranya beliau pernah bersabda:

إِنَّكُمْ سَتَلْقَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً فَاصْبِرُوا حَتَّى تَلْقَوْنِي عَلَى الْحَوْضِ

“Bahawasanya kamu nanti akan menemui para pemimpin yang tidak memenuhi amanah (kerana mementingkan diri). Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di haudh.” (Shahih Al-Bukhari, no. 4330. Muslim, no. 1061)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah menegaskan dengan katanya:

“Dalam hadis ini mengandungi anjuran untuk mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia seorang yang zalim dan mementingkan diri. Maka berikanlah haknya (sebagai pemimpin) iaitu berbentuk ketaatan, tidak keluar dari mentaatinya, dan tidak menjatuhkannya. Tetapi perbuatan yang perlu dilakukan oleh seseorang muslim adalah bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala supaya Dia menghilangkan gangguan (siksaan) darinya, menolak kejahatannya, dan supaya Allah memperbaikinya (kembali taat kepada Allah dengan meninggalkan kezalimannya).” (Syarh Shahih Muslim, 12/232)

Oleh itu, tetaplah bersungguh-sungguh dalam kesabaran dan kembali kepada Allah. Iaitu sabar terhadap fitnah yang melanda dengan tetap istiqomah di atas kebenaran dan tidak melampaui batas-batas yang telah Allah tetapkan dalam menyikapi fitnah-fitnah dan ujian tersebut.

Seandainya mereka bersabar, nescaya Allah akan membalasnya dengan kebaikan dan menjadikan keberkahan di negeri-negeri mereka serta mengurniakan pemimpin-pemimpin yang baik.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الأرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ

“Dan Kami wariskan kepada kaum yang telah ditindas itu negeri-negeri bahagian timur bumi dan baratnya yang telah Kami beri keberkahan padanya. Dan telah sempurnalah kalimat Tuhanmu yang baik (sebagai janji) ke atas Bani Isra’il DENGAN SEBAB KESABARAN MEREKA. Dan Kami hancurkan apa yang telah dihasilkan Fir’aun dan kaumnya dan apa yang telah dibina oleh mereka.” (Surah Al-A’raaf, 7: 137)

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami KETIKA MEREKA SABAR. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.” (Surah As-Sajdah, 32: 24)

Kemudian, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga mengkhabarkan dengan sabdanya:

إِنَّهُ يُسْتَعْمَلُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ كَرِهَ فَقَدْ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ فَقَدْ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا أَيْ مَنْ كَرِهَ بِقَلْبِهِ وَأَنْكَرَ بِقَلْبِهِ

“Akan diangkat nanti para penguasa untuk kalian. Di mana kalian mengenalinya dan kemudian kalian mengingkarinya (kerana ia telah melakukan maksiat). Sesiapa yang benci, maka ia telah berlepas diri. Sesiapa yang mengingkari (maksiatnya), benar-benar ia telah selamat. Akan tetapi, sebaliknya pula kepada mereka yang redha dan patuh kepada keburukan pemimpin tersebut (dia tidak akan selamat).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kami boleh menentangnya?” Beliau menjawab, “Tidak, selagi mereka masih melaksanakan solat”. Iaitu sesiapa yang membenci dan mengingkari dengan hatinya.” (Shahih Muslim, no. 1854)

Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan melalui katanya:

“Dan hendaklah kalian tetap mendengar (tidak melepaskan ketaatan) kepada pemerintah (ulil amri) selagi mana mereka masih melaksanakan solat dan hendaklah memberi kesetiaan kepada mereka serta tidak khuruj dengan pedang (menjadi pemberontak) terhadap mereka.” (Al-Amru bil Ittiba’ wan Nahi ‘anil Ibtida’ oleh As-Suyuthi, m/s. 313, Tahqiq Masyhur Hasan Salman – Daar Ibnul Qayyim)

Hadis ini memberi kefahaman bahawa suatu masa nanti akan berlaku pengangkatan kepimpinan yang dibenci di kalangan umat Islam. Keduanya, hadis ini memberi indikasi bahawa sesebuah pemerintahan Islam itu tidak tergugur selagi mana syi’ar solat ditegakkan, walaupun padanya terdapat beberapa bentuk kemungkaran dan kefasikan. Ketiganya, hadis ini membatalkan sebahagian pandangan yang menyatakan bolehnya menzahirkan penentangan, kepembangkangan, dan menafikan hak kepimpinan bagi sesebuah negara disebabkan kelemahan tertentu, serta gagal melaksanakan perundangan syari’ah seperti hudud dan qishash. Manakala sebahagian pandangan yang lain ada yang menafikan keabsahan kepimpinan sesebuah negara semata-mata tidak ditegakkan Daulah Khilafah padanya. Pandangan tersasar dan simplistik ini sebenarnya mendekati ciri-ciri kelompok sesat Khawarij, Syi’ah, dan Mu’tazilah pada era awal Islam.

