92 – Meletakkan Tangan (Bersedekap) Di Atas Dada Ketika Qiyam Solat

Meletakkan Tangan (Bersedekap) Di Atas Dada Ketika Qiyam Solat

Perintah Bersedekap Dan Meletakkan Tangan Di Dada

1 – Dari Sahl bin Sa’ad, dia berkata:

“Orang-orang diperintahkan untuk meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di atas lengan kirinya dalam solat.” (Hadis Riwayat oleh Malik di dalam Kitab al-Muwaththa’, 1/174. Darinya diriwayatkan juga oleh al-Bukhari, 2/178. Juga diriwayatkan oleh Imam Muhammad dalam al-Muwaththa’, 156. Ahmad, 5/336. Dan al-Baihaqi, 2/28)

“Suatu ketika, Nabi pernah melewati seseorang yang sedang solat, tetapi orang ini meletakkan tangan kirinya pada tangan kanannya (tangan kiri menggenggam tangan kanan, ed.), lalu beliau s.a.w. meleraikannya, kemudian orang itu meletakkan tangan kanannya pada tangan kirinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, dan Abu Daud dengan sanad yang sahih. Lihat dalam kitab Sifat Solat Nabi, oleh Sheikh al-Albani)

2 – Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu (r.a.), dia mengatakan bahawa aku pernah mendengar Nabi Shallahu ‘alaihi wa sallam (s.a.w.) bersabda:

“Sesungguhnya kami, golongan para Nabi, telah diperintahkan untuk menyegerakan berbuka, mengakhirkan sahur, dan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri dalam solat.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam kitab Shahiihnya, 885 – Mawaarid. Ath-Thabrani di dalam kitab Mu’jam al-Kabir, 10851, dan al-Ausath, 1/10-11. Dan dari keduanya diriwayatkan oleh adh-Dhiya’ al-Maqdisi di dalam kitab al-Mukhtaarah, 63/10/2)

Menurut Sheikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, hadis ini sahih bertepatan dengan syarat Muslim dan dinilai sahih oleh as-Suyuti di dalam kitab Tanwiir al-Hawaalik, 1/174.

3 – Dari Thawus, dia berkata:

“Rasulullah s.a.w. biasa meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya lalu menekankan keduanya pada dadanya ketika beliau sedang solat.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, 1/121, dengan sanad yang jayyid. Menurut Sheikh al-albani, walaupun hadis ini mursal, namun ia adalah hujjah bagi semua orang. Malah jumhur ulama berhujjah dengan hadis mursal. Adapun yang tidak berhujjah dengannya kecuali jika diriwayatkan secara maushul atau yang memiliki atau memiliki beberapa syahid (penguat), itulah yang benar. Dan hadis ini sendiri memiliki syahid)

Dari Wa’il bin Hujr:

“Bahawasanya dia melihat Nabi s.a.w. meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya dan kemudian meletakkan keduanya pada dadanya.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah di dalam Kitab Shahiihnya, sebagaimana disebutkan di dalam kitab Nashbur Raayah, 1/314. Diriwayatkan juga oleh al-Baihaqi di dalam kitab Sunannya, 2/30 melalui dua jalan yang masing-masing saling memperkuat yang lainnya)

Dari Qabishah bin Hulb, dari ayahnya, dia bercerita:

“Aku pernah menyaksikan Nabi s.a.w. berpaling ke kanan dan ke kiri. Aku juga menyaksikan beliau meletakkan yang ini di atas dadanya. Yahya (Ibnu Sa’ad) menjelaskan peletakkan tangan kanan pada tangan kiri di atas pergelangan tangan.” (Diriwayatkan oleh Ahmad, 5/226, dengan sanad yang para perawinya tsiqah, termasuk perawi Muslim selain Qabishah ini. Al-Ijli dan Ibnu Hibban telah menilainya tsiqah, tetapi tidak ada yang meriwayatkan darinya selain Simak bin Harb. Ibnu al-Madini dan an-Nasa’i berkata, “Majhul (tidak dikenali)”, sedangkan di dalam kitab at-Taqriib disebutkan bahawa dia berstatus maqbul)

Menurut Sheikh al-Albani, “Hadis seperti ini termasuk hadis hasan jika disertai syawahid. Oleh kerana itu, setelah men-takhrij untuknya dari hadis tentang pemegangan tangan kiri dngan tangan kanan ini, at-Tirmidzi berkata, “Hadis ini hasan”. Adapun peletakan tangan di bawah pusat, menurut kefahamanku, hal tersebut adalah dhaif, sebagaimana yang diungkapkan oleh an-Nawawi, az-Zaila’i, dan yang lainnya.” (Rujuk: Ahkamul Janaiz wa Bid’a’uha, m/s. 269)

Kesimpulan:

1 – Cara bersedekap adalah dengan cara tangan kanan menggenggam tanga kiri pada tempat pergelangan atau pun lengan.

2 – Jari-jari tangan kanan pada keadaan menggenggam tangan kiri pada tempat pergelangan tangan atau lengan kiri.

3 – Kedudukan sedekap (tangan kanan yang menggenggam tangan kiri) adalah diletakkan pada bahagian dada.

Menurut Sheikh Ibnu al-Utsaimin, “Itulah dua cara yang tersebut, iaitu yang pertama penggenggaman (tangan kanan menggenggam tangan kiri) dan yang kedua adalah perletakan (di dada).” (Lihat: Kitab asy-Syarhul Mumti’ ‘alaa Zaadil Mustaqni’, 3/193, oleh Sheikh Muhammad Sholeh al-‘Utsaimin)