Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Dari siri tulisan sebelumnya, telah pun dibentangkan siapakah yang dimaksudkan sebagai pemimpin dan kewajiban mentaatinya. Sila lihat tulisan dengan tajuk “Memahami Negara dan Pemimpin Umat Islam” dan “Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Mentaati Pemerintah”.
Maka pada tulisan berikut ini, ia akan difokuskan pula kepada persoalan menasihati dan amar ma’ruf nahi mungkar terhadap pemerintah.
Memahami Konsep Agama Sebagai Nasihat
Dalam Islam, nasihat adalah di antara dasar agama yang amat penting dan penopang kebenaran yang paling fundamental sehingga dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ
“Agama adalah An-Nashihah (bersikap tulus).” Mereka bertanya, “Untuk siapa (wahai Rasulullah)?”
Beliau menjawab, “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam, dan umat Islam secara umumnya.” (Shahih Muslim, no. 55)
Imam Muhammad bin Isma’il Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) berkata:
هذا الحديث جليل قال العلماء إنه أحد الأحاديث الأربعة التي يدور عليها الإسلام
“Hadis ini sangat agung dan para ulama menyatakan bahawa hadis ini adalah salah satu dari empat hadis yang menjadi prinsip agama Islam.” (Subulus Salam Syarah Bulughul Maram oleh Ash-Shan’ani, 4/210)
Ibnu Baththal rahimahullah (Wafat: 449H) berkata:
في الحديث دليل على أن النصيحة تسمى دينا وإسلاما وأن الدين يقع على العمل كما يقع على القول
والنصيحة فرض كفاية يجزىء فيها من قام بها وتسقط عن الباقين والنصيحة لازمة على قدر الطاقة البشرية إذا علم الناصح أنه يقبل نصحه ويطاع أمره وأمن على نفسه المكروه فإن خشي أذى فهو في سعة والله أعلم
“Hadis ini menunjukkan bahawa An-Nashihah juga disebut sebagai diin (agama) dan Islam. Dan bahawasanya diin (agama) digunakan untuk amalan dan perkataan.
Nasihat itu hukumnya fardhu kifayah, sekiranya ada orang yang melaksanakannya, maka yang lain terlepas dari kewajiban tersebut. Dan nasihat adalah suatu perkara yang wajib berdasarkan kemampuan masing-masing. Jika seseorang mengetahui bahawa nasihatnya akan diterima, perintahnya akan diikuti, dan dirinya bebas dari perkara-perkara yang membahayakan dan dibenci, maka ia perlu memberikan nasihatnya. Tetapi, sekiranya ia bimbang akan disakiti maka ia boleh memilih sama ada menasihati ataupun tidak. Wallahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi, 2/39. Subulus Salam Syarah Bulughul Maram oleh Ash-Shan’ani, 4/211)
Al-Khaththabi rahimahullah (Wafat: 388H) berkata:
النصيحة كلمة يعبر بها عن جملة هي إرادة الخير للمنصوح له
“Nasihat adalah perkataan yang menjelaskan sebahagian besar perkara yang merujuk kepada menghendaki kebaikan kepada yang diberi nasihat.” (Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam oleh Ibnu Rajab Al-Hanbali, m/s. 79)
Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:
الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ المراد به دين العمل، والنصيحة بمعنى إخلاص الشيء
“Dari ad-Diin an-nasiihah, maksud yang dikehendaki di sini, ad-diin adalah diinul ‘amal (agama), manakala an-nasiihah pula adalah membersihkan, memurnikan, mengikhlaskan sesuatu.” (Syarh Al-Arba’in An-Nawawiyah, hadis no. 7, http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_17802.shtml)
Nasihat terhadap para pemimpin adalah persoalan yang jarang mendapat perhatian khusus dan penjelasan secara terperinci bersesuaian dengan asas-asas hukum Al-Qur’an dan As-Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Tidak hairanlah pada hari ini sebahagian besar dari umat Islam (atau masyarakat) sering kali berlaku kurang profesional dan tidak terpuji dalam menyikapi kekurangan yang berlaku terhadap para pemimpin. Lebih mengecewakan, sehingga melanggar kaedah-kaedah dasar Islam dalam menegakkan amar ma’ruf nahi munkar terhadap para pemimpin.
Di antara mereka ada yang menempuh kaedah demonstrasi, mengkritik secara terbuka di mimbar-mimbar ceramah dan khutbah, mencanang aib pemimpin di akhbar-akhbar, mendesak dan memprovokasi pemimpin supaya meletakkan jawatan, membuat pelbagai makar politik, bahkan ada juga sehingga melakukan kekacauan dan menempuh kaedah terorisme sebagaimana banyak berlaku di sebahagian negara tertentu.
Sedangkan dalam perkara menasihati pemerintah ini, Islam telah menggariskan beberapa garis panduan yang perlu diikuti. Menasihati pemerintah bukanlah perkara main-main dan remeh. Sesiapa yang menasihati para pemerintah dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya, maka Allah pun redha terhadapnya, manakala sesiapa yang melaksanakan nasihat bukan dengan kaedah-kaedah yang syar’i tetapi menyimpang, maka Allah tidak akan redha kepadanya.
Ini sebagaimana Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلاَثًا وَيَسْخَطُ لَكُمْ ثَلاَثًا يَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَأَنْ تُنَاصِحُوا مَنْ وَلاَهُ اللَّهُ أَمْرَكُمْ
“Sesungguhnya Allah meredhai untukmu tiga perkara dan membenci untukmu tiga perkara, iaitu Dia redha kamu mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, hendaklah kamu berpegang teguh kepada Tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan hendaklah kamu memberi nasihat kepada orang-orang yang diberi Allah tanggungjawab mengurus urusanmu (para pemimpin).” (Hadis Riwayat Malik, 6/133, no. 133. Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad, 1/158, no. 442. Al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman, 6/59, no. 7493. Majmu’ Al-Fatawa, 35/7. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
Dan tidaklah dinamakan sebagai nasihat melainkan dengan cara yang baik dan lemah-lembut.
Memahami Konsep Amar Ma’ruf Nahi Mungkar
Sebagaimana solat, ia adalah ibadah yang diikat dengan rukun dan syarat-syaratnya. Tidak akan diterima solat tersebut tanpa dipenuhi rukun serta syarat-syarat sahnya solat.
Demikian juga perkara-perkara yang lainnya. Kalau dalam persoalan buang air, istinja’, dan adab-adab makan atau minum pun Rasulullah mengajarkan kita kaedah-kaedahnya, tidak mungkin beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam terlupa menjelaskan bagaimana kaedah yang benar dalam menasihati pemerintah dan amar ma’ruf nahi mungkar ini.
Maka ini adalah suatu yang perlu kita akui dengan ikhlas dan jujur. Allah dan Rasul-Nya tidak pernah lupa untuk menjelaskannya. Amar ma’ruf nahi mungkar adalah suatu perkara yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada umat Islam yang memenuhi syarat-syarat dan kelayakan. Ia diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala agar dilaksanakan dengan garis panduannya. Allah tidak memerintahkan sesuatu perkara kepada hambanya dengan begitu sahaja tanpa sebarang penjelasan mahupun perincian.
Jadi secara umumnya, amar ma’ruf nahi mungkar adalah perbuatan mengajak kepada kebaikan dan menolak kemungkaran berdasarkan syarat dan garis panduan serta petunjuk al-Qur’an dan as-Sunnah.
Kaedah amar ma’ruf nahi mungkar atau menasihati pemimpin umat Islam adalah berbeza dengan amar ma’ruf nahi mungkar secara umum. Menasihati dan menegur kesalahan-kesalahan pemimpin memiliki pengkhususannya sendiri yang berbeza dengan kaedah mencegah kemungkaran secara umum.
Sekiranya kepada pelaku maksiat, ahli maksiat atau ahli bid’ah, berdasarkan beberapa keadaan tertentu kita dibenarkan untuk mengeluarkan beberapa peringkat teguran atau fasa-fasa amar ma’ruf nahi mungkar secara umum sehingga kepada tahap dibenarkan melakukan tindakan tahdzir (peringatan keras), mengenakan hukuman (berdasarkan hak pemimpin), dan memulau (al-hajr) berdasarkan saranan ulama. Namun terhadap pemerintah, ianya berbeza berdasarkan pengkhususan yang ditetapkan oleh al-Qur’an, as-Sunnah, dan kefahaman ahlus sunnah wal-jama’ah di atas manhaj salaf.
Amar Ma’ruf dan nahi mungkar adalah salah satu dasar dalam agama yang dengannya kebaikan menjadi jelas dan tersebar. Manakala kemungkaran berkurang, tersembunyi, dan menghilang.
Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa di antara ciri dan sikap orang yang beriman dan beruntung adalah dia melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka mengajak kepada yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah, 9: 71)
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 104)
Manakala sifat dan ciri-ciri orang munafiq pula adalah mereka melarang amar ma’ruf dan mengajak kepada yang mungkar. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Orang-orang munafiq lelaki dan perempuan. Sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka mengajak melaksanakan yang munkar dan melarang melaksanakan yang ma’ruf dan mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafiq itu adalah orang-orang yang fasiq.” (Surah At-Taubah, 9: 67)
Manakala dalil hadis, perintah amar ma’ruf nahi mungkar disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana berikut:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Sesiapa yang melihat di kalangan kamu suatu kemungkaran, maka tegahlah ia dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan lisannya (perkataan). Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.” (Shahih Muslim, Kitab Al-Iman, no. 49)
Kata Imam Al-‘Adzim Al-Abadi rahimahullah:
قال العلماء ولا يسقط عن المكلف الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر لكونه لا يفيد في ظنه بل يجب عليه فعله فإن الذكرى تنفع المؤمنين
“Berkata para ulama, kewajiban amar ma’aruf nahi mungkar tidak gugur hanya disebabkan ia tidak memberikan sebarang kesan. Bahkan dia wajib melakukannya kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.” (‘Aun Al-Ma’bud oleh Al-‘Azhim Al-Abadi, 11/330)
Sekiranya umat Islam mengabaikan amar ma’ruf nahi mungkar, ia akan menjadi sebab datangnya pelbagai musibah, kebinasaan, dan keburukan. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا الظَّالِمَ فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ بِعِقَابٍ مِنْهُ
“Sesungguhnya apabila manusia melihat sesuatu kezaliman tetapi tidak bertindak menahan dengan tangannya atau tidak mempedulikannya, dibimbangi Allah mengenakan hukuman (azab) kepada mereka.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2168. At-Tirmidzi mensahihkannya)
Para ulama menyatakan bahawa hasil nahi mungkar (mencegah kemungkaran) adalah satu dari empat perkara. Iaitu sama ada hilangnya kemungkaran, kemungkaran berubah menjadi lebih ringan, kemungkaran tidak berubah atau berubah tetapi digantikan dengan kemungkaran lain yang sama saja keadaannya dengan sebelumnya, atau menjadi lebih teruk dari sebelum ia cuba diubah.
Dalam situasi pertama dan kedua, hukum melaksanakan nahi mungkar adalah wajib. Manakala bagi situasi ketiga, ia perlu dipertimbangkan dengan baik, dan bagi situasi keempat, tidak boleh dilaksanakan kerana maksud asal dari sebuah nahi mungkar adalah menghilangkan atau mengurangkan kemungkaran tersebut dan bukannya menambah menjadi lebih buruk.
Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) menyatakan, “Dalam mencegah kemungkaran, ada lima peringkat yang boleh dilakukan, iaitu:
1. Dengan penjelasan ilmu (atau penerangan).
2. Menasihati dengan perkataan yang lemah-lembut.
3. Dengan perkataan yang tegas dan teguran yang keras. Perkataan tegas ini bukan bererti celaan dengan kata-kata yang keji. Tetapi kita boleh berkata kepadanya, “Wahai orang yang jahil, adakah engkau tidak takut kepada Allah?” Atau yang seumpamanya.
4. Mencegah secara paksa, seperti merosakkan tempat dan alat-alat judi serta memusnahkan khamr (arak atau minuman yang memabukkan).
5 . Mengancamnya dengan pukulan, atau secara langsung terus memukulnya sehingga ia menghentikan kemungkarannya.
Adapun yang terakhir ini perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa (pemerintah). Tetapi bagi yang empat lainnya tidak memerlukannya. Kerana boleh jadi cara terakhir ini akan mengundang ancaman (risiko).” (Ibnu Qudamah, Mukhtashar Minhajul Qashidin, m/s. 125 – Maktabah Daar al-Bayan, Damsyiq)
Jika diperhatikan pada kaedah ke-4 tersebut, ia juga sama seperti kaedah ke-5 di mana memerlukan kebenaran atau dukungan daripada pihak berkuasa (pemerintah). Bergantung kepada kebijaksanaan, keadaan, kaedah perundangan, dan maslahah. Ini adalah juga sebagaimana tambahan penjelasan daripada Syaikh Jamaluddin al-Qasimi rahimahullah dalam Tahdzib Mau’idzatuil Mukminin. Kata Syaikh Jamaluddin al-Qasimi, “Bagi individu rakyat tidak lain hanyalah pencegahan, manakala menumpahkan dan memusnahkan adalah bagi para pemerintah dan dengan izin mereka sebagaimana halnya memukul atau menahan.”
Kemudian Imam Ibnu Qudamah menjelaskan lagi, “Yang boleh diterapkan bagi amar ma’ruf terhadap pemerintah adalah dua peringkat (fasa) yang pertama, iaitu penjelasan, kemudian nasihat. Manakala herdikan dengan nada keras, seperti dengan perkataan, “Wahai si zalim, wahai orang yang tidak takutkan Allah.” Maka ia tidak boleh dilakukan (ke atas pemerintah) jika ini boleh menyebabkan bahaya kepada orang lain. Jika bahaya hanya ditanggung oleh orang yang mengucapkannya, maka boleh dilakukan. Ini berdasarkan pandangan jumhur ulama. Tetapi berdasarkan pandangan kami, perkara ini juga tidak boleh dilakukan kerana tujuan asal bagi tindakan dan ucapan tersebut adalah untuk menyingkirkan kemungkaran. Mengundang risiko seperti itu ketika berhadapan pihak berkuasa (pemerintah), sebenarnya lebih bahaya dari kemungkaran yang hendak disingkirkan. Sebab apa yang lebih disukai oleh pemerintah adalah kata-kata sanjungan. Sekiranya dia mendengar salah seorang rakyat berkata kepadanya, “Wahai si zalim, wahai si fasiq.” Maka dia akan menganggap ucapan tersebut sebagai bentuk penghinaan ke atasnya, lalu dia pun tidak akan mampu menahan diri (lalu marah).” (Ibnu Qudamah, Mukhtashar Minhajul Qashidin, m/s. 133-134 – Daar al-Bayan, Damsyiq)
Demikian juga sebagaimana kata Imam Ibnu al-Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H):
الجائز من الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر مع السلاطين التعريف والوعظ، فأما تخشينُ القولِ نحو: يا ظالم، يا من لا يخاف الله، فإن كان ذلك يُحركُ فتنةً يتعدى شرها إلى الغير، لم يجز، وإن لم يخف إلا على نفسه فهو جائز عند جمهور العلماء.
والذي أراه المنع من ذلك، لأن المقصود إزالة المنكر، وحمل السلطان بالانبساط عليه على فعل المنكر أكثر من فعل المنكر الذي قصد إزالته
“Amar ma’ruf dan nahi mungkar kepada pemerintah adalah dengan penjelasan dan peringatan (nasihat yang mendidik). Adapun ucapan yang pedas dan menyakitkan seperti “Wahai orang zalim”, “Wahai orang yang tidak takut kepada Allah” apabila ianya dapat menyebabkan timbulnya keburukkan atau menyusahkan orang lain, maka ia tidak dibenarkan. Dan sekiranya tidak dibimbangi melainkan terhadap dirinya sendiri sahaja, maka ia dibolehkan berdasarkan jumhur ulama….
… (beliau menyambung) walau bagaimanapun, aku menganggap ianya sebagai suatu larangan kerana yang dimaksudkan (tujuan sebenar) adalah untuk menghilangkan kemungkaran. Kerana membiarkan pemerintah melakukan kemungkaran itu lebih baik dari membuat kemungkaran lainnya dengan tujuan untuk menghilangkan kemungkaran pemerintah.” (Al-Adab Asy-Syar’iyah oleh Syamsuddin Abu ‘Abdillah Muhammad bin Muflih Al-Maqdisi Al-Hanbali, 1/222)
Al-Imam Al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah berkata, “Hadis tersebut adalah berkenaan kaedah mengubah sesuatu kemungkaran. Iaitu mencegah kemungkaran bersesuaian dengan kemampuannya, sama ada dengan perkataan atau perbuatan. (Dalam mencegah kemungkaran) Ia boleh bertindak memusnahkan faktor-faktor penyebab timbulnya kebatilan dan menumpahkan minuman yang memabukkan atau memerintahkan orang lain untuk melakukannya. Dia juga secara peribadi boleh mengambil harta rampasan dan mengembalikannya kepada pemiliknya yang asal, atau dengan perintahnya jika dia mampu.
Dia wajib bersungguh-sungguh berlemah-lembut dalam mengubah kemungkaran yang dilakukan oleh orang-orang yang jahil, serta terhadap orang yang diktator dan zalim, yang mana begitu dibimbangi kejahatannya. Kerana dengan cara tersebut, kebarangkalian untuk nasihatnya diterima adalah lebih tinggi. Begitu juga halnya kepada orang-orang yang memiliki kedudukan tinggi (dari kalangan pemimpin). Mengubah kemungkaran melalui lisan sangat diperlukan sekiranya cara tersebut memiliki kebarangkalian untuk kejahatan dan kemungkaran dapat dihentikan.
