Adab-adab Makan & Minum Yang Sering Dilupakan

Adab-adab Makan & Minum Yang Sering Dilupakan

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Makan-makanan yang pelbagai dan beraneka bentuknya adalah termasuk limpahan nikmat dan rezeki dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Namun, untuk menikmati setiap makanan yang dikurniakan Allah tersebut, ada adab-adab dan tuntunan sunnah-sunnahnya. Dan ini termasuk bimbingan serta aturan dari Allah Ta’ala dan Rasul-Nya.

Secara umumnya, umat Islam diperintahkan agar makan dan minum hanya dari apa-apa yang dihalalkan dan menjauhi segala bentuk makanan yang haram. Ini merupakan adab makan dan minum yang paling utama perlu difahami dan dipatuhi. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

“Wahai manusia, makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa-apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah Syaitan, kerana sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang jelas bagimu.” (Surah al-Baqarah, 2: 168)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik dari apa yang Kami kurniakan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu mengabdikan diri.” (Surah al-Baqarah, 2: 172)

Maka, dalam rangka kita mensyukuri nikmat makan dan minum ini, marilah kita mengambilnya dengan etika dan adab-adab yang ditunjukkan oleh Al-Qur’an dan As-Sunnah. Agar kita kita semua beroleh pahala dan barakah dari makanan yang kita ambil.

1, Makan dengan tangan kanan, Jangan makan seperti Syaitan

Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ، وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

“Jika seseorang di antara kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum, maka hendaklah minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.” (Shahih Muslim, no. 2020. Bab: Adab Makan dan Minum serta Hukum-hakamnya)

Dalam riwayat Ibnu Majah:

لِيَأْكُلْ أَحَدُكُمْ بِيَمِينِهِ وَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ وَلْيَأْخُذْ بِيَمِينِهِ وَلْيُعْطِ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ وَيُعْطِي بِشِمَالِهِ وَيَأْخُذُ بِشِمَالِهِ

“Makanlah kamu dengan tangan kanannya, minum dengan tangan kanannya, mengambil dengan tangan kanannya, dan memberi dengan tangan kanannya. Kerana sesungguhnya Syaitan itu makan dengan tangan kirinya, minum dengan tangan kirinya, memberi dengan tangan kirinya, dan mengambil dengan tangan kirinya.” (Sunan Ibnu Majah, no. 3266. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Dua hadis ini menunjukkan perintah agar apabila makan dan minum, hendaklah dengan tangan kanan. Ia juga menunjukkan larangan menyamai amalan atau cara syaitan makan, di mana syaitan apabila makan atau minum, maka mereka makan dan minum dengan tangan kiri.

Hukum menggunakan tangan kanan untuk menyuap makanan ke mulut itu hukumnya adalah wajib kerana asal bagi setiap perintah itu adalah menunjukkan hukum wajib melainkan ada dalil-dalil lain yang mengecualikannya. Atau jika ada udzur-udzur lain yang tidak dapat dielakkan seperti cedera teruk pada tangannya yang kanan, atau lumpuh, atau tidak memiliki tangan sama sekali.

Selain itu, hadis ini juga turut mengkhabarkan tentang sebahagian dari sifat-sifat Syaitan. Iaitu syaitan itu memiliki tangan dan memiliki sifat makan, di mana apabila ia makan, maka ia makan dengan tangan kirinya. Kemudian, disunnahkan kepada kita agar menyelisihi perangai syaitan tersebut.

2, Tidak Sombong Untuk Makan Dengan Tangan Kanan

Dalam Shahih Muslim disebutkan sebuah hadis:

أَنَّ رَجُلًا أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشِمَالِهِ، فَقَالَ: كُلْ بِيَمِينِكَ، قَالَ: لَا أَسْتَطِيعُ، قَالَ: لَا اسْتَطَعْتَ، مَا مَنَعَهُ إِلَّا الْكِبْرُ، قَالَ: فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ

“Bahawasanya ada seorang lelaki makan dengan tangan kirinya di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka Rasulullah pun bersabda: “Makanlah dengan tangan kanan engkau.”

Lelaki itu pun berkata: “Aku tidak mampu.” Kata Rasulullah lagi: “Kamu tidak mampu?” (Hakikatnya) tidaklah dia menolaknya melainkan kerana sombong. (kata perawi): Maka setelah itu, dia pun benar-benar tidak mampu menyuap makanan (dengan tangan kanannya) sampai ke mulutnya.” (Shahih Muslim, no. 2021. Bab: Adab Makan dan Minum serta Hukum-hakamnya)

3, Rasulullah mengajarkan adab makan buat anak kecil

Daripada ‘Umar B. Abi Salamah, beliau berkata, “Ketika aku masih kecil berada di bawah jagaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tanganku ke sana ke mari di ketika makan. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَا غُلَامُ، سَمِّ اللهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

“Wahai Ghulam (anak kecil), sebutlah nama Allah (bismillah), makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah makanan yang dekat denganmu.” Maka begitulah cara (adab) aku makan setelah itu.” (Shahih al-Bukhari, no. 5376. Muslim no. 2022)

Hadis ini menunjukkan disunnahkan agar mengambil makanan yang paling hampir dengan tempat duduk kita, tidak berebut makanan, tidak sehingga berlaga tangan, tidak menyibukkan diri untuk mengambil makanan yang jauh, disunnahkan agar membaca bismillah ketika hendak makan, dan disunnahkan agar makan dengan tangan kanan. Tetapi dibolehkan sekiranya kita meminta tolong orang lain agar mengambilkan makanan yang jauh untuk kita sebagaimana dalam hadis yang lain.

