Adab Penuntut Ilmu Terhadap Masjid (Solat Jamaah)
‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad bin ‘Abdullah As-Sadhan hafidzahullah
www.ilmusunnah.com
Di antara perkara terpuji bagi kaum muslimin secara umum, dan bagi penuntut ilmu secara khusus, adalah bergegas dan menjadi golongan yang awal menuju solat Juma’at dan solat Jama’ah di masjid. Hendaklah mereka sentiasa menjaga agar berada pada saf yang pertama. Perkara ini merupakan suatu tuntutan yang lebih ditekankan bagi para penuntut ilmu; kerana mereka adalah teladan bagi yang lainnya, sehingga akan didapatkan adanya keseiringan antara perkataan dan perbuatan mereka.
Termasuk bentuk sikap yang buruk bagi penuntut ilmu, ketika mana mereka menyeru manusia agar sentiasa bersegera menuju masjid, dan menegur mereka dari keterlambatan, dalam masa sama mereka sendiri dikenal sering terlewat, sama ada pada waktu pagi atau pun petang. Maka ini adalah antara perkara yang memalingkan manusia dari nasihat dan ajaran si penuntut ilmu tersebut, bahkan tidak menutup kemungkinan akan ada di antara jama’ah yang mengambil perkataannya seraya menjelaskan percanggahan antara apa yang dikatakannya dengan perbuatannya. Maka, terhadap orang-orang seperti ini; kepada Allah-lah kita mengadu dan kepada-Nya-lah kita memohon pertolongan.
Bersemangatlah (semoga Allah menjaga-mu) untuk menjadi penuntut ilmu yang bersifat sebagaimana sifat as-salaf ash-sholeh (generasi terdahulu yang soleh), yang mana mereka sentiasa bersegera menuju solat Juma’at dan solat jama’ah di masjid tatkala adzan telah dikumandangkan,
Al-Imam Yahya Al-Qaththan ketika menceritakan tentang Al-A’masy, beliau berkata:
وكان محافظا على الصلاة في جماعة، وعلى الصف الاول، وهو علامة الاسلام. وكان يحيى يلتمس الحائط حتى يقوم في الصف الاول.
“Al-A’masy adalah seorang ahli ibadah, beliau sentiasa menjaga solat jama’ah dan saf pertamanya, beliau merupakan seorang ulama besar. Adapun Yahya, maka dia sampai meraba-raba dinding untuk mendapatkan saf pertama.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 6/232)
Dengan demikian, hendaklah engkau sentiasa melazimi petunjuk as-salaf (yakni orang-orang soleh terdahulu), bacalah kisah hidup mereka, nescaya engkau akan dapati betapa bersemangatnya mereka dalam melaksanakan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Di sini akan saya sampaikan kepada kalian beberapa kisah dari mereka:
1, Waki’ bin Al-Jarrah rahimahullah berkata:
كان الاعمش، قريبا من سبعين سنة، لم تفته التكبيرة الاولى.
“Bahawasanya Al-Amasy selama hampir 70 tahun (beliau hidup) tidak pernah luput dari takbiratul ula (takbiratul ihram bersama imam).” (Siyar A’lam An-Nubala’, 6/228)
2, Al-Qadhi Taqiyuddin Sulaiman rahimahullah berkata:
لم أصل الفريضة قط منفرداً إلا مرتين، وكأني لم أصلهما قط.
“Aku tidak pernah solat fardhu sendirian, kecuali hanya dua kali. Dan ketika aku solat sendirian, aku merasa seakan-akan aku tidak solat.” (Dzail Thabaqat Al-Hanabilah, 2/365)
3, Muhammad bin Simaa’ah rahimahullah berkata:
مكثت أربعين سنة لم تفتني التكبيرة الاولى إلا يوما واحدا ماتت فيه أمي ففاتتني صلاة واحدة في جماعة
“Sepanjang dalam tempoh 40 tahun aku tidak pernah terlepas dari takbiratul ihram (bersama imam) walaupun sehari, kecuali ketika ibuku meninggal dunia.” (Tahdzib At-Tahdzib, 9/204)
4, Ibnu Ma’in menceritakan tentang biografi Ibrahim bin Maimun Ash-Sha’igh, beliau berkata:
كان إذا رفع المطرقة فسمع النداء لم يردها.
