Agar Wanita Menjaga Kemuliaannya
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Di antara cara Islam memuliakan kaum wanita adalah dengan menitik-beratkan penjagaan aurat. Kaum wanita yang menjaga auratnya dengan baik melambangkan keteguhan iman dan simbol kebebasan pemikiran mereka dari belenggu ideologi jahiliyyah.
Menutup aurat bagi wanita dari sudut syara’ merujuk perbuatan menutup tubuh dan perhiasannya, sehingga orang asing (yang bukan tergolong dari mahramnya) tidak melihat sesuatu pun dari tubuhnya dan perhiasan yang dia kenakan sebagaimana diperintahkan supaya ditutup (dihijab). Iaitu ditutup dengan pakaiannya atau dengan tinggal di rumahnya.
Wanita mukmin berhijab dengan mengenakan khimar (tudung atau penutup kepala) yang dilabuhkan sehingga ke dada-dada mereka dan dengan mengenakan pakaian (jilbab) yang menutupi seluruh tubuh mereka.
Kefahaman ini diambil antaranya dari firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (yang maksudnya):
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنّ
“Hendaklah mereka (wanita yang beriman) menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka mengenakan khumur dengan melabuhkan ke atas dadanya, dan janganlah dia menampakkan perhiasannya (aurat)… (kecuali kepada mahram mereka).” (Surah an-Nuur, 24: 31)
Lafaz al-Khumru atau al-khumur (ألخمر) yang termaktub dalam ayat 31 surah an-Nuur ini adalah bentuk jama’ dari lafaz khimar (خمار) yang membawa maksud sesuatu yang dapat menutupi. Maksudnya di sini adalah merujuk kepada menutupi kepala (tidak termasuk dada). Ia juga disebut dengan al-Miqna’ atau al-Maqaani’ (jamak) yang membawa maksud tudung (penutup kepala). Secara lengkapnya ia adalah pakaian yang menutup bahagian kepala iaitu mencakupi rambut, telinga, dan leher.
Berdasarkan penelitian Syaikh al-Albani dalam kitabnya Jilbab al-Mar’atil Muslimah fii Kitabi wa as-Sunnah, beliau menyatakan khimar adalah penutup kepala, tidak ada yang nampak darinya kecuali lingkaran wajahnya.
Manakala sebahagian pendapat yang lain (dari kalangan ulama) menyatakan wajib menutup termasuk bahagian wajah (atau muka).
Dalam ayat tersebut Allah menyatakan:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
“Dan hendaklah mereka mengenakan khumur dengan melabuhkan ke atas dadanya…”
Maksudnya di sini agar kain tudung (khimar) yang dikenakan supaya dilabuhkan sehingga menutupi dada dan tulang dada. Hukum ini adalah supaya wanita mukmin memiliki perbezaan yang jelas berbanding dengan wanita-wanita jahiliyyah, kerana wanita-wanita jahiliyyah tidak pernah melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah tersebut.
Kebiasaan wanita jahiliyyah mereka gemar melewati para lelaki dengan menampakkan bentuk dada-dada mereka serta tanpa ditutupi. Mereka juga turut menampakkan leher, jambul rambut, dan anting-anting telinga mereka.
Maka Allah Subhanahu wa Ta’ala pun memerintahkan wanita-wanita yang beriman supaya menutup diri mereka di hadapan lelaki ajnabi (yang bukan mahram) atau apabila keluar dari rumah. Penjelasan seperti ini boleh ditemui dalam Tafsir Ibnu Katsir.
Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal yang dengannya mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Ahdzaab, 33: 59)
Perkataan jilbab dalam ayat ini merujuk pakaian yang menutupi seluruh tubuh. Fungsi jilbab lebih luas (umum) dari khimar (tudung), kerana jilbab merujuk pakaian yang dapat menutupi tubuh wanita dari kepalanya sehingga ke bahagian bawah tubuhnya (termasuk kaki). Melainkan apa yang dibenarkan untuk tidak ditutup atau dibolehkan terbuka iaitu muka dan kedua tapak tangan.
