Ajar dan Perintahkanlah Anak-anak Menegakkan Solat
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
“Wahai orang-orang yang beriman, perliharalah diri kalian dan ahli keluarga kalian dari api Neraka…” (Surah At-Tahrim, 66: 6)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا
“Dan perintahkanlah ahli keluargamu agar mendirikan solat, dan bersabarlah dalam menegakkannya…” (Surah Thaha, 20: 132)
Allah Subhanahu wa Ta’ala memuji Isma’il dengan firman-Nya:
وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا
“Dan dia (Isma’il) memerintahkan ahli keluarganya menegakkan solat, menunaikan zakat, dan dia di sisi Rabb-nya mendapat keredhaan.” (Surah Maryam, 19: 55)
Allah mengkhabarkan tentang perihal Luqman, seorang yang diberikan hikmah dan seorang yang bersyukur kepada Allah, beliau berkata ketika menasihati anaknya:
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
“Wahai anakku, tegakkanlah solat (dengan benar) dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah terhadap apa-apa yang menimpa-mu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang sangat penting.” (Surah Luqman, 31: 17)
Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:
أَدِّبِ ابْنَكَ، فَإِنَّكَ مَسْئُولٌ عَنْ وَلَدِكَ مَاذَا عَلَّمْتَهُ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ بِرِّكَ وَطَوَاعِيَتِهِ لَكَ.
“Didiklah anak-anakmu, kerana engkau akan ditanya tentang anak-mu apa yang telah engkau ajarkan kepadanya. Manakala anakmu akan ditanya tentang bakti dan ketaatannya kepada-mu.” (Syarh As-Sunnah oleh Al-Baghawi, 2/408)
Dari hadis Sabrah bin Ma’bad Al-Juhani radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
عَلِّمُوا الصَّبِيَّ الصَّلَاةَ ابْنَ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا ابْنَ عَشْرٍ
“Ajarilah solat kepada anak-anak kecil kalian ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah dia (jika tidak solat) ketika telah berumur sepuluh tahun.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 407. Shahih Ibn Khuzaimah, no. 1002. Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, no. 948. Sunan Ad-Darimi, no. 1471)
Manakala lafaz di Sunan Abi Dawud,
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلَاةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ، وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
“Perintahkanlah anak-anak kecil kalian dengan solat apabila telah masuk umur tujuh tahun, dan apabila telah masuk umur sepuluh tahun, pukullah dia jika tidak solat.” (Sunan Abi Dawud, no. 494. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)
Manakala dalam riwayat ‘Amr bin Syu’aib, dari ayahnya, dari datuknya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
“Perintahkanlah anak-anak kalian dengan solat ketika umur mereka tujuh tahun, dan pukullah mereka jika mereka tidak solat di ketika umur mereka telah sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (Sunan Abi Dawud, no. 494. Dinilai hasan oleh An-Nawawi, Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)
Hadis ini mencakup anak lelaki dan perempuan. (lihat: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 3/10-11)
Berkata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
واعلم أن قوله صلي الله عليه وسلم ” مروا أولادكم بالصلاة ” ليس أمرا منه صلي الله عليه وسلم للصبى وانما هو أمر للولي فأوجب على الولي أن يامر الصبى
“Ketahuilah bahawa perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk solat…” bukanlah perintah dari beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam terhadap anak-anak, akan tetapi ia adalah perintah ke atas para walinya. Maka, adalah wajib bagi para wali untuk memerintahkan anak-anak kecil mereka untuk solat.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 3/11)
Yang dimaksudkan dengan wali di sini termasuklah ayah, ibu, datuk, pakcik, dan para penjaga yang bertanggungjawab ke atas mereka.
Kata beliau lagi:
قال الشافعي في المختصر ” و على الاباء والامهات أن يؤدبوا أولادهم ويعلموهم الطهارة والصلاة ويضربوهم على ذلك إذا عقلوا ” قال أصحابنا ويأمره الولي بحضور الصلوات في الجماعة وبالسواك وسائر الوظائف الدينية ويعرفه تحريم الزنا واللواط والخمر والكذب والغيبة وشبهها قال الرافعي قال الائمة يجب على الآباء والأمهات تعليم أولادهم الطهارة والصلاة والشرائع بعد سبع سنين وضربهم على تركها بعد عشر سنين
“Telah berkata Asy-Syafi’i sebagaimana dalam Al-Mukhtashar, “Para bapa dan ibu hendaklah mendidik anak-anak mereka dan mengajari mereka dengan thaharah (bersuci) dan solat, dan hendaklah memukul mereka (jika mereka tidak melaksanakan solat) ketika mereka telah berakal.”
Sahabat-sahabat kami (dari kalangan ulama bermazhab Asy-Syafi’i) berkata, “Hendaklah para wali memerintahkan anak-anak kecil mereka untuk hadir solat berjama’ah, bersiwak, serta memerintahkan mereka agar melaksanakan kewajiban-kewajiban agama yang lainnya. Dan hendaklah mereka menjelaskan keharaman zina, liwath, khamr, berdusta, ghibah (mengumpat), dan yang semisalnya.”
Telah berkata Ar-Rafi’i, “Para ulama berkata, wajib ke atas para bapa dan ibu supaya mengajarkan anak-anak mereka thaharah (bersuci), solat, dan syari’at-syari’at (kewajiban dan tuntutan dalam agama) setelah mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika mereka meninggalkan kewajiban-kewajiban tersebut setelah mereka berumur sepuluh tahun.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 3/11)
Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
عَلِّقُوا السَّوْطَ حَيْثُ يَرَاهُ أَهْلُ الْبَيْتِ، فَإِنَّهُ لَهُمْ أَدَبٌ
“Gantungkanlah cemeti/rotan supaya dapat dilihat oleh ahli keluarga di rumah, kerana ia dapat membantu dalam mendidik (mendisiplinkan) mereka.” (Al-Mu’jam Al-Ausath oleh Ath-Thabrani, no. 4382. Al-Kabir, no. 10669. Mushannaf oleh ‘Abdurrazzaq, no. 17963. Dinilai hasan oleh Al-Albani)
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الوَجْهَ
“Apabila salah seorang dari kalian terpaksa untuk memukul, maka jauhilah dari memukul pada bahagian wajah (muka).” (Shahih Al-Bukhari, no. 2559)
Yakni memukul dalam rangka mendidik, bukan untuk melepaskan geram, marah, atau dendam.
Semoga kita dan anak-anak keturunan kita tergolong dalam kalangan orang yang tetap istiqomah menegakkan solat (dengan benar),
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ (40) رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
“Wahai Rabb, jadikanlah aku dan zuriat keturunanku orang-orang yang tetap istiqomah menegakkan solat, wahai Rabb kami, terima dan perkenankanlah doa-ku. Wahai Rabb kami, ampunilah aku dan kedua ibu bapa-ku, serta orang-orang yang beriman pada hari ditegakkan hisab.” (Surah Ibrahim, 14: 40-41)
Wallaahu a’lam.