Adakah Memasak Termasuk Tanggungjawab Seorang Isteri?

Adakah Memasak Termasuk Tanggungjawab Seorang Isteri?

www.ilmusunnah.com

Termasuk tugas-tugas isteri adalah memantau (menjaga) rumah suaminya (ketika suaminya tiada), terima-kekurangan-isterimenyelenggara makan dan minum, memperkemas tempat tidurnya, dan membantu suami dalam
memberi makan haiwan ternakannya di rumah bersesuaian dengan kemampuan dan kebiasaan seorang wanita. Dan inilah pendapat yang benar (lebih tepat) bersesuaian dengan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih.

Dan hal ini telah dilakukan oleh bukan wanita biasa-biasa, tetapi para wanita terhebat dan terbaik dari umat ini, dari kalangan isteri-isteri Nabi dan para sahabat.

Sekaligus ia termasuk sunnah (anjuran) dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan termasuk sunnah para wanita (isteri-isteri) dari generasi terbaik umat ini sebagaimana yang akan kita lihat dalil-dalilnya. (lihat: Majmu’ Al-Fatawa oleh Ibn Taimiyyah, 34/90. Fathul Bari oleh Ibn Hajar, 9/322-324. Adab Az-Zifaf oleh Al-Albani, m/s. 214-218)

Dan sememangnya tidak kita ketahui adanya dalil-dalil yang menunjukkan tugas-tugas khas seperti memasak, mengadun roti, membuat bubur, atau menghidang makanan di dapur dan mengemas rumah termasuk tanggungjawab seorang suami di zaman Nabi atau para sahabat.

Sebaliknya peranan kaum lelaki pada zaman tersebut lebih tertumpu pada urusan pekerjaan di luar semisal perniagaan, pentadbiran, peperangan, jihad, dakwah, dan seumpamanya.

Manakala skop tanggungjawab para isteri pada zaman tersebut pula lebih tertumpu di rumah secara umum. Dan inilah yang bersesuaian dengan contoh dan dalil-dalil dari Al-Qur’an mahupun As-Sunnah serta didukung pula oleh ‘uruf (keadaan setempat) di zaman Nabi dan juga hari ini.

Di antara dalil-dalil yang melandasi hal ini adalah sebagaimana berikut,

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ

“Dan para wanita mempunyai hak-hak yang bersesuaian dengan kewajibannya menurut cara yang ma’ruf (dan ‘uruf). Akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan berbanding isterinya.” (Surah Al-Baqarah, 2: 228)

Kata Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah (Wafat: 1376) dalam Tafsirnya:

أي: وللنساء على بعولتهن من الحقوق واللوازم مثل الذي عليهن لأزواجهن من الحقوق اللازمة والمستحبة. ومرجع الحقوق بين الزوجين يرجع إلى المعروف، وهو: العادة الجارية في ذلك البلد وذلك الزمان من مثلها لمثله، ويختلف ذلك باختلاف الأزمنة والأمكنة، والأحوال، والأشخاص والعوائد. وفي هذا دليل على أن النفقة والكسوة، والمعاشرة، والمسكن، وكذلك الوطء – الكل يرجع إلى المعروف، فهذا موجب العقد المطلق. وأما مع الشرط، فعلى شرطهما، إلا شرطا أحل حراما، أو حرم حلالا.

{ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ } أي: رفعة ورياسة، وزيادة حق عليها، كما قال تعالى: { الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ } .

“Maksudnya, bagi para wanita itu hak-hak yang wajib atas mereka terhadap suami mereka sebagaimana para suami memiliki hak yang lazim (wajib) mahupun yang mustahab (sunnah) atas mereka. Dan rujukan hak-hak antara suami dan isteri ini adalah berdasarkan apa yang ma’ruf (yang selari dengan adat selagi tidak menyalahi syara’), iaitu berdasarkan adat kebiasaan bagi seorang perempuan muslim di negeri tersebut pada zaman tersebut yang bersesuaian dengan waktu, tempat, keadaan, masyarakat, dan kebiasaan. Dari ayat ini terkandung dalil bahawa nafkah, pakaian, pergaulan, dan tempat tinggal, demikian juga hubungan suami isteri hendaklah menurut cara yang ma’ruf, dan ini adalah hasil dari sebuah aqad pernikahan secara muthlaq. Ada pun jika yang disertai dengan syarat, maka ia diikat dengan syarat tersebut tetapi tidak boleh syarat yang menghalalkan yang haram, atau mengharamkan yang halal.