Secara umumnya, syarat-syarat asas pakaian seorang wanita beriman di hadapan bukan mahramnya adalah sebagaimana berikut:
1. Menutup seluruh tubuh, melainkan bahagian yang dikecualikan (yang boleh untuk tidak ditutup). Iaitu muka dan kedua tapak tangan.
2. Bukan dengan tujuan untuk berhias, menarik perhatian, atau melawa di hadapan bukan mahram.
3. Menggunakan kain yang tebal (bukan yang tipis atau jarang) sebagai kain pakaiannya. Ini supaya tidak menampakkan warna kulit atau bahagian dalam tubuhnya.
4. Tidak ketat tetapi perlu agar longgar dan tidak boleh menggambarkan bentuk tubuh.
5. Tidak diberi wangi-wangian (perfume).
6. Tidak menyerupai pakaian lelaki.
7. Tidak menyerupai pakaian wanita kafir atau syi’ar orang-orang fasiq.
8. Bukan pakaian kesombongan atau untuk bermegah-megah.
Lebih lanjut tentang perbahasan pakaian wanita beriman ini, penulis cadangkan agar para pembaca menela’ah buku karya Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani rahimahullah bertajuk, “Jilbab al-Mar’atil Muslimah.” Buku ini telah pun diterjemahkan ke bahasa Melayu antaranya dengan judul Jilbab Wanita Muslimah oleh Pustaka at-Tibyan dan Kriteria Busana Muslimah oleh Pustaka Imam asy-Syafi’i. Buku ini memuatkan hujjah penjelasan yang cukup baik dari ayat-ayat al-Qur’an, hadis-hadis Nabi, dan perkataan salafus soleh berkaitan tatacara menutup aurat bagi seorang wanita beriman.
Dengan memahami kewajiban menutup aurat bagi wanita, maka kita akan memahami pula bahawa Islam amat melarang keras perbuatan eksploitasi dan aksi peragaan tubuh wanita. Islam menjaga aurat wanita dengan cara memakaikan mereka jubah-jubah kemuliaan. Islam melindungi mereka dari mata-mata keranjang bahkan memerintahkan pula kaum lelaki menundukkan pandangan mereka terhadap kaum wanita. Mereka juga dilindungi dari menjadi agen pembangkit nafsu syahwat serta berahi. Islam memperuntukkan para wanita agar menjadikan rumah-rumah mereka atau rumah-rumah suami mereka sebagai tempat terbaik menjaga diri.
Islam tidak menggalakkan kaum wanita berkeliaran atau berpeleseran di tempat-tempat awam tanpa sebarang sebab atau keperluan yang mendesak. Sebaliknya kaum lelaki yang merupakan suami atau wali bagi wanitalah yang bertanggungjawab memenuhi keperluan nafkah kaum wanita dengan keluar bekerja di luar rumah. Dengan itu, kaum wanita akan lebih selamat dengan tinggal di rumah-rumah mereka dan menjadi penjaga harta-harta suami mereka merangkap pendidik berkesan bagi anak-anak.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Seseorang lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas keluarganya, manakala seseorang isteri menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kalian pimpin.” (Shahih al-Bukhari, no. 5200. Bab: Wanita adalah Pemimpin di Rumah Suaminya)
Sehingga hendak bermusafir dan hendak menunaikan haji selaku ibadah yang besar pun tidak dibenarkan bagi wanita jika tidak memiliki mahram yang sah. Demikianlah seriusnya Islam dalam menjaga kehormatan wanita.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَى
“…hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah terdahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)
Tabarruj bagi wanita dalam ayat ini adalah perbuatan memperlihatkan atau memperagakan keindahan tubuh sama ada dengan membuka aurat mahupun menutupnya untuk tatapan umum, mencari tarikan, mahu kelihatan cantik dan bersolek bukan untuk suaminya, mencukur kening, memakai pakaian yang menunjukkan atau menggambarkan bentuk tubuh, serta yang seumpamanya.
Namun dari apa yang kita lihat hari ini, sebahagian dari wanita Islam telah mula meninggalkan kemuliaan yang diberikan oleh Islam kepada mereka. Perintah agama supaya menutup aurat dan larangan agar tidak bertabarruj seolah-olah dilupakan dan dipandang remeh. Wanita-wanita Islam mula bangga untuk berkeliaran bebas di khalayak ramai sambil menggayakan fesyen-fesyen tidak syar’i yang mereka anggap sebagai lambang kemodenan.