Selain itu pada keadaan tertentu, mengubah kemungkaran juga diperlukan dengan tangan jika si pelaku kemungkaran berterusan dalam kesesatan dan kezaliman. Tetapi sekiranya dia yakin bahawa mengubah kemungkaran dengan tangan akan menyebabkan kemungkaran yang lebih dahsyat darinya, seperti kematiannya atau terbunuhnya orang lain, maka dia wajib menahan tangannya dan cukup dengan lisan, nasihat, atau peringatan. Selain itu, sekiranya dia bimbang bahawa nasihat atau perkataannya tersebut juga dapat menyebabkan perkara yang serupa (kemudharatan), maka cukuplah untuk dia mengubah kemungkaran tersebut dengan hatinya. Itulah yang dimaksudkan oleh hadis tersebut.” (Syarh Shahih Muslim, 2/25)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah menyebutkan, “Majoriti ulama ahlus sunnah dari kalangan fuqaha’ (ahli fiqh), ahli hadis, dan ahli kalam menyatakan bahawa pemimpin tidak dilucutkan (atau dijatuhkan kepimpinannya) atas sebab kefasikan, kezaliman, dan perbuatannya yang merampas hak-hak umat Islam, dan tidak boleh khuruj (keluar dari ketaatan) terhadapnya. Tetapi umat Islam wajib untuk menasihati dan menggerunkan (atau menyentuh) hatinya dengan hadis-hadis (yang berbentuk ancaman atau peringatan) berkaitan perkara tersebut.” (Syarh Shahih Muslim, 12/229)
Dalam beberapa hadis yang lain disebutkan suatu prinsip bahawa kita diperintahkan supaya menutupi aib dan menyembunyikan kesalahan orang lain. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لاَ يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا إِلَّا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Tidaklah seseorang hamba itu menyembunyikan kesalahan (aib) hamba yang lain melainkan Allah akan menyembunyikan kesalahanya (aibnya) pada hari kiamat.” (Shahih Muslim, Kitab Al-Birri wash-Shilati wal-Adab, no. 2590)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah mengulas berkenaan hadis-hadis dalam bab ini:
وأمَّا السِّترُ المندوب إليه هنا، فالمراد به الستر على ذوي الهيئاتِ ونحوهم، ممَّن ليس معروفاً بالأذى والفسادِ، فأمَّا المعرُوفُ بذلك فيُستحبُّ ألاَّ يُستَرَ عليه؛ تُرفعُ قضيَّتُه إلى وليِّ الأمرِ، إن لم يُخَفْ من ذلك مفسدةً، لأنَّ السِّترَ على هذا يُطْمِعُهُ في الإيذاءِ والفسادِ، وانتهاكِ الحُرُمات، وجَسارةُ غيرِه على مثلِ فِعْلِه
“Adapun menyembunyikan kesalahan yang dituntut (mandub) di sini, maka maksudnya adalah menyembunyikan kesalahan orang-orang yang dikenali (para pemimpin) serta yang seumpama dengannya yang terdiri dari mereka yang tidak dikenali dengan perbuatan zalim dan jahat. Adapun mereka yang dikenali dengan seumpama itu maka dituntut agar tidak disembunyikan perbuatannya dan dilaporkan perbuatannya itu kepada pihak berkuasa (pemerintah). Sekiranya tidak, dibimbangi kemudharatan hasil dari perbuatannya itu kerana menyembunyikan kesalahannya akan menjadikan ia semakin berani untuk melakukan kejahatan dan kerosakkan serta memperkosa segala maruah dan menjadi jambatan kepada orang lain untuk mengikutinya.” (Syarh Shahih Muslim, 16/135)
Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) berkata:
لناسُ يَحتاجون إلى مُداراةٍ، ورِفْقٍ في الأمرِ بالمعروفِ، بلا غِلْظةٍ، إلاَّ رجُلاً مُبايناً، مُعلناً بالفسْقِ والرَّدى، فيجبُ عليك نهيُهُ وإعلامُهُ؛ لأنَّه يُقالُ: ليس لِفاسقٍ حُرمةٌ، فهذا لا حُرْمةَ له
“Manusia memerlukan kesopanan, kelembutan, dan tanpa kekerasan dalam melaksanakan suruhan kepada perkara ma’ruf. Melainkan mereka yang menonjolkan secara terang-terangan kefasikannya dan melakukan kerosakan, maka wajib ke atas kamu mencegahnya dan menjelaskan perbuatannya tersebut kerana seseorang yang fasiq itu tidak memiliki kehormatan dan dia tiada maruah.” (Al-Amru bil Ma’ruf wan-Nahyu ‘Anil-Mungkar oleh Al-Khallal, m/s. 35)
Maksudnya di sini adalah supaya kita apabila menegur kesalahan seseorang hendaklah dengan tidak dicanangkan dan dihebohkan berkaitan kesalahannya dan siapa pelaku tersebut. Cukup ia dilakukan di antara kita dengan pelaku tersebut. Melainkan bagi mereka yang telah jelas tidak boleh ditegur malah membahayakan pula kepada agama dan masyarakat. Ini adalah merujuk seperti kepada ahli bid’ah yang merosakkan banyak perkara berkaitan kefahaman agama dan para penjenayah yang membahayakan lagi mengancam keselamatan masyarakat. Di mana masyarakat perlu berhati-hati terhadapnya dan pesalah tersebut perlu segera dibawa ke muka pengadilan.
Walau bagaimanapun, apa yang hendak kita bicarakan di sini adalah merujuk kepada amar ma’ruf nahi mungkar tehadap pihak pemerintah, di mana ianya memiliki kaedah-kaedah yang bersifat khusus berdasarkan ketetapan dalil-dalil syar’i dan penegasan para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah yang sebahagiannya telah disebutkan di atas tadi.
Syaikh ‘Abdus Salam bin Barjas rahimahullah dalam Mu’aamalatul Hukkam menukilkan perkataan Imam Ibnu an-Nuhas, katanya:
فإن كان السلطان – فليس لأحد منعه بالقهر باليد، ولا أن يشهر عليه سلاحاً، أو يجمع عليه أواناً لأن في ذلك تحريكاً للفتن وتهييجاً للشر، وإذهاباً لهيبة السلطان من قلوب الرعية وربما أدي ذلك إلي تجريهم على الخروج عليه وتخريب البلاد، وغير ذلك مما لا يخفي
Tetapi jika yang melakukan kemungkaran adalah para pemimpin, “Maka sesiapa pun tidak boleh mencegahnya dengan cara kekerasan, menghunus pedang (senjata) di hadapannya, atau melakukan tunjuk perasaan (mogok), kerana perkara tersebut akan menimbulkan fitnah, membangkitkan rusuhan, dan menghilangkan kewibawaan pemerintah di mata rakyat. Bahkan, adakalanya perkara tersebut boleh mengakibatkan pemberontakan terhadap kepimpinannya dan merosakkan negara serta beberapa risiko-risiko besar lainnya yang sedia diketahui.” (Tanbihul Ghafilin, m/s. 46. Dinukil dari Mu’aamalatul Hukkam karya Syaikh ‘Abdus Salam Barjas)
Bagi pihak-pihak (atau kumpulan tertentu) yang menganggap bahawa amar ma’ruf nahi mungkar terhadap pemerintah muslim itu dilakukan dengan cara keluar melakukan penentangan, provokasi, pemberontakan, celaan, berusaha menjatuhkannya dan keluar dari ketaatan terhadapnya, maka jelaslah bahawa methode tersebut adalah salah, mungkar, lagi bathil.
Imam Ibn Khaldun rahimahullah (Wafat: 808H) menegaskan berkaitan hal ini dengan katanya:
ومن هذا الباب أحوال الثّوّار القائمين بتغيير المنكر من العامّة والفقهاء فإنّ كثيرا من المنتحلين للعبادة وسلوك طرق الدّين يذهبون إلى القيام على أهل الجور من الأمراء داعين إلى تغيير المنكر والنّهي عنه والأمر بالمعروف رجاء في الثّواب عليه من الله فيكثر أتباعهم والمتلثلثون بهم من الغوغاء والدّهماء ويعرّضون أنفسهم في ذلك للمهالك وأكثرهم يهلكون في هذا السّبيل مأزورين غير مأجورين لأنّ الله سبحانه لم يكتب ذلك عليهم وإنّما أمر به حيث تكون القدرة عليه قال صلّى الله عليه وسلّم: من رأى منكم منكرا فليغيّره بيده فإن لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطع فبقلبه
“Dan dari bab ini termasuk apa yang berlaku kepada para pemberontak yang bangkit bangun dengan tujuan mengubah kemungkaran dari kalangan orang awam dan para Fuqaha’, kebanyakan mereka yang melazimi jalan ibadah dan agama bangun memberontak terhadap pemerintah yang zalim dengan menyeru untuk mengubah kemungkaran dan menyuruh kepada amar makruf dengan harapan meraih pahala daripada Allah atas usaha tersebut maka banyaklah pengikut mereka dan orang-orang yang turut bercampur bersama mereka dari kalangan orang-orang yang bodoh dan orang-orang awam, mendedahkan diri mereka kepada kebinasaan dan kebanyakan mereka binasa dalam usaha ini dalam keadaan mereka berdosa tidak mendapat pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana Allah tidak memerintahkan mereka untuk melakukannya tetapi memerintahkan mereka dengannya (mengubah kemungkaran) apabila mereka mempunyai kudrat (kemampuan yang cukup) atasnya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (maksudnya), “Sesiapa yang melihat di kalangan kamu suatu kemungkaran, maka tegahlah ia dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan lisannya (perkataan). Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan hatinya.” (Tarikh Ibn Khaldun, 1/200. – Daar al-Fikr, Beirut, Cet. Kedua)
Mengubah Kemungkaran Dengan Kebijaksanaan
Setelah kita memahami bahawa mencegah atau mengubah kemungkaran merupakan suatu yang diwajibkan oleh agama berdasarkan kaedah-kaedahnya. Perlu diketahui bahawa praktik nahi mungkar juga perlu dilaksanakan di atas dasar kebijaksanaan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh banyaknya hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Salah satu hadis yang dapat kita ambil sebagai contoh berkaitan perkara ini adalah hadis daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berikut. Anas berkata:
بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ مَهْ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَمَرَ رَجُلًا مِنْ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ
“Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tiba-tiba datang seorang ‘Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengertaknya, tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Qur’an.” Atau sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sesuai. Setelah itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.” (Shahih Muslim, no. 285)
Di antara faedah yang dapat diambil dari hadis ini adalah:
[Pertama] Menunjukkan larangan kencing atau membuat kekotoran di dalam masjid. Kerana masjid adalah tempat yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya. Masjid adalah tempat untuk berzikir (mengingati Allah), melaksanakan solat, membaca al-Qur’an, dan majlis ilmu.
[Kedua] Menunjukkan air kencing manusia adalah suatu yang kotor dan najis. Cara menyucikannya adalah dengan membersihkannya menggunakan air.
[Ketiga] Hadis ini menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam menangani orang yang jahil. Iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan mengotori masjid, tetapi Rasulullah tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan dan sebab-sebab tertentu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menasihati dan menunjukkan contoh yang tepat kepada para sahabatnya dalam menghadapi karenah orang-orang jahil.
