‘Abdullah bin Mas’oud Membantah Bid’ah Hasanah

‘Abdullah bin Mas’oud Membantah Bid’ah Hasanah

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Perhatikanlah baik-baik… Kebanyakan bid’ah itu dikembangkan atas dasar (dalil) “sangka baik” terhadap hal-hal yang menyelisihi syari’at yang disangka sebagai syari’at. Sampai-sampai akhirnya, mereka pun mengatakan bid’ah itu adalah hasanah (kebaikan), dan mereka pun bersungguh-sungguh mengamalkannya kerana beranggapan sedang berbuat kebaikan. Inilah yang banyak sekali berlaku pada hari ini. Sedangkan kata Nabi, bid’ah adalah kesesatan! Bukan kebaikan.

Lalu, apakah mereka (dari kalangan pendukung bid’ah) sedang mengamalkan amalan yang lebih baik berbanding agama Muhammad?!

Baik, insyaAllah mari kita sama-sama telusuri sebuah atsar sahabat (riwayat dari tokoh ulama sahabat) berikut. Imam Ad-Darimi rahimahullah (Wafat: 255H) meriwayatkan dalam Sunannya:

أَخْبَرَنَا الْحَكَمُ بْنُ الْمُبَارَكِ، أَنبَأَنَا عَمْرُو بْنُ يَحْيَى، قَالَ: سَمِعْتُ أَبِي، يُحَدِّثُ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: كُنَّا نَجْلِسُ عَلَى بَابِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَبْلَ صَلَاةِ الْغَدَاةِ، فَإِذَا خَرَجَ، مَشَيْنَا مَعَهُ إِلَى الْمَسْجِدِ، فَجَاءَنَا أَبُو مُوسَى الْأَشْعَرِيُّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقَالَ: أَخَرَجَ إِلَيْكُمْ أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ قُلْنَا: لَا، بَعْدُ. فَجَلَسَ مَعَنَا حَتَّى خَرَجَ، فَلَمَّا خَرَجَ، قُمْنَا إِلَيْهِ جَمِيعًا، فَقَالَ لَهُ أَبُو مُوسَى: يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ، إِنِّي رَأَيْتُ فِي الْمَسْجِدِ آنِفًا أَمْرًا أَنْكَرْتُهُ وَلَمْ أَرَ – وَالْحَمْدُ لِلَّهِ – إِلَّا خَيْرًا. قَالَ: فَمَا هُوَ؟ فَقَالَ: إِنْ عِشْتَ فَسَتَرَاهُ. قَالَ: رَأَيْتُ فِي الْمَسْجِدِ قَوْمًا حِلَقًا جُلُوسًا يَنْتَظِرُونَ الصَّلَاةَ فِي كُلِّ حَلْقَةٍ رَجُلٌ، وَفِي أَيْدِيهِمْ حصًا، فَيَقُولُ: كَبِّرُوا مِائَةً، فَيُكَبِّرُونَ مِائَةً، فَيَقُولُ: هَلِّلُوا مِائَةً، فَيُهَلِّلُونَ مِائَةً، وَيَقُولُ: سَبِّحُوا مِائَةً، فَيُسَبِّحُونَ مِائَةً، قَالَ: فَمَاذَا قُلْتَ لَهُمْ؟ قَالَ: مَا قُلْتُ لَهُمْ شَيْئًا انْتِظَارَ رَأْيِكَ أَوِ انْتظارَ أَمْرِكَ. قَالَ: «أَفَلَا أَمَرْتَهُمْ أَنْ يَعُدُّوا سَيِّئَاتِهِمْ، وَضَمِنْتَ لَهُمْ أَنْ لَا يَضِيعَ مِنْ حَسَنَاتِهِمْ»، ثُمَّ مَضَى وَمَضَيْنَا مَعَهُ حَتَّى أَتَى حَلْقَةً مِنْ تِلْكَ الْحِلَقِ، فَوَقَفَ عَلَيْهِمْ، فَقَالَ: «مَا هَذَا الَّذِي أَرَاكُمْ تَصْنَعُونَ؟» قَالُوا: يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ حصًا نَعُدُّ بِهِ التَّكْبِيرَ وَالتَّهْلِيلَ وَالتَّسْبِيحَ. قَالَ: «فَعُدُّوا سَيِّئَاتِكُمْ، فَأَنَا ضَامِنٌ أَنْ لَا يَضِيعَ مِنْ حَسَنَاتِكُمْ شَيْءٌ وَيْحَكُمْ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ، مَا أَسْرَعَ هَلَكَتَكُمْ هَؤُلَاءِ صَحَابَةُ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَوَافِرُونَ، وَهَذِهِ ثِيَابُهُ لَمْ تَبْلَ، وَآنِيَتُهُ لَمْ تُكْسَرْ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، إِنَّكُمْ لَعَلَى مِلَّةٍ هِيَ أَهْدَى مِنْ مِلَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أوْ مُفْتَتِحُو بَابِ ضَلَالَةٍ». قَالُوا: وَاللَّهِ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ، مَا أَرَدْنَا إِلَّا الْخَيْرَ. قَالَ: «وَكَمْ مِنْ مُرِيدٍ لِلْخَيْرِ لَنْ يُصِيبَهُ، إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّثَنَا أَنَّ» قَوْمًا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ “، وَايْمُ اللَّهِ مَا أَدْرِي لَعَلَّ أَكْثَرَهُمْ مِنْكُمْ، ثُمَّ تَوَلَّى عَنْهُمْ. فَقَالَ عَمْرُو بْنُ سَلَمَةَ: رَأَيْنَا عَامَّةَ أُولَئِكَ الْحِلَقِ يُطَاعِنُونَا يَوْمَ النَّهْرَوَانِ مَعَ الْخَوَارِجِ