Dan ayat berikutnya, “Akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan berbanding isterinya.” Maksudnya; ketinggian dan kepimpinan, dan kelebihan hak atasnya (berbanding perempuan), sebagaimana Allah Ta’ala berfirman:

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita disebabkan Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.” (Surah An-Nisaa’, 4: 34)

Kedudukan kenabian, kehakiman, imam masjid (solat), mahupun kekhalifahan (kepimpinan negara atau pentadbiran dalam masyarakat), serta segala kekuasaan adalah khusus bagi lelaki, dan kaum lelaki memiliki hak dua kali ganda dari hak kaum wanita dalam banyak perkara seperti perwarisan dan seumpamanya.” (Taisir Al-Karim Ar-Rahman fi Tafsir Kalam Al-Mannan, m/s. 101)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّهُ

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita disebabkan Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Maka wanita yang soleh adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada dengan apa yang Allah telah pelihara mereka.” (Surah An-Nisaa’, 4: 34)

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ

“Seorang lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas keluarganya, manakala seorang isteri menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan rumah suami dan anak-anaknya.” (Shahih Al-Bukhari, Bab: Wanita Adalah Pemimpin Di Rumah Suaminya, no. 5200)

Dalam lafaz yang lain di riwayat Imam Muslim, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ، وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ

“Seorang isteri itu adalah pemimpin (yang memegang amanah) atas rumah dan anak-anak suaminya, dan kelak dia akan dipertanggungjawabkan (oleh Allah).” (Shahih Muslim, no. 1829)

Dalil-dalil ini semua menunjukkan bahawa tempat terbaik seorang wanita secara syar’inya adalah di rumah suami mereka, dan hal ini selari dengan fitrah mereka sebagai seorang wanita.

Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H) berkata:

الرجل راع لكن رعيته محصورة؛ هو راع في أهل بيته، في زوجته، في ابنه، في بنته، في أخته، في عمته، في خالته، كل من في بيته، راع في أهل بيته ومسؤول عن رعيته، يجب عليه أن يرعاهم أحسن رعاية؛ لأنه مسؤول عنهم.

كذلك المرأة راعية في بيت زوجها ومسؤولة عن رعيتها، يجب عليها، يجب أن تنصح في البيت، في الطبخ، في القهوة، في الشاي، في الفرش، لا تطبخ أكثر من اللازم، ولا تجهز الشاي أكثر مما يحتاج إليه، يجب عليها أن تكون امرأةً مقتصدة؛ فإن الاقتصاد نصف المعيشة، غير مفرطة فيما ينبغي.

مسؤولة أيضاً عن أولادها في إصلاحهم وإصلاح أحوالهم وشؤونهم، كإلباسهم الثياب، وخلع الثياب غير النظيفة، وتغيير فراشهم الذي ينامون عليه، وتغطيتهم في الشتاء وهكذا، مسؤولة عن كل هذا، مسؤولة عن الطبخ وإحسانه ونضجه، وهكذا مسؤولة عن كل ما في البيت.

“Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin bagi orang-orang yang berada di bawah pimpinannya dalam ruang lingkup yang telah dibataskan. Dia adalah pemimpin terhadap ahli rumahnya (ahli keluarganya), terhadap isterinya, terhadap anak-anaknya, anak-anak perempuannya, terhadap saudaranya yang perempuan (adik-beradik perempuan), terhadap makciknya, dan seluruh anggota keluarga yang berada di rumahnya, dia adalah pemimpin ahli keluarganya dan dia akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah pimpinannya, dia wajib memelihara dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya, kerana dia bertanggungjawab atas mereka semua.

Demikian pula dengan wanita (isteri), mereka adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya. Isteri bertanggungjawab mengatur urusan rumah, memasak, membuat minuman, semisal kopi atau teh, mengurus tempat tidur, hendaklah dia tidak berlebihan pada kelaziman urusan memasak (yakni bersikap pertengahan dan bijak dalam mengurus, tidak membazir, atau tidak pula terkurang), tidak pula berlebihan pada minuman (sehingga terlalu pekat), wajib baginya untuk berjimat-cermat dan sederhana, kerana sikap pertengahan dan tepat adalah separuh dari keperluan dalam kehidupan, tidak boleh berlebih-lebihan pada apa yang tidak diperlukan.

Dia juga bertanggungjawab terhadap anak-anaknya, pada pendidikan mereka dan menguruskan keadaan mereka, seperti mengenakan pakaian (yang baik) untuk mereka dan melepaskan pakaian yang kotor, merapikan tempat tidur mereka, memastikan pakaian/selimut mereka ketika musim sejuk, dan yang seumpamanya. Seorang isteri juga bertanggungjawab terhadap apa yang dia masak, yang baik dan matang, dan demikian pada setiap apa yang ada di rumahnya (yakni dari hal-hal yang lazim dan kebiasaan).” (Syarh Riyadh Ash-Shalihin, 3/150)

Kemudian dalil-dalil yang lebih khusus,

Dari hadis Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَأَلَ أَهْلَهُ الْأُدُمَ، فَقَالُوا: مَا عِنْدَنَا إِلَّا خَلٌّ، فَدَعَا بِهِ، فَجَعَلَ يَأْكُلُ بِهِ، وَيَقُولُ: «نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ، نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah meminta lauk daripada para isterinya. Maka para isterinya berkata, “Tiada apa di sisi kami kecuali khal (cuka).” Maka beliau pun meminta dibawakan cuka tersebut lalu beliau pun makan berlauk dengannya. Dan beliau mengatakan, “Lauk yang paling nikmat (enak) adalah cuka, lauk yang paling nikmat adalah cuka.” (Shahih Muslim, no. 2052)

Dari hadis ini menjelaskan bahawa isteri memiliki tanggungjawab untuk membantu suaminya dalam mempersiapkan makan dan minum di rumah. Manakala seorang suami pula hendaklah sentiasa bersikap toleransi, memahami, lemah-lembut, dan memotivasikan si isteri dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut termasuk membantunya jika diperlukan.