[Keempat] Menolak kemudharatan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut dicegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudharat serta membahayakannya. Kerana kencing yang dihentikan dengan tiba-tiba boleh mengundang risiko dan sakit.
Atau mungkin ia akan terkejut lalu berpindah atau lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh-badannya pula. Tetapi dengan sebab contoh kebijaksanaan Rasulullah, maka najis tersebut hanya terkena pada satu tempat sahaja. Orang Badwi tersebut pula berjaya dinasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah serta tidak diperlakukan dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Dan najis tersebut dapat dibasuh dengan sempurna hanya dengan sebaldi atau sebekas air.
Kesimpulan yang dapat kita ambil di sini adalah kita tidak boleh mencegah sesuatu kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah sesuatu keburukan dengan cara yang buruk juga. Atau dengan cara yang lebih buruk lagi.
Sebaliknya kita hendaklah meneliti di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadahnya (keburukan) dengan pertimbangan yang tepat. Kita tidak boleh mengingkari sesuatu kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain. Kita juga tidak boleh mengingkari kemungkaran sehingga menyebabkan berlaku kemungkaran yang lebih besar lagi.
Dengan sebab itu jugalah Imam Ibnul Qayyim rahimahullah menyentuh perkara ini dengan katanya:
“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mensyari’atkan kepada ummatnya tentang kewajiban mencegah atau membasmi kemungkaran. Ini bertujuan meraih perkara yang ma’ruf yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya dari usaha-usaha tersebut. Tetapi jika perbuatan membasmi kemungkaran tersebut akan membawa kepada perkara lain yang lebih mungkar lagi dan lebih dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, maka membasmi kemungkaran tidak perlu dilakukan walaupun Allah tetap membenci dan murka kepada pelaku kemungkaran tersebut. Situasi ini adalah sama seperti mengingkari para raja dan pemimpin dengan cara memberontak keluar dari ketaatan kepada mereka. Bahawasanya ini adalah asas kepada setiap keburukan dan fitnah sehingga akhir zaman. Para sahabat telah meminta izin Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk memerangi para pemimpin (amir) yang melengah-lengahkan solat dari waktunya sambil berkata, “Adakah kita tidak perangi sahaja mereka?” Maka Rasulullah pun menjawab, “Tidak, selagi mana mereka masih tetap melaksanakan solat.”
Sesiapa yang meneliti fitnah-fitnah yang besar dan kecil dalam sejarah umat Islam, dia pasti akan mendapati bahawa fitnah-fitnah tersebut berpunca dari pengabaian prinsip-prinsip ini dan tidak sabar dalam menghadapi kemungkaran. Lalu mereka menuntut untuk menghapuskannya (dengan terburu-buru). Maka timbullah perkara lain yang lebih besar dari fitnah asal tersebut. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melihat sebesar-sebesar kemungkaran ketika di Makkah dan beliau tidak memiliki kemampuan untuk mengubahnya.
Sebaliknya ketika Allah telah membuka Makkah dan ia telah menjadi wilayah Islam, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bertekad untuk mengubah Ka’abah dan mengembalikannya kepada bentuk asal sebagaimana yang dibina oleh Nabi Ibrahim (‘alaihis Salam), tetapi beliau tidak melakukannya walaupun telah berkuasa pada ketika itu. Ini adalah kerana kebimbangan beliau dari berlakunya perkara-perkara buruk yang lebih besar kerana orang-orang Quraisy pada ketika itu masih tidak dapat menerima perubahan secara drastik disebabkan baru memeluk Islam dan masih baru mula untuk meninggalkan kekufuran. Kerana sebab itulah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengizinkan untuk mengingkari para pemimpin dengan kekuatan kerana akan mengakibatkan timbulnya keburukan yang lebih besar lagi dari yang sedia ada.” (Ibnul Qayyim, I’lam al-Muwaqqai’in ‘an Rabb al-‘Alamin, 3/4 – Daar al-Jil)
Bekal Amar Ma’ruf Nahi Mungkar
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyatakan:
“Orang-orang yang mahu beramar ma’ruf nahi mungkar perlu memiliki tiga bekalan (iaitu):
1. Berilmu,
2. Bersikap lemah-lembut, dan
3. Bersabar.
Ilmu wajib dimiliki sebelum seseorang itu melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Sikap lemah lembut perlu ada ketika melakukannya. Dan sikap sabar wajib dimiliki setelah seseorang menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar.” (Al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Mungkar oleh Ibnu Taimiyyah, m/s. 18)
Penjelasan dari ketiga-tiga bentuk bekalan ini adalah sebagaimana berikut:
[Bekal pertama] Berilmu.
Bagi mereka yang mahu melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar, dia terlebih dahulu wajib mengetahui (berilmu) kenapa dia harus beramar ma’ruf nahi mungkar serta membezakan di antara mana satu adalah ma’ruf dan yang mana adalah mungkar. Setelah itu, dia wajib mengetahui tatacara atau kaedah perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar yang menepati kehendak agama.
Berkaitan bekal ilmu ini, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan, “Jika ini merupakan definisi amal soleh (iaitu perlu ikhlas dan mengikuti petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), maka seseorang yang hendak melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar wajib memiliki dua sifat ini (iaitu ikhlas dan mengikuti petunjuk Nabi). Dan tidak mungkin disebut sebagai amal yang soleh jika tidak diiringi ilmu dan kefahaman yang benar. Sebagaimana yang diperkatakan oleh ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz rahimahillah (Wafat: 101H):
مَنْ عَبَدَ اللهَ بِغَيْرِ عِلْمٍ كَانَ مَا يُفْسِدُ أَكْثَرَ مِمَّا يُصْلِحُ
“Sesiapa yang beribadah kepada Allah tanpa ilmu, maka dia akan melakukan banyak keburukan dari kebaikan.”
Begitu juga sebagaimana ucapan Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu:
العِلْمُ إِمَامُ العَمَلِ وَالعَمَلُ تَابِعُهُ
“Ilmu adalah pemimpin bagi amal dan amalan itu mengikuti di belakangnya.”
Perkara ini adalah suatu yang begitu jelas. Setiap amalan jika tidak diiringi dengan ilmu, tentu akan menunjukkan kejahilan, kesesatan, dan mempertuhankan hawa nafsu, sebagaimana telah dijelaskan dahulu. Inilah perbezaan di antara orang jahiliyah dan orang muslim. Oleh sebab itu, hendaklah seseorang memiliki ilmu terlebih dahulu sebelum melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Hendaklah dia mengetahui keadaan orang yang akan diajak kepada kebaikan dan dilarang dari suatu kemungkaran. Hendaklah dia meneliti (mengkaji) juga maslahah yang akan muncul ketika melakukan perkara ini. Jika dia memenuhi syarat ilmu ini, maka itu akan lebih cepat menyampaikannya pada tujuan yang dikehendaki. (lihat: Al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Mungkar, m/s. 15)
[Bekal kedua] Sikap lemah lembut dan sopan-santun (ar-rifq wa al-hilm).
Sikap inilah yang akan menjadikan orang lain lebih mudah menerima nasihat, berbeza jika kita bertindak kasar apatah lagi provokasi dan membuat kekacauan. Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ وَيُعْطِى عَلَى الرِّفْقِ مَا لاَ يُعْطِى عَلَى الْعُنْفِ وَمَا لاَ يُعْطِى عَلَى مَا سِوَاهُ
“Sesungguhnya Allah Maha Penyantun, Dia menyukai sifat lemah-lembut. Allah akan memberikan sesuatu dalam sikap santun yang tidak diberikan pada sikap kasar dan sikap selain itu.” (Shahih Muslim, no. 2593)
Juga daripada ‘Aisyah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ الرِّفْقَ لاَ يَكُونُ فِى شَىْءٍ إِلاَّ زَانَهُ وَلاَ يُنْزَعُ مِنْ شَىْءٍ إِلاَّ شَانَهُ
“Bahawasanya sikap lemah-lembut tidak akan berada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, jika lemah-lembut itu dicabut dari sesuatu, maka ia akan membuatnya menjadi buruk.” (Shahih Muslim, no. 2594)
[Bekal ketiga] Bersabar.
Hendaklah seseorang yang menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar memiliki sikap sabar. Kerana telah menjadi sunnatullah bahawa setiap orang yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran pasti akan menghadapi pelbagai jenis cabaran dan gangguan. Jika ia tidak memiliki sikap sabar dalam menghadapinya, maka akan timbul banyak keburukan berbanding mendatangkan kebaikan. Mengenai sikap sabar ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyebutkan dalam wasiat Luqman kepada anaknya:
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
“Dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah mereka dari perbuatan yang mungkar, lalu bersabarlah terhadap apa yang akan menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)
Prinsip-prinsip Dalam Menasihati Pemimpin
Adapun garis panduan yang dimaksudkan dalam menasihati atau menegur kesalahan pemerintah tersebut di antaranya dapat diringkaskan sebagaimana berikut:
1. Nasihat dan perbincangan dilaksanakan secara rahsia demi menjaga keredibiliti kedua-dua belah pihak. Iaitu tidak membuka ‘aibnya atau memalukannya di khalayak umum.
2. Dengan perkataan dan bahasa yang baik.
3. Dilakukan dengan penuh kebenaran, kesabaran, keikhlasan, mengharap kebaikan, dan mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
4. Sentiasa mendoakannya dengan kebaikan dan penuh kesabaran.
Perkara ini adalah sebagaimana yang akan dijelaskan dengan berpandukan dalil-dalil dan perkataan para ulama ahlus Sunnah wal-Jama’ah dari zaman awal Islam, sehinggalah sekarang.
