Akibat Menghina, Mencela dan Mengaibkan Pemerintah

Akibat Menghina, Mencela dan Mengaibkan Pemerintah

www.ilmusunnah.commencela-pemerintah

Ahli sunnah wal-jama’ah menetapkan bahawa wajib memuliakan dan menghormati pemimpin bersesuaian dengan kedudukannya sebagai penguasa, dan tidak boleh mencerca, mencela, menghina, atau merendah-rendahkan kedudukannya sehingga membuka pintu-pintu fitnah di dalam masyarakat.

Para pemerintah kita adalah manusia sebagaimana kita, pasti akan berbuat salah dan silap, saling memerlukan nasihat, bimbingan, doa, serta perlu kepada teguran.

Maka wajib menegur dan menasihati mereka jika mereka berbuat kesalahan, namun tidak boleh dengan cara yang merendah-rendahkan mereka, tidak boleh menjatuhkan wibawa mereka, tidak boleh mempersenda mereka, atau untuk menghinakan mereka di hadapan umum.[1]

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَومٌ مِّن قَوْمٍ عَسَى أَن يَكُونُوا خَيْراً مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاء مِّن نِّسَاء عَسَى أَن يَكُنَّ خَيْراً مِّنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الاِسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki mencela sekumpulan yang lain, boleh jadi yang dicela itu lebih baik dari mereka (yang mencela). Dan jangan pula sekumpulan perempuan mencela sekumpulan yang lainnya, boleh jadi yang dicela itu lebih baik dari mereka (yang mencela). Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Hujuraat, 49: 11)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَحَاسَدُوا، وَلَا تَنَاجَشُوا، وَلَا تَبَاغَضُوا، وَلَا تَدَابَرُوا، وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ، لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ، وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ، كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

“Janganlah kalian saling hasad, janganlah saling menipu, janganlah saling menjauhi, dan janganlah membeli (barangan) yang hendak dibeli orang lain. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara muslim yang lain, tidak boleh ia menzaliminya, enggan membelanya, tidak boleh membohongi dan menghinanya. Taqwa itu di sini (beliau mengisyaratkan ke dadanya tiga kali).

Cukuplah dianggap sebagai keburukan jika seseorang itu menghina dan merendahkan saudaranya yang muslim. Setiap muslim bagi muslim yang lain adalah haram darahnya, hartanya, dan kehormatannya.” (Shahih Muslim, no. 2564)

Dari hadis Abu Barzah Al-Aslami Radhiyallahu anhu, ia berkata, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ، وَلَمْ يَدْخُلِ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ، لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ، وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنِ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعُ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ

“Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya namun imannya tidak masuk sampai ke hatinya! Janganlah kalian mengejek kaum muslimin, dan jangan pula kalian mencari-cari aurat (aib dan keburukan-keburukan) mereka.

Bahawasanya, siapa yang mencari-cari aurat (aib dan keburukan-keburukan) kaum muslimin, maka Allah akan mencari (menyingkap) aurat (aib dan keburukan) mereka. Dan siapa yang disingkap oleh Allah akan aurat (aib dan keburukan)nya, maka akan tersingkaplah ia walaupun dia sedang duduk di dalam rumahnya.” (Musnad Ahmad, no. 19776. Sunan Abi Dawud, no. 4880)

Al-Imam Ibn Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H) mengatakan:

حقٌّ عَلَى العَاقِلِ أَنْ لاَ يَسْتَخفَّ بِثَلاَثَةٍ:العُلَمَاءِ وَالسَّلاَطِيْنِ وَالإِخْوَانِ، فَإِنَّهُ مَنِ اسْتَخَفَّ بِالعُلَمَاءِ ذَهَبَتْ آخِرَتُهُ، وَمَنِ اسْتَخَفَّ بِالسُّلْطَانِ ذَهَبَتْ دُنيَاهُ، وَمَنِ اسْتَخَفَّ بِالإِخْوَانِ ذَهَبَتْ مُرُوءتُهُ

“Hak (kebenaran) bagi seorang yang berakal adalah untuk tidak merendahkan tiga golongan manusia, (yakni);

Para ulama[2], para pemerintah[3], dan para ikhwan (saudara sesama muslim)[4]. Sesiapa yang merendahkan ulama hancurlah akhiratnya, sesiapa merendahkan penguasa hancurlah dunianya, dan sesiapa yang merendahkan saudaranya hilanglah maruahnya.” (Siyar A’lam An-Nubala oleh Adz-Dzahabi, 17/251)