Dari itu, setiap apa yang berlaku sama ada fitnah atau ujian perlulah disikapi dan ditangani dengan berpandukan pedoman wahyu. Bukan ditangani dengan sikap emosi dan kemarahan membelakangi garis panduan anjuran sunnah sehingga menimbulkan fitnah dan keburukan kedua, ketiga, dan seterusnya yang lebih parah.

Bahkan para ulama telah berpesan bahawa setiap apa yang berlaku dari kalangan para pemimpin berupa keadilan atau sebaliknya (ketidak-adilan), ia adalah sebahagian timbal-balas dan cerminan terhadap masyarakat itu sendiri. Secara umumnya, masyarakat Islam menuntut supaya diadakan seorang pemimpin yang baik lagi adil, tetapi dalam masa sama mereka sendiri jauh dari nilai-nilai agama dan banyak mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah. Sehingga tidak asing lagi kalau kita melihat banyaknya maksiat yang mereka lakukan tanpa segan silu, penipuan dalam perniagaan, bergelumang dengan riba’, melazimi cara hidup kaum kuffar dan gemar mengikuti ideologi mereka (tasyabbuh), meremehkan solat, melakukan pelbagai bentuk ajaran bid’ah dalam agama, melazimi kesyirikan dan pelbagai lagi lainnya. Demikianlah sebahagian dari bentuk-bentuk amalan yang disemarakkan oleh sebahagian besar masyarakat Islam hari ini secara umum. Maka tidak hairan jika pelbagai fitnah dan musibah melanda sebagai ujian dan peringatan. Demikianlah sebahagian akibat hasil usaha tangan-tangan mereka sendiri.

Oleh sebab itulah apabila fitnah dan musibah datang melanda, para ulama ahli sunnah wal-jama’ah bangkit mengingatkan umat (rakyat dan pemerintah) supaya segera kembali bertaubat, banyak mengingati Allah, bersungguh-sungguh dalam memurnikan ibadah, dan berdoa. Antaranya sebagaimana disebutkan oleh Al-Imam An-Nawawi di atas tadi.

Prinsip ini dikuatkan lagi dengan penegasan Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) dengan katanya:

“Aku telah menyebutkan di tempat (perbahasan) yang lain bahawa punca kepada masalah yang berlaku  kepada penguasa, kemudian para menterinya, hakim-hakimnya, dan para panglimanya bukan hanya perlu dilihat dari kekurangan pada diri mereka sahaja, akan tetapi kerana kekurangan para penguasa dan rakyat sekaligus, kerana sebagaimana keadaan kamu, maka begitulah akan dijadikan pemerintah untuk kamu. Allah Ta’ala berfirman, “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi wali (pemimpin) bagi sebahagian yang lain.” (Surah Al-An’am, 6: 129).” (Majmu’ Al-Fatawa, 35/20)

Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah menjelaskan ketika mentafsirkan Aurah Al-An’am pada ayat 129 tersebut dengan katanya:

“… Bahawasanya para hamba (masyarakat) itu jika baik dan istiqamah (berada di atas jalan yang benar), maka Allah memperbaiki pemimpin mereka, dan menjadikan untuk mereka pemimpin-pemimpin yang bersikap adil dan insaf. Bukan yang zalim lagi jahat.” (Taisir Karimir Rahman fii Tafsir Kalam Al-Mannan oleh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di, 1/273)

Demikianlah yang dapat kita lihat berlaku dari kalangan para peserta demonstrasi, mereka mahukan keadilan dan agama ditegakkan. Tetapi, mereka sendiri tidak menegakkan agama yang benar dalam diri-diri mereka. Sebaliknya mereka mengabaikan sekian banyak peringatan dan hukum-hukum Allah terhadap diri-diri mereka. Siapa yang tidak tahu bahawa perbuatan pemujaan dan bertawassul terhadap kuburan para imam (ulama) begitu berleluasa di bumi Mesir? Sehingga bukan sedikit kubur yang padanya didirikan tempat (rumah) untuk beribadah dan memohon hajat. Pelbagai amalan tarekat dan kesufian penuh khurafat dibiarkan tumbuh subur. Didukung pula oleh tokoh-tokoh ulama mereka dan masyarakat di sana. Bukankah kesyirikan adalah sebesar-besar kezaliman? Kenapa tidak mereka banteras dengan bersungguh-sungguh?

