Akan Ada Dari Umat Muhammad Yang Menghalalkan Muzik
www.ilmusunnah.com
Ini adalah kesinambungan dari dua artikel sebelumnya dengan judul, “Memahami Maksud Sya’ir, Nyanyian, dan Muzik” dan “Pengharaman Nyanyi-nyanyian dan Muzik dari Al-Qur’an”.
Pada artikel dan tulisan sebelumnya, kita telah melihat pengharaman nyanyi-nyanyian dan muzik berdasarkan dalil-dalil Al-Qur’an, maka kini kita akan melihat pengharamannya berdasarkan dalil-dalil dari hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pula. Berikut adalah antara dalil-dalilnya:
1, Hadis pertama, Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) berkata:
وَقَالَ هِشَامُ بْنُ عَمَّارٍ: حَدَّثَنَا صَدَقَةُ بْنُ خَالِدٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ يَزِيدَ بْنِ جَابِرٍ، حَدَّثَنَا عَطِيَّةُ بْنُ قَيْسٍ الكِلاَبِيُّ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ غَنْمٍ الأَشْعَرِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنِي أَبُو عَامِرٍ أَوْ أَبُو مَالِكٍ الْأَشْعَرِيُّ، وَاللَّهِ مَا كَذَبَنِي: سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ، يَسْتَحِلُّونَ الحِرَ وَالحَرِيرَ، وَالخَمْرَ وَالمَعَازِفَ،
وَلَيَنْزِلَنَّ أَقْوَامٌ إِلَى جَنْبِ عَلَمٍ، يَرُوحُ عَلَيْهِمْ بِسَارِحَةٍ لَهُمْ، يَأْتِيهِمْ – يَعْنِي الفَقِيرَ – لِحَاجَةٍ فَيَقُولُونَ: ارْجِعْ إِلَيْنَا غَدًا، فَيُبَيِّتُهُمُ اللَّهُ، وَيَضَعُ العَلَمَ، وَيَمْسَخُ آخَرِينَ قِرَدَةً وَخَنَازِيرَ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ
“Telah berkata Hisyam bin ‘Ammar (yakni guru Al-Imam Al-Bukhari – pent.): Telah menceritakan kepada kami Shodaqah bin Khalid, telah menceritakan kepada kami ‘Abdurrahman bin Yazid bin Jaabir, telah menceritakan kepada kami ‘Athiyyah bin Qais Al-Kilaabi, telah menceritakan kepada kami ‘Abdurrahman bin Ghanm Al-Asy’ariy, beliau berkata: telah menceritakan kepadaku Abu ‘Aamir atau Abu Malik Al-Asy’ariy; demi Allah beliau tidak membohongiku bahawa beliau telah mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Akan ada dari kalangan umatku suatu kaum (kelompok) yang menghalalkan zina, sutera, Al-khamr, dan al-ma’aazif (alat-alat muzik).
Dan benar-benar akan ada beberapa kaum mendatangi tempat yang terletak berhampiran gunung tinggi lalu mereka didatangi orang yang berjalan kaki untuk suatu keperluan. Lalu mereka berkata, “Kembalilah esok”. Pada malam harinya, Allah menimpakan gunung tersebut kepada mereka dan sebahagian yang lain diubah menjadi monyet dan babi sehingga hari kiamat.” (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 5590. Shahih Ibnu Hibban, no. 6754. Mu’jam Al-Kabir oleh Ath-Thabrani, no. 3417 dan dalam Musnad Syamiyyin, no. 588. As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 6100, dan 20988. Lihat juga: Taghliiq At-Ta’liiq oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, no. 5590)
Hadis ini sanadnya bersambung dan telah disepakati kesahihannya oleh para ulama hadis terdahulu dan masa kini. Di antaranya adalah oleh Al-Imam Al-Bukhari (Wafat: 256H), Ibnu Hibban (Wafat: 354H), Al-Hakim (Wafat: 405H), Al-Baihaqi (Wafat: 458H), Al-‘Isma’ili (Wafat: 371H), Ath-Thahawi (Wafat: 360H), Ibnu Ash-Sholah (Wafat: 643H), An-Nawawi (Wafat: 676H), Ibnu Taimiyah (Wafat: 728H), Ibnul Qayyim (Wafat: 751H), Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali (Wafat: 795H), Ibnu Hajar Al-‘Asqalani (Wafat: 852H), Al-Hafiz As-Sakhawi (Wafat: 902H), Ash-Shan’ani (Wafar: 1182H), Asy-Syaukani (Wafat: 1250H), Syaikh Al-Albani (Wafat: 1420H), Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Bazz, Syaikh Syu’aib Al-Arnauth, Syaikh ‘Abdurrahman Al-Faqih, dan ramai lagi selainnya.