Hadis ini juga turut menunjukkan kepada kita bagaimana mendidik anak-anak tentang sebahagian dari adab-adab makan dan tidak memarahinya.

4, Apabila Makan, Sebutlah Nama Allah

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى، فَإِنْ نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

“Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka sebutlah nama Allah Ta’ala. Jika dia terlupa untuk menyebut nama Allah Ta’ala di awalnya, hendaklah dia mengucapkan:

بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

“Bismillaahi awwalahu wa aakhirahu (dengan nama Allah di awal dan akhirnya).”.” (Sunan Abu Daud, no. 3767. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَسْتَحِلُّ الطَّعَامَ الَّذِي لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

“Sesungguhnya Syaitan menghalalkan makanan yang tidak disebut nama Allah padanya.” (Sunan Abu Daud, no. 3766. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Seorang lelaki yang menjadi pelayan kepada Rasulullah mengatakan:

أنه كان يسمع النبي صلى الله عليه و سلم إذا قرب إليه طعاما يقول: بسم الله

“Bahawasanya beliau mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila makanan didekatkan (dihidangkan) kepadanya, maka beliau pun mengucapkan: “Bismillah”.” (Ibnu Taimiyah, Kalim ath-Thayyib, no. 190. Dinilai sahih isnadnya oleh al-Albani)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852) berkata:

“Dalil yang paling tegas tentang maksud bacaan tasmiyah (ketika hendak makan) adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan at-Tirmidzi dari jalan Ummu Kultsum daripada ‘Aisyah, secara marfu’:

إِذَا أَكَلَ أَحَدكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّه، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّله فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّه فِي أَوَّله وَآخِره

“Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka ucapkanlah “Bismillah”. Jika terlupa menyebutnya, hendaklah ia mengucapkan: “Bismillaahi fii awwalihi wa aakhirihi (dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” Hadis ini memiliki dukungan (syahid) dari hadis Umayyah B. Makhsyi yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan An-Nasaa’i.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 9/521. Hadis ini terdapat dalam Sunan at-Tirmidzi, no. 1858 dan dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Boleh juga mengucapkan dengan doa sebagaimana dalam hadis berikut ini. Kata Rauslullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَنْ أَطْعَمَهُ اللَّهُ الطَّعَامَ فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ، وَمَنْ سَقَاهُ اللَّهُ لَبَنًا فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ

“Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah dengan makanan, maka ucapkanlah:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ

“Ya Allah, berkahilah kami padanya dan kurniakanlah makanan yang lebih baik lagi.” Dan sesiapa yang dikurniakan minuman berupa susu oleh Allah, maka ucapkanlah:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ

“Ya Allah, berkahilah kami padanya dan tambahkanlah untuk kami darinya.”.” (Sunan Abu Daud, no. 3730. Sunan at-Tirmidzi, no. 3455)

5, Doa Makan Yang Masyhur Tetapi Tidak Sahih Dari Nabi

Doa (hadis) yang dimaksudkan tersebut adalah:

أنه كان يقول في الطعام إذا قرب إليه: اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللهِ

“Apabila Nabi dihidangkan dengan makanan, maka beliau pun mengucapkan:

اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللهِ

“Ya Allah berkahilah kami pada apa yang direzekikan untuk kami, dan jauhilah kami dari ‘azab neraka, bismillah.” (Lihat: al-Adzkar an-Nawawiyah, m/s. 424,no. 674 – Daar Ibn Khuzaimah, Tahqiq: ‘Amir ‘Ali Yasin)

Kata Syaikh Amir ‘Ali Yasin:

“Hadis ini dha’if jiddan, diriwayatkan oleh ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 888, Ibnu as-Sunni, no. 457, dan Ibnu ‘Adi, 6/2212 dari beberapa jalur, “dari Hisyam B. ‘Ammaar, Muhammad B. ‘Isa B. Sami’ menceritakan kepada kami, “Muhammad B. Abi az-Zu’aiza’ah, menceritakan kepada kami, daripada ‘Amr B. Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya…” dengan hadis tersebut.

Sanad hadis ini adalah sanad yang bersangatan lemahnya. Hisyam dan Ibnu Sami’, keduanya dipertikaikan, tetapi masalah yang sebenarnya terletak pada Ibnu Abi az-Zu’aiza’ah, kerana ia tertuduh pendusta lagi matruk (ditinggalkan hadisnya), dan hadisnya mungkar lagi sangat dha’if (syadid adh-dha’if). Dengannya, hadisnya ini dinilai mungkar oleh Ibnu ‘Adi, adz-Dzahabi, dan Ibnu Hajar al-Asqalani. (‘Amir ‘Ali Yasin, al-Adzkar an-Nawawiyah, m/s. 424 – Daar Ibn Khuzaimah)

Maka dari itu, hendaklah kita mengutamakan sunnah dan doa-doa yang sahih terlebih dahulu.

