Abu Bakar Mohammad bin Musa al Wasati rahimahullah (320H), menghubung-kaitkan teori fana ini dengan mazhab al-Ittihad dan al-Hulul. (Al-Qusyairy, “Ar-Risalah al-Qusyairy, hlm. 118) Dalam makam wahdatul wujud juga tidak ada perbezaannya dengan makam al-Hulul atau al-Ittihad. (As-Syaukani, قطر الولى على حديث الولى)), hlm. 88) Teori fana pula diambil dari teori falsafah Plato. (As-Syaukani, قطر الولى على حديث الولى)), hlm. 88) Fahaman ini sebenarnya diasaskan dan dikembangkan oleh golongan Syiah.
Berkata Abdulqahir al-Baghdadi (429H=1037M): Mazhab Hulul (hululisma) mempunyai sepuluh firkah (kelompok/pecahan), kesemuanya terdapat di negara-negara Islam. Strategi kesemua mereka ialah untuk merosakkan (akidah) melalui qaul (Teori Kesatuan Pencipta). (As-Syaukani, قطر الولى على حديث الولى)), hlm. 88)
Pecahan firkah mereka kebanyakannya bermula dari cabang golongan Ghulat ar Rawafidz (Syiah), kemudian bersambung nama-nama firkah mereka yang (antaranya) dipengaruhi oleh firkah yang berideologi Hallajiyah, yang dinasabkan kepada al-Hallaj. Mereka dipengaruhi juga oleh firkah Sabaiyah yang dinasabkan kepada Abdullah bin Saba, seorang pendita Yahudi dari Yaman yang menteorikan: “Ali menjadi Ilah (Tuhan) melalui jalan hulul roh Tuhan ke dalam jasadnya”. (Abdul Qadir al-Bahgdadi, Al-Farq Baina al Firq” hlm. 254)
Dengan memahami tulisan ringkas di atas, kita boleh membuat tafsiran bahawa teori wahdatul wujud, hulul dan fana, adalah pada dasarnya satu teori ideologi kesufian yang mempunyai tujuan dan doktrin yang sama melalui jalan pengamalan tarikat kesufian atau tasawuf yang dipengaruhi oleh falsafah metafizika Greek (Majusi) yang dihidupkan di kalangan masyarkat Islam oleh Yahudi.
Hasil dari daya usaha yang dikembangkan oleh Ibnu Arabi, al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Faridh, ideologi mungkar ini tersebar luas sehingga mendapat sambutan dari masyarakat Islam. Sesungguhnya antara teori yang paling bahaya yang disebarkan oleh para sufi di kalangan masyarakat Islam ialah teori makam al-fana atau toeri fana. (Dr. Mustafa Hilmy, “Ibn Taimiyah wa At Tasawuf” hlm. 510)
Melalui teori al-fana mereka percaya dapat melihat Allah dalam keadaan syuhud, fana atau wehdah (bersatu atau bersamaNya), yang dilahirkan dalam ungkapan:
“Sesungguhnya tiada yang wujud selain Dia, dan tiada segalanya kecuali bersamaNya, juga tiada segala yang wujud selain denganNya”. (Ibn Taimiyah, “As-Suluk”. hlm. 219)
Inilah antara bid’ah atau kesyirikan yang dijadikan pegangan atau kepercayaan oleh penganut sufi/tasawuf, iaitu mengumpamakan, mensetarakan atau menyamakan zat, sifat dan hakikat kebesaran Allah Subhanahu wa-Ta’ala dengan makhluk. Perbuatan seperti ini bertentangan dengan firman Allah yang menegaskan:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ
وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوْا اَحَدٌ.
فَلاَ تَضْرِبُوْا للهِ اْلاَمْثَالَ