Ini dapat kita perhatikan apabila tanpa rasa bersalah atau malu mereka membuka tudung, mendedahkan lengan, membuka dada, memperlihatkan betis, serta mempertontonkan bahagian-bahagian tubuh mereka di hadapan umum. Jika dengan menutup aurat pun dianggap tercela, bagaimana halnya dengan membuka aurat?
Sebagaimana kata Al-Imam Mujahid:
كانت المرأة تخرج تمشي بين يدي الرجال، فذلك تبرج الجاهلية
“Dahulu wanita keluar berjalan dalam kalangan kaum lelaki, maka yang demikian (termasuk) maksud tabarruj kaum jahiliyyah.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/10)
Termasuk di dalamnya adalah mengenakan fesyen tudung atau rambut bersanggul tinggi seperti bonggol unta. Juga fesyen pakaian ketat yang menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, mengenakan kain yang tipis serta pakaian yang singkat.
Apabila fenomena-fenomena seperti ini muncul dan terus berluasa, maka berlakulah apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berupa fitnah-fitnah yang berbahaya bagi kaum lelaki dan masyarakat secara umum.
Kebanyakan wanita yang gemar berpeleseran atau menghabiskan masa keluar bekerja di luar rumah pasti berhadapan risiko kehilangan nilai-nilai kemuliaannya. Mereka akan berhadapan pergaulan bebas dengan kaum lelaki, menjadi perhatian umum, sampai berkhalwat (berduaan) di dalam pejabat, mampu menjadi bahan penggoda, dan menjadi tarikan kaum lelaki pelbagai sifat serta karektor. Sedangkan wanita itu fitrahnya adalah lembut dan lemah. Maka ini akan mendedahkan mereka kepada pelbagai ancaman.
Selain itu, anak-anak dan institusi kekeluargaan pula akan menjadi kelam-kabut, kehilangan sentuhan kasih-sayang, rasa cinta, dan akhirnya boleh mengakibatkan terabainya kewajiban yang telah ditetapkan. Akhirnya boleh mengundang pelbagai fitnah dan gangguan keharmonian kekeluargaan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ
“Aku tidak meninggalkan fitnah sepeninggalanku yang lebih bahaya bagi lelaki melebihi fitnah wanita.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim – Muttafaq ‘alaih)
Beliau juga bersabda:
فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ
“Takutlah kamu dengan dunia dan takutlah kamu dengan fitnah wanita, kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa bani Israil adalah berkaitan urusan wanita.” (Shahih Muslim, no. 2742)
Sahabat Nabi, ‘Ali radhiyallahu ‘anhu pernah berkata kepada isterinya Fathimah radhiyallahu ‘anha:
يا فاطمة ما خير ما للمرأة؟
“Wahai Fathimah, apa yang terbaik untuk seseorang wanita?” Fathimah menjawab:
أن لا ترى الرجال ولا يروها
“Hendaklah dia tidak melihat lelaki (yang bukan mahramnya) dan lelaki pun tidak melihatnya.” ‘Ali berkata lagi:
ألا تستحيون؟ ألا تغارون؟ يترك أحدكم امرأته تخرج بين الرجال تنظر إليهم وينظرون إليها
“Tidakkah kamu malu? Tidakkah kamu cemburu? Salah seorang di antara kamu membiarkan isterinya pergi ke khalayak kaum lelaki dan dia melihat mereka serta mereka (para lelaki) pun melihat mereka pula.” (Lihat: adz-Dzahabi, al-Kaba’ir, m/s. 171-172. Dinukil daripada: ‘Abdullah al-Jarullah, Mas’uliyyah al-Mar’ah al-Muslimah, m/s. 67)
Dalam kitab Musnad Ahmad juga terdapat atsar yang hampir sama daripada ‘Ali B. Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu:
أَلَا تَسْتَحْيُونَ أَوْ تَغَارُونَ؟ فَإِنَّهُ بَلَغَنِي أَنَّ نِسَاءَكُمْ يَخْرُجْنَ فِي الْأَسْوَاقِ يُزَاحِمْنَ الْعُلُوجَ