6, Jangan Makan Bersama Syaitan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ، فَذَكَرَ اللهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ، وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ، فَلَمْ يَذْكُرِ اللهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ، وَإِذَا لَمْ يَذْكُرِ اللهَ عِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ

“Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya lalu dia berzikir kepada Allah (menyebut nama Allah) ketika dia masuk dan ketika dia makan, maka  syaitan pun berkata (kepada kaum kerabatnya):

“Tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam untuk kamu semua.”

Apabila dia masuk tanpa berzikir kepada Allah ketika dia masuk, maka syaitan pun berkata:

“Kamu semua akan mendapat tempat bermalam.”

Apabila dia tidak berzikir kepada Allah (menyebut nama Allah) ketika makan, maka syaitan pun berkata:

“Kamu semua akan mendapat tempat bermalam berserta makan malam.”.” (Shahih Muslim, no. 2018. Abu Daud, no. 3765)

Hadis ini menunjukkan apabila kita makan tanpa mengingat Allah, iaitu tanpa membaca bismillah (atau tanpa dzikir yang disunnahkan sebagaimana di atas), maka syaitan akan turut serta makan bersama-sama tanpa kita sedari.

7, Makan berjama’ah (bersama-sama)

Para sahabat Nabi berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا نَأْكُلُ وَلَا نَشْبَعُ، قَالَ: فَلَعَلَّكُمْ تَفْتَرِقُونَ؟ قَالُوا: نَعَمْ، قَالَ: فَاجْتَمِعُوا عَلَى طَعَامِكُمْ، وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ يُبَارَكْ لَكُمْ فِيهِ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan tetapi tidak merasa puas?” Beliau bersabda: “Mungkin kerana kamu makan sendiri-sendiri.” Mereka menjawab, “Ya benar.” Beliau bersabda: “Hendaklah kamu bersama-sama (berjama’ah) ketika makan, dan sebutlah nama Allah atasnya, maka kamu akan mendapat barakah padanya.” (Sunan Abu Daud, no. 3764. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Hadis ini selain menunjukkan sunnah mengucapkan bismillah ketika hendak makan, ia juga menunjukkan disunnahkan agar makan secara berjama’ah, bukan sendiri-sendiri kerana padanya terdapat barakah lagi membuatkan kita merasa cukup (kenyang).

8, Minum Dengan Tiga Kali Nafas

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

كان يشرب في ثلاثة أنفاس إذا أدنى الإناء إلى فيه سمى الله تعالى وإذا أخره حمد الله تعالى يفعل ذلك ثلاث مرات

“Bahawasanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) biasa minum dengan tiga kali nafas (selang seli antara meneguk air dan menarik nafas). Jika bekas minuman menghampiri ke mulut beliau, beliau menyebut nama Allah Ta’ala. Dan jika selesai satu nafas, beliau memuji Allah Ta’ala (mengucapkan tahmid). Beliau lakukan perkara yang sama tiga kali.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/94. Majma’ az-Zawa’id, no. 8259. Al-Albani, Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah, 3/272, no. 1277)

9, Bacaan (Dzikir) Setelah Makan

Daripada Mu’adz B. Anas, daripada ayahnya ia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ أَكَلَ طَعَامًا فَقَالَ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلَا قُوَّةٍ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang makan makanan kemudian mengucapkan:

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلَا قُوَّةٍ

“Alhamdulillaahilladzii ath-amanii haadzaa wa rozaqaniihi min ghairi haulinm minnii wa laa quwwatin” (Segala puji bagi Allah yang telah memberiku makanan ini, dan merezekikan kepadaku tanpa daya serta kekuatan dariku), maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 3458. Kata at-Tirmidzi, hadis ini hasan gharib. Manakala al-Albani menilainya hasan)

Juga sebagaimana doa Nabi ini, daripada Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata:

“Setelah Nabi selesai makan, beliau berdoa:

الحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ، غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلاَ مُوَدَّعٍ وَلاَ مُسْتَغْنًى عَنْهُ، رَبَّنَا

“Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, baik, dan penuh keberkahan padanya. Dzat yang telah mengurniakan kecukupan, Dzat yang tidak mungkin diabaikan, dan Dzat yang sentiasa diperlukan. Engkaulah Rabb kami.” (Shahih al-Bukhari, no. 5458. Bab: Apa Yang Dibaca Sebaik Selesai Makan)

Dalam riwayat yang lain, juga daripada Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu:

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَفَانَا وَأَرْوَانَا، غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلاَ مَكْفُورٍ

“Segala puji bagi Allah yang telah mencukupkan kami dan memberi kami minum, Dzat yang telah mengurniakan kecukupan, dan yang nikma-Nya tidak kami kufuri (ingkari).” (Shahih al-Bukhari, no. 5459. Bab: Apa Yang Dibaca Sebaik Selesai Makan)

Jika mengucapkan dengan ucapan “alhamdulillah” setelah makan juga dibolehkan berdasarkan hadis berikut, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَيَرْضَى عَنِ الْعَبْدِ أَنْ يَأْكُلَ الأَكْلَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا أَوْ يَشْرَبَ الشَّرْبَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا

“Sesungguhnya Allah redha kepada hamba-Nya yang mengucapkan tahmid (alhamdulillah) sebaik selesai makan dan minum.” (Shahih Muslim, no. 2734)

10, Menjilat Jari Sebelum Mengesat atau Membasuhnya

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَمْسَحْ يَدَهُ حَتَّى يَلْعَقَهَا أَوْ يُلْعِقَهَا

“Apabila seseorang di antara kamu makan, maka janganlah dia membersihkan (atau mengesat) tangannya sehinggalah dia menjilatnya atau ada orang lain yang menjilatkan untuknya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5456. Bab: Menjilat dan Menghisap Jari Sebelum Dibersihkan Dengan Kain Pengelap)

Hadis ini menunjukkan disunnahkan agar menjilat sisa-sisa makanan yang masih melekat pada jari-jemari sebelum dibasuh atau dikesat.