Terdapat sebahagian tokoh yang berusaha mendha’ifkan hadis ini seperti Ibnu Hazm Azh-Zhahiri rahimahullah (Wafat: 456H) yakni tokoh ulama mazhab Zhahiri, dan orang-orang terkemudian yang mengikutinya seperti Muhammad Al-Ghazali dan Yusuf Al-Qaradhawi, namun ternyata mereka telah salah dan telah datang bantahannya dari para ulama hadis dengan baik sekali.
Antaranya Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyebutkan dalam Taghliiq At-Ta’liiq dengan katanya:
وَهَذَا حَدِيث صَحِيح لَا عِلّة لَهُ وَلَا مطْعن لَهُ وَقد أعله أَبُو مُحَمَّد بن حزم بالإنقطاع بَين البُخَارِيّ وَصدقَة بن خَالِد وبالإختلاف فِي اسْم أبي مَالك وَهَذَا كَمَا ترَاهُ قد سقته من رِوَايَة تِسْعَة عَن هِشَام مُتَّصِلا فيهم مثل الْحسن بن سُفْيَان وعبدان وجعفر الْفرْيَابِيّ وَهَؤُلَاء حفاظ أثبات. وَأما الإختلاف فِي كنية الصَّحَابِيّ فالصحابة كلهم عدُول
“Hadis ini adalah sahih, tanpa ‘illah (kecacatan), dan tanpa kelemahan. Abu Muhammad Ibnu Hazm telah menyatakan cacat hadis ini disebabkan terputusnya sanad di antara Al-Bukhari dengan Shodaqah bin Khalid, juga kerana wujudnya perbezaan pendapat tentang nama Abu Malik. Dan sebagaimana yang kita lihat, bahawa aku telah menyentuh tidak kurang dari sembilan riwayat dari Hisyam bin ‘Ammar secara bersambung, di antaranya seperti Al-Hasan bin Sufyan, ‘Abdan, dan Ja’afar Al-Firyabi, yang semuanya adalah huffaz ats-baat (penghafal hadis yang mantap). Adapun perbezaan pendapat pada kun-yah (gelaran) sahabat, maka seluruh sahabat adalah para perawi yang ‘adl (kredibel).” (Taghliiq At-Ta’liiq ‘ala Shahih Al-Bukhari, 5/22)
Al-Hafiz Ibnu Hajar telah membahaskannya panjang lebar dalam kitab beliau, Taghliiq At-Ta’liiq ‘ala Shahih Al-Bukhari. Demikian pula Ibnul Qayyim dalam kitabnya, Ighatsatul Lahfan. Demikian para ulama semisal Syaikh Al-Albani rahimahullah dan selainnya dalam membungkam syubhat yang dibawa oleh Ibnu Hazm dan para pengikutnya.
Kata Al-Hafiz Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):
ولم يصنع من قدح في صحة هذا الحديث شيئا كابن حزم نصرة لمذهبه الباطل في إباحة الملاهي وزعم أنه منقطع لأن البخاري لم يصل سنده به
“Dan tidaklah terpakai (alasan) sesiapa yang cuba mempertikaikan kesahihan hadis ini sedikit pun seperti Ibnu Hazm dalam rangka membela pendapatnya yang bathil pada membolehkan alat-alat muzik dan mempertahankannya dengan menganggap hadis tersebut munqathi’ (terputus) kerana Al-Bukhari tidak menyambungkan sanad hadis tersebut.” (Ighatsatul Lahfan, m/s. 259)
Seterusnya, Al-Imam Al-Bukhari meletakkan hadis ini dalam kitab Shahihnya pada bab:
بَاب مَا جَاءَ فِيمَنْ يَسْتَحِلّ الْخَمْر وَيُسَمِّيه بِغَيْرِ اِسْمه
“Bab apa yang datang pada sesiapa yang menghalalkan Al-Khamr dan menamakannya dengan selain namanya.”
Makna “al-khamr” adalah setiap minuman yang memabukkan sebagaimana disebutkan dalam hadis dari Ibnu ‘Umar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ وَمَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فِي الدُّنْيَا فَمَاتَ وَهُوَ يُدْمِنُهَا لَمْ يَتُبْ، لَمْ يَشْرَبْهَا فِي الْآخِرَةِ
“Setiap yang memabukkan adalah khamr, dan setiap yang memabukkan adalah haram. Dan sesiapa yang minum al-khamr di dunia lalu dia mati dalam keadaan belum bertaubat, maka dia tidak akan dapat meminumnya di akhirat.” (Shahih Muslim, no. 2003)
Dan hal ini telah pun banyak berlaku pada hari ini. Mereka menamakan al-khamr dengan pelbagai nama dan jenama, terutamanya dalam pelbagai industri dadah, minuman keras, dan rokok (semisal ganja yang mengkhayalkan).