Al-Imam Al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menukilkan dalam Tafsirnya, dari Al-Imam Sahl bin ‘Abdillah At-Tustari rahimahullah (Wafat: 273H), kata beliau:

لا يزال الناس بخير ما عظموا السلطان والعلماء، فإن عظموا هذين أصلح الله دنياهم وأخراهم، وإن استخفوا بِهذين أفسدوا دنياهم وأخراهم

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menghormati sultan (pemimpin) dan para ulama. Maka sekiranya mereka menghormati keduanya ini, Allah akan memberikan kebaikan kepada kehidupan dunia dan akhirat mereka. Dan sekiranya mereka menghina keduanya, maka mereka telah merosak kehidupan dunia dan akhirat mereka sendiri.” (Al-Jaami’ li Ahkamil Qur’an oleh Al-Qurthubi, 5/260)

Al-Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah (Wafat: 161H) mengatakan:

لَا يَأْمُرُ السُّلْطَانَ بِالْمَعْرُوفِ إِلا رَجُلٌ عَالِمٌ بِمَا يَأْمُرُ وَيَنْهَى، رَفِيقٌ بِمَا يَأْمُرُ وَيَنْهَى، عَدْلٌ.

“Tidak selayaknya mengajak pemerintah kepada yang ma’ruf melainkan dia seorang yang ‘alim (berilmu) dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, berlemah-lembut dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, serta bersikap adil (dalam menyampaikan).” (Syarh As-Sunnah oleh Al-Baghawi, 10/54)

Al-Imam Malik bin Anas rahimahullah (93H-179H) berkata:

حق على كل مسلم أو رجل، جعل الله في صدره شيئًا من العلم والفقه، أن يدخل على ذي سلطان يأمره بالخير، وينهاه عن الشر، ويعظه؛ لأن العالم إنَّما يدخل على السلطان يأمره بالخير، وينهاه عن الشر، فإذا كان فهو الفضل الذي ليس بعده فضل

“Hak atas setiap muslim atau lelaki (ahli ilmu) yang dikurniakan oleh Allah di dalam dadanya ilmu dan kefaqihan (terhadap agama) agar dia bertemu dengan pemerintah, mengajak dan memerintahkannya dengan kebaikan, mencegahnya dari keburukan (maksiat dan dosa), dan menjelaskan kebenaran dan nasihat-nasihat. Kerana apabila seorang yang berilmu itu masuk menemui pemerintah seraya memerintahkannya dengan kebaikan, dan menegahnya dari keburukan-keburukan, maka sekiranya dia melaksanakan tugas tersebut (dengan benar), maka itu adalah suatu keutamaan (baginya), yang tidak ada lagi setelahnya keutamaan.” (Tartib Al-Madarik wa Taqrib Al-Masalik oleh Al-Qadhi ‘Iyadh, 1/66)

Disebutkan oleh Al-Imam Abu Bakr Ahmad bin Husin Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H):

قَالَ أَبُو عُثْمَانَ: ” فَانْصَحْ لِلسُّلْطَانِ وَأَكْثِرْ لَهُ مِنَ الدُّعَاءِ بِالصَّلَاحِ وَالرَّشَادِ بِالْقَوْلِ وَالْعَمَلِ وَالْحُكْمِ، فَإِنَّهُمْ إِذَا صَلُحُوا صَلُحَ الْعِبَادُ بِصَلَاحِهِمْ، وَإِيَّاكَ أَنْ تَدْعُوَ عَلَيْهِمْ بِاللَّعْنَةِ فَيَزْدَادُوا شَرًّا وَيَزْدَادَ الْبَلَاءُ عَلَى الْمُسْلِمِينَ، وَلَكِنِ ادْعُ لَهُمْ بِالتَّوْبَةِ فَيَتْرُكُوا الشَّرَّ فَيَرْتَفِعَ الْبَلَاءُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ

Berkata Abu ‘Utsman (Ash-Shobuni), “Nasihatilah para pemerintah, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan kebenarannya dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan hukuman. Apabila mereka baik, maka akan baiklah rakyatnya.