11, Berkumur-kumur Setelah Selesai Makan

Suwaid B. An-Nu’man radhiyallahu ‘anhu berkata:

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى خَيْبَرَ، فَلَمَّا كُنَّا بِالصَّهْبَاءِ دَعَا بِطَعَامٍ، فَمَا أُتِيَ إِلَّا بِسَوِيقٍ، فَأَكَلْنَا، فَقَامَ إِلَى الصَّلاَةِ فَتَمَضْمَضَ وَمَضْمَضْنَا

“Kami keluar bersama-sama Rasulullah ke Khaibar. Ketika kami tiba di ash-Shahba’, beliau meminta dibawakan makanan. Tiada apa (untuk dihidangkan) melainkan gandum. Maka kami pun makan. Kemudian beliau berdiri untuk solat, maka beliau berkumur-kumur, dan kami pun berkumur-kumur.” (Shahih al-Bukhari, no. 5454. Lihat juga no. 5455. Bab: Berkumur-kumur Setelah Selesai Makan)

Hadis ini menunjukkan disunnahkan agar berkumur-kumur sebaik selesai makan terutamanya apabila sebaik selesai makan itu kita hendak segera mengerjakan solat.

12, Mengajak Penyedia Makanan Untuk Makan Bersama

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا أَتَى أَحَدَكُمْ خَادِمُهُ بِطَعَامِهِ، فَإِنْ لَمْ يُجْلِسْهُ مَعَهُ، فَلْيُنَاوِلْهُ أُكْلَةً أَوْ أُكْلَتَيْنِ، أَوْ لُقْمَةً أَوْ لُقْمَتَيْنِ، فَإِنَّهُ وَلِيَ حَرَّهُ وَعِلاَجَهُ

“Apabila pembantu (pelayan) salah seorang daripada kamu menyediakan makanan (untuk kamu) ajaklah dia makan sekali, jika tidak maka hendaklah kamu berikan padanya satu atau dua makanan, atau secubit atau dua cubit darinya. Ini kerana dia telah membantu kamu menyediakannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5460)

13, Apabila Makanan Telah Terhidang

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا وُضِعَ العَشَاءُ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاءِ

“Apabila makan malam telah terhidang dan dalam masa yang sama seruan solat dikumandangkan, maka dahulukanlah makan malam tersebut.” (Shahih al-Bukhari, no. 5463. Lihat juga: no. 5465, hadis daripada ‘Aisyah)

Nafi’ berkata:

أَنَّهُ تَعَشَّى مَرَّةً، وَهُوَ يَسْمَعُ قِرَاءَةَ الإِمَامِ

“Bahawasanya beliau (Ibnu ‘Umar) pernah makan dan dalam masa yang sama suara bacaan imam bersolat telah kedengaran.” (Shahih al-Bukhari, no. 5464)

Hadis ini menunjukkan disukai agar menghabiskan makanan yang telah sedia terhidang terlebih dahulu jika tiba-tiba telah masuk waktu solat. Tetapi sekiranya hidangan makanan tersebut tidak mengganggu kekhusyukkan atau kesempurnaan solatnya, maka dibolehkan dia untuk meninggalkan sementara makanan tersebut (dalam keadaan baik) kemudian dia segera menunaikan solat.

Ini sebagaimana hadis Amr B. Umayyah radhiyallahu ‘anhu:

أَنَّهُ رَأَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَحْتَزُّ مِنْ كَتِفِ شَاةٍ فِي يَدِهِ، فَدُعِيَ إِلَى الصَّلاَةِ، فَأَلْقَاهَا وَالسِّكِّينَ الَّتِي كَانَ يَحْتَزُّ بِهَا، ثُمَّ قَامَ فَصَلَّى وَلَمْ يَتَوَضَّأْ

“Bahawasanya aku nampak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang memotong daging pada peha kambing, tiba-tiba seruan solat berkumandang. Beliau pun meletakkan pisau dan daging di tangannya lalu bergegas menuju solat tanpa memperbaharui wudhu’.” (Shahih al-Bukhari, no. 5462)

14, Tidak Mencela Makanan

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

مَا عَابَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا قَطُّ، إِنِ اشْتَهَاهُ أَكَلَهُ، وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ

“Nabi tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Jika beliau mahu, beliau makan, dan jika tidak suka, beliau meninggalkannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5409)

Maksudnya adalah tidak berkata yang bukan-bukan tentang makanan tersebut walaupun ianya tidak sedap. Tidak mengejeknya, tidak mempersendakannya, dan tidak mencelanya. Sekiranya mahu atau menyukainya, dia boleh makan, dan sekiranya tidak mahu, maka dia boleh untuk tidak memakannya. Dan dalam hadis yang lain, apabila makanan tersebut sedap dan enak, maka dianjurkan memujinya ketika sedang menikmatinya.