Demikian juga yang berlaku dalam modes operandi atau kaedah yang digunakan untuk menghalalkan muzik. Mereka menghalalkan muzik dan nyanyian dengan menamakannya sebagai hiburan alternatif, nasyid, qasidah, irama dzikir, lagu-lagu dakwah dan seumpamanya. Kaum sufi lebih parah lagi dalam bab ini di mana mereka menghalalkan muzik dengan alasan ibadah dan dengan tujuan untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Dan perkara ini akan penulis paparkan pada perbahasan berikutnya.
Kaedah seperti ini juga berlaku dalam menghalalkan perbuatan zina. Sebahagian kelompok menghalalkan perbuatan zina dengan menamakannya nikah mut’ah seperti yang dilakukan oleh kelompok Syi’ah.
Seterusnya, Al-Imam Ibnu Hibban rahimahullah (Wafat: 354H) pula meletakkan hadis tersebut dalam bab:
ذِكْرُ الْإِخْبَارِ عَنِ اسْتِحْلَالِ الْمُسْلِمِينَ الْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ فِي آخِرِ الزَّمَانِ
“Penyebutan berita-berita tentang perbuatan menghalalkan al-khamr dan al-ma’aazif oleh kaum muslimin pada akhir zaman.” (lihat: Shahih Ibn Hibban, 15/154 – Tahqiq Syu’aib Al-Arna’uth)
Dalam bab tersebut, Al-Imam Ibn Hibban meriwayatkan hadis tersebut dengan sanad dan matn (teks) seperti berikut:
أَخْبَرَنَا الْحُسَيْنُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْقَطَّانُ، قَالَ: حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ عَمَّارٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا صَدَقَةُ بْنُ خَالِدٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا ابْنُ جَابِرٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَطِيَّةُ بْنُ قَيْسٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ غَنْمٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو عَامِرٍ، وَأَبُو مَالِكٍ الْأَشْعَرِيَّانَ سَمِعَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: «لَيَكُونَنَّ فِي أُمَّتِي أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ
“Telah mengkhabarkan kepada kami Al-Husain bin ‘Abdillah Al-Qaththan, beliau berkata: telah menceritakan kepada kami Hisyam bin ‘Ammar, beliau berkata: telah menceritakan kepada kami Shodaqah bin Khalid, beliau berkata: telah menceritakan kepada kami Ibn Jaabir, beliau berkata: telah menceritakan kepada kami ‘Athiyyah bin Qais, beliau berkata: telah menceritakan kepada kami ‘Abdurrahman bin Ghanm, beliau berkata: telah menceritakan kepada kami Abu ‘Aamir Al-Asy’ariy dan Abu Malik Al-Asy’ariy, bahawa telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Akan ada dari kalangan umatku suatu kaum (kelompok) yang menghalalkan zina, al-khamr, dan al-ma’aazif (alat-alat muzik).” (Shahih Ibnu Hibban, no. 6754)
Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyebutkan:
فَمَنْ فَعَلَ هَذِهِ الْمَلَاهِي عَلَى وَجْهِ الدِّيَانَةِ وَالتَّقَرُّبِ فَلَا رَيْبَ فِي ضَلَالَتِهِ وَجَهَالَتِهِ. وَأَمَّا إذَا فَعَلَهَا عَلَى وَجْهِ التَّمَتُّعِ وَالتَّلَعُّبِ فَذَهَبَ الْأَئِمَّةُ الْأَرْبَعَةُ: أَنَّ آلَاتِ اللَّهْوِ كُلَّهَا حَرَامٌ فَقَدْ ثَبَتَ فِي صَحِيحِ الْبُخَارِيِّ وَغَيْرِهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرَ أَنَّهُ سَيَكُونُ مِنْ أُمَّتِهِ مَنْ يَسْتَحِلُّ الْحَرَّ وَالْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ وَذَكَرَ أَنَّهُمْ يُمْسَخُونَ قِرَدَةً وَخَنَازِيرَ. و الْمَعَازِفُ هِيَ الْمَلَاهِي كَمَا ذَكَرَ ذَلِكَ أَهْلُ اللُّغَةِ