Dr. Khalid bin ‘Ali al-Anbari hafizahullah berkata:
أوجب الشارع الشريف على الأمة توقير الأمراء واحترامهم وتبجيلهم، ونَهى في الوقت نفسه عن سبهم وانتقاصهم والحط من أقدارهم، وذلك لتقع مهابتهم والرهبة منهم في نفوس الرعية، فتنكف عن الشر والفساد والبغي والعدوان النفوس الردية
“Syara’ yang mulia telah mewajibkan ke atas umat ini supaya menghormati dan memuliakan para pemimpin. Pada waktu yang sama, kita dilarang mencaci mereka dan menyebut kekurangan serta kelemahan mereka kerana perkara ini akan menyebabkan lahirnya kebencian rakyat terhadap mereka bahkan juga akan membawa kepada kejahatan, kerosakan, kederhakaan, dan permusuhan.” (Fiqh As-Siyasah Asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah oleh Dr. Khalid Al-Anbari, m/s. 203-204)
Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (691H-751H) berkata, “Nasihat adalah sifat ihsan yang lahir dari perasaan belas-kasihan semata-mata kerana Allah, dan bersedia untuk menanggung sebarang akibatnya, seperti cacian yang buruk daripada orang yang dinasihati setelah dilakukan dengan lemah lembut. Jika nasihat untuk meyakinkannya tidak diterima, maka orang yang memberi nasihat tersebut tidak dikira melampaui batas dan dia akan menerima balasan atas usahanya tersebut daripada Allah, di samping merahsiakan (menutup aib) orang yang dinasihatinya dan sentiasa mendoakannya (dengan kebaikan).” (Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 208)
Imam Ash-Shan’ani rahimahullah (1099H-1182H) berkata:
والنصيحة لأئمة المسلمين إعانتهم على الحق وطاعتهم فيه وأمرهم به وتذكيرهم لحوائج العباد ونصحهم في الرفق والعدل
قال الخطابي: ومن النصيحة لهم الصلاة خلفهم والجهاد معهم وتعدد أسباب الخير في كل من هذه الأقسام لا تنحصر قيل وإذا أريد بأئمة المسلمين العلماء فنصحهم بقبول أقوالهم وتعظيم حقهم والاقتداء بهم ويحتمل أنه يحمل الحديث عليهما فهو حقيقة
“Maksud “Nasihat kepada pemimpin umat Islam” adalah membantu mereka dalam menegakkan kebenaran, mematuhi mereka dalam apa yang diperintahkan (dalam perkara kebenaran), membantu dan memberikan cadangan yang baik kepada mereka, menasihati mereka supaya bersifat kasih-sayang dan ‘adil.
Al-Khaththabi berkata, “Di antara bentuk nasihat terhadap pemimpin umat Islam adalah solat di belakang mereka dan berjihad bersama-sama mereka.”
Sebab-sebab kebaikan dari setiap pembahagian ini terlalu banyak dan tidak mungkin untuk dihadkan. Ada pendapat yang mengatakan, “Jika yang dimaksudkan pemimpin umat Islam di sini adalah para ulama maka cara menasihati mereka adalah dengan menerima fatwa mereka, menghormati dan menjadikan mereka sebagai ikutan. Pemimpin yang dimaksudkan dalam hadis ini mencakupi pemimpin (pemerintah) dan ulama.” (Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, 4/210)
Dalam Syarh Shahih Muslim, Imam an-Nawawi turut menyebutkan perkataan Al-Khaththabi sebagaimana berikut:
“Termasuk nasihat kepada mereka (pemerintah) adalah solat di belakang mereka, berjihad bersama-sama mereka, tidak menipu mereka dengan pujian-pujian palsu, dan sentiasa mendoakan mereka dengan kebaikan. Selain itu, yang dimaksudkan dengan pemimpin umat Islam adalah para khalifah dan para pemimpin yang memegang tanggungjawab menguruskan hal-ehwal umat Islam (masyarakat).” (Syarh Shahih Muslim, 2/38)
Sebelum itu, Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) turut menyebutkan:
وأما النصيحة لأئمة المسلمين فمعاونتهم على الحق وطاعتهم فيه وأمرهم به وتنبيهم وتذكيرهم برفق ولطف واعلامهم بما غفلوا عنه ولم يبلغهم من حقوق المسلمين وترك الخروج عليهم وتألف قلوب الناس لطاعتهم
“Makna nasihat untuk para pemimpin umat Islam adalah tolong-menolong bersama mereka dalam urusan kebenaran, mentaati arahan mereka dalam kebenaran, menegur dan mengingatkan mereka dengan cara lemah-lembut, memberitahu mereka tentang apa yang mereka lalai supaya tidak melanggar hak-hak umat Islam, tidak menjadi pembangkang kepada mereka, dan menganjurkan orang lain untuk mentaati mereka.” (Syarh Shahih Muslim, 2/38)
Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:
نَهانا كبراؤنا من أصحاب رسول الله، قالوا: لا تسبوا أمراءكم، ولا تغشوهم، ولا تبغضوهم، واتقوا الله، واصبروا؛ فإن الأمر قريب
“Telah dikhabarkan berkenaan larangan daripada para Sahabat Rasulullah, mereka berkata, “Janganlah kamu memaki-hamun pemerintah kamu, menipu mereka, membenci mereka, dan takutlah kamu kepada Allah, serta bersabarlah. Bahawa sesungguhnya perintah itu adalah dekat.” (Syu’abul Iman oleh Al-Baihaqi, 6/69, no. 7523. Sanadnya jayyid sebagaimana kata Al-Albani dalam Dzilal Al-Jannah fii Takhrij as-Sunnah Ibn Abi ‘Ashim, 2/217, no. 1015)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَهُ اللهُ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللهُ
“Sultan (pemimpin umat Islam) adalah naungan Allah di muka bumi. Sesiapa yang memuliakannya, maka Allah akan muliakan ia. Dan sesiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinakan pula ia.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ‘Ashim, no. 1024. Al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman, 6/17, no. 7373. Dinilai hasan oleh Al-Albani dalam Dzilal al-Jannah, 2/224, no. 1024)
Para pemimpin atau pihak berkuasa bukanlah maksum, tindakan mereka mungkin benar dan mungkin tidak. Kerana mereka termasuk manusia biasa, sama seperti kita semua. Kita atau pun mereka masih memerlukan nasihat daripada orang-orang yang ikhlas serta tunjuk-ajar daripada orang-orang yang bertaqwa lagi berilmu.
Menasihati para pemimpin hendaklah berdasarkan garis panduan syara’, petunjuk agama, dan kefahaman generasi salafush-soleh (generasi awal umat Islam dari kalangan para sahabat, Tabi’in, dan Tabi’ut Tabi’in) dengan tujuan yang murni (ikhlas), diplomasi, lunak, lemah lembut, dan bijaksana supaya hasilnya berjaya dicapai serta mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Tanggungjawab dan kewajiban yang amat besar dalam melaksanakan urusan yang mulia ini terletak di atas bahu para ulama dan para pendakwah yang ikhlas.
Al-Imam Malik bin Anas rahimahullah (93H-179H) berkata:
حق على كل مسلم أو رجل، جعل الله في صدره شيئًا من العلم والفقه، أن يدخل على ذي سلطان يأمره بالخير، وينهاه عن الشر، ويعظه؛ لأن العالم إنَّما يدخل على السلطان يأمره بالخير، وينهاه عن الشر، فإذا كان فهو الفضل الذي ليس بعده فضل
“Telah menjadi kewajiban ke atas setiap umat Islam yang dikurniakan oleh Allah di dalam dadanya ilmu dan kefahaman terhadap agama untuk bertemu dengan pemerintah, mengajaknya berbuat baik, mencegahnya dari melakukan maksiat. Sekiranya ia melaksanakan tugas tersebut, maka tidak ada lagi perkara yang lebih baik dari itu.” (Tartib Al-Madarik wa Taqribul Masalik oleh Al-Qadhi ‘Iyadh, 1/66)
Disebutkan oleh Imam Abu Bakr Ahmad bin Husin Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H):
قال أبو عثمان: فانصح للسلطان و أكثر له من الدعاء بالصلاح و الرشاد بالقول و العمل و الحكم فإنهم إذا صلحوا صلح العباد بصلاحهم
و إياك أن تدعو عليهم باللعنة فيزدادوا شرا و يزداد البلاء على المسلمين و لكن ادع لهم بالتوبة فيتركة الشر فيرتفع البلاء عن المؤمنين
Berkata Abu ‘Utsman (Ash-Shabuni), “Nasihatilah para pemimpin, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan kebenarannya dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan hukuman. Apabila mereka baik, maka akan baiklahlah rakyatnya.
Berhati-hatilah kamu, jangan sampai mendoakan keburukan atau melaknat mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukan ke atas umat Islam. Tetapi, mintakanlah keampunan kepada Allah untuk pemerintah semoga mereka meninggalkan perbuatan yang buruk yang dengannya akan dihilangkan musibah umat Islam pula.” (Syu’abul Iman oleh Al-Baihaqi, 6/26, no. 7401)
Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) berkata:
وأما النصيحة لأئمة المسلمين فحب صلاحهم ورشدهم وعدلهم وحب اجتماع الأمة عليهم وكراهة افتراق الأمة عليهم والتدين بطاعتهم في طاعة الله عز و جل والبغض لمن رأى الخروج عليهم وحب إعزازهم في طاعة الله عز و جل
“Ada pun nasihat untuk para pemimpin umat Islam maka ia adalah cintakan kebaikan untuk mereka, petunjuk untuk mereka dan keadilan mereka, menyukai sokongan rakyat ke atas mereka, membenci perpecahan umat kepada mereka, mematuhi ajaran agama, suka memuliakan mereka kerana mentaati Allah, membantu mereka dalam kebenaran, taat kepada mereka dalam perkara yang haq, marah kepada orang yang membelot dari mereka, dan cinta kepada usaha mereka di dalam urusan berbuat taat kepada Allah ‘Azza wa Jalla.”