Jabir B. ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَأَلَ أَهْلَهُ الْأُدُمَ، فَقَالُوا: مَا عِنْدَنَا إِلَّا خَلٌّ، فَدَعَا بِهِ، فَجَعَلَ يَأْكُلُ بِهِ، وَيَقُولُ: «نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ، نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah meminta lauk daripada para isterinya. Maka para isterinya berkata, “Tiada apa di sisi kami kecuali khal (cuka).” Maka beliau pun meminta dibawakan cuka tersebut lalu beliau pun makan berlauk dengannya. Dan beliau mengatakan, “Lauk yang paling nikmat (enak) adalah cuka, lauk yang paling nikmat adalah cuka.” (Shahih Muslim, no. 2052)

Tetapi apabila ditanya kenapa kita tidak makan makanan tertentu, maka dibolehkan menyatakan alasannya dengan baik tanpa memburuk-burukkan makanan tersebut. Ini sebagaimana hadis di mana Rasulullah enggan makan makanan berupa daging dhab (biawak padang pasir). Apabila beliau ditanya sama ada dhab itu haram dimakan, maka Rasulullah mengatakan:

لاَ، وَلَكِنْ لَمْ يَكُنْ بِأَرْضِ قَوْمِي، فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ

“Dhab tersebut tidak terdapat di kampung halamanku (bukan makanan kebiasaan bagi masyarakatnya), jadi aku rasa tidak biasa dengannya (atau tidak selera terhadapnya).” (Shahih al-Bukhari, no. 5391, 5537)

15, Tidak Disukai Makan Sambil Bersandar

Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

لاَ آكُلُ مُتَّكِئًا

“Aku tidak makan dalam keadaan bersandar.” (Shahih al-Bukhari, no. 5398, 5399. Bab Makan Sambil Bersandar)

16, Larangan Makan Dari Bekas Terbuat Dari Emas dan Perak

‘Abdurrahman B. Abi Laila mengkhabarkan:

أَنَّهُمْ كَانُوا عِنْدَ حُذَيْفَةَ، فَاسْتَسْقَى فَسَقَاهُ مَجُوسِيٌّ، فَلَمَّا وَضَعَ القَدَحَ فِي يَدِهِ رَمَاهُ بِهِ، وَقَالَ: لَوْلاَ أَنِّي نَهَيْتُهُ غَيْرَ مَرَّةٍ وَلاَ مَرَّتَيْنِ، كَأَنَّهُ يَقُولُ: لَمْ أَفْعَلْ هَذَا، وَلَكِنِّي سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: لاَ تَلْبَسُوا الحَرِيرَ وَلاَ الدِّيبَاجَ، وَلاَ تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ، وَلاَ تَأْكُلُوا فِي صِحَافِهَا، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَنَا فِي الآخِرَةِ

“Bahawasanya ketika mereka (orang-orang) berada di sisi Hudzaifah, Hudzaifah meminta minuman, maka seorang Majusi pun membawa untuknya minuman dalam sebuah bekas di tangannya. Lalu Hudzaifah pun melempar bekas tersebut dari tangannya lalu berkata:

“Kalau bukan kerana aku telah melarangnya lebih dari sekali atau dua kali (tentu aku tidak melemparkannya).” Seolah-olah beliau mengatakan:

“Aku tidak mahu melakukan seperti ini tetapi aku telah mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Janganlah kalian memakai sutra, jangan kalian minum dari bekas terbuat dari emas dan perak, dan janganlah kalian makan di atas bekas yang terbuat dari emas dan perak. Kerana semua itu adalah untuk mereka (orang-orang kafir) di dunia, dan untuk kita di akhirat kelak.” (Shahih al-Bukhari, no. 5426)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

الَّذِي يَشْرَبُ فِي إِنَاءِ الفِضَّةِ إِنَّمَا يُجَرْجِرُ فِي بَطْنِهِ نَارَ جَهَنَّمَ

“Orang-orang yang minum dengan menggunakan bekas terbuat dari perak sesungguhnya di perutnya akan bergelojak dengan api jahannam.” (Shahih al-Bukhari, no. 5634)

17, Makanan Yang Tidak Dimakan Hendaklah Ditutup

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَحُلُّوهُمْ، فَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا، وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا، وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ

“Apabila memasuki waktu malam (atau ketika senja), maka tahanlah anak-anak kalian (agar tidak keluar rumah) kerana Syaitan-syaitan sedang berkeliaran ketika itu. Jika waktu malam telah berlalu beberapa ketika, maka lepaskanlah mereka. Kuncilah pintu-pintu dan sebutlah nama Allah kerana Syaitan tidak mampu membuka pintu yang tertutup. Tutuplah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah. Tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah walaupun hanya dengan meletakkan sesuatu (sebatang kayu) di atasnya di atasnya, dan matikanlah lampu-lampu kalian.” (Shahih al-Bukhari, no. 5623. Bab: Menutup Bekas-bekas Makanan)

Dalam riwayat lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَطْفِئُوا المَصَابِيحَ إِذَا رَقَدْتُمْ، وَغَلِّقُوا الأَبْوَابَ، وَأَوْكُوا الأَسْقِيَةَ، وَخَمِّرُوا الطَّعَامَ وَالشَّرَابَ – وَأَحْسِبُهُ قَالَ – وَلَوْ بِعُودٍ تَعْرُضُهُ عَلَيْهِ