“Telah mengkhabarkan kepada kami Al-Hakam bin Al-Mubaarak, telah memberitahu kami ‘Amru bin Yahya, beliau berkata: Aku mendengar ayahku meriwayatkan hadis dari ayahnya, beliau berkata:

“Kami biasa duduk di depan pintu rumah ‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu sebelum solat Subuh. Jika beliau telah keluar rumah, maka kami pun berjalan bersamanya menuju masjid. Tiba-tiba kami didatangi oleh Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, lalu beliau bertanya:

“Adakah Abu ‘Abdirrahman (‘Abdullah bin Mas’oud) telah keluar menemui kalian?”

Kami jawab: “Belum.”

Lalu beliau pun duduk bersama kami sampai ‘Abdullah bin Mas’oud keluar rumah. Setelah beliau keluar, kami pun bangun menemuinya. Abu Musa berkata:

“Wahai Abu ‘Abdirrahman, tadi aku melihat kejadian yang aku tidak menyetujuinya berlaku di masjid, tetapi tidaklah aku melihat (wal-hamdulillah) melainkan itu adalah baik.”

Tanya Ibnu Mas’oud:

“Apakah itu?”

Abu Musa jawab:

“Jika engkau berumur panjang, maka engkau akan melihatnya. Aku melihat suatu kaum (sekumpulan orang) di masjid, mereka duduk dalam bentuk halaqah (bentuk lingkaran) sedang menunggu solat. Pada setiap kumpulan (halaqah-halaqah tersebut) dipimpin oleh seorang lelaki (sebagai tekong – pent.), manakala di tangan mereka terdapat batu kerikil.

Lalu pemimpin halaqah tadi berkata:

“Bertakbirlah seratus kali,” maka mereka pun bertakbir seratus kali.

“Bertahlillah seratus kali,” maka mereka pun bertahlil seratus kali.

“Bertasbihlah seratus kali,” maka mereka pun bertasbih seratus kali.”

Ibnu Mas’oud bertanya:

“Jadi, apa yang engkau katakan kepada mereka?”