“Maka sesiapa yang memainkan alat-alat muzik di atas maksud keagamaan dan taqarrub (yakni untuk mendekatkan diri kepada Allah – pent.), maka jangan ragu akan kesesatan dan kejahilannya. Dan adapun jika memainkannya di atas maksud suka-suka (yakni untuk berhibur), maka berdasarkan pendapat para imam mazhab yang empat: sesungguhnya keseluruhan alat-alat muzik adalah haram sebagaimana telah tsabit (ditetapkan) di kitab Shahih Al-Bukhari dan selainnya bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengkhabarkan sesungguhnya akan terjadi nanti dari kalangan umatnya yang menghalalkan zina, sutera, al-khamr, dan al-ma’aazif. Dan disebutkan bahawa mereka akan diubah menjadi monyet dan babi. Dan al-ma’aazif adalah alat-alat muzik sebagaimana disebutkan oleh ahlul lughah (pakar bahasa ‘Arab).” (Majmu’ Al-Fatawa, 11/576)
Kata Imam Ibnul Qayyim rahimahullah:
أن المعازف هي آلات اللهو كلها لا خلاف بين أهل اللغة في ذلك ولو كانت حلالا لما ذمهم على استحلالها ولما قرن استحلالها باستحلال الخمر والخز
“Bahawasanya al-ma’aazif itu adalah seluruh peralatan yang digunakan untuk bermain muzik. Dan ini tidak diperselisihkan oleh kalangan ahlul lughah. Kalau seandainya bermain alat-alat muzik itu dihalalkan, sudah tentu mereka tidak akan dicela kerana menghalalkannya. Dan sudah tentu penghalalannya tidak akan digandingkan dengan ancaman penghalalan al-khamr dan zina.” (Ighatsatul Lahfan, m/s. 260)
Beberapa perkara yang perlu difahami melalui hadis tersebut:
[Pertama] Kemungkinan yang dimaksudkan oleh hadis tersebut dengan perkataan “menghalalkan” perkara-perkara tersebut (al-ghinaa’ dan selainnya) adalah disebabkan takwilan, pemahaman, atau tafsiran yang keliru. Atau mungkin juga kerana kejahilan dan kelemahan mereka, dan mereka berdosa kerana tidak menuntut ilmu serta mengambil tahu tentangnya dan tentang apa-apa yang dihalalkan atau diharamkan dalam agama dengan sungguh-sungguh. Sehingga menjadikan mereka lalai terhadapnya disebabkan kejahilan tersebut.
[Kedua] Sekiranya mereka yang menghalalkan perkara-perkara tersebut (zina, sutera, khamr, dan alat-alat muzik (al-ma’aazif)) sebagaimana yang disebutkan oleh hadis dengan cara meyakini (dan mengetahui) bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengharamkannya, maka jelas mereka menjadi kafir dengan sebab tersebut kerana menghalalkan apa yang telah jelas diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
[Ketiga] Sekiranya mereka mengakui bahawa perbuatan tersebut haram tanpa menghalalkannya tetapi mereka tetap segaja melakukannya juga, atau kerana mencari keseronokan yang memperdaya, maka mereka termasuk orang-orang yang berdosa dan fasiq.
Kemudian, bagi mereka yang cuba menghalalkannya dengan mengubah-suai bentuk keadaannya atau namanya sebagaimana yang banyak berlaku pada hari ini di mana mereka menghalalkan minuman keras (arak) dengan tidak lagi menyebutkannya sebagai al-khamr. Atau mereka menghalalkan muzik dengan menganggap bahawa muzik itu sama sahaja dengan bunyi air terjun dan kicauan unggas. Bahawasanya hal seperti ini hanya dilakukan oleh sama ada orang yang jahil, keliru, atau dari golongan perosak yang rosak akalnya. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah.
Berkaitan diubahnya menjadi kera dan babi, Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan, perubahan itu boleh jadi dimulai dari perubahan bathin atau karektor seseorang. Di mana seorang pelaku maksiat yang telah tenggelam dalam maksiat dan kefasikannya, maka akan tampak pada dirinya sifat-sifat kehaiwanan, seperti sifat kera dan babi. Sehingga akhirnya dia benar-benar diubah menjadi kera dan babi. Kemudian Ibnul Qayyim pun membawakan hadis-hadisnya. (sila baca selengkapnya di Ighatsatul Lahfan oleh Ibnul Qayyim)
Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala memang benar-benar telah menyebutkan hal seperti ini dalam Al-Qur’an pada kisah-kisah umat terdahulu dari kalangan bani Isra’il yang pernah diubah mencari haiwan.
