Syaitan Dibelenggu Ketika Bulan Ramadhan
Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ
“Apabila masuk sahaja Ramadhan, maka pintu-pintu Jannah (Syurga) pun dibuka, pintu-pintu jahannam ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3277)
Juga dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ، شَهْرٌ مُبَارَكٌ، افْتَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ، تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ، وَتُغَلُّ فِيهِ الشَّيَاطِينُ، فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا، فَقَدْ حُرِمَ
“Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan mubaarak (yang diberkahi). Allah memfardhukan atas kalian puasa padanya. Pada bulan ini pintu-pintu Syurga dibuka, manakala pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu. Padanya juga terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan, sesiapa yang tidak mendapatkan kebaikannya, maka ia termasuk orang yang terhalang (dari kebaikan).” (Musnad Ahmad, no. 7148, 8911, 9497. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)
Dalam riwayat yang lain, juga dari Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ
“Apabila tiba saja malam pertama bulan Ramadhan, dibelenggulah syaitan-syaitan dan jin-jin yang ganas (yang besar). Pintu-pintu Neraka ditutup dan tiada satu pun terbuka. Pintu-pintu Syurga pula dibuka dan tiada satu pun yang tertutup.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 682. Ibnu Khuzaimah, no. 1883. Dinilai hasan oleh al-Albani)
Al-Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) menyatakan:
بَابُ ذِكْرِ الْبَيَانِ أَنَّ النَّبِيَّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – إِنَّمَا أَرَادَ بِقَوْلِهِ: “وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ” مَرَدَةَ الْجِنِّ مِنْهُمْ، لَا جَمِيعَ الشَّيَاطِينِ، إِذِ اسْمُ الشَّيَاطِينِ قَدْ يَقَعُ عَلَى بَعْضِهِمْ
“Bab penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan dengan Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).” Bukan merujuk kepada seluruh syaitan kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan adakalanya digunakan untuk sebahagian dari mereka.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 3/187)
Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H):
المراد بالشياطين بعضهم وهم المردة منهم وترجم لذلك بن خزيمة في صحيحه وأورد ما أخرجه هو والترمذي والنسائي وبن ماجة والحاكم
“… (Berdasarkan pendapat yang lain) Apa yang dimaksudkan syaitan dalam hadis ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang. Sebab itulah Ibnu Khuzaimah membuat judul bab dalam kitab Shahihnya untuk hadis berkaitan, lalu beliau menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan juga diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, An-Nasaa’i, Ibnu Majah, dan Al-Hakim… (sebagaimana di atas).”
Syaitan Dibelenggu, Tetapi Kenapa Maksiat Berleluasa?
Al-Imam Al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 656H) menjelaskan:
فإن قيل كيف نرى الشرور والمعاصى واقعة في رمضان كثيرا فلو صفدت الشياطين لم يقع ذلك فالجواب أنها إنما تقل عن الصائمين الصوم الذي حوفظ على شروطه وروعيت ادابه أو المصفد بعض الشياطين وهم المردة لاكلهم كما تقدم في بعض الروايات أو المقصود تقليل الشرور فيه وهذا أمر محسوس فإن وقوع ذلك فيه أقل من غيره اذلا يلزم من تصفيد جميعهم أن لا يقع شر ولا معصية لأن لذلك اسبابا غير الشياطين كالنفوس الخبيثة والعادات القبيحة والشياطين الإنسية
“Apabila dikatakan, “Mengapa kita masih melihat kejahatan dan maksiat berlaku di bulan Ramadhan. Sekiranya syaitan dibelenggu, bukankah sepatutnya perkara seperti itu tidak akan berlaku?”
Maka jawabannya, “Bahawasanya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya.
Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu para penentang yang ganas dari kalangan mereka sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat.
Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya.
Apabila semua syaitan dibelenggu, juga tidak menjadi sebab untuk tidak akan berlakunya kejahatan dan kemaksiatan. Kerana sebab berlakunya kemaksiatan itu turut didorong oleh sejumlah faktor lainnya selain dari faktor syaitan. Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan syaitan-syaitan dari kalangan manusia sendiri.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 4/114)
Wallahu a’lam…
1 Comment
SALAM,
TKASIH ATAS TAZKIRAH INI. SELAMAT BERPUASA !