“Matikanlah lampu-lampu apabila kamu tidur, dan tutuplah (kunci) pintu-pintu. Ikatlah (tutuplah) bekas-bekas minuman, dan tutuplah makanan-makanan dan minuman-minuman walaupun hanya sekadar dengan meletakkan sebatang kayu (lidi) di atasnya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5624)

18, Tidak Bernafas Ke Dalam Bekas Makanan atau Minuman

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا شَرِبَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ، وَإِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَمْسَحْ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا تَمَسَّحَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَمَسَّحْ بِيَمِينِهِ

“Apabila salah seorang di antara kamu minum, maka janganlah dia menghembuskan nafasnya ke dalam bekas. Dan apabila salah seorang di antara kamu kencing, maka janganlah dia membasuh (menyentuh) kemaluannya dengan tangan kanannya. Dan apabila dia beristinja’, maka janganlah dia beristinja’ dengan tangan kanannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5630)

Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الشُّرْبِ مِنْ ثُلْمَةِ الْقَدَحِ، وَأَنْ يُنْفَخَ فِي الشَّرَابِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang perbuatan minum dari bahagian bekas yang retak, dan beliau juga melarang meniup ke dalam minuman.” (Sunan Abu Daud, no. 3722. Dinilai sahih oleh al-Albani)

19, Tidak Makan Makanan Yang Terlalu Panas

‘Urwah B. Az-Zubair radhiyallahu ‘anhuma berkata:

أَنَّهَا كَانَتْ إِذَا ثَرَدَتْ، غَطَّتْهُ شَيْئًا حَتَّى يَذْهَبَ فَوْرُهُ، ثُمَّ تَقُولُ: إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّهُ أَعْظَمُ لِلْبَرَكَةِ

“Bahawasanya pernah beliau (Asma’ B. Abi Bakr) membuat tsarid, beliau menutupnya sehinggalah asap panasnya hilang. Kemudian beliau berkata:

“Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata: “Sesungguhnya itu menambahkan barakah.” (Musnad Ahmad, no. 26958. Dinilai sahih oleh al-Albani dan hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)

Tsarid adalah makanan berupa campuran potongan-potongan roti dengan kuah daging.

20, Mengambil makanan yang terjatuh

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا وَقَعَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيَأْخُذْهَا فَلْيُمِطْ مَا كَانَ بِهَا مِنْ أَذًى وَلْيَأْكُلْهَا وَلَا يَدَعْهَا لِلشَّيْطَانِ وَلَا يَمْسَحْ يَدَهُ بِالْمِنْدِيلِ حَتَّى يَلْعَقَ أَصَابِعَهُ فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي فِي أَيِّ طَعَامِهِ الْبَرَكَةُ

“Apabila makanan salah seorang dari kalian terjatuh, maka ambil dan bersihkanlah kotoran yang terdapat padanya dan kemudian makanlah, dan jangan biarkannya untuk Syaitan. Dan janganlah kalian bersihkan tangan kalian dengan kain pengelap sehinggalah terlebih dahulu ia dijilat. Kerana sesungguhnya kalian tidak tahu di bahagian manakah makanan tersebut mengandungi barakah.” (Shahih Muslim, no. 3793)

21, Larangan Minum Dari Bahagian Gelas Yang Retak

Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الشُّرْبِ مِنْ ثُلْمَةِ الْقَدَحِ، وَأَنْ يُنْفَخَ فِي الشَّرَابِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang perbuatan minum dari bahagian bekas yang retak, dan beliau juga melarang meniup ke dalam minuman.” (Sunan Abu Daud, no. 3722. Dinilai sahih oleh al-Albani)

22, Membuang Kotoran Dari Minuman

Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ النَّفْخِ فِي الشُّرْبِ» فَقَالَ رَجُلٌ: القَذَاةُ أَرَاهَا فِي الإِنَاءِ؟ قَالَ: «أَهْرِقْهَا»، قَالَ: فَإِنِّي لَا أَرْوَى مِنْ نَفَسٍ وَاحِدٍ؟ قَالَ: «فَأَبِنِ القَدَحَ إِذَنْ عَنْ فِيكَ

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang dari perbuatan meniup ke dalam minuman.” Seorang lelaki bertanya: “Adakalanya aku melihat sesuatu (kotoran) terapung di dalam bekas air.” Rasulullah pun berkata: “Keluarkanlah (kotoran tersebut).” Lelaki itu berkata lagi: “Bahawasanya aku tidak merasa puas dengan sekali tarikan nafas.” Rasulullah bersabda: “Kalau begitu, jauhkanlah bekas tersebut dari mulutmu.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1887. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

23, Makan Dari Bawah Hidangan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كُلُوا وَكُلُوا مِنْ أَسْفَلِهَا، وَلَا تَأْكُلُوا مِنْ أَعْلَاهَا، فَإِنَّ الْبَرَكَةَ تَنْزِلُ مِنْ أَعْلَاهَا، فَأَكَلُوا مِنْهَا حَتَّى شَبِعُوا

“Makan dan makanlah dari bahagian bawahnya, dan jangan kamu makan dari bahagian atasnya. Kerana sesungguhnya barakah itu turun dari bahagian atasnya, maka makanlah darinya sehingga kenyang.” (Musnad Ahmad, no. 16006. Dinilai hasan sanadnya oleh Syu’aib al-Arnauth)