“Jika beliau (Ibrahim) mendengar adzan tatkala mengangkat alat pemukulnya (ketika bertukang), maka beliau tidak akan meneruskan untuk memukulnya (yakni beliau langsung meninggalkannya untuk bersegera solat jama’ah – pent.).” (Tahdzib At-Tahdzib, 1/173)
5, Pada biografi Sa’id bin Al-Musayyab rahimahullah dalam kitab Tahdzib At-Tahdzib disebutkan:
ما نودي بالصلاة من أربعين سنة إلا وسعيد في المسجد
“Tidak pernah azdan dikumandangkan sepanjang 40 tahun, melainkan Sa’id telah berada di masjid.” (Tahdzib At-Tahdzib, 4/87)
6, Adapun Al-Aswad, jika telah datang waktu solat, maka beliau pun mendudukkan untanya walaupun sedang berada di atas batu. (Siyar A’lam An-Nubala’, 4/54)
7, Asy-Sya’bi berkata, “Belum pun tiba waktu untuk solat, namun aku selalu merindukannya.”
Beliau (Asy-Sya’bi) juga berkata, “Tidaklah adzan dikumandangkan semenjak aku masuk Islam, melainkan aku telah berwudhu’ pada waktu tersebut.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 3/164)
Bahkan perkara ini memiliki pengaruh yang mendalam, di mana mereka (para salaf) menjadikan penghormatan terhadap waktu solat ini sebagai tolok ukur baik atau tidaknya keislaman seseorang. Dan di antara perkara yang menjelaskan perkara ini, adalah sebagaimana yang disampaikan oleh Ibrahim bin Yazid rahimahullah, di mana beliau berkata:
إذا رأيت الرجل يتهاون في التكبيرة الاولى فاغسل يدك منه.
“Jika engkau melihat seseorang meremehkan (yakni tidak mengambil penting) takbiratul ula (yakni takbiratul ihram bersama-sama imam), maka cucilah tanganmu darinya (yakni tinggalkanlah dia).” (Siyar A’lam An-Nubala’, 5/62)
8, Syu’bah bin Al-Hajjaj rahimahullah berkata, “Aku pernah melihatnya (yakni yang beliau maksudkan adalah Yahya bin Ubaidullah At-Taimi) solatnya tidak bagus, maka aku pun tinggalkan periwayatan hadisnya.” (Tahdzib At-Tahdzib, 11/253)
9, Adz-Dzahabi berkata (setelah beliau membawakan dua sanad dari sebuah hadis yang teksnya sebagaimana berikut:
”Dan pada dua sanad (jalur periwayatan) ini ada sisi dha’if (kelemahan) yang berasal dari Zahir dan ‘Umar, disebabkan buruknya solat mereka berdua.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 10/317)
Kemudian Adz-Dzahabi berkata (dengan penuh kerendahan hati), “Kalau aku memiliki sifat wara’, nescaya aku tidak akan meriwayatkan hadis dari orang yang sifatnya seperti itu.”
Ringkasnya, bersegera menuju masjid dan bersemangat dalam urusan ini bagi penuntut ilmu memiliki pengaruh yang kuat terhadap para jama’ah yang solat bersamanya. Ini kerana pengaruh dari perbuatan itu lebih kuat berbanding pengaruh perkataan.
Dan termasuk perkara yang perlu diketahui oleh para penuntut ilmu adalah, menyampaikan ilmu berdasarkan kemampuannya dari hal-hal yang bermanfaat bagi para jama’ah yang ada di masjid, mungkin sekali-sekala dia boleh membacakan fatwa-fatwa para ulama, atau dengan menyampaikan beberapa permasalahan ilmiyah, atau mungkin boleh juga dengan membacakan ucapan-ucapan yang terpilih, dan yang lainnya.
Hendaklah dia juga bersemangat untuk membacakan jawaban-jawaban dari permasalahan-permasalahan yang terjadi ketika permasalahan tersebut terjadi, seperti permasalahan berkaitan gerhana ketika terjadinya gerhana, atau perbahasan berkaitan solat istisqa’ ketika berlakunya musim kemarau yang berpanjangan. Demikian juga terkait dengan ibadah-ibadah rutin yang sentiasa berulang pada setiap tahunnya, seperti perbahasan berkaitan puasa, haji, dan yang lainnya.