2, Hadis kedua dari hadis ‘Imraan bin Hushain radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
فِي هَذِهِ الأُمَّةِ خَسْفٌ وَمَسْخٌ وَقَذْفٌ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ المُسْلِمِينَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَتَى ذَاكَ؟ قَالَ: إِذَا ظَهَرَتِ القَيْنَاتُ وَالمَعَازِفُ وَشُرِبَتِ الخُمُورُ
“Dalam umatku ini nanti akan ada bencana berupa khasfun (gempa bumi, tanah runtuh dan pembenaman ke dalam bumi), maskhun (pengubahan rupa), dan qadzfun (hujan batu bersalut api).”
Maka salah seorang lelaki dari kalangan kaum muslimin bertanya:
“Wahai Rasulullah, bilakah itu akan terjadi?”
Maka Rasulullah bersabda:
“Apabila telah tampak terang-terangan al-qainaat (para penyanyi wanita), alat-alat muzik, dan minuman-minuman keras diminum terang-terangan.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2212. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
يَكُونُ فِي أُمَّتِي خَسْفٌ وَمَسْخٌ وَقَذْفٌ، قَالَتْ عَائِشَةُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَهُمْ يَقُولُونَ: لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ؟! قَالَ: إِذَا ظَهَرَتِ الْقِيَانُ، وَظَهَرَ الرِّبَا، وَشُرِبَتِ الْخَمْرُ، وَلُبِسَ الْحَرِيرُ، كَانَ ذَا عِنْدَ ذَا
“Akan terjadi pada umatku bencana berupa khasfun (gempa bumi, tanah runtuh dan pembenaman ke dalam bumi), maskhun (pengubahan rupa), dan qadzfun (hujan batu bersalut api). ‘Aisyah berkata:
“Wahai Rasulullah, walaupun mereka mengucapkan laa ilaaha illallaah?!” Rasulullah bersabda:
“(Iaitu) apabila telah tampak (secara terang-terangan) para penyanyi wanita, ribaa, peminuman al-khamr, dan dipakainya sutera, bahawa pada waktu itulah bencana itu terjadi.” (Dzamm Al-Malaahi oleh Ibn Abi Ad-Dunya, no. 4)
Dari hadis Anas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَيَكُونَنَّ فِي هذِهِ الأُمَّةِ خَسْفٌ وَقَذْفٌ وَمَسْخٌ وَذلِكَ إِذَا شَرِبُوا الخُمُورَ وَاتَّخَذُوا الْقَيْنَاتِ وَضَرَبُوا بِالمَعَازِفِ
“Akan terjadi pada umat ini bencana berupa khasfun (gempa bumi, tanah runtuh dan pembenaman ke dalam bumi), qadzfun (hujan batu bersalut api), dan maskhun (pengubahan rupa). Dan yang demikian itu terjadi apabila diminumnya al-khamr, mengambil al-qainaat (para artis wanita), dan apabila alat-alat muzik dimainkan (secara terang-terangan – pent.).” (Dzamm Al-Malaahi, no. 7. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dari hadis Sahl bin Sa’d radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال: سَيَكُونُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ خَسْفٌ وَقَذْفٌ وَمَسْخٌ قيل: وَمَتَى ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قال: إِذَا ظَهَرَتِ الْمَعَازِفُ وَالْقَيْنَاتُ، وَاسْتُحِلَّتِ الْخَمْرُ
“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Akan datang pada akhir zaman bencana berupa khasfun (gempa bumi, tanah runtuh dan pembenaman ke dalam bumi), qadzfun (hujan batu bersalut api), dan maskhun (pengubahan rupa).” Para sahabat bertanya, “Bilakah hal sebegitu akan terjadi wahai Rasulullah?”