Dalam riwayat Abu Daud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabdsa:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلَا يَأْكُلْ مِنْ أَعْلَى الصَّحْفَةِ، وَلَكِنْ لِيَأْكُلْ مِنْ أَسْفَلِهَا، فَإِنَّ الْبَرَكَةَ تَنْزِلُ مِنْ أَعْلَاهَا

“Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka jangan ia makan dari bahagian atas hidangan, tetapi makanlah dari bahagian bawahnya. Kerana sesungguhnya barakah itu turun dari bahagian atasnya.” (Sunan Abu Daud, no. 3772. Dinilai sahih oleh al-Albani)

24, Larangan Minum Dari Bekas Tempat Menyimpan Air

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الشُّرْبِ مِنْ فَمِ القِرْبَةِ أَوِ السِّقَاءِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang minum secara langsung dari bekas simpanan air atau dari kantong air.” (Shahih al-Bukhari, no. 5627)

Maka yang benar, hendaklah air dituang ke dalam bekas yang lain seperti gelas atau cawan mengikut jumlah kadar yang diperlukan, lalu kemudian barulah diminum.

25, Mengagihkan Minuman Bermula Dari Yang Paling Kanan

Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ بِلَبَنٍ قَدْ شِيبَ بِمَاءٍ، وَعَنْ يَمِينِهِ أَعْرَابِيٌّ، وَعَنْ شِمَالِهِ أَبُو بَكْرٍ، فَشَرِبَ ثُمَّ أَعْطَى الأَعْرَابِيَّ، وَقَالَ: «الأَيْمَنَ فَالأَيْمَنَ

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diberikan dengan susu yang telah dibancuh air. Di sebelah kanan beliau ketika itu adalah seorang ‘Arab Badwi manakala di kiri beliau adalah Abu Bakr. Maka beliau pun meminumnya kemudian memberikannya kepada orang ‘Arab Badwi lalu beliau bersabda, “Yang paling kanan, kemudian yang kanan.” (Shahih al-Bukhari, no. 5619)

26, Tidak Berlebihan Dalam Makan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مَلأَ ابْنُ آدَمَ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ

“Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk dari perutnya.” (Musnad Ahmad, no. 17186. Sunan at-Tirmidzi, no. 2380. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Sambungan hadis dalam riwayat at-Tirmidzi:

بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3 untuk nafasnya.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2380. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ، وَالْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعًى وَاحِدٍ

“Orang-orang kafir makan dengan tujuh perut, manakala orang-orang beriman makan dengan satu perut.” (Shahih al-Bukhari, no. 5395. Bab: Orang-orang beriman makan dengan satu perut. Shahih Muslim, no. 2060)

27, Melazimi Makan dan Minum Dalam Keadaan Duduk

Anas radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّهُ نَهَى أَنْ يَشْرَبَ الرَّجُلُ قَائِمًا، قَالَ قَتَادَةُ: فَقُلْنَا فَالْأَكْلُ، فَقَالَ: ذَاكَ أَشَرُّ أَوْ أَخْبَثُ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang seseorang minum dalam keadaan berdiri.” Qotadah berkata, “Kami bertanya (kepada Anas): Bagaimana pula dengan makan (sambil berdiri)?” Maka katanya: “Itu lebih buruk atau menjijikkan.” (Shahih Muslim, no. 2024. Bab: Dibencinya Minum Sambil Berdiri)

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّهُ رَأَى رَجُلًا يَشْرَبُ قَائِمًا، فَقَالَ لَهُ: قِهِ قَالَ: لِمَهْ ؟ قَالَ: أَيَسُرُّكَ أَنْ يَشْرَبَ مَعَكَ الْهِرُّ ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فَإِنَّهُ قَدْ شَرِبَ مَعَكَ مَنْ هُوَ شَرٌّ مِنْهُ، الشَّيْطَانُ

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat seseorang minum dalam keadaan berdiri. Maka beliau pun berkata, “Tahan orang itu.” Orang tersebut pun bertanya, “Kenapa?” Maka Nabi berkata, “Sukakah sekiranya kucing turut minum bersama-sama denganmu?” Lelaki itu berkata, “Tidak.” Nabi pun menjelaskan, “Kerana sesungguhnya telah turut minum bersama-sama denganmu yang lebih buruk dari kucing, iaitu Syaitan.” (Musnad Ahmad, no. 8003. Dinilai sahih sanadnya oleh al-Albani)

Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَجَرَ عَنِ الشُّرْبِ قَائِمًا

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mencela perbuatan minum dalam keadaan berdiri.” (Shahih Muslim, no. 2025. Bab: Dibencinya Minum Sambil Berdiri)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَشْرَبَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ قَائِمًا، فَمَنْ نَسِيَ فَلْيَسْتَقِئْ

“Janganlah salah seorang di antara kamu minum dalam keadaan berdiri, sesiapa yang terlupa makan muntahkanlah.” (Shahih Muslim, no. 2026. Bab: Dibencinya Minum Sambil Berdiri)

Al-Jarrud B. Al-Mu’alla radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الشُّرْبِ قَائِمًا

“Bahawasnaya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang perbuatan minum dalam keadaan berdiri.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1881)

Hadis-hadis ini semuanya menjelaskan larangan makan dan minum dalam keadaan berdiri. Sekaligus menunjukkan keutamaan agar melazimi makan dan minum dalam keadaan duduk. Walaupun begitu tidaklah ia terlarang secara mutlak. Tetapi tetap dibolehkan makan dan minum dalam keadaan berdiri sekali-sekala sebagaimana perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri dan berdasarkan perbuataan sebahagian sahabat yang bersamanya.