Berhati-hatilah kamu, jangan sampai mendoakan keburukan atau melaknat mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukan dan menambahkan bala’ ke atas kaum muslimin. Tetapi, mintakanlah keampunan kepada Allah untuk pemerintah semoga mereka meninggalkan perbuatan yang buruk yang dengannya akan dihilangkan musibah dari orang-orang yang beriman.” (Syu’ab Al-Iman oleh Al-Baihaqi, no. 7401)

Terdapat hadis dari Abu Bakrah radhiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَهُ اللهُ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللهُ

“Sultan (pemerintah) itu adalah naungan Allah di bumi, sesiapa yang memuliakannya maka Allah akan muliakannya, dan sesiapa yang menghinakannya nescaya Allah akan menghinakan dia.” (Syu’ab Al-Iman, no. 6988. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Adapun yang dimaksudkan dengan naungan adalah yang menjaga dan memelihara kemaslahatan umum (masyarakat) dalam urusan agama dan dunia mereka.

Sebuah hadis dari Ziyad bin Kusaib, beliau menceritakan:

كُنْتُ مَعَ أَبِي بَكْرَةَ تَحْتَ مِنْبَرِ ابْنِ عَامِرٍ وَهُوَ يَخْطُبُ وَعَلَيْهِ ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَقَالَ أَبُو بِلَالٍ انْظُرُوا إِلَى أَمِيرِنَا يَلْبَسُ ثِيَابَ الْفُسَّاقِ فَقَالَ أَبُو بَكْرَةَ اسْكُتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ أَهَانَهُ اللَّهُ

“Pada suatu masa pernah aku berada tepat di bawah mimbar Ibnu ‘Aamir bersama-sama Abu Bakrah. Ketika itu Ibnu ‘Aamir sedang memberi khutbah dengan mengenakan pakaian yang nipis (jarang). Lalu Abu Bilal berteriak:

“Lihatlah pemimpin kita ini, dia mengenakan pakaian orang fasiq!”

Maka Abu Bakrah pun berkata, “Diamlah, bahawasanya aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang menghina pemerintah Allah di bumi, nescaya Allah akan menghinakannya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2224. Kata Al-Hafiz Al-‘Iraqi: Isnadnya sahih dan At-Tirmidzi menghasankannya. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Al-Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) berkata:

أبو بلال هذا هو مرداس ابن أدية، خارجي، ومن جهله عد ثياب الرجال الرقاق لباس الفساق

“Abu Bilal dalam hadis tersebut adalah Mirdas bin Udayyah, seorang yang berfahaman Khawarij. Disebabkan kebodohannya, beliau pun menganggap pakaian nipis bagi kaum lelaki sebagai pakaian orang fasiq.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 3/20 dan 14/508)

Di hadis yang lain:

سَيَكُونُ بَعْدِي سُلْطَانٌ فَأَعْزِرُوهُ، مَنِ الْتَمَسَ ذُلَّهُ ثَغَرَ ثُغْرَةً فِي الإِسْلامِ، وَلَمْ يُقْبَلْ مِنْهُ تَوْبَةٌ حَتَّى يُعِيدَهَا كَمَا كَانَتْ

“Akan muncul setelah peninggalanku nanti pemerintah, maka muliakanlah dia, dan sesiapa yang mencari-cari kehinaannya (kesalahan dan keaibannya untuk dipersendakan), bererti dia telah melubangi satu sendi dalam Islam dan tidak akan diterima taubatnya sampailah dia mengembalikan keadaan sebagaimana asalnya.” (As-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Aashim, no. 1079, 1019, 1020. Al-Amru bi Al-Ma’ruf wa An-Nahy ‘an Al-Munkar oleh Ibn Abi Ad-Dunya, no. 81)

Dari hadis Abu Dzarr, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkhuthbah:

إِنَّهُ كَائِنٌ بَعْدِي سُلْطَانٌ فَلَا تُذِلُّوهُ، فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يُذِلَّهُ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الْإِسْلَامِ مِنْ عُنُقِهِ، وَلَيْسَ بِمَقْبُولٍ مِنْهُ تَوْبَةٌ حَتَّى يَسُدَّ ثُلْمَتَهُ الَّتِي ثَلَمَ، وَلَيْسَ بِفَاعِلٍ

“Sesungguhnya akan ada setelahku nanti pemerintah, maka janganlah kalian menghinakan dan merendah-rendahkannya. Siapa yang hendak menghinakannya, maka benar-benar dia akan melerai ikatan Islam dari lehernya. Dan tidaklah diterima taubat darinya sampailah dia menutupi apa yang dia kurangi, dan tidaklah dia dapat melakukannya…” (Musnad Ahmad, no. 21460. Syu’ab Al-Iman, no. 6968)