Dari hadis ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ فَاطِمَةَ، اشْتَكَتْ مَا تَلْقَى مِنَ الرَّحَى فِي يَدِهَا، وَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَبْيٌ، فَانْطَلَقَتْ، فَلَمْ تَجِدْهُ وَلَقِيَتْ عَائِشَةَ، فَأَخْبَرَتْهَا فَلَمَّا جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَخْبَرَتْهُ عَائِشَةُ بِمَجِيءِ فَاطِمَةَ إِلَيْهَا، فَجَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْنَا، وَقَدْ أَخَذْنَا مَضَاجِعَنَا، فَذَهَبْنَا نَقُومُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «عَلَى مَكَانِكُمَا» فَقَعَدَ بَيْنَنَا حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَ قَدَمِهِ عَلَى صَدْرِي، ثُمَّ قَالَ: «أَلَا أُعَلِّمُكُمَا خَيْرًا مِمَّا سَأَلْتُمَا، إِذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا، أَنْ تُكَبِّرَا اللهَ أَرْبَعًا وَثَلَاثِينَ، وَتُسَبِّحَاهُ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَتَحْمَدَاهُ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، فَهْوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ

“Bahawa Fathimah pernah merasa tapak tangannya mengeras disebabkan sering menumbuk bebijian (gandum).

Dan pada ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam baru saja mendapat tawanan perang (yang boleh dijadikan pembantu). Lalu Fatimah pun datang menemui Rasulullah untuk meminta seorang pembantu. Tetapi Fathimah tidak menemui Rasulullah (pada ketika itu) dan hanya bertemu dengan ‘Aisyah. Kemudian Fatimah berpesan kepada ‘Aisyah agar mengkhabarkan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ketika Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam tiba di rumah, ‘Aisyah pun memberitahu beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang kedatangan Fathimah.

Maka kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun mendatangi rumah kami ketika kami sedang baring hendak tidur. Kami pun segera bangun, tetapi beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mencegahnya dan bersabda, “Tetaplah di tempat kamu berdua.”

Kemudian beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam duduk di antara kami sehingga aku merasakan sejuknya kaki beliau yang menyentuh dada-ku. Setelah itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Inginkah kalian berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang kalian minta? Apabila kalian berbaring hendak tidur, bacalah takbir (Allaahu Akbar) tiga puluh tiga kali, tasbih (Subhaanallaah) tiga puluh tiga kali, dan tahmid (Alhamdulillaah) tiga puluh tiga kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian berdua dari memiliki seorang pembantu…” (Shahih Muslim, no. 2727)

Dari hadis ini terdapat faedah bahawa seorang isteri telah dikenal memiliki kelaziman dalam membantu suami dalam menyiapkan kerja-kerja di rumah seperti menyediakan makanan dan seumpamanya. Sehingga walaupun kerja-kerja di rumah terasa berat bagi seorang isteri dan dibolehkan mendapatkan pembantu, namun mereka tetap dianjurkan agar menyiapkannya dengan air tangan sendiri (yakni air tangan si isteri) berbanding menyerahkannya kepada pembantu atau orang lain.

Pada hadis ini juga terkandung faedah di mana ketika Fathimah (anak Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) mengadu kepada Nabi akan beratnya pekerjaan yang sedang beliau hadapi dalam membantu suaminya (‘Ali); Nabi sedikit pun tidak mengatakan urusan pekerjaan di rumah bukan termasuk tanggungjawab si isteri, atau mengatakan ianya bukan termasuk kewajiban isteri, atau pun sekurang-kurangnya memberikan kelonggaran untuknya, tetapi bahkan sebaliknya Nabi tetap mendorong dan memotivasikannya agar tetap melaksanakan hal tersebut.

Lihatlah, anak perempuan dari seorang Nabi, dan merupakan isteri dari seorang sahabat Nabi yang memiliki keutamaan pula! Bahkan seorang wanita yang telah mendapat janji Syurga sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi. Perhatikanlah, tugas ini adalah tugas yang sangat mulia dan merupakan tugas orang-orang mulia dari kalangan umat ini.

Maka, perhatikanlah keadaan kita masing-masing. Wahai para suami dan para wanita yang bergelar isteri.

Lalu sekiranya si isteri telah terbeban dengan kerja-kerja di luar, bagaimana dia boleh fokus terhadap hal seperti ini? Tentu akan jauh lebih memberatkannya. Maka, fahamilah hal ini wahai isteri-isteri yang sibuk dengan kerjaya atau urusan-urusan di luar rumah. Berusahalah untuk bersyukur dan merasa cukup dengan pemberian Allah.