Seterusnya beliau menjelaskan lagi:
والنصيحة لأئمة المسلمين معاونتهم على الحق وطاعتهم فيه وتذكيرهم به وتنبيههم في رفق ولطف ومجانبة الوثوب عليهم والدعاء لهم بالتوفيق وحث الأغيار على ذلك
“Dan nasihat untuk para pemimpin umat Islam adalah dengan membantu mereka dengan kebenaran, taat kepada mereka dalam urusan tersebut (kebenaran), mengingatkan mereka kepada perkara tersebut dan menasihati mereka dengan lemah lembut, tidak menentang mereka, dan mendoakan mereka dengan taufiq (kebaikan), dan mendorong mereka kepada kebaikan lainnya.” (Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, m/s. 79. Maktabah Syamilah)
Nasihat kepada pemimpin itu hendaklah dilakukan dengan bahasa yang paling baik dan paling lunak serta dalam keadaan yang terhormat serta haram mencela dan mengaibkan pemimpin di hadapan khalayak umum. Prinsip ini antaranya diambil daripada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:
اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى (43) فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى
“Pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Fira’un, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia ingat atau takut.” (Surah Thaha, 20: 43-44)
Istidlalnya adalah sekiranya kepada Fir’aun (pemerintah atau penguasa yang kafir) pun Allah Subhanahu wa Ta’ala telah perintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun ‘alaihumas Salam berbicara secara lemah lembut, maka adalah lebih utama lagi kepada pemimpin Islam.
Al-Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah (Wafat: 161H) berkata:
لَا يَأْمُرُ السُّلْطَانَ بِالْمَعْرُوفِ إِلا رَجُلٌ عَالِمٌ بِمَا يَأْمُرُ وَيَنْهَى، رَفِيقٌ بِمَا يَأْمُرُ وَيَنْهَى، عَدْلٌ.
“Tidak selayaknya mengajak pemerintah kepada yang ma’ruf melainkan dia seorang yang ‘alim (berilmu) dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, berlemah-lembut dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, serta bersikap adil (dalam menyampaikan).” (Syarhus Sunnah oleh Al-Baghawi, 10/54)
Dr. Khalid ‘Ali al-Anbari menyebutkan:
Dalam satu peristiwa, seorang lelaki telah berkata kepada Sultan Harun Al-Rasyid ketika beliau sedang bertawaf:
أريد أن أكلمك بكلام فيه خشونة فاحتمله! فقال الرشيد: لا، ولا كرامة، فقد بعث الله من هو خير منك إلى من هو شر مني فقال: فَقُولاَ لَهُ قَوْلاً لَّيِّنًا
“Aku ingin berbicara dengan engkau secara kasar, oleh itu hendaklah engkau terima.” Maka Harun al-Rasyid menjawab, “Tidak! Jika tanpa kemuliaan (cara yang benar). Sesungguhnya Allah telah mengutuskan orang yang lebih baik daripada kamu, (iaitu Musa ‘alaihis Salam) kepada orang yang lebih jahat daripada aku, (iaitu Fir’aun) sebagaimana firman Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun:
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut.” (Surah Thaha, 20: 44).” (Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 208)
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menjelaskan di dalam tafsirnya:
هذه الآية فيها عبرة عظيمة، وهو أن فرعون في غاية العتو والاستكبار، وموسى صفوة الله من خلقه إذ ذاك، ومع هذا أمر ألا يخاطب فرعون إلا بالملاطفة واللين
“Ayat ini memiliki pengajaran (‘ibrah) yang agung (sangat bermanfaat), di mana walaupun Fir’aun adalah seorang penguasa yang sangat zalim lagi sombong, dan Musa pula adalah manusia yang dipilih oleh Allah di antara makhluk-Nya pada ketika itu, akan tetapi Allah melarangnya dari berbicara kepada Fir’aun melainkan dengan perkataan yang sopan lagi berlemah-lembut.” (Tafsir Ibn Katsir, 5/234)
Al-Imam Al-Qurthubi rahimahullah menyatakan berkenaan ayat tentang menasihati Fir’aun tersebut:
وأن ذلك يكون باللين من القول لمن معه القوة
“Dan dengan yang demikian, ini menunjukkan perlunya menggunakan kata-kata yang lemah-lembut kepada sesiapa yang berkuasa.” (Tafsir al-Qurthubi, 11/199)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلاَثًا وَيَسْخَطُ لَكُمْ ثَلاَثًا يَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَأَنْ تُنَاصِحُوا مَنْ وَلاَهُ اللَّهُ أَمْرَكُمْ
“Sesungguhnya Allah meredhai untukmu tiga perkara dan membenci untukmu tiga perkara, iaitu Dia redha kamu mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, hendaklah kamu berpegang teguh kepada Tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan hendaklah kamu memberi nasihat kepada orang-orang yang diberi Allah tanggungjawab mengurus urusanmu (para pemimpin).” (Hadis Riwayat Malik, 6/133, no. 133. Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad, 1/158, no. 442. Al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman, 6/59, no. 7493. Majmu’ al-Fatawa, 35/7. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)
Berikut dibentangkan sebahagian dalil-dalil, hadis-hadis dan atsar (kefahaman) para salaf yang merupakan asas lagi prinsip yang telah dijadikan pegangan oleh ahlus sunnah wal-jama’ah dalam urusan menasihati pemerintah:
فَقَالَ عِيَاضُ بْنُ غَنْمٍ يَا هِشَامُ بْنَ حَكِيمٍ قَدْ سَمِعْنَا مَا سَمِعْتَ وَرَأَيْنَا مَا رَأَيْتَ أَوَلَمْ تَسْمَعْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ
وَإِنَّكَ يَا هِشَامُ لَأَنْتَ الْجَرِيءُ، إِذْ تَجْتَرِئُ عَلَى سُلْطَانِ اللهِ، فَهَلَّا خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ السُّلْطَانُ، فَتَكُونَ قَتِيلَ سُلْطَانِ اللهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى
Berkata ‘Iyadh bin Ghunm, “Wahai Hisyam B. Hakim, kami telah mendengar apa yang engkau dengar dan kami melihat apa yang engkau lihat, adakah engkau belum mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang mahu menasihati sultan (pemerintah) di dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia memegang tangan pemerintah tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara rahsia. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat) maka itulah yang diharapkan. Sekiranya dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya.”
Dan bahawasanya engkau wahai Hisyam, adalah orang yang lancang ketika berhadapan dengan penguasa Allah, tetapi tidakkah engkau takut sekiranya pemimpin itu membunuhmu lalu engkau menjadi mayat yang dibunuh oleh penguasa Allah Tabaraka wa Ta’ala?” (Hadis Riwayat Ahmad dalam Al-Musnad, no. 14792. Ibnu Abi ‘Ashim, no. 910. Dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Dzilal Al-Jannah, no. 1096. Begitu juga dalam Mu’aamalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitabi wa as-Sunnah oleh Asy-Syaikh ‘Abdus Salam bin Barjas turut menjelaskan kesahihan hadis ini dengan membawakan beberapa jalan periwayatan dan penguat. Syaikh ‘Abdus Salam Barjas menyatakan, hadis ini sahih dan bukannya hasan mahupun dhaif. Manakala Syu’aib Al-Arnauth menyatakan, lafaz tersebut “Hasan lighairihi.”)
Dalam As-Sunnah Ibn Abi ‘Ashim, hadis ini diletakkan pada bab:
باب كيف نصيحة الرعية للولاة
“Bab Bagaimana Rakyat Menasihati Pemerintah.”
Syu’aib Al-Arnauth menyebutkan perkataan As-Sindi setelah mengulas status hadis tersebut:
أي نصيحة السلطان ينبغي أن تكونَ في السِّرِّ
“Maksudnya, menasihati sultan (pemerintah) perlu dilaksanakan dalam keadaan tertutup (sirr).” (Tahqiq Musnad Ahmad, 24/50)
Kemudian Syu’aib Al-Arnauth menyatakan:
قوله: “فتكون قتيل سلطان”، أي: لسوء أدب منك في نصحه، وإلا فكون الإنسان قتيل السلطان للأمر بالمعروف خير لا شر، والله تعالى أعلم
Perkataan beliau (milik ‘Iyadh B. Ghunm), “lalu engkau menjadi mayat yang dibunuh oleh penguasa…” Maksudnya, ia adalah disebabkan adab yang buruk (tercela) daripada engkau ketika memberikan nasihat. Melainkan apabila seseorang telah menyampaikan (nasihat) dengan ma’ruf (cara yang baik) dan bukan dengan cara yang buruk, tetapi tetap dibunuh oleh pemerintah. Wallahu Ta’ala A’lam.” (Tahqiq Musnad Ahmad, 24/50)
Al-Imam Asy-Syaukani rahimahullah berkata:
ولكنه ينبغي لمن ظهر له غلط الإمام في بعض المسائل أن يناصحه ولا يظهر الشناعة عليه على رؤوس الأشهاد بل كما ورد في الحديث أنه يأخذ بيده ويخلو به ويبذل له النصيحة ولا يذل سلطان الله وقد قدمنا في أول كتاب السير هذا أنه لا يجوز الخروج على الأئمة وإن بغوا في الظلم أي مبلغ ما أقاموا الصلاة ولم يظهر منهم الكفر البواح والأحاديث الواردة في هذا المعنى متواترة ولكن على المأموم أن يطيع الإمام في طاعة الله ويعصيه في معصية الله فإنه لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق
“Akan tetapi, sesiapa yang mengetahui kesalahan seseorang imam (pemimpin) di dalam sebahagian urusan, hendaklah menasihati tanpa memalukannya di hadapan khalayak umum. Caranya adalah sebagaimana yang diriwayatkan melalui sebuah hadis:
“Hendaklah ia memegang tangan penguasa tersebut dan mengajak berduaan dengannya, mencurahkan nasihat kepadanya, dan tidak menghinakan sultan (pemerintah) Allah.”