Abu Musa jawab:

“Aku tidak berkata sesuatu pun kepada mereka sampai aku mengetahui pendapat engkau  atau apa yang bakal engkau perintahkan.”

Ibnu Mas’oud berkata:

“Tidakkah engkau katakan kepada mereka supaya mereka menghitung keburukan-keburukan mereka dan kamu jamin bahawa kebaikan-kebaikan mereka tidak akan disia-siakan.”

Kemudian Ibnu Mas’oud pun menuju masjid tersebut dan kami pun mengikuti di belakangnya hingga sampai di tempat tersebut. Maka beliau mengambil tempat di antara mereka. Ibnu Mas’oud bertanya kepada mereka:

“Apa yang kalian gunakan ini?”

Mereka menjawab:

“Kerikil wahai Abu ‘Abdirrahman. Kami bertakbir, bertahlil, dan bertasbih dengan menggunakannya.”

Ibnu Mas’oud berkata:

“Hitunglah keburukan-keburukan kalian, aku jamin kebaikan-kebaikan kalian tidak akan disia-siakan sedikitpun. Celaka kalian wahai umat Muhammad! Cepat sekali kalian binasa (kerana melakukan penyelisihan dari sunnah). Para sahabat Nabi kalian Shallallahu ‘alaihi wa Sallam masih ramai yang hidup. Sementara baju tinggalan Nabi pun belum usang, bejana beliau belum juga retak. Demi Dzat yang diriku berada di Tangan-Nya! Adakah kalian merasa kalian berada di atas agama yang lebih benar berbanding agama Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, atau kalian akan menjadi pembuka pintu kesesatan?”

Mereka menjawab:

“Demi Allah wahai Abu ‘Abdirrahman, tidaklah kami menghendaki melainkan kebaikan.”

Ibnu Mas’oud jawab:

“Betapa ramai orang yang menghendaki kebaikan tetapi mereka tidak mendapatkannya. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berkata kepada kami:

Akan ada sekelompok orang yang membaca Al-Qur’an, tetapi apa yang dibacanya tidak melepasi kerongkong.” Demi Allah aku tidak tahu, sepertinya kebanyakan dari mereka itu adalah dari kalian.”

‘Amru bin Salamah berkata:

“Kami melihat secara umumnya ramai di antara orang-orang yang berada dalam halaqah itu adalah orang-orang yang menyerang kami dalam perang di hari Nahrawaan bersama-sama Al-Khawarij.” (Sunan Ad-Darimi, no. 210. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Pengenalan Ringkas:

‘Abdullah bin Mas’oud, beliau adalah ulama besar dari kalangan sahabat. Semenjak kecil belajar dengan Nabi dan mempelajari langsung Al-Qur’an dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Termasuk sahabat dari kumpulan paling awal masuk Islam dan sering keluar masuk ke rumah Nabi sampai-sampai orang ramai menganggap beliau sebahagian dari ahli keluarga Nabi. Beliau termasuk salah seorang yang menjadi panutan dan rujukan dalam kalangan sahabat.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda kepada para sahabat:

اقْتَدُوا بِاللَّذَيْنِ مِنْ بَعْدِي مِنْ أَصْحَابِي أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ، وَاهْتَدُوا بِهَدْيِ عَمَّارٍ، وَتَمَسَّكُوا بِعَهْدِ ابْنِ مَسْعُودٍ

“Teladanilah dua orang sahabatku sepeninggalanku, iaitu Abu Bakr dan ‘Umar. Ambillah petunjuk ‘Ammar dan berpegang-teguhlah dengan pesan-pesan Ibnu Mas’oud.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3805)

Syaqiiq bin Salamah berkata kepada kami, ‘Abdullah bin Mas’oud pernah berkhuthbah kepada kami, beliau berkata:

وَاللَّهِ لَقَدْ أَخَذْتُ مِنْ فِي رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِضْعًا وَسَبْعِينَ سُورَةً، وَاللَّهِ لَقَدْ عَلِمَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنِّي مِنْ أَعْلَمِهِمْ بِكِتَابِ اللَّهِ، وَمَا أَنَا بِخَيْرِهِمْ»، قَالَ شَقِيقٌ: فَجَلَسْتُ فِي الحِلَقِ أَسْمَعُ مَا يَقُولُونَ، فَمَا سَمِعْتُ رَادًّا يَقُولُ غَيْرَ ذَلِكَ

“Demi Allah, aku telah mengambil tujuh puluh surah secara langsung dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Demi Allah, para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengetahui bahawa aku adalah orang yang paling mengetahui di antara mereka tentang Kitab Allah (Al-Qur’an) walaupun aku bukan yang paling baik di antara mereka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5000)

‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu juga pernah berkata:

وَاللَّهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ، مَا أُنْزِلَتْ سُورَةٌ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ إِلَّا أَنَا أَعْلَمُ أَيْنَ أُنْزِلَتْ، وَلاَ أُنْزِلَتْ آيَةٌ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ إِلَّا أَنَا أَعْلَمُ فِيمَ أُنْزِلَتْ، وَلَوْ أَعْلَمُ أَحَدًا أَعْلَمَ مِنِّي بِكِتَابِ اللَّهِ، تُبَلِّغُهُ الإِبِلُ لَرَكِبْتُ إِلَيْهِ

“Demi Allah yang tiada yang berhak diibadahi melainkan Dia. Tidaklah turun satu ayat pun dari Kitabullah, melainkan aku mengetahui di mana ayat tersebut diturunkan dan tidaklah turun satu ayat pun dari Kitabullah melainkan aku mengetahui berkaitan dengan apa ayat tersebut diturunkan. Sekiranya ada seseorang yang lebih mengetahui tentang Kitabullah dariku yang berada di tempat yang mampu dijangkau unta (sebagai kenderaan), nescaya aku akan mendatanginya” (Shahih Al-Bukhari, no. 5002)

Manakala Abu Musa Al-‘Asy’ari, beliau adalah ‘Abdullah bin Qais. Seorang yang berasal dari Yaman. Pemilik suara bacaan Al-Qur’an yang begitu merdu dan dijuluki dengan seruling Nabi Daud. Beliau berhijrah dengan jalan kaki mendatangi Nabi sebaik mendengar diutusnya seorang rasul di Makkah, lalu beliau masuk Islam sebaik bertemu Nabi.

Abu Musa termasuk orang kepercayaan Nabi yang diberi amanah dakwah, beliau dihantar ke Yaman (iaitu kepada kaumnya) agar berdakwah dan mengajari orang-orang Yaman tentang Islam.

Beliau juga merupakan orang yang diberi kepercayaan oleh ‘Umar sebagai gabernor di Bashrah, kemudian ‘Utsman memberi kepercayaan kepada beliau sebagai gabernor di Kuffah.

Masruq (tokoh ulama dari kalangan tabi’in) berkata:

“Orang-orang yang mengusai permasalahan perundangan dalam kalangan sahabat ada enam orang, iaitu ‘Umar, ‘Ali, Ibnu Mas’oud, Ubay, Zaid, dan Abu Musa radhiyallahu ‘anhum.” (Taariikh Dimasyq oleh Abu Zur’ah, no. 1922. Taariikh Dimasyq, no. 500)

Faedah Atsar atau hadis:

1, Termasuk amalan sahabat adalah berjalan bersama-sama saat menuju masjid, walaupun ketika awal pagi untuk solat Subuh.

2, Dibolehkan mengajukan sesuatu kemusykilan ketika awal pagi di saat orang yang diajukan tersebut bersedia.

3, Dapat dilihat akhlak sesama sahabat dalam menangani sesuatu isu di mana permasalahan itu dikembalikan kepada orang yang paling ahli di antara mereka. Walaupun Abu Musa Al-‘Asy’ari termasuk pemuka sahabat, punya kedudukan, dan beliau pun tahu letak duduknya permasalahan yang sedang berlaku, namun beliau tetap mendahulukan sahabat lain yang lebih utama untuk mengemukakan pandangan dan memberi arahan.