Dan dalam masa sama, pada perkara ini dapat kita lihat perbezaan yang sangat besar dengan keadaan masyarakat hari ini di mana mereka lebih menganjurkan agar si isteri keluar bekerja manakala kerja-kerja di rumah diserahkan kepada para pembantu. Sedangkan di sisi Nabi, halnya tidaklah demikian.

Kemudian hal ini dikuatkan lagi dengan dalil-dalil yang lain, antaranya dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau pernah menceritakan:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِينِي، فَيَقُولُ: أَعِنْدَكِ غَدَاءٌ؟، فَأَقُولُ: لاَ، فَيَقُولُ: إِنِّي صَائِمٌ، قَالَتْ: فَأَتَانِي يَوْمًا، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّهُ قَدْ أُهْدِيَتْ لَنَا هَدِيَّةٌ، قَالَ: وَمَا هِيَ؟، قَالَتْ: قُلْتُ: حَيْسٌ، قَالَ: أَمَا إِنِّي قَدْ أَصْبَحْتُ صَائِمًا، قَالَتْ: ثُمَّ أَكَلَ.

“Pernah suatu hari Nabi mendatangiku, lalu beliau berkata, “Adakah makanan untuk hari ini?” Maka aku jawab, “Tiada.” Lalu beliau mengatakan, “Tak mengapa, aku puasa hari ini.”Menjadi_Isteri_Sejati

(Kata ‘Aisyah lagi), di hari yang lain beliau datang lagi dan aku katakan padanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kita diberi hadiah berupa makanan.” Beliau bertanya, “Apa dia?” Maka aku katakan, “Hays (yakni sejenis makanan dari adunan kurma, minyak dan tepung).” Beliau pun berkata:

“Sebenarnya tadi aku telah berniat puasa.” Kemudian beliau pun memakannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 734)

Dari hadis ini menunjukkan kebiasaan dalam menyiapkan atau menyediakan makanan di rumah adalah termasuk tanggungjawab dan tugas seorang isteri. Atas alasan ini, maka Rasulullah bertanya kepada ‘Aisyah.

Dari hadis Jaabir radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى امْرَأَةً، فَأَتَى امْرَأَتَهُ زَيْنَبَ، وَهِيَ تَمْعَسُ مَنِيئَةً لَهَا، فَقَضَى حَاجَتَهُ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى أَصْحَابِهِ، فَقَالَ: «إِنَّ الْمَرْأَةَ تُقْبِلُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، وَتُدْبِرُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، فَإِذَا أَبْصَرَ أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ، فَإِنَّ ذَلِكَ يَرُدُّ مَا فِي نَفْسِهِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat seorang wanita, lalu beliau pun pergi masuk kepada isterinya Zainab yang pada ketika itu sedang menyamak (mengawet) kulit haiwan miliknya, lalu beliau pun menunaikan “hajatnya” (yakni menyetubuhinya). Kemudian beliau pun keluar kepada para sahabatnya lalu bersabda:

“Sesungguhnya wanita itu datang dalam rupa syaitan dan pergi dalam rupa syaitan. Dari itu, jika salah seorang dari kalian melihat wanita (tanpa sengaja, lalu syahwatnya terangsang), maka hendaklah dia mendatangi isterinya, kerana dengan cara itu dia akan dapat menghilangkan apa yang ada di dalam dirinya (dari syahwat yang sedang bergelora).” (Shahih Muslim, no. 1403)

Pada hadis ini terdapat isyarat yang menganjurkan agar kaum wanita tetap tinggal di rumah sehingga mereka diibaratkan seperti syaitan (apabila keluar ke khalayak kaum lelaki) kerana pada diri mereka terdapat sesuatu yang mempersonakan kaum lelaki, menarik perhatian mereka, dan menimbulkan kecondongan terhadap wanita tersebut sehingga mampu mengundang fitnah dan hal-hal yang tidak diingini.

Dan pada hadis ini terkandung bimbingan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bagi kaum lelaki agar mendatangi isterinya seandainya syahwatnya memuncak, dan manakala bagi si isteri pula hendaklah sentiasa bersedia dan tidak menolak ajakan suaminya, walaupun si isteri sedang sibuk (berada di dapur menguruskan kerja-kerjanya). (lihat: Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi, 9/178-179)

Dari sisi lain, hadis ini menunjukkan tugas dan keberadaan kebiasaan wanita adalah di rumah mengurusi urusan rumah-tangga, khasnya urusan penyelenggaraan pakaian dan makanan. Dapat dilihat dari hadis, isteri Nabi sedang sibuk mengurusi kulit haiwan untuk diawet, yang mana memang termasuk kebiasaan mereka pada zaman tersebut adalah memanfaatkan kulit haiwan untuk dijadikan sebagai hasil tangan berupa pakaian, bekas minuman, khuf, dan seumpamanya.