Mungkin atas sebab itulah, fitnah demonstrasi dan fenomena pemerintahan kuku besi yang akhir-akhir ini dikhabarkan begitu banyak berlaku di sana sini, terutamanya di negara-negara Islam adalah suatu yang perlu diinsafi. Inilah waktu untuk kita semua sama ada masyarakat awam, penuntut ilmu, para  pengkaji, serta barisan pemimpin umat Islam untuk sama-sama bermuhasabah. Berusaha bersungguh-sungguh menghadapinya dengan perasaan penuh insaf mengembalikannya kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Iaitu dengan segera kembali memurnikan ketaatan kepada Allah dan bertaubat. Kerana kemuliaan itu hanya ada bersama agama yang benar. Bukan dengan emosi kemarahan yang miskin dari nilai-nilai ilmu.

Iaitu bukan juga bertindak agresif melawan ketentuan Allah dengan kezaliman dan siri-siri maksiat seterusnya. Bukan pula dengan mencari-cari dalil menghalalkan tindakan demonstrasi yang menyanggahi pedoman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sehingga hadis berkaitan isu mu’amalah dan pertengkaran sesama jiran pun dikaut selagi boleh untuk menidakkan sekian banyak hadis-hadis yang bersifat khusus dalam soal bagaimana seharusnya bersikap terhadap pemerintah.

Hadis yang dimaksudkan antara yang telah dimanipulasi oleh sebahagian pihak tersebut adalah:

قال رجل يا رسول الله، إن لي جاراً يؤذيني، فقال: “انطلق. فأخرج متاعك إلى الطريق”. فانطلق فأخرج متاعه، فاجتمع الناس عليه، فقالوا: ما شأنك؟ قال: لي جار يؤذيني، فذكرت للنبي صلى الله عليه وسلم فقال: “انطلق. فاخرج متاعك إلى الطريق” فجعلوا يقولون: اللهم! العنه، اللهمّ أخزه. فبلغه، فأتاه فقال: ارجع إلى منزلك، فوالله لا أوذيك.

Seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya jiranku menyakitiku.” Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Pulanglah, dan keluarkan barang-barang kamu serta letakkannya di jalan.” Maka lelaki itu pun pulang dan mengambil barang-barangnya lalu meletakkannya di jalan. Maka orang ramai pun berkumpul di sekitarnya sambil bertanya, “Apa yang berlaku kepadamu?” Dia menjawab, “Jiranku menyakitiku lalu aku ceritakannya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau pun berkata, “Pulanglah, dan keluarkan barang-barang kamu serta letakkannya di jalan.”” Maka mereka (orang-orang di situ) pun berkata, “Ya Allah laknatilah dan hinalah dia.” Rupanya dalam masa yang sama perkara tersebut didengari oleh jirannya tersebut. Maka ia pun segera menemuinya dan berkata, “Kembalilah ke rumahmu, demi Allah aku tidak akan menyakitimu lagi.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, no. 124. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Secara umum, menggunakan hadis ini untuk diqiyaskan dengan perbuatan demonstrasi terhadap pemerintah adalah sama-sekali tidak tepat dan bathil. Kerana soal bermu’amalah terhadap pemerintah itu telah ada dalil-dalilnya yang bersifat khusus lagi tersendiri. Sekiranya kita menerima hadis ini (yang khusus dalam persoalan adab sesama jiran), di mana pula kita akan lemparkan kekhususan hadis-hadis berkaitan taat pemerintah tersebut?