Ulama berbeza pendapat dalam memahami antara dalil-dalil yang melarang dengan perbuatan Nabi bersama-sama para sahabatnya yang menunjukkan dibolehkan perbuatan tersebut. Di antara dalil-dalil yang menunjukkan keharusannya adalah:

An-Nazzaal berkata:

أَتَى عَلِيٌّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى بَابِ الرَّحَبَةِ «فَشَرِبَ قَائِمًا» فَقَالَ: إِنَّ نَاسًا يَكْرَهُ أَحَدُهُمْ أَنْ يَشْرَبَ وَهُوَ قَائِمٌ، وَإِنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَلَ كَمَا رَأَيْتُمُونِي فَعَلْتُ

“‘Ali radhiyallahu ‘anhu membawa air ke pintu masjid, kemudian beliau pun meminumnya dalam keadaan berdiri. Beliau berkata, “Sebahagian orang membenci minum dalam keadaan berdiri, sedangkan aku melihat sendiri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melakukannya sebagaimana yang engkau lihat aku melakukannya.”.” (Shahih al-Bukhari, no. 5615. Bab: Minum Dalam Keadaan Berdiri)

Kata Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:

شَرِبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَائِمًا مِنْ زَمْزَمَ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah minum zam-zam dalam keadaan berdiri.” (Shahih al-Bukhari, no. 5617)

Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:

كُنَّا نَأْكُلُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ نَمْشِي، وَنَشْرَبُ وَنَحْنُ قِيَامٌ

“Kami pernah makan di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sambil berjalan dan minum dalam keadaan berdiri.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1880. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Imam an-Nawawi rahimahullah dalam Syarah Shahih Muslim (13/195) menyatakan larangan makan dan minum dalam keadaan berdiri tersebut adalah merujuk maksud makruh tanzih. Iaitu makruh yg menghampiri mubah, tidak disukai sekiranya dijadikan sebagai kebiasaan.

Demikian juga yang dipegang oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari dan penyusun ‘Aunul Ma’bud, Abu Thayyib Al-Adzim Abadi rahimahullah. Adapun perintah memuntahkan minuman tersebut sekiranya terminum dalam keadaan berdiri, maka itu menunjukkan tuntutan bersifat sunnah (istihbab), bukan wajib.

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah:

بل الصواب أن النهي فيها محمول على التنزيه وشربه قائما لبيان الجواز وأما من زعم نسخا أو غيره فقد غلط فإن النسخ لا يصار إليه مع إمكان الجمع لو ثبت التاريخ وفعله صلى الله عليه و سلم لبيان الجواز لا يكون في حقه مكروها أصلا فإنه كان يفعل الشيء للبيان مرة أو مرات ويواظب على الأفضل والأمر بالاستقاءة محمول على الاستحباب فيستحب لمن شرب قائما أن يستقيء لهذا الحديث الصحيح الصريح فإن الأمر إذا تعذر حمله علىالوجوب حمل على الاستحباب

“Sebaliknya yang benar berkaitan larangan beliau tersebut dibawa kepada makna makruh tanzih. Dan dalil yang menunjukkan beliau minum dalam keadaan berdiri tersebut menunjukkan keharusannya (dibolehkan). Adapun yang mengatakan adanya nasakh (pemansuhan hukum) atau selainnya, maka itu adalah salah. Kerana nasakh tidak boleh dilakukan ketika masih ada ruang kebarangkalian untuk menggabungkan di antara dalil-dalil yang ada walaupun setelah adanya tarikh (difahami mana dalil yang datang awal dan terkemudian).

Dan perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam minum sambil berdiri tersebut menunjukkan hukum boleh (harus) kerana tidak mungkin kita katakan beliau melakukan sesuatu yang makruh (dibenci). Ini kerana beliau adakalanya melakukan sesuatu sekali atau berulang-ulang kali dalam rangka untuk menjelaskan (sesuatu hukum). Dan adakalanya beliau membiasakan sesuatu untuk menunjukkan keutamaan (sesuatu amal). Manakala perintah memuntahkan minuman jika seseorang terminum dalam keadaan berdiri maka ia dibawa kepada perintah istihbab (dianjurkan, bukan wajib). Menunjukkan, disukai bagi yang minum dalam keadaan berdiri agar memuntahkan yang diminum berdasarkan isyarat dari hadis yang sahih lagi jelas ini. Kerana apabila suatu kata perintah itu tidak dapat dibawa kepada makna wajib, maka ia dibawa kepada makna istihbab (anjuran).” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/83)

28, Tidak Tidur Dalam Keadaan Ada Sisa Makanan Di Tangan

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ نَامَ وَفِي يَدِهِ غَمَرٌ، وَلَمْ يَغْسِلْهُ فَأَصَابَهُ شَيْءٌ، فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ

“Sesiapa yang tidur dan di tangannya ada ghamar (sisa makanan) dan dia tidak membasuhnya, maka jika jika dia ditimpa sesuatu janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.” (Musnad Ahmad, no. 7569, 8531, 10940. Sunan Abi Daud, no. 3852. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Wallahu a’lam.