Dari hadis Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ بَعْضِ نِسَائِهِ، فَأَرْسَلَتْ إِحْدَى أُمَّهَاتِ المُؤْمِنِينَ بِصَحْفَةٍ فِيهَا طَعَامٌ، فَضَرَبَتِ الَّتِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَيْتِهَا يَدَ الخَادِمِ، فَسَقَطَتِ الصَّحْفَةُ فَانْفَلَقَتْ، فَجَمَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِلَقَ الصَّحْفَةِ، ثُمَّ جَعَلَ يَجْمَعُ فِيهَا الطَّعَامَ الَّذِي كَانَ فِي الصَّحْفَةِ، وَيَقُولُ: «غَارَتْ أُمُّكُمْ» ثُمَّ حَبَسَ الخَادِمَ حَتَّى أُتِيَ بِصَحْفَةٍ مِنْ عِنْدِ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا، فَدَفَعَ الصَّحْفَةَ الصَّحِيحَةَ إِلَى الَّتِي كُسِرَتْ صَحْفَتُهَا، وَأَمْسَكَ المَكْسُورَةَ فِي بَيْتِ الَّتِي كَسَرَتْ

“Pernah suatu ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berada di tempat salah seorang isterinya. Lalu salah seorang Ummahatul Mukminin (yakni salah seorang isteri Nabi yang lain) mengirimkan hidangan berisi makanan. Maka isteri Nabi yang mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang berada di rumahnya ketika itu pun memukul bekas (pinggan) yang berisi makanan tersebut lalu jatuh dan pecah dari tangan orang yang mengirimnya. Maka beliau pun segera mengumpulkan makanan yang bertaburan ke dalam bekasnya semula, lalu beliau bersabda:

“Ibu kalian (yakni isterinya) sebenarnya sedang kecemburuan.”

Kemudian beliau pun menahan si pembantu (yakni pengirim makanan) sehingga dibawakanlah bekas (pinggan) dari rumah si isteri di mana beliau berada (yakni rumah isteri yang memecahkannya), lalu beliau menyerahkan bekas (pinggan) yang elok kepada si isteri yang bekasnya telah dipecahkan dan membiarkan bekas yang telah pecah di rumah isteri yang telah memecahkannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5225)

Dari hadis ini terdapat dalil menunjukkan hal-ehwal penyediaan atau pengurusan makanan di rumah telah sedia dikenal termasuk dari kebiasaan para isteri (yakni kaum wanita). Sehingga para isteri Nabi pun saling belumba-lumba dan bersaing untuk menambat hati Nabi dengan cara tersebut.

Dalam masa sama, pada hadis ini terkandung petunjuk dari Nabi, bahawa seorang suami seharusnya bijak dan bersabar dalam menangani sikap para isterinya.

Dalam satu potongan hadis dari Asma’ binti Abu Bakr radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

تَزَوَّجَنِي الزُّبَيْرُ، وَمَا لَهُ فِي الأَرْضِ مِنْ مَالٍ وَلاَ مَمْلُوكٍ، وَلاَ شَيْءٍ غَيْرَ نَاضِحٍ وَغَيْرَ فَرَسِهِ، فَكُنْتُ أَعْلِفُ فَرَسَهُ وَأَسْتَقِي المَاءَ، وَأَخْرِزُ غَرْبَهُ وَأَعْجِنُ، وَلَمْ أَكُنْ أُحْسِنُ أَخْبِزُ، وَكَانَ يَخْبِزُ جَارَاتٌ لِي مِنَ الأَنْصَارِ، وَكُنَّ نِسْوَةَ صِدْقٍ، وَكُنْتُ أَنْقُلُ النَّوَى مِنْ أَرْضِ الزُّبَيْرِ الَّتِي أَقْطَعَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى رَأْسِي

“Az-Zubair (bin Al-‘Awwam) telah menikahiku. Pada ketika itu, beliau tidak memiliki suatu apa pun di muka bumi dari harta (berupa tanah dan unta tunggangan) dan tidak pula hamba serta tidak memiliki apa-apa kecuali alat/unta penyiram tanaman dan seekor kuda. Maka akulah yang memberi makan dan minum kudanya, menjahit bekas airnya serta mengadunkan roti sedangkan aku bukanlah seorang yang pandai membuat roti. Kerana itulah jiran-jiranku dari kalangan wanita-wanita Anshar yang membantu dan membuatkan roti untuk kami, dan mereka adalah para wanita yang jujur. Aku juga turut memetik bebijian dengan membawanya di atas kepalaku dari tanah kebun Az-Zubair yang telah diberikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepadanya (dari harta fa’i)…” (Shahih Al-Bukhari, no. 5224. Shahih Muslim, no. 2182 – lihat Syarah oleh Al-Hafiz Ibn Hajar di Fathul Bari)

Pada hadis ini terkandung penjelasan kebiasaan pekerjaan yang dilakukan oleh para wanita dari kaum Anshar pada ketika itu. Mereka turut membantu suaminya menyelenggarakan urusan makanan (memasak), dan seumpamanya di rumah.