Rasulullah jawab:
“Apabila telah tampak (terang-terangan) al-ma’aazif, al-qainaat, dan al-khamr dihalalkan.” (Al-Mu’jam al-Kabiir oleh Ath-Thabrani, no. 5810. Majma’ Az-Zawa’id oleh Al-Haitsami, no. 12589. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dari hadis Abu Malik Al-Asy’ariy radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ، يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا، يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ، وَالْمُغَنِّيَاتِ، يَخْسِفُ اللَّهُ بِهِمُ الْأَرْضَ، وَيَجْعَلُ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ
“Akan ada manusia dari kalangan umatku yang meminum al-khamr, mereka menamakannya dengan selain namanya. Mereka berhibur di atas kepala-kepala mereka dengan al-ma’aazif (muzik) dan para penyanyi wanita. Maka Allah akan membenamkan mereka ke dalam bumi dan Allah akan mengubah bentuk sebahagian dari mereka menjadi monyet dan babi.” (Sunan Ibnu Majah, no. 4020. Shahih Ibnu Hibban, no. 6758. Al-Mu’jam Al-Kabir oleh Ath-Thabrani, no. 3419. As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 20989. Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 23758)
Kata Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H), “Dan pada hadis ini terdapat banyak syahid (pendukung dan penguat) iaitu dari hadis ‘Ali, ‘Imraan bin Hushain, ‘Abdillah bin Busr, Sahl bin Sa’d, Anas bin Malik, dan ‘Aisyah radhiyallaahu ‘anhum, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (lihat: Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, 10/373)
Dari hadis mursal ‘Abdurrahman bin Saabith, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
يَكُونُ فِي أُمَّتِي خَسْفٌ وَقَذْفٌ وَمَسْخٌ، قَالُوا: فَمَتَى ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: إِذَا ظَهَرَتِ الْمَعَازِفُ، وَاسْتَحَلُّوا الْخُمُورَ
“Akan terjadi pada umatku bencana berupa khasfun (gempa bumi, tanah runtuh dan pembenaman ke dalam bumi), qadzfun (hujan batu bersalut api) dan maskhun (pengubahan rupa).” Para sahabat bertanya, “Bilakah yang demikian akan terjadi?”
Rasulullah bersabda:
“Apabila telah tampak (secara terang-terangan) al-ma’aazif (alat-alat muzik) dan dihalalkan minuman-minuman keras.” (Dzamm Al-Malaahi oleh Ibn Abi Ad-Dunya, no. 9. Mursal pada ‘Abdurrahman bin Saabith, dan beliau adalah seorang tabi’in yang tsiqah tetapi banyak meriwayatkan hadis secara mursal)
3, Hadis ketiga dari ‘Abdullah bin ‘Abbas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ اللهَ حَرَّمَ عَلَيَّ، أَوْ حَرَّمَ الْخَمْرَ وَالْمَيْسِرَ وَالْكُوبَةَ وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ
“Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atasku atau mengharamkan al-khamr, al-maisiir (perjudian), al-kuubah, dan setiap yang memabukkan adalah haram.” (Musnad Ahmad, no. 2476. Sunan Abi Dawud, no. 3696. Shahih Ibnu Hibban, no. 5365. Kata Syu’aib Al-Arnauth, isnadnya sahih. Dan Al-Albani menilainya sahih)
Dalam riwayat Al-Baihaqi, disebutkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ اللهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْخَمْرَ وَالْمَيْسِرَ وَالْكُوبَةَ
“Sesungguhnya Allah Tabaaraka wa Ta’ala mengharamkan atas kalian al-khamr, al-maisiir, dan al-kuubah…” (As-Sunan Al-Kubra, no. 20990)
Al-Kuubah adalah at-thabl, iaitu drum atau genderang.
Dalam riwayat ‘Abdullah bin ‘Amru, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ اللهَ حَرَّمَ عَلَى أُمَّتِي الْخَمْرَ وَالْمَيْسِرَ وَالْمِزْرَ وَالْكُوبَةَ وَالْقِنِّينَ وَزَادَنِي صَلَاةَ الْوَتْرِ
“Sesungguhnya mengharamkan ke atas umatku al-khamr, al-maisiir, al-mizr, al-kuubah, dan al-qinniin, serta menambahkan untuku solat witr.” (Musnad Ahmad, no. 6547. Dinilai dha’if oleh Al-Albani)
Al-Qinniin adalah gendang orang habsyah.
Juga dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amru, beliau berkata:
أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: نَهَى عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَالْكُوبَةِ وَالْغُبَيْرَاءِ، وَقَال: كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ
“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang dari al-khamr, al-maisiir, al-kuubah, dan al-ghubairaa’. Dan beliau bersabda, “Setiap yang memabukkan adalah haram.” (Sunan Abi Dawud, no. 3685. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dalam Musnad Ahmad disebutkan:
إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ الْخَمْرَ، وَالْمَيْسِرَ، وَالْكُوبَةَ، وَالْغُبَيْرَاءَ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ
“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan al-khamr, al-maisiir, al-kuubah, dan al-ghubairaa’. Dan setiap yang memabukkan adalah haram.” (Musnad Ahmad, no. 6591. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)
Al-Ghubairaa’ adalah sejenis minuman keras orang-orang Habsyah yang dihasilkan dari perahan jagung.