Telah kami paparkan di awal buku as-Siyar bahawa tidak boleh memberontak kepada imam-imam (pemerintah) umat Islam walaupun mereka melakukan kezaliman apa pun selagi mereka masih tetap menegakkan solat dan tidak menzahirkan kekufuran yang nyata dari diri mereka. Hadis-hadis yang diriwayatkan dengan makna seperti ini adalah mutawatir. Namun wajib bagi orang yang dipimpin untuk mentaati pemerintah dalam ketaatan kepada Allah dan mengingkarinya apabila ia mengajak (memerintahkan) melakukan maksiat kepada Allah. Kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam urusan maksiat kepada al-Khaliq.” (As-Sailul Jarrar al-Mutadafiq ‘Ala Hada’iqil Azhar oleh Asy-Syaukani, 1/965 – Maktabah Syamilah)
Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali (Wafat: 795H) menyebutkan:
وكان السلف إذا أرادوا نصيحة أحد وعظوه سرا حتى قال بعضهم من وعظ أخاه فيما بينه وبينه فهي نصيحة ومن وعظه على رؤوس الناس فإنما وبخه وقال الفضيل بن عياض رحمه الله المؤمن يستر وينصح والفاجر يهتك ويعير
“Generasi salaf sekiranya mahu menasihati seseorang, mereka akan menasihatinya secara rahsia sehingga salah seorang daripada mereka berkata, “Sesiapa yang menasihati saudaranya secara empat mata, itulah dia nasihat. Sesiapa yang menasihatinya di hadapan manusia (khalayak umum), sebenarnya ia sedang memburuk-burukkannya (bukan menasihati).”
Al-Fudhail B. ‘Iyadh rahimahullah (Wafat: 187H) berkata:
“Orang yang beriman menutup ‘aib dan menasihati, manakala orang yang jahat pula dia membuka ‘aib dan memburuk-burukkan.”
Dalam sebuah riwayat daripada Sa’id bin Jubair rahimahullah ketika bertanya kepada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
قُلْتُ لِابْنِ عَبَّاسٍ: آمُرُ إِمَامِي بِالْمَعْرُوفِ؟ قَالَ: إِنْ خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ فَلَا، فَإِنْ كُنْتَ فَاعِلًا فَفِيمَا بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ. زَادَ أَبُو عَوَانَةَ: وَلَا تَعِبْ إِمَامَكَ
Aku bertanya kepada Ibnu ‘Abbas, “Adakah aku perlu mengajak pemimpinku kepada kebaikan?” Ibnu ‘Abbas menjawab, “Sekiranya engkau takut ia akan membunuhmu, maka tidak perlu. Tetapi jika kamu memang mampu melakukannya, maka lakukanlah (nasihat tersebut) hanya di antara engkau dengan dia sahaja.” Tambah Abu ‘Awanah: “Dan janganlah engkau mencari-cari serta mencanang-canangkan keburukan pemimpinmu.” (Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman, no. 7592. Ibnu Abi Syaibah, no. 38462. Juga disebutkan oleh Ibnu Rajab Al-Hanbali dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, Syarh no. 7 dan 34)
Sebab itulah diriwayatkan bahawa ‘Umar radhiyallahu ‘anhu pernah berkata kepada rakyatnya:
أيتها الرعية إن لنا عليكم حقا النصيحة بالغيب، والمعاونة على الخير
“Wahai seluruh rakyat, bahawasanya kami memiliki hak ke atas kamu, iaitu diberi nasihat secara diam-diam (rahsia), dan dibantu dalam hal-hal kebaikan…” (Atsar Riwayat Hannad As-Sari dalam Az-Zuhd, 2/602)
Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) juga pernah berkata:
من وعظ أخاه سرا فقد نصحه وزانه ومن وعظه علانية فقد فضحه وشأنه
“Sesiapa yang menasihati saudaranya secara senyap-senyap (rahsia), maka dia telah memberikan nasihat dan memuliakan. Dan sesiapa yang memberikan nasihat secara terang-terangan, maka sebenarnya dia telah membongkar aib dan merendahkannya.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab oleh An-Nawawi, 1/13)
Berdasarkan sebuah hadis yang lain:
عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قِيلَ لَهُ أَلاَ تَدْخُلُ عَلَى عُثْمَانَ فَتُكَلِّمَهُ فَقَالَ أَتَرَوْنَ أَنِّي لاَ أُكَلِّمُهُ إِلاَّ أُسْمِعُكُمْ وَاللَّهِ لَقَدْ كَلَّمْتُهُ فِيمَا بَيْنِي وَبَيْنَهُ مَا دُونَ أَنْ أَفْتَتِحَ أَمْرًا لاَ أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ أَوَّلَ مَنْ فَتَحَهُ
Daripada Usamah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata – Seseorang berkata kepadanya, “Adakah engkau tidak menemui ‘Utsman dan menasihatinya?” Maka Usamah menjawab:
“Adakah engkau menganggap bahawa aku tidak menasihatinya melainkan aku perlu memberitahu engkau? Demi Allah, aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya). Aku tidak akan membuka perkara (fitnah) di mana aku tidak menyukai sekiranya aku adalah orang pertama yang membukanya.” (Shahih Muslim, no. 2989)
Imam Abu Al-‘Abbas Al-Qurthubi rahimahullah (datuk dan guru kepada pemilik tafsir Al-Qurthubi) menjelaskan:
يعني أنه كان يجتنب كلامه بحضرة الناس، ويكلمه إذا خلا به، وهكذا يجب أن يعاتب الكبراء والرؤساء، يعظمون في الملأ، إبقاء لحرمتهم، وينصحون في الخلاء أداء لما يجب من نصحهم
وقوله: “لقد كلمته فيما بيني وبينه” يعني أنه كلمه مشافهة، كلام لطيف؛ لأنه أتقى ما يكون عن المجاهرة بالإنكار والقيام على الأئمة، لعظيم ما يطرأ بسبب ذلك من الفتن والمفاسد
(Dari hadis Usamah ini) “Maksudnya adalah beliau menghindarkan diri dari memperkatakan kemungkaran pemimpin di hadapan orang ramai dan apabila tiada orang barulah dia membuka bicara menegur pemerintah tersebut (secara rahsia). Dan menegur kesalahan pemerintah ini adalah kewajiban tetapi hendaklah memuliakan mereka di hadapan umum (dengan cara yang ma’ruf) bagi menghomati mereka. Dan menasihati mereka adalah kewajiban yang perlu dilaksanakan.
Dan perkataan, “Sesungguhnya aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya),” maksudnya adalah bahawa Usamah radhiyallahu ‘anhu menasihati pemerintah secara lisan dengan perkataan yang lembut disebabkan bimbang akan membawa fitnah dan kerosakan yang besar sekiranya teguran atau nasihat tersebut dilakukan secara terbuka.” (Al-Mufham Lima Usykila min Talkhish Kitab Muslim oleh Al-Qurthubi, 21/143-144)
Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah dalam menjelaskan hadis tersebut:
قوله (أفتتح أمرا لاأحب أن أكون أول من افتتحه) يعنى المجاهرة بالإنكار على الأمراء فى الملأ كما جرى لقتله عثمان رضى الله عنه وفيه الأدب مع الأمراء واللطف بهم ووعظهم سرا وتبليغهم ما يقول الناس فيهم لينكفوا عنه وهذا كله اذا أمكن ذلك فان لم يمكن الوعظ سرا والانكار فليفعله علانية لئلا يضيع أصل الحق
Perkataanya “Aku tidak akan membuka perkara (fitnah) di mana aku tidak menyukai sekiranya aku adalah orang pertama yang membukanya,” maknanya adalah, “Secara terang-terangan dalam menasihati pemerintah di hadapan khalayak ramai, sebagaimana peristiwa yang menyebabkan pembunuhan ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu. Dalam hadis ini terdapat adab bersama pemerintah, berlemah-lembut terhadap mereka, menasihati mereka secara rahsia dan menyampaikan perkataan manusia tentang mereka supaya mereka berhenti dari kemungkaran tersebut. Ini semua dilakukan sekiranya mungkin (mampu), tetapi sekiranya tidak mampu untuk menasihati dan mencegah kemungkaran pemerintah secara rahsia, maka hendaklah seseorang melakukannya juga secara umum (terbuka) supaya kebenaran itu tidak diabaikan.” (Syarh Shahih Muslim, 18/118)
Perkataan terakhir Imam an-Nawawi rahimahullah di atas “sekiranya tidak mampu untuk menasihati dan mencegah kemungkaran pemerintah secara rahsia, maka hendaklah seseorang melakukannya juga secara umum (terbuka) supaya kebenaran itu tidak diabaikan,” maka ini perlu dikembalikan kepada nash dan manhaj para salaf supaya tidak timbul sebarang salah faham.
Caranya adalah dengan menjelaskan sesuatu perkara yang ma’ruf atau kemungkaran kepada masyarakat secara umum sahaja agar ianya difahami. Ini adalah bagi mengelakkan salah faham serta supaya kemungkaran yang berlaku tidak didiamkan begitu sahaja. Dalam masa yang sama penjelasan tersebut hendaklah tidak dikhususkan kepada mana-mana pihak terutamanya pemerintah.