Walau bagaimanapun, hadis ini berlaku sebelum turunnya ayat hijab (yakni ayat yang menjelaskan perintah menutup aurat dengan sempurna, larangan ikhtilath, dan tegahan dari banyak melakukan urusan di luar bagi wanita sehingga mudah bertembung dengan kaum lelaki). (lihat Syarah oleh Al-Hafiz Ibn Hajar di Fathul Bari)

Di hadis yang lain, dari hadis ‘Urwah, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha (isteri Nabi):

أَنَّهَا كَانَتْ إِذَا مَاتَ المَيِّتُ مِنْ أَهْلِهَا، فَاجْتَمَعَ لِذَلِكَ النِّسَاءُ، ثُمَّ تَفَرَّقْنَ إِلَّا أَهْلَهَا وَخَاصَّتَهَا، أَمَرَتْ بِبُرْمَةٍ مِنْ تَلْبِينَةٍ فَطُبِخَتْ، ثُمَّ صُنِعَ ثَرِيدٌ فَصُبَّتِ التَّلْبِينَةُ عَلَيْهَا، ثُمَّ قَالَتْ: كُلْنَ مِنْهَا، فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «التَّلْبِينَةُ مُجِمَّةٌ لِفُؤَادِ المَرِيضِ، تَذْهَبُ بِبَعْضِ الحُزْنِ

“Bahawasanya, jika ada salah seorang dari keluarga ‘Aisyah meninggal, maka berkumpullah kaum wanita, lalu kemudian mereka beredar kecuali pihak keluarganya dan orang-orang perempuan yang terdekat. ‘Aisyah memerintahkan mereka (dari kalangan kaum wanita) agar disediakan hidangan masakan talbinah dalam kadar seperiuk kecil. Kemudian dibuatkan juga bubur dicampurkan pada talbinah.

Kemudian ‘Aisyah berkata, “Makanlah ia, kerana aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Talbinah berkhasiat menenangkan hati orang yang sakit, serta menghilangkan sebahagian dari kesedihan.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5417)

Dari hadis ini juga terkandung dalil di mana kebiasaan memasak atau menyediakan makanan di zaman Nabi dan para sahabat memang sinonim sebagai tugas kaum wanita.

Kemudian, lihatlah pula alasan Jaabir bin ‘Abdillah ketika menikahi janda; yakni dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

هَلَكَ أَبِي وَتَرَكَ سَبْعَ بَنَاتٍ أَوْ تِسْعَ بَنَاتٍ، فَتَزَوَّجْتُ امْرَأَةً ثَيِّبًا، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «تَزَوَّجْتَ يَا جَابِرُ» فَقُلْتُ: نَعَمْ، فَقَالَ: «بِكْرًا أَمْ ثَيِّبًا؟» قُلْتُ: بَلْ ثَيِّبًا، قَالَ: «فَهَلَّا جَارِيَةً تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ، وَتُضَاحِكُهَا وَتُضَاحِكُكَ» قَالَ: فَقُلْتُ لَهُ: إِنَّ عَبْدَ اللَّهِ هَلَكَ، وَتَرَكَ بَنَاتٍ، وَإِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَجِيئَهُنَّ بِمِثْلِهِنَّ، فَتَزَوَّجْتُ امْرَأَةً تَقُومُ عَلَيْهِنَّ وَتُصْلِحُهُنَّ، فَقَالَ: «بَارَكَ اللَّهُ لَكَ» أَوْ قَالَ: «خَيْرًا»

“Ayahku baru sahaja meninggal dunia dan meninggalkan tujuh anak perempuan atau sembilan orang perempuan, maka aku pun menikahi seorang janda. Rasulullah bertanya kepadaku, “Adakah engkau sudah bernikah wahai Jabir?”

Aku jawab, “ya.”

Rasulullah bertanya, “Dengan dengan gadis atau janda?”

Aku jawab, “Dengan janda.”

Rasulullah pun berkata, “Kenapa tidak dengan seorang gadis sahaja yang dengannya engkau boleh bercanda dengannya dan dia pula dapat bercanda denganmu, dan ia boleh membuatmu tertawa gembira dan engkau boleh membuatnya tertawa gembira?”

Maka aku katakan, “Sesungguhnya ‘Abdullah (ayahku) telah meninggal dunia dan meninggalkan beberapa orang anak perempuan (gadis). Jadi, aku tidak berapa suka jika mendatangkan kepada mereka wanita yang seperti mereka juga. Aku pun mengambil keputusan menikahi wanita yang mampu mengurus dan menjaga (memperbaiki) mereka.”

Rasulullah pun mengatakan, “Baarakallaahu laka.” Atau mengatakan, “Semoga beroleh kebaikan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5367. Muslim, no. 715)

Nabi mendoakan Jaabir atas pernikahan dan alasan yang beliau berikan tersebut sebagai tanda setuju tanpa pengingkaran; yakni alasan agar isteri yang baru dinikahi tersebut dapat menyelenggara dan mengurusi keadaan adik-beradik beliau (termasuk makan dan minumnya).