4, Hadis ke-empat, hadis dari ‘Abdurrahman bin Auf radhiyallahu ‘anhu.
Dari ‘Abdurrahman bin Auf, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّمَا نَهَيْتُ عَنْ صَوْتَيْنِ أَحْمَقَيْنِ فَاجِرَيْنِ: صَوْتٍ عِنْدَ لَهْوٍ وَلَعِبٍ وَمَزَامِيرِ شَيْطَانٍ، وَصَوْتٍ عِنْدَ مُصِيبَةٍ
“Sesungguhnya aku dilarang dari dua suara yang bodoh yang fajir: iaitu suara nyanyian di sisi seruling syaitan (alat muzik), dan suara (ratapan) di saat musibah.” (Syu’abul Iman oleh Al-Baihaqi, no. 9685)
Lafaz dalam Sunan At-Tirmidzi:
وَلَكِنْ نَهَيْتُ عَنْ صَوْتَيْنِ أَحْمَقَيْنِ فَاجِرَيْنِ: صَوْتٍ عِنْدَ مُصِيبَةٍ، خَمْشِ وُجُوهٍ، وَشَقِّ جُيُوبٍ، وَرَنَّةِ شَيْطَانٍ.
“… Tetapi aku dilarang dari dua suara yang fajir: iaitu suara (ratapan) ketika musibah, mencakar-cakar muka, merobek poket (atau pakaian), dan raungan syaitan (yakni nyanyian).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1005. Diniai hasan oleh At-Tirmidzi dan Al-Albani)
5, Hadis ke-lima, hadis dari Naafi’ maula Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma.
Beliau (Naafi’) berkata:
سَمِعَ صَوْتَ، زَمَّارَةِ رَاعٍ فَوَضَعَ أُصْبُعَيْهِ فِي أُذُنَيْهِ، وَعَدَلَ رَاحِلَتَهُ عَنِ الطَّرِيقِ، وَهُوَ يَقُولُ: يَا نَافِعُ أَتَسْمَعُ؟، فَأَقُولُ: نَعَمْ، فَيَمْضِي حَتَّى، قُلْتُ: لَا فَوَضَعَ يَدَيْهِ، وَأَعَادَ رَاحِلَتَهُ إِلَى الطَّرِيقِ، وَقَالَ: رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسَمِعَ صَوْتَ زَمَّارَةِ رَاعٍ فَصَنَعَ مِثْلَ هَذَا
“Bahawasanya Ibnu ’Umar pernah terdengar suara zammarah (seruling) yang ditiup oleh seorang penggembala kambing. Maka beliau pun meletakkan jarinya di telinganya (untuk menyumbat atau menutup) sambil membelokkan untanya dari jalan tersebut (menghindari suara tersebut).
Ibnu ‘Umar berkata, “Wahai Naafi’, adakah engkau masih mendengarnya?” Maka aku berkata, “Ya.” Maka beliau terus berlalu sehingga aku berkata:
“Tidak (yakni aku tidak mendengarnya lagi).”
Maka Ibnu ‘Umar pun melepaskan tangannya (dari kedua telinganya) dan kembali ke jalan tersebut sambil berkata, “Aku melihat Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Sallam ketika mendengar suara zammarah (seruling), beliau melakukannya demikian.”.” (Musnad Ahmad, no. 4535. Sunan Abi Daud, no. 4924, 2925, 4926. Dzamm Al-Malaahi, no. 66. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan hasan oleh Syu’aib Al-Arnauth)
Hadis ini menunjukkan dibencinya mendengar suara zammarah atau seruling walaupun tanpa sengaja, dan disukai sekiranya mampu mengelak dari mendengarnya. Di antara hikmahnya, kerana ditakuti suara-suara muzik dan nyanyian ini mampu menimbulkan suka di dalam hati yang boleh menyebabkan bermulanya penyakit hati.
Ada sebahagian pihak yang berdalil dengan hadis ini untuk membolehkan mendengar muzik. Mereka memberi alasan bahawa sekiranya mendengar suara seruling itu haram, maka sudah tentu Ibnu ‘Umar tidak akan membiarkan Naafi’ untuk mendengarnya. Apa yang dilakukan oleh Ibnu ’Umar hanya merupakan sebahagian dari sikap wara’ yang ada dalam dirinya.
