http://bahaya-syirik.blogspot.com
Syaikh Soleh Fauzan ditanya:
Kita banyak mendengar apa yang dinamakan dengan jama’ah Islam di masa ini di pelbagai tempat dari penjuru dunia. Adakah terdapat dasarnya dari penamaan sedemikian? Adakah boleh untuk kita bergabung bersama mereka di mana apabila mereka tidak memiliki bid’ah?
Jawaban Syaikh:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi was Salam telah memberitahu dan menjelaskan kepada kita bagaimana sepatutnya kita menghadapinya. Beliau tidak meninggalkan sedikit pun sesuatu yang akan mendekatkan umatnya kepada Allah ‘Azza wa Jalla melainkan beliau telah menerangkannya. Beliau juga tidak meninggalkan sedikit pun dari sesuatu yang akan menjauhkan mereka dari Allah ‘Azza wa Jalla melainkan beliau telah menerangkannya. Di antaranya adalah di dalam persoalan ini. Beliau bersabda:
“Sesungguhnya sesiapa yang hidup di antara kalian, niscaya dia akan melihat perselisihan yang amat banyak.”
Akan tetapi apakah penawar ketika terjadi keadaan tersebut? Beliau bersabda:
“Wajib ke atas kalian untuk berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafaur rasyidin yang mendapat petunjuk setelahku. Peganglah erat-erat dan gigitlah dengan gigi geraham kalian serta jauhilah oleh kalian perkara-perkara baru dalam agama kerana setiap perkara baru di dalam agama itu bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.”
Jama’ah ini semuanya, jika bersesuaian dengan petunjuk Nabi dan para sahabatnya terutama para khulafaur rasyidin dan generasi yang utama. Maka jama’ah apa pun ia jika memang di atas manhaj ini, kita pun bersamanya, menisbatkan diri kepadanya, dan beramal bersama-samanya. Akan tetapi siapa sahaja yang menyelisihi petunjuk Nabi, maka kita pun akan menjauhinya walaupun dia menamakan dirinya sebagai jama’ah Islam. Yang diambil kira bukanlah namanya, tetapi hakikat pegangannya. Ada pun berkenaan dengan nama, terkadang ia kelihatan hebat, namun di dalamnya tiada apa-apa atau malahan mengandungi kebatilan.
Rasulullah bersabda:
“Yahudi telah berpecah menjadi 71 golongan dan Nashrani telah terpecah menjadi 72 golongan. Sedangkan umatku akan terpecah menjadi 73 golongan yang kesemuanya berada di neraka melainkan hanya satu golongan.” Kami (para sahabat) bertanya: “Siapakah mereka ya Rasulullah?” Beliau menjawab: “Orang yang keadaannya seperti keadaanku dan para sahabatku pada hari ini.”
Jalan yang benar itu jelas. Jama’ah yang padanya terdapat ciri seperti ini, kita pun akan bersamanya. Siapa sahaja yang keadaanya sama seperti keadaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi was Salam dan para sahabatnya, mereka itulah jama’ah Islam yang sebenar.
Ada pun orang yang menyelisihi manhaj ini dan berjalan di atas manhaj yang lain, maka ia bukan dari golongan kita dan kita pun bukan dari golongan mereka. Kita tidak menisbatkan diri kepadanya dan mereka tidak boleh menisbatkan diri kepada kita. Mereka tidak dinamakan jama’ah, akan tetapi mereka adalah salah satu kelompok dari kelompok-kelompok yang sesat. Kerana jama’ah itu tidak mungkin ada melainkan di atas kebenaran yang manusia berkumpul padanya. Ada pun sesuatu yang batil hanyalah akan memecah-belah bukannya menyatukan. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
“Dan jika mereka berpaling, sesungguhnya mereka berada dalam permusuhan (dengan kamu).”
Sumber:
Syaikh Jamal bin Furaihan al-Haritsi, Jawab Tuntas Masalah Manhaj (Judul Asli: Al-ajwibah al-Mufidah ‘an As’ilah Manahij al-Jadidah), Terbitan/terjemahan: Pustaka al-Haura’.