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat bab di Shahihnya:

بَابُ مَا كَانَ السَّلَفُ يَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِهِمْ وَأَسْفَارِهِمْ، مِنَ الطَّعَامِ وَاللَّحْمِ وَغَيْرِهِ

وَقَالَتْ عَائِشَةُ، وَأَسْمَاءُ: «صَنَعْنَا لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ سُفْرَةً

“Bab apa yang disimpan oleh para salaf di rumah-rumah mereka sebagai bekalan perjalanan mereka dari jenis makanan, daging, dan selainnya.”

Kemudian beliau menyebutkan:

“Telah berkata ‘Aisyah dan Asma’, “Kami membuatkan makanan untuk bekal perjalanan (safar) Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam dan Abu Bakr.” (lihat: Fathul Bari, 9/553)

Diriwayatkan dalam satu hadis yang lain dari hadis Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَوْ تَعْلَمُ الْمَرْأَةُ حَقَّ الزَّوْجِ، لَمْ تَقْعُدْ مَـا حَضَرَتْ غَدَاءَهُ وَعَشَاءَهُ، حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهُ

“Seandainya isteri mengetahui hak suaminya, maka dia tidak akan duduk selagi belum menyiapkan makan siang dan makan malamnya sampailah dia menyelesaikan darinya.” (Al-Mu’jam Al-Kabir oleh Ath-Thabarani, no. 333. Majma’ Az-Zawa’id, no. 7647. Dinilai dha’if oleh Al-Albani)

Walaupun demikian, seorang suami tetap dianjurkan agar membantu dan meringankan beban kerja isterinya di rumah, sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga adakalanya turut membantu mengurusi kerja-kerja isterinya di rumah sebagaimana disebutkan dalam sebahagian dalil atau hadis, dan hal ini tentunya akan mewujudkan suasana kasih-sayang dan bentuk pergaulan yang lebih baik.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

“Dan bergaullah dengan mereka dengan ma’ruf.” (Surah An-Nisaa’, 4: 19)

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

أي: طيِّبُوا أقوالكم لهن، وحَسّنُوا أفعالكم وهيئاتكم بحسب قدرتكم، كما تحب ذلك منها، فافعل أنت بها مثله

“Berbuat baiklah pada perkataan kalian bagi isteri kalian, perindahkanlah amalan (tingkah-laku) dan perwatakkan kalian kepada isteri kalian. Sebagaimana kalian suka jika isteri kalian bertingkah-laku demikian.” (Tafsir Ibn Katsir, 2/242)

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى

“Sebaik-baik kalian adalah yang berbuat baik kepada isterinya (atau keluarganya). Sedangkan aku adalah orang yang paling berbuat baik pada isteriku (atau keluargaku).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3895. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata:

 كَانَ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ

“Bahawa dalam masa-masa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sibuk membantu isterinya, lalu apabila tiba waktu solat maka beliau pun keluar untuk solat.” (Musnad Ahmad, no. 24226. Shahih Al-Bukhari, no. 6039)

Dari hadis ‘Urwah, beliau berkata kepada ‘Aisyah (makcik ‘Urwah, isteri Nabi):

يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِيْنَ أي شَيْءٌ كَانَ يَصْنَعُ رَسُوْلُ اللهِ  صلى الله عليه وسلم  إِذَا كَانَ عِنْدَكِ قَالَتْ مَا يَفْعَلُ أَحَدُكُمْ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ يَخْصِفُ نَعْلَهُ وَيُخِيْطُ ثَوْبَهُ وَيَرْفَعُ دَلْوَهُ

“Wahai Ummul Mukminin, apakah yang dilaksanakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jika beliau bersamamu (di rumahmu)?”

‘Aisyah berkata, “Beliau melakukan (seperti) apa yang dilakukan oleh salah seorang dari kalian jika sedang membantu isterinya, beliau menyelenggara kasutnya, menjahit bajunya, dan mengangkat air di baldi.” (Shahih Ibn Hibban, no. 5676)

Disebutkan juga dalam hadis yang lain, beliau turut memerah susu kambing di rumah (untuk dirinya dan keluarganya).

Dari hadis Jaabir, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَاتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لَا يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ، فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

“Bertaqwalah kepada Allah dalam urusan kaum wanita, kerana sesungguhnya kalian telah mengambil (menikahi) mereka dengan amanah dari Allah dan meminta kehalalan dalam mencampuri mereka dengan kalimat Allah. Akan tetapi kalian memiliki hak atas mereka, bahawa mereka (isteri) tidak boleh mengizinkan seseorang yang kalian tidak sukai menginjak lantai rumah kalian. Jika mereka melakukan demikian, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Juga wajib atas kalian (suami) memberi nafkah dan pakaian kepada mereka (isteri) dengan cara yang ma’ruf (yang bersesuaian syara’ dan kemampuan).” (Shahih Muslim, no. 1218)

Di hadis yang lain dari Hakim bin Mu’aawiyah Al-Qusyairi, dari ayahnya (Mu’aawiyah bin Haidah Al-Qusyairi), beliau berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا حَقُّ زَوْجَةِ أَحَدِنَا عَلَيْهِ؟، قَالَ: «أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ، وَتَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ، أَوِ اكْتَسَبْتَ، وَلَا تَضْرِبِ الْوَجْهَ، وَلَا تُقَبِّحْ، وَلَا تَهْجُرْ إِلَّا فِي الْبَيْتِ

“Wahai Rasulullah, apa hak bagi seorang isteri kepada kami?”