4, Dari atsar (riwayat) ini menunjukkan bahawa dzikir berjama’ah sama ada takbir, tahlil, atau, tasbih, ia bukanlah termasuk dari sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sehingga para sahabat pun mengingkarinya, tidak menyetujuinya dan malah membantahnya.

Kalau kita perhatikan baik-baik di sini, pasti akan kita dapati bahawa apa yang pernah dibantah oleh Ibnu Mas’oud tersebut pada hari ini ianya sedang berkembang dengan pesat sekali di negara kita. Lihatlah acara tahlilan dan dzikir jama’i setelah solat sebagai contohnya! Persis seperti perbuatan orang yang dibantah para sahabat dalam atsar ini.

Kerana secara umumnya, dzikir atau doa-doa itu yang sunnahnya adalah dibaca secara sendiri-sendiri (bukan berjama’ah) dan dengan suara yang perlahan penuh ketundukkan. Melainkan bagi doa-doa atau dzikir-dzikir yang padanya ada pengkhususan dari sunnah agar dibaca atau dibolehkan dibaca secara berjama’ah dan dengan suara yang dikuatkan.

5, Mengamalkan sunnah itu sudah mencukupi dan terhitung sebagai kebaikan, manakala mengamalkan sesuatu yang menyelisihi sunnah walaupun pada anggapannya dianggap sebagai suatu yang baik atau hasanah, maka ia terhitung sebagai suatu keburukan. Mereka (para sahabat) memberi amaran bahawa pelaku atau pengamal hal tersebut (bid’ah) akan binasa.

6, Dalam atsar ini terdapat perintah agar berpedoman kepada manhaj para sahabat dalam mengamalkan agama. Sebagaimana kata ‘Abdullah bin Mas’oud:

“Para sahabat Nabi kalian Shallallahu ‘alaihi wa Sallam masih ramai yang hidup…”

Namun, para pengamal atau pelaku bid’ah tersebut tidak pula mengambil pandangan mereka, sebaliknya lebih seronok mengikuti hawa nafsu mereka dengan melakukan amalan yang tidak pernah dicontohkan oleh Rasulullah mahupun para sahabat Rasulullah dengan anggapan ia termasuk kebaikan.

Selain itu tsabit dalam riwayat yang lain, ‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu turut pernah berkata:

مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مُسْتَنًّا فَلْيَسْتَنَّ بِمَنْ قَدْ مَاتَ فَإِنَّ الْحَيَّ لَا تُؤْمَنُ عَلَيْهِ الْفِتْنَةُ أُولَئِكَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَرُّ هَذِهِ الْأُمَّةِ قُلُوبًا وَأَعْمَقُهَا عِلْمًا وَأَقَلُّهَا تَكَلُّفًا قَوْمٌ اخْتَارَهُمْ اللَّهُ لِصُحْبَةِ نَبِيِّهِ وَإِقَامَةِ دِينِهِ فَاعْرِفُوا لَهُمْ حَقَّهُمْ وَتَمَسَّكُوا بِهَدْيِهِمْ؛ فَإِنَّهُمْ كَانُوا عَلَى الْهُدَى الْمُسْتَقِيمِ

“Sesiapa di antara kamu mengikuti sunnah (bimbingan), maka  ikutilah jejak bimbingan orang yang telah wafat kerana orang yang masih hidup tidak terlepas dari fitnah. Mereka adalah para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka adalah orang yang paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, serta paling sedikit takallufnya (tidak merasa terbeban dengan syari’at). Mereka adalah kaum yang dipilih oleh Allah untuk berdampingan dengan Nabi-Nya dan menegakkan agama-Nya. Maka kenalilah kelebihan dan jasa-jasa mereka, ikutilah mereka, dan ambillah akhlak serta agama mereka kerana sesungguhnya mereka berada di atas landasan hidayah yang lurus.” (Jaami’ al-‘Ilm wa Fadhlihi oleh Ibnu ‘Abdil Barr, m/s. 368. Majmu’ Al-Fatawa oleh Ibnu Taimiyyah, 3/126, 4/138, 4/158, 11/368, 11/573. I’lam al-Muwaqqi’in oleh Ibn al-Qayyim, 2/202-203)