Manakala bagi teguran terbuka secara khusus kepada pihak pemerintah, ia mestilah dilakukan secara berdepan (langsung) atas sebab-sebab tertentu yang sangat mendesak iaitu ketika kejadian berlangsung di depan mata. Teguran dilakukan serta-merta pada ketika itu di tempat kejadian agar sesuatu kesalahan itu tidak berlarutan serta dapat diperbaiki pada masa itu juga. Ini adalah bagi sesuatu kesalahan yang berlaku di depan mata kita yang mana ianya memungkinkan untuk kita menegurnya dengan baik lagi berhikmah (bijaksana).
Ini sebagaimana teguran Abu Sa’id al-Khudri kepada Marwan B. al-Hakam yang hendak mendahulukan khutbah dan mengakhirkan solat hari raya. Maka pada ketika itu, Abu Sa’id al-Khudri pun segera tampil untuk menegur Marwan B. Al-Hakam secara langsung. Ini adalah bagi membetulkan keadaan agar tidak berlarutan yang sekaligus mengelakkan ritual solat dan khutbah hari raya tersebut terganggu kesempurnaannya. Di mana keadaan yang sepatutnya adalah supaya solat hari raya didahulukan dan khutbahnya dikemudiankan setelah selesai solat.
InsyaAllah hadis berkaitan hal ini dibahaskan secara terperinci di hujung tulisan ini nanti.
Sekiranya sesuatu teguran itu memungkinkan untuk dilakukan, maka yang boleh melakukannya mestilah dari kalangan mereka yang berautoriti (golongan berilmu) yang berkemampuan untuk menasihati seseorang pemerintah.
Ia dilaksanakan dengan jalan nasihat dan teguran yang lemah-lembut lagi berhikmah selagi mana ia dapat berlaku dengan aman, terhindar dari maksiat (unsur-unsur terlarang dari sudut syara’), bukan bersifat mencela atau mengkritik, terjaga dari fitnah (perpecahan), pergolakkan, peperangan, pertumpahan darah, serta huru-hara.
Walau bagaimanapun, perkara tersebut (menegur pemerintah di khalayak umum) bukanlah termasuk amalan para salaf secara umum. Apatah lagi menggunakan hujjah ini bagi tujuan mendesak pemerintah supaya meletakkan jawatan atau mengkritiknya secara terbuka di pentas-pentas umum. Maka perkara ini amat jauh sekali dengan maksud nasihat itu sendiri. Dan kaedah ini juga tidaklah boleh digunakan untuk mengumpat atau mencanangkan kesalahan pemerintah di belakangnya di hadapan masyarakat.
Satu perkara lagi, di sana terdapat beberapa perbahasan ulama berkenaan pemerintah yang bermasalah agar dinasihatkan supaya meletakkan jawatan. Juga perbahasan berkaitan terlucutnya jawatan seseorang pemerintah atas sebab-sebab tertentu.
Perkara ini perlu difahami dengan baik bahawa mereka yang berkelayakan untuk melakukannya adalah dari kalangan Ahlul hal wal-‘aqd atau syura. Dilakukan atas sebab-sebab yang kukuh lagi mendesak. Bukan orang sebarangan apatah lagi dari kalangan awam. Ia dilaksanakan dengan tertutup di antara penasihat dan pemerintah. Dilaksanakan dengan jalan nasihat dan teguran yang lemah-lembut lagi berhikmah selagi mana ia dapat berlaku dengan aman, terhindar dari maksiat (unsur-unsur terlarang dari sudut syara’), terjaga dari fitnah (perpecahan), pergolakkan, peperangan, pertumpahan darah, serta huru-hara.
Ini sebagaimana dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari, “Yang menjadi kewajiban ulama kepada para pemimpin yang zalim sekiranya ia mampu untuk menurunkannya dari kedudukannya tanpa menimbulkan fitnah dan kezaliman, maka ia wajib melakukannya. Sebaliknya sekiranya tidak mampu, maka wajib untuk bersabar.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/8)
Sekiranya ia tidak dapat dilakukan dan pemerintah tidak mahu menerimanya, maka ia tidak boleh dipaksakan. Keputusan masih tetap di tangan pemerintah. Kerana jika dipaksakan ia mungkin menimbulkan kemarahan, fitnah, serta pergolakkan.
Perlu difahami bahawa, badan Ahlul hal wal-‘aqd atau syura ini tidak boleh disamakan dengan demokrasi atau sistem parlimen yang jelas mengandungi unsur-unsur fitnah, syubhat, maksiat, dan bertentangan pula dengan syari’at. Badan syura yang dimaksudkan dianggotai oleh golongan ulama yang dipercayai lagi berwibawa berbanding sistem demokrasi atau parlimen yang menggunakan pungutan suara majoriti yang diragui dari sudut autoriti dan latar belakangnya.
Bahkan jika kita perhatikan dengan baik, kita akan melihat dalam sistem demokrasi ini orang-orang kafir, fasiq, dan jahil pun turut dibenarkan terlibat dalam hal ehwal pentadbiran dan pemilihan pemimpin kaum muslimin. Dari sini sahaja, telah dapat kita perhatikan bahawa demokrasi adalah termasuk salah satu musibah besar bagi dunia Islam pada zaman ini. Di mana sistem ini membenarkan sesiapa sahaja terlibat tanpa mengira latar-belakang untuk memilih dan melucutkan pemimpin umat Islam berdasarkan kecenderungan masing-masing.
Selain itu, berkenaan perkataan Imam an-Nawawi tadinya, ia masih boleh juga difahami dan diperjelas berdasarkan perkataan-perkataan beliau yang lainnya. Ini adalah sebagaimana penjelasan beliau (an-Nawawi rahimahullah) yang akan penulis paparkan melalui tulisan ini nanti berkaitan hadis-hadis yang lainnya. Juga sebagaimana yang telah penulis bentangkan dalam bab-bab sebelumnya.
Seterusnya, disebutkan dalam kitab Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari berkaitan hadis Usamah bin Zaid tadi:
أرادوا من أسامة ان يكلم عثمان وكان من خاصته وممن يخف عليه في شأن الوليد بن عقبة لأنه كان ظهر عليه ريح نبيذ وشهر أمره وكان أخا عثمان لأمه وكان يستعمله فقال أسامة قد كلمته سرا دون أن أفتح بابا أي باب الإنكار على الأئمة علانية خشية ان تفترق الكلمة ثم عرفهم انه لا يداهن أحدا ولو كان أميرا بل ينصح له في السر جهده
“(Berkenaan hadis ini) sebenarnya orang ramai mahu Usamah (B. Zaid) supaya bertemu ‘Utsman kerana Usamah adalah di antara orang yang rapat dengannya. Orang ramai mahu Usamah menasihati ‘Utsman kerana risau apabila ‘Utsman telah mengangkat al-Walid B. ‘Uqbah sebagai salah seorang kakitangannya (sebagai pembantu), sedangkan tampak pada al-Walid B. ‘Uqbah aroma nabiz keluar dari mulutnya yang kemudian diketahui oleh orang ramai. Ditambah pula, al-Walid B. ‘Uqbah adalah saudara (kerabat) ‘Utsman dari pihak ibunya. Usamah pun menyatakan (kepada orang ramai berkenaan pendiriannya), “Bahawasanya aku telah berbicara dengannya secara sembunyi-sembunyi tanpa perlu membuka suatu pintu.” Maksudnya, pintu mengingkari (mencegah kemungkaran) yang terdapat pada diri seseorang pemimpin secara terbuka (terang-terangan) kerana bimbang akan memecah-belahkan perpaduan masyarakat. Kemudian beliau mengkhabarkan kepadanya, di sini tidaklah bermaksud untuk menggadaikan prinsip demi mencari muka terhadap pemerintah. Sebaliknya beliau berusaha menasihatinya secara sembunyi-sembunyi (tertutup).” (al-Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/52)
Perkataan nabiz sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar tadi, ia adalah merujuk kepada sejenis minuman memabukkan.
Al-Hafiz Ibnu Hajar (Wafat: 852H) menjelaskan rangkap perkataan berikut:
والله لقد كلمته فيما بيني وبينه دون أن أفتح أمرا لا أحب ان أكون أول من فتحه يعني لا أكلمه الا مع مراعاة المصلحة بكلام لا يهيج به فتنة
“Demi Allah, aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya). Aku tidak akan membuka perkara (fitnah) di mana aku tidak menyukai sekiranya aku adalah orang pertama yang membukanya.
Maksudnya, aku tidak berbicara dengannya melainkan dengan meneliti kemaslahatan untuk mengelakkan tercetusnya api fitnah.” (Fathul Bari, 13/51)
Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan lagi:
مراد أسامة: أنه لا يفتح باب المجاهرة بالنكير على الإمام؛ لما يخشى من عاقبة ذلك، بل يتلطّف به، وينصحه سرًا، فذلك أجدر بالقبول
(Berkata ‘Iyadh) “Maksud Usamah adalah beliau tidak mahu membuka pintu mencegah kemungkaran seseorang pemimpin secara terang-terangan kerana bimbang dengan akibat buruk yang akan ditimbulkannya. Sebaliknya beliau bersikap lemah-lembut kepadanya (‘Utsman) dan menasihatinya secara diam-diam. Cara seperti ini adalah lebih mudah diterima.” (Fathul Bari oleh Ibnu Hajar, 13/52)
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah kemudian menyebutkan:
وفي الحديث تعظيم الأمراء والأدب معهم وتبليغهم ما يقول الناس فيهم ليكفوا ويأخذوا حذرهم بلطف وحسن تأدية بحيث يبلغ المقصود من غير أذية للغير
“Dalam hadis ini memiliki maksud menghormati pemerintah dan bersikap sopan-santun kepada mereka serta menyampaikan apa yang diperkatakan oleh orang ramai tentang mereka supaya mereka berhenti serta berhati-hati. Perlu diperhatikan bahawa semua ini (menasihati pemerintah) dilakukan dengan lemah