“Adakah kamu tidak malu atau cemburu? Sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa wanita-wanita kamu keluar di pasar-pasar lalu mereka bercampur dengan kaum lelaki.” (Musnad Ahmad, no. 1118. Sanadnya jayyid di mana Syarik bin ‘Abdullah Al-Qadhi dalam riwayatnya daripada Abu Ishaq adalah tsabit sebagaimana kata Imam Ahmad)
Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
ومن المعلوم أن العاقل يشتد عليه أن الأجنبي يرى وجه زوجته وابنته ونحو ذلك
“Dan dari yang dimaklumi bahawa orang yang memiliki akal akan merasa berat seandainya ada lelaki ajnabi (lelaki asing yang bukan mahram) melihat wajah isteri, anak perempuannya, dan seumpamanya.” (Fathul Bari, 12/245)
Dari itu, kaum wanita hendaklah menjaga kemuliaannya dengan sebaik mungkin. Para wali hendaklah mengambil berat perkara ini. Atau sebaliknya membiarkan tubuh-badan wanita-wanita ini dinikmati lelaki tidak beriman sehingga menjadilah ia punca fitnah dalam masyarakat. Dan mereka pula berhadapan pelbagai ancaman risiko yang tidak baik. Semoga kita semua dijauhkan darinya dengan berusaha mengikuti perintah Allah dan Rasul-Nya.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memberikan peringatan yang menggerunkan dengan katanya:
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
“Ada dua kelompok penghuni Neraka yang belum pernah aku lihat. (Iaitu) kaum lelaki yang membawa penyebat seperti ekor lembu di mana mereka memukul manusia dengannya. Dan kaum wanita yang berpakaian tetapi telanjang, selalu melakukan maksiat dan mengajarkan kemaksiatannya kepada orang lain, kepala-kepala mereka seperti bonggol unta yang senget, mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium aromanya. Padahal aroma Syurga itu tercium dari jarak sekian dan sekian.” (Shahih Muslim, no. 2128)
Maksud wanita yang berpakaian tetapi telanjang ini adalah umum sama ada mereka yang tidak menutup aurat dengan sempurna, memakai pakaian yang menggambarkan tubuh dan bentuk-bentuk tubuh mereka, berpakaian singkat, mahupun yang berpakaian tipis dan ketat.
Manakala keterangan tentang kepala mereka seperti bonggol unta ini pula merujuk kaum wanita yang mengenakan sanggul atau menghimpunkan rambut-rambut mereka ke atas sehingga menampakkan kepada umum seperti bentuk bonggol unta di kepala mereka. Sama ada ia mengenakan di bawah tudung atau tanpa bertudung. Penjelasan berkaitan hadis ini penulis ambil dari Syarah Shahih Muslim oleh Imam an-Nawawi dan Syarah Riyadhus Shalihin oleh Syaikh al-‘Utsaimin.
Maka, jadilah wanita yang solehah lagi mulia. Iaitu yang memelihara diri sebagaimana diperintahkan. Taatilah Allah Subhanahu wa Ta’ala dan takutlah dengan ancaman-Nya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ
“Oleh itu maka wanita yang solehah adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada dengan apa yang Allah telah pelihara mereka.” (Surah an-Nisaa’, 4: 34)
Wallahu a’lam…
3 Comments
ustaz…mohon share…
Assalamualaikum… Mohon saudara Nawawi membuang gambar perempuan daripada artikel ini supaya tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan pembaca. Sesunguhnya wanita itu aurat, tidak wajar gambarnya didedahkan dalam blog saudara yang mulia. Wassalam…
artikel ini memang menarik, sayangkan, wacana begini tidak digemari oleh para penghibur kita, para seniman, artis, kerana mereka lebih suka dengan stail yang avant garde – busana muslimah pun masih dedah aurat, isteri menteri pula yang rasmikan, si puan tu dua kali lima juga. hiburan TV kita makin menjadi-jadi, ustaz tak berani tegur, sebab nanti tak masuk TV. Aha?