Bukankah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengkhabarkan (sebagaimana hadis daripada Hudzaifah Ibn Al-Yaman) berkenaan suatu fitnah yang bakal berlaku di akhir zaman dengan katanya:

يَكُوْن بَعْدِيْ أَئِمَّة لاَ يَهتَدُوْنَ بِهُدَايَ وَلاَ يَسْتَنُوْنَ بِسُنَّتِيْ وَسَيَقُوْمُ فِيْهِمْ رجَال قُلُوْبُهُم قُلُوْبُ الشَّيَاطِيْنَ فِيْ جِثْمَانِ إِنْسِ قَالَ قُلْتُ كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ قَالَ تَسْمَعُ وَتَطِيْعُ لِلْأَمِيْرِ وَإِنْ ضَرَبَ ظَهْرَكَ وَأَخَذَ مَالَكَ فَاسْمَعْ وَأطِعْ

“Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku, dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam bentuk manusia.” Aku (Hudzaifah) bertanya, “Apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku menemuinya?” Beliau menjawab, “(Hendaklah) kamu mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia memukul punggung dan merampas harta-harta kamu, tetap-lah mendengar dan taat.” (Shahih Muslim, no. 1847)

Terdapat banyak lagi hadis-hadis yang bersifat khusus seperti ini yang menuntut kita supaya mengambil sikap sabar dan tetap di atas petunjuk yang benar.

Maka, janganlah sampai sesekali kita terkeliru dalam memahami hadis-hadis dalam hal ini. Sehingga kita tidak lagi memiliki rasa bersalah memaksa-maksa dalil tunduk mengikuti hawa nafsu (takalluf) menghalalkan bid’ah demonstrasi! Sehingga sebahagian masyarakat terpesona lalu terpedaya mengharapkan fenomena di Mesir muncul di Malaysia pula.

Bahkan lebih lucu sekiranya hadis tersebut mahu dipraktikan dalam suasana Malaysia seperti hari ini, sudah tentu mereka akan berhadapan dengan pelbagai pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis-majlis bandaran, pihak polis, dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). Bahkan jalan-jalan raya kita pula memiliki undang-undang lalu lintas yang perlu dipatuhi untuk kemaslahatan umum. Maka kita sama sekali tidak boleh berbuat sesuka hati dan memanipulasi hadis tertentu dengan semudah itu untuk kepentingan hawa nafsu sendiri.

Lebih malang, sebelum mengharapkan apa-apa dari kalangan orang ramai menyumpah, melaknat, dan mencela pemerintah, para peserta demonstrasi itu sendiri pun mungkin akan menghadapi perkara yang sama. Di mana ketika mereka mengganggu kemaslahatan lalu lintas orang awam, mereka juga nanti akan turut disumpah-seranah orang ramai.

Sebaliknya, cara yang benar adalah sepatutnya kita berdoa berlindung dari semua itu. Mengajak masyarakat kepada kebenaran Islam dan menasihati para pemimpin dengan kaedah anjuran nabawi. Bukan bertindak menambah ketegangan menyemarakkan emosi masyarakat melakukan perkara-perkara yang dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala!

Semoga Allah melindungi kita semua dari pelbagai ujian dan fitnah kehidupan ini. Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah-Nya kepada umat Islam dan para pemimpinnya di mana jua mereka berada.

Sesungguhnya amat benarlah janji Allah kepada mereka yang beriman dengan sebenar-benar keimanan dan beramal dengan sebenar-benar amal soleh. Iaitu mereka yang memurnikan tauhid dan penghambaan hanya kepada-Nya. Untuk merekalah kemenangan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan adalah benar bahawa Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah sebelumnya mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mentauhidkan-Ku dengan tidak mensyirikkan Aku. Dan sesiapa yang ingkar setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah An-Nuur, 24: 55)

Ayat ini memberitahu kepada kita, demonstrasi dan revolusilah bagaimana cara sekalipun, tetapi jika tiada iman yang benar dan amal-amal yang sahih, umat Islam tetap tidak akan mulia, takut-takut menjadi lebih terhina. Kerana kemuliaan itu hanya dengan Islam (yang sahih lagi tulen). Sebaliknya, kehinaan itu adalah dengan sebab meninggalkan Islam.

Jadi, usahakanlah keimanan dan amal-amal kebaikan sebagaimana yang diperintahkan. Bukan demonstrasi, kemarahan, rusuhan, dan huru-hara. Jangan biarkan dada-dada kita miskin nilai ilmu, tauhid, dan amal-amal kebenaran sehingga terisi oleh syubhat syaitan berupa api emosi, kebencian, dan kemarahan.

Renung-renungkanlah kembali sejarah Musa dan Harun, di bumi yang sama mereka menghadapi Fir’aun yang selaku sejahat-jahat pemerintah lagi kafir. Allah jua yang menyingkirkannya sehingga lemas di laut merah dan tenggelam dalam gelora api neraka. Begitu juga sebagaimana Allah telah menenggelamkan umat Nabi Nuh dengan banjir yang besar.