Bagi para imam masjid hendaklah dia bersungguh-sungguh dalam mengadakan majlis-majlis mempelajari Al-Qur’an, serta bersemangat untuk memotivasikan jama’ah masjid untuk itu.
Termasuk perkara yang perlu diperhatikan bagi imam-imam masjid, adalah usaha untuk mengundang para syaikh (yakni ahli ilmu) dan penuntut ilmu untuk turut serta menyebarkan ilmu. Dengan perkara seperti ini, maka akan terlihat buah keberkahan si imam terhadap jama’ah masjidnya, bahkan mungkin akan mampu menyebar-luaskan manfaat kepada masjid-masjid lain di sekitarnya. Maka siapa yang menjadi teladan dalam hal kebaikan, nescaya dia akan mendapatkan pahalanya dan pahala orang yang mengikutinya sampai menjelang hari Kiamat.
Di antara perkara-perkara yang tidak patut dilakukan oleh seorang imam masjid pula adalah:
Menampilkan akhlak yang buruk terhadap jama’ah masjidnya, seperti tidak peduli terhadap keadaan mereka, menganggap diri lebih tinggi dari mereka, sering menolak ajakan mereka, atau bersikap keras terhadap kesalahan yang dilakukan oleh kalangan awam yang tidak mengerti di antara mereka. Satu saja dari perkara tersebut ada pada diri seorang penuntut ilmu, maka itu dapat memasukkan rasa benci ke dalam hati para jama’ahnya terhadapnya, yang tentunya mampu memberi akibat atau kesan penolakkan mereka terhadap apa yang dia ucapkan. Lalu bagaimana jika semua sifat tersebut terkumpul pada diri seorang penuntut ilmu?!
Bertentangan dengan perkara tersebut, yakni apa yang terjadi di antara para imam masjid (atau penuntut ilmu) yang terlalu berlebihan dalam hal bergaul bersama manusia, mereka menjadikan majlis mereka sebagai penglipur-lara yang penuh gurau dan tawa, sehingga wibawa majlis menjadi rosak, atau menjadikan majlis penuh dengan umpatan dan adu domba di dalamnya. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Ta’ala.
Jika demikian keadaannya, nescaya perkara tersebut akan merendahkan kedudukan penjelasannya (menjadi gurau senda) apabila dia memberikan nasihat atau menyampaikan ilmunya, maka hendaknya kita menjauhi dari majlis yang seperti itu.
Kesimpulannya: bahawa dalam bergaul (dengan para jama’ah), hendaklah seorang imam (atau penuntut ilmu) menghindari sikap berlebihan dan meremehkan, sikap syar’i yang seharusnya ditonjolkan adalah bersikap pertengahan, sesuai dengan tuntunan disiplin syari’at.
Di antara kisah yang mengagumkan terkait perkara ini, adalah sebagaimana yang disebutkan di dalam suatu riwayat tentang rasa cinta para jama’ah terhadap seorang imam masjid mereka. Yakni suatu kisah yang diriwayatkan dari Abu Al-Hasan bin Dawud, beliau merupakan seorang imam masjid daerah Dariyya.[1] Ketika imam masjid jami’ Damsyiq meninggal dunia, maka keluarlah penduduk Damsyiq menuju Dariyya untuk mendatangi Abu Al-Hasan bin Dawud, namun kemudian penduduk Dariyya bersiap-siap menyambut mereka dengan pedang-pedang mereka seraya berkata, “Kami tidak akan biarkan kalian mengambil Imam kami!” Maka berkatalah Abu Muhammad ‘Abdurrahman bin Abu Nashr, “Wahai penduduk Dariyya, tidakkah kalian rela jika di negeri ini didengar bahawa penduduk negeri Damsyiq memerlukan imam kalian?” Mereka pun menjawab, “Ya, kami rela.” (Ma’rifah Al-Qurra’ Al-Kibar oleh Adz-Dzahabi, 1/295)
Sekian nukilan, Wallaahu a’lam.
Dinukuil dari kitab Ma’aalim fi Thariq Thalibil ‘Ilm, m/s 110-114.
[1] Dariyya adalah sebuah perkampungan besar yang terkenal di Damaskus/Damsyiq. (lihat: Mi’dam Al-Buldan, 2/431)