Alhamdulillah, kaedah pendalilan mereka tersebut telah pun dijawab para ulama. Al-‘Adzim ‘Abadi dalam ‘Aunul Ma’bud, beliau berkata:
وَهَذَا لَا يَدُلُّ عَلَى إِبَاحَةٍ لِأَنَّ الْمَحْظُورَ هُوَ قَصْدُ الِاسْتِمَاعِ لَا مُجَرَّدُ إِدْرَاكِ الصَّوْتِ لِأَنَّهُ لَا يَدْخُلُ تَحْتَ تَكْلِيفٍ
“Ini bukanlah dalil atas bolehnya mendengar muzik, kerana perkara yang dilarang adalah jika dengan tujuan al-istimaa’ (yakni mendengar dengan sengaja). Bukan pada kedudukan sampainya suara pada telinga kita (yakni terdengar tanpa kehendak – yang adakalanya kita tidak mampu menghindarinya – pent.). Kerana perkara tersebut (yang menerpa tanpa sengaja) tidaklah termasuk di bawah taklif (yakni yang dibebankan atas manusia – pent.).” (‘Aunul Ma’bud, Kitab Al-Adab, 13/183)
Kata Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H):
وَقَدْ احْتَجَّ قَوْمٌ بِهَذَا الْخَبَرِ عَلَى إبَاحَةِ الْمِزْمَارِ، وَقَالُوا: لَوْ كَانَ حَرَامًا لَمَنَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ابْنَ عُمَرَ مِنْ سَمَاعِهِ، وَمَنَعَ ابْنُ عُمَرَ نَافِعًا مِنْ اسْتِمَاعِهِ، وَلَأَنْكَرَ عَلَى الزَّامِرِ بِهَا. قُلْنَا: أَمَّا الْأَوَّلُ فَلَا يَصِحُّ؛ لِأَنَّ الْمُحَرَّمَ اسْتِمَاعُهَا دُونَ سَمَاعِهَا، وَالِاسْتِمَاعُ غَيْرُ السَّمَاعِ، وَلِهَذَا فَرَّقَ الْفُقَهَاءُ فِي سُجُودِ التِّلَاوَةِ بَيْنَ السَّامِعِ وَالْمُسْتَمِعِ، وَلَمْ يُوجِبُوا عَلَى مَنْ سَمِعَ شَيْئًا مُحَرَّمًا سَدَّ أُذُنَيْهِ، وَقَالَ اللَّهُ تَعَالَى: وَإِذَا سَمِعُوا اللَّغْوَ أَعْرَضُوا عَنْهُ. وَلَمْ يَقُلْ : سَدُّوا آذَانَهُمْ .
“Sekelompok orang berhujah dengan hadis ini atas bolehnya seruling. Mereka mengatakan, kalau seruling ini diharamkan tentu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam akan melarang Ibnu ‘Umar dari mendengarnya, dan Ibnu ‘Umar pula akan melarang Naafi’ dari mendengarnya serta akan mengingkari orang yang memainkannya.
Kami katakan: Pendapat tersebut tidaklah sah, kerana yang diharamkan adalah mendengarnya secara sengaja bukan sekadar terdengar (tanpa sengaja), dan mendengar dengan sengaja itu berbeza dengan terdengar tanpa disengajakan. Kerana itulah para fuqaha’ membezakan antara orang yang mendengar secara sengaja dengan yang hanya sekadar terdengar dalam permasalahan sujud tilawah, dan mereka tidak mewajibkan orang yang terdengar sesuatu yang haram untuk menutup telinganya, kerana Allah Ta’ala berfirman (yakni maknanya): “Dan apabila mereka mendengar perkataan yang lagha, mereka pun berpaling.” (Surah Al-Qashash, 28: 55) Dan tidak disebutkan padanya agar menutup telinga.
Sementara mustami’ (sengaja mendengar dengan penghayatan) adalah orang yang benar-benar bermaksud mendengarnya, dan inilah yang tidak terdapat pada diri Ibnu ‘Umar kerana beliau bukan sengaja mendengarnya.” (Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, 23/182)
Wallahu a’lam… Demikianlah sikap salah seorang sahabat Nabi terhadap muzik, iaitu Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma. Di mana apabila beliau terdengar bunyi muzik secara tidak sengaja pun telah membuatkan beliau menutup telinganya. Kemudian beliau menyatakan yang demikian itu adalah sebagaimana yang beliau lihat dari amalan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Maka bagaimana pula kepada mereka yang mendengar muzik dan memainkannya dengan sengaja sambil bersuka-ria dengannya? Bagaimana dengan mereka yang melayani muzik dengan alat-alat yang jauh lebih dahsyat pada zaman ini? Ayuh, bertaqwalah kepada Allah.
Wallahu a’lam.
Bersambung di tulisan seterusnya dengan judul Nyanyian dan Muzik Ketika Walimah dan Hari Raya.