Maka jawab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Hendaklah engkau memberikan makan kepadanya jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, dan engkau tidak boleh memukul wajahnya, tidak boleh menghinanya, dan tidak boleh juga memulaukannya (jika dia berbuat salah) kecuali di dalam rumah.” (Sunan Abi Dawud, no. 2142)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyimpulkan:

ثُمَّ مِنْ هَؤُلَاءِ مَنْ قَالَ : تَجِبُ الْخِدْمَةُ الْيَسِيرَةُ وَمِنْهُمْ مَنْ قَالَ : تَجِبُ الْخِدْمَةُ بِالْمَعْرُوفِ، وَهَذَا هُوَ الصَّوَابُ، فَعَلَيْهَا أَنْ تَخْدُمَهُ الْخِدْمَةَ الْمَعْرُوفَةَ مِنْ مِثْلِهَا لِمِثْلِهِ، وَيَتَنَوَّعُ ذَلِكَ بِتَنَوُّعِ الْأَحْوَالِ : فَخِدْمَةُ الْبَدْوِيَّةِ لَيْسَتْ كَخِدْمَةِ الْقَرَوِيَّةِ، وَخِدْمَةُ الْقَوِيَّةِ لَيْسَتْ كَخِدْمَةِ الضَّعِيفَةِ.

“Kemudian dari itu semua, sebahagian ulama ada yang menyatakan bahawa wajib bagi isteri mengurus kerja-kerja rumah yang ringan dan mudah (bersesuaian kemampuannya) di rumah. Sebahagian ulama menyatakan bahawa yang wajib adalah apa yang bersesuaian dengan ‘urf (kebiasaan masyarakat). Pendapat yang terakhir inilah yang benar. Maka hendaklah bagi wanita mengurus kerja-kerja rumah bersesuaian dengan apa yang berlangsung dalam lingkungan kebiasaan masyarakatnya, itulah yang wajib dia tunaikan untuk suami. Ini semua mungkin berbeza-beza bersesuaian dengan keadaan masyarakat tersebut. Orang badwi (kampung) dibandingkan dengan orang kota tentu berbeza dalam pengurusan rumahnya. Demikian juga isteri yang kuat dibandingkan dengan isteri yang lemah keadaannya tentu berbeza dalam perkara mengurus rumah.” (Al-Fatawa Al-Kubra, 3/233)

Maksudnya, orang di desa mungkin memasak dengan dapur kayu, manakala masyarakat di kota memasak dengan dapur gas, atau perkakas elektrik. Atau dalam hal membasuh pakaian, masyarakat desa mungkin membasuh pakaian di perigi atau sungai, tetapi masyarakat kota membasuhnya dengan mesin. Dan keadaan ini sentiasa berubah-ubah mengikut zaman, perkembangan teknologi, kemampuan dan keadaan kehidupan yang mengitarinya.

Sebagaimana menurut Asy-Syaikh Muhammad bin Sholeh Al-‘Utsaimin rahimahullah:

فعليهن مثل ما عليهم بالمعروف، ولهن ما لهم بالمعروف، وبناءً على ذلك فإننا قد نقول في وقت من الأوقات إنه يلزمها أن تخدم زوجها في الطبخ وغسيل الأواني وغسيل ثيابه وثيابها وثياب أولادها وحضانة ولدها والقيام بمصالحه، وقد نقول في وقت آخر إنه لا يلزمها أن تطبخ ولا يلزمها أن تغسل ثيابها ولا ثياب زوجها ولا ثياب أولادها حسب ما يجري به العرف المتبع المعتاد

“Isteri berkewajiban untuk mengurus rumahnya bersesuaian dengan apa yang berlangsung dalam masyarakatnya. Atas dasar tersebut, maka kami mengatakan bahawa hal tersebut berbeza-beza mengikut zaman. Mungkin di suatu waktu (zaman), kewajiban mengurus rumah merujuk kepada memasak, membersihkan perkakasan, membasuh pakaian suami, membasuh pakaiannya dan pakaian anak-anak, mengurus atau menjaga anak-anaknya, dan melaksanakan perkara-perkara yang memberi maslahah di rumah. Namun dapat kami katakan bahawa perkara ini boleh jadi berbeza-beza berdasarkan perbezaan zaman. Di suatu zaman boleh jadi memasak bukan lagi kewajiban, demikian pula dalam perkara mencuci pakaian di rumah untuk suami dan anak-anak. Jadi apa yang berlaku dalam lingkungan masyarakat, itulah yang diikuti.” (Fatawa Nur ‘ala Ad-Darb, m/s. 71 – Maktabah Syamilah)

Wallaahu a’lam.