Para pemerintah yang zalim lagi jahat yang ada hari ini tidaklah lebih buruk daripada Fir’aun.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Katakanlah, “Wahai Tuhan Yang memiliki kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di Tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 26)

Wallahu a’lam

11 Comments

  1. merepu ler ko ni…

  2. Sanggahan kepada Nawawi (2):

    Penjelasan Dr. Asri

    http://al-fikrah.net/index.php?name=Forums&file;=viewtopic&t;=20270

  3. Aku rasa, tulisan bro nawawi kat atas tu menjawab semula artikel Dr. Asri.

  4. Apakata Tuan Nawawi berbicara pula tentang adakah bertepatan sunnah amalan demokrasi, pilihanraya, ISA dan sebagainya?

  5. tak Nawawi tak boleh kritik ISA sebab itu dari Goverment Sekular.

    Nawawi bila nak ajak Rasul Dahri melawan pemerintah Singapura yang kafir????

  6. sudahlah sesat cuba sesatkan org lain pulak…jadi halallah mubarak membunuh & menghukum ulamak! Halal lah menyekat bantuan ke Gaza? Halal lah mengamalkan raduah? Halal lah kasino di Syam Elsyrek? halal lah berdamai dgn zionis?

  7. Cuba baca bagaimana "Agenda yahudi menakluki dunia". Tidak terpikirkan khita yang ini semua agenda yahudi, revolusi, kenaikan harga minyak, fikirkanlah

  8. kesian orang bila berguru dengna orang bodoh dari singapura… maka jadilah macam mat nawi ini.

    Salafi di Mesir takut nak tulis artikel tentang haram menggulingkan Hosni Mubarak, last sekali tulis artikel tajuk Hosni Mubarak boleh suruh anaknya ganti tempat ayahnya..

    salafi di mana2 atas dunia ini nampaknya bodoh…

  9. MAT
    Yahudi tepuk tangan berjaya menghancurkan negara islam.Rancangan mereka berjaya malah T.E lawrence seorang pancang yg ditugaskan tentulah senyum kalau masih hidup.Pd zaman itu depa menaikan revolusi Arab diketuai oleh Shariff maka berduyunlah2 menentang khalifah Uthmaniah.Tidak terkecuali Malaysia yg sanggup membeli kapal perang khas utk british melawan Uthamaniah.

    Zaman sekarang lagi hebat atas nama ISlam ikhwanul Muslimin memperokperanda negara2 Islam.Fatwa2 songsang mrk bukan sahaja di Mesir juga di Malaysia malah seanatero dunia.

    Pernahkah kita mengkaji siapa di belakang penubuhan Ikwanul Muslimin?
    1.Siapakah pengasas dan Tok Guru Hassan Al Banna.
    2.Mengapa IM beria2 marapatkan saf Islam bersama Syiah?
    3.Mengapa IM membunuh Anwar Sadat?

    Sambil2 minup kopi buatlah edisi siasat dan terakhir jgn lupa?

    Mengapa IM tiada buku Aqidah yg lengkap dan siapakah dibelakang mencetuskan gerakan tauhid mengkafirkan pemerintah islam

  10. Di Malaysia lagi hebat ketua Ikwanul Muslimim sengkatan Alyarham Ustaz Fadzil Noor ditangkap bukan kesalahan memberontak tetapi main belakang.
    Itulah kisahnya dah 2x kena tangkap semuanya bab main belakang malu lah woi..

    Pada zaman tu fatwa memang power Mahathir dah dianggap Firaun zalim jgn cerita la.Malah tiap2 hari solat hajat agar Mahatahir mati didalam menakutkan kira jadi hantu kak limah balik kg la.

    Itu lah sejarahnya berduyun2 golongan Ikwanul Muslimin tunjuk kekuatan berdemonstarsi di kuala lumpur.Tiap2 minggu Berdarah ibukota.IM fatwa pd masa itu polis adalah anjing.Ingat saya itu lah gelaran yg diberikan golongan2 serban yg bertempik2 menyeru jihad diteruskan melawan Mahathir.

    Itu dulu la la sekarang semua dah tidur kerana dapat makan cukup.Rock pun dah masuk kelantan lagi la kuat tidur. Kat Mahkamah sekarang DS anwar berdua je bersama Isteri yg lain semua cabut lari kenapa ………ITULAH GAMBARAN IKWANUL MUSLIMIN…..

Comments are closed.