Sahabat Nabi, yakni Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:

نَهَانَا كُبَرَاؤُنَا مِنْ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا تَسُبُّوا أُمَرَاءَكُمْ وَلَا تَغُشُّوهُمْ، وَلَا تَعْصُوهُمْ، وَاتَّقُوا اللهَ وَاصْبِرُوا، فَإِنَّ الْأَمْرَ إِلَى قَرِيبٍ

“Para ulama besar kami dari sahabat-sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang kami, mereka berkata, “Janganlah kalian mencela (atau memaki-hamun) pemerintah kalian, janganlah kalian menipu (atau mempersendakan) mereka, janganlah kalian membenci mereka, bertaqwalah kalian kepada Allah dan bersabarlah, kerana sesungguhnya perintah itu adalah dekat.” (As-Sunnah oleh Ibn abi ‘Ashim, no. 1015. Syu’ab Al-Iman oleh Al-Baihaqi, no. 7117)

Dari sahabat Nabi, ‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu, beliau menyatakan:

لَا يُصْلِحُ النَّاسَ إِلَّا أَمِيرٌ بَرٌّ أَوْ فَاجِرٌ قَالُوا: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، هَذَا الْبَرُّ فَكَيْفَ بِالْفَاجِرِ؟ قَالَ: إِنَّ الْفَاجِرَ يُؤَمِّنُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهِ السُّبُلَ، وَيُجَاهِدُ بِهِ الْعَدُوَّ، وَيَجْبِي بِهِ الْفَيْءَ، وَتُقَامُ بِهِ الْحُدُودُ، وَيُحَجُّ بِهِ الْبَيْتُ، وَيَعْبُدُ اللهَ فِيهِ الْمُسْلِمُ آمِنًا حَتَّى يَأْتِيَهُ أَجَلُهُ

“Tidak akan baik keadaan manusia (rakyat) melainkan dengan adanya amir (pemimpin), sama ada ia pemimpin yang baik atau pun fajir (buruk atau jahat).”

Ada yang bertanya, “Wahai Amirul Mukminin, sekiranya pemimpin tersebut baik (maka ia adalah wajar diterima akal), tetapi bagaimana sekiranya pemimpin tersebut fajir (buruk atau jahat)?”

‘Ali menjawab, “Sebenarnya Allah ‘Azza wa Jalla mengamankan sesuatu kawasan dengan perantaraan pemimpin walaupun ia jahat (fajir); dia berjihad melawan musuh-musuh, dia mendatangkan harta fa’i, perundangan (al-hudud) dapat ditegakkan, haji dapat berlangsung berlangsung, dan kaum muslimin masih dapat beribadah kepada Allah sehingga ajalnya.” (Syu’ab Al-Iman, no. 7508)

Dari atsar Abu Al-Yaman Al-Hauzani, dari sahabat Nabi Abu Ad-Darda’ radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

إياكم ولعن الولاة، فإن لعنهم الحالقة، وبغضهم العاقرة

قيل: يا أبا الدرداء ! فكيف نصنع إذا رأينا منهم ما لا نحب ؟قال اصبروا، فإن الله إذا رأي ذلك منهم حبسهم عنكم بالموت

“Berhati-hatilah kalian dari perbuatan melaknat pemerintah, kerana melaknat mereka (pemerintah) itu adalah mencukur (menghilangkan agama), dan membencinya adalah kemandulan.”

Dikatakan kepada Abu Ad-Darda’, “Wahai Abu Ad-Darda’, babaimana jika kami melihat mereka melakukan dari sesuatu yang kami tidak sukai?”

Jawab Abu Ad-Darda’, “Bersabarlah, kerana apabila Allah melihat yang demikian dari mereka, hisab mereka dari kalian dengan kematian.” (As-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Ashim, no. 1016)

Dari Abu Mijlaz rahimahullah (Wafat: 101H), beliau berkata:

سب الإمام الحالقة، لا أقول: حالقة الشعر، ولكن حالقة الدين

“Mencela pemerintah itu mencukur, tidaklah dikatakan mencukur rambut/bulu, tetapi mencukur agama!” (Al-Amwaal oleh Ibn Zanjawayh, no. 34)

Dari Abu Ad-Darda’ juga, beliau berkata:

وَإِنَّ أَوَّلَ نِفَاقِ الْمَرْءِ طَعْنُهُ عَلَى إِمَامِهِ

“Sesungguhnya awal dari tanda kemunafikan seseorang itu adalah ketika mencela pemerintahnya.” (Syu’ab Al-Iman oleh Al-Baihaqi, no. 8959. At-Tamhid lima fi Al-Muwaththa’ wal-Ma’aani oleh Ibn ‘Abdil Barr, 21/287)

Al-Imam Ibn ‘Abdil Barr rahimahullah (Wafat: 463H) menyebutkan dari Abu Ishaaq As-Sabii’i rahimahullah:

ما سب قوم أميرهم إلا حرموا خيرهم

“Tidaklah suatu kaum mencela pemerintah mereka, melainkan diharamkan (terhalang) bagi mereka kebaikan untuk mereka.” (Al-Istidzkaar, 8/575)

Kata Al-Imam Al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H):

وليس في السنة قتال السلطان فإن فيه فساد الدين الدنيا

“Memusuhi dan memerangi penguasa bukanlah termasuk sunnah, kerana padanya menimbulkan kerosakan terhadap agama dan dunia.” (Syarh As-Sunnah, no. 29-30)

Beliau juga berkata:

وإذا رأيت الرجل يدعو على السلطان فاعلم أنه صاحب هوى وإذا سمعت الرجل يدعو للسلطان بالصلاح فاعلم أنه صاحب سنة إن شاء الله

فأمرنا أن ندعو لهم بالصلاح ولم نؤمر أن ندعو عليهم وإن جاروا وظلموا لأن جورهم وظلمهم على أنفسهم وصلاحهم لأنفسهم وللمسلمين

Jika kamu melihat orang yang berdoa keburukan kepada pemimpin, ketahuilah bahawa dia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun apabila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa dia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insyaAllah.

… Maka kami diperintahkan untuk mendoakan mereka dengan kebaikan dan tidaklah kita diperintah untuk mendoakan mereka dengan keburukan, walaupun dia seorang pemimpin yang jahat lagi zalim, kerana kejahatan dan kezaliman akan kembali kepada diri mereka sendiri manakala apabila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh kaum muslimin akan merasakannya.” (Syarh As-Sunnah oleh Al-Barbahari, m/s. 83-84)

Al-Hasan Al-Bashri diriwayatkan pernah berkata:

اعلم- عافاك الله- أن جور الملوك نقمة من نقم الله تعالى ، ونقم الله لا تلاقى بالسيوف ، وإنما تُتقى وتُستَدفع بالدعاء والتوبة والإنابة والإقلاع عن الذنوب ، إن نقم الله متى لقيت بالسيف كانت هي أقطع

“Ketahuilah, semoga Allah mengampuni engkau, bahawa kezaliman pemerintah itu merupakan salah satu tanda dari tanda kemurkaan Allah Ta’ala (atas suatu kaum), dan murka Allah itu tidak dihadapi dengan pedang (pemberontakan), akan tetapi ia hanya dapat ditangani dan ditolak dengan doa, dengan taubat (memohon keampunan kepada Allah), dengan inabah (kembali memperbaiki diri di atas jalan Allah), dan dengan menjauhkan diri dari segala dosa-dosa. Bahawasanya, murka Allah itu jika dihadapi dengan menghunuskan pedang-pedang, nescaya ia akan menjadi bertambah parah.” (Adab Al-Hasan Al-Bashri oleh Ibnul Jauzi, m/s. 19 – Dinukil dari kitab Al-Wajiz fi Aqidati As-Salafi Ash-Shaalih)

Al-Imam Ismail bin Muhammad Al-Ajluni Al-Jarahi rahimahullah (Wafat: 1162H) berkata:

وأقول رواه الطبراني عن الحسن البصري أنه سمع رجلا يدعو على الحجاج فقال له لا تفعل أنكم من أنفسكم أوتيتم إنما نخاف إن عزل الحجاج أو مات أن يتولى عليكم القردة والخنازير فقد روى أن أعمالكم عمالكم وكما تكونوا يولى عليكم .