7, Dalam hadis ini terdapat penjelasan bahawa bid’ah itu ditegakkan dan dikembangkan berdasarkan dalil “sangka baik” atau “anggapan baik”. Di mana pelaku bid’ah dalam atsar ini mengatakan:

“Demi Allah wahai Abu ‘Abdirrahman (Ibnu Mas’oud), tidaklah kami menghendaki melainkan kebaikan.”

Dan hujah ini jugalah yang sering diguna pakai oleh para pendukung dan pelaku bid’ah sehingga ke hari ini. Mereka mengamalkan suatu amalan (yang tiada contohnya dalam sunnah), atau mengubah-suai suatu amalan tertentu lalu mengatasnamakannya sebagai kebaikan, hasanah, dan seumpamanya seolah-olah apa yang mereka amalkan tersebut lebih bagus dari apa yang telah dicontohkan di dalam Sunnah Nabi yang mulia.

Hakikatnya, hal tersebut termasuk kesesatan, bertepatan dengan pesan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa setiap bid’ah itu adalah kesesatan!

Oleh kerana itulah, ‘Abdullah bin Mas’oud berkata kepada mereka:

“Demi Dzat yang diriku berada di Tangan-Nya! Adakah kalian merasa kalian berada di atas agama yang lebih benar berbanding agama Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, atau kalian akan menjadi pembuka pintu kesesatan?”

Juga kata beliau:

“Betapa ramai orang yang menghendaki kebaikan tetapi mereka tidak mendapatkannya. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berkata kepada kami:

Akan ada sekelompok orang yang membaca Al-Qur’an, tetapi apa yang dibacanya tidak melepasi kerongkong.” Demi Allah aku tidak tahu, sepertinya kebanyakan dari mereka itu adalah dari kalian.”

‘Abdullah bin Mas’oud juga pernah berkata:

اقْتِصَادٌ فِي سُنَّةٍ خَيْرٌ مِنَ اجْتِهَادٍ فِي بِدْعَةٍ، وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ.

“Bersederhana (merasa cukup) dalam sunnah lebih baik dari bersungguh-sungguh (bersusah-payah) dalam sesuatu bid‘ah. Dan setiap bid’ah adalah kesesatan.” (As-Sunnah lil Marwazi, no. 89)

Kata beliau juga:

إن البدعة الصغيرة بريد إلى البدعة الكبيرة.

“Sesungguhnya bid‘ah-bid’ah yang kecil adalah pencetus kepada bid‘ah-bid’ah yang besar.” (lihat: As-Silsilah Al-Ahaadits Ash-Shahiihah, 5/11)

Dan dapat kita lihat dari atsar ini, akhirnya pelaku bid’ah yang dibantah oleh Ibnu Mas’oud tersebut terjebak ke dalam kancah bid’ah yang lebih besar, iaitu kancah pemberontakan, bergabung bersama-sama kaum khawarij memerangi kaum muslimin.

8, Setiap amalan dalam agama, baik amalan hati (i’tiqad), mahupun amalan lisan dan fizikal hendaklah diambil dari sunnah, tidak boleh hanya berdasarkan sangkaan atau anggapan baik semata-mata.

9, Setiap orang yang menyelisihi sunnah dan berbuat bid’ah, mereka itu menyerupai kaum khawarij, iaitu bersungguh-sungguh dalam beramal, namun tidak mengikuti tuntunan sunnah dan tidak mengambilnya berdasarkan apa yang ditunjukkan atau difahami oleh para sahabat Rasulullah. Mereka membaca Al-Qur’an, tetapi tidak memahaminya sebagaimana yang seharusnya.

Wallahu a’lam.