“Suatu nukilan riwayat Ath-Thabrani dari Al-Hasan Al-Bashri, bahawa beliau (Al-Hasan Al-Bashri) mendengar seorang lelaki mendoakan keburukan untuk Al-Hajjaj (penguasa yang zalim di zamannya – pent.), lalu beliau pun berkata kepada lelaki tersebut:

“Janganlah engkau berbuat begitu, sesungguhnya kalian diberikan pemimpin sedemikian adalah disebabkan oleh diri kalian sendiri. Kami bimbang jika Al-Hajjaj dijatuhkan ataupun meninggal, maka yang menjadi pemimpin kalian kelak adalah monyet dan khindzir, di mana telah diriwayatkan bahawa pemimpin kalian adalah gambaran dari amal-amal kalian. Dan bagaimana keadaan kalian, begitulah pemimpin kalian.” (Kasyf Al-Khafa’, 1/147. Lihat juga: Adab Al-Hasan Al-Bashri oleh Ibnul Jauzi, m/s. 19 – Al-Wajiz fi Aqidati As-Salafi Ash-Shaalih)

Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279) meriwayatkan sebuah hadis (atsar):

مَنْ عَيَّرَ أَخَاهُ بِذَنْبٍ لَمْ يَمُتْ حَتَّى يَعْمَلَهُ» قَالَ أَحْمَدُ: قَالُوا: «مِنْ ذَنْبٍ قَدْ تَابَ مِنْهُ

“Siapa yang memburuk-burukkan (atau mengejek) saudaranya dengan sebab suatu dosa, maka dia tidak akan mati sampailah dia juga turut melakukanya.”

Kata Ahmad (bin Hanbal), “Yakni dosa yang dia telah bertaubat darinya.”.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2505)

Kata Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

وكل معصية عيَّرت بها أخاك فهي إليك

“Setiap maksiat yang dengannya engkau merendah-rendahkan saudaramu, maka itu kembali padamu.” (Madarij As-Salikin, 1/176)

Maka setiap keburukan dan maksiat itu hendaklah disikapi bersesuaian dengan adab, hikmah dan caranya yang ditunjukkan oleh sunnah, bukan untuk dijadikan sebagai modal dan sarana memburuk-burukkan seseorang. Maka, hati-hatilah dari perbuatan mencela dan memburuk-burukkan pemerintah.

Al-Imam Abu Bakr Muhammad bin Al-Walid Ath-Thurthusyi rahimahullah (Wafat: 520H) menyebutkan di kitab beliau:

فلئن قلت إن الملوك اليوم ليسوا كمن مضى من الملوك، فالرعية أيضًا ليسوا كمن مضى من الرعية، ولست بأن تذم أميرك إذا نظرت آثار من مضى منهم بأولى من أن يذمك أميرك إذا نظر آثار من مضى من الرعية، فإذا جار عليك السلطان، فعليك بالصبر، وعليه الوزر

“Sekiranya kalian mengatakan bahawa para raja (pemerintah) pada hari ini tidak seperti raja-raja terdahulu, maka para rakyat juga tidak seperti rakyat terdahulu. Kalian lebih gemar mencela para pemimpin kalian apabila kalian melihat kesalahan mereka sebagaimana para pemimpin terdahulu juga mencela kalian apabila mereka melihat kesalahan-kesalahan rakyat terdahulu. Maka apabila seorang pemerintah menzalimi kalian, maka hendaklah kalian bersabar. Dia akan mendapat dosa dari pebuatannya tersebut.”

Kata beliau lagi:

لم أزل أسمع الناس يقولون: أعمالكم عمالكم، كما تكونوا يولى عليكم، إلى أن ظفرت بهذا المعنى في القرآن؛ قال الله تعالى: ” وكذلك نولي بعض الظالمين بعضاً ” الأنعام: 129 وكان يقال: ما أنكرت من زمانك فإنما أفسده عليك عملك

“Aku masih mendengar orang-orang mengatakan, “Amal-amal kalian adalah (gambaran) pemimpin bagi kalian. Sebagaimana keadaan kalian begitulah pemimpin untuk kalian.”

Sampailah aku pun menjumpai makna ini di dalam Al-Qur’an, Allah Ta’ala berfirman:

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi wali (pemimpin) bagi sebahagian yang lain.” (Surah Al-An’am, 6: 129)

Kemudian beliau menukilkan perkataan ‘Abdul Malik bin Marwan (seorang Khalifah Bani Umayyah) kepada rakyatnya:

قال عبد الملك بن مروان: ما أنصفتمونا يا معشر الرعية، تريدون منا سيرة أبي بكر وعمر ولا تسيرون فينا ولا في أنفسكم بسيرتهما

“Berkata ‘Abdul Malik bin Marwan, “Berlaku adillah kepada kami wahai seluruh rakyat. Kalian mahukan dari kami seperti pemerintahan Abu Bakr dan ‘Umar, tetapi kalian tidak mahu berjalan bersama kami dan tidak pula mencontohi rakyat di zaman mereka berdua (Abu Bakr dan ‘Umar).” (Siraj Al-Muluk oleh Ath-Thurthusyi, 1/94)

Wallaahu a’lam.


[1] Al-Imam Al-Khaththabi rahimahullah (Wafat: 388H) berkata:

النَّصِيحَةُ كَلِمَةٌ يُعَبَّرُ بِهَا عَنْ جُمْلَةٍ هِيَ إِرَادَةُ الْخَيْرِ لِلْمَنْصُوحِ لَهُ

“Nasihat itu adalah perkataan yang menjelaskan sejumlah perkara yang menginginkan kebaikan bagi orang yang dinasihati.” (An-Nihayah fii Gharibil Hadits w Al-Atsar oleh Ibn Al-Atsir, 5/142. Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam oleh Ibnu Rajab Al-Hanbali, m/s. 219 – Mu’asasah Ar-Risalah, Cet. 10. ‘Aunul Ma’bub oleh Al-‘Adzim Abadi, 13/196)

Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah berkata:

فالنصح يكون بالأسلوب الحسن والكتابة المفيدة والمشافهة المفيدة ، وليس من النصح التشهير بعيوب الناس ، ولا بانتقاد الدولة على المنابر ونحوها ، لكن النصح أن تسعى بكل ما يزيل الشر ويثبت الخير بالطرق الحكيمة وبالوسائل التي يرضاها الله عز وجل

“Nasihat itu hendaklah dengan uslub (cara) yang baik, tulisan yang bermanfaat dan ucapan yang bermanfaat. Bukanlah termasuk nasihat dengan cara menyebarkan aib-aib manusia, dan tidak boleh mengkritik negara di atas mimbar-mimbar (khutbah dan ceramah) dan yang semisal dengannya. Akan tetapi nasihat itu hendaklah dengan cara mencurahkan setiap apa yang dapat menghilangkan keburukan dan meneguhkan kebaikan dengan cara-cara yang hikmah (bijaksana) dan wasilah yang diredhai oleh Allah ‘Azza wa Jalla.” (Majmu’ Al-Fatawa, 7/306 – https://www.binbaz.org.sa/article/203)

[2] Dari hadis Abu Ad-Dardaa’ radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Sunan Abi Dawud, no. 3641. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Berkata Al-Imam Ibnu Hibban rahimahullah (Wafat: 354H):

في هذا الحديث بيان واضح أن العلماء الذين لهم الفضل الذي ذكرنا هم الذين يعلمون علم النبي صلى الله عليه وسلم دون غيره من سائر العلوم ألا تراه يقول: “العلماء ورثة الأنبياء” والأنبياء لم يورثوا إلا العلم وعلم نبينا صلى الله عليه وسلم سنته فمن تعرى عن معرفتها لم يكن من ورثة الأنبياء

“Dalam hadis ini terdapat penjelasan yang sangat jelas bahawa ulama yang memiliki keutamaan yang kami ulas adalah mereka yang mengajarkan ilmu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sahaja, bukan yang mengajarkan ilmu-ilmu lain. Bukankah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Ulama adalah pewaris para nabi…” dan para nabi tidak mewariskan apa pun melainkan ilmu dan ilmu Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sunnahnya. Sesiapa pun yang tidak mengetahui sunnah, maka bukanlah pewaris para nabi.” (Shahih Ibnu Hibban, 1/291 – tahqiq Syua’ib Al-Arna’uth)

Lihat artikel, Siapa Sebenarnya Ulama?

[3] Pemerintah adalah orang yang memiliki kuasa dan menggalas tanggungjawab mengurus serta mentadbir urusan kaum muslimin di dalam wilayah kekuasaannya (yakni negaranya).

Lihat artikel, Siapakah Pemerintah Kaum Muslimin?

[4] Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ، وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

“Al-Muslim (seorang muslim yang sempurna keislamannya itu) adalah apabila kaum muslimin (yang lain) selamat dari lidah dan tangannya. Dan orang-orang yang berhijrah itu adalah siapa yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah darinya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 10. Muslim, no. 41)

Dari hadis ‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

سِبَابُ المُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

“Mencerca seorang muslim itu adalah kefasikan, manakala membunuhnya adalah kekufuran.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6044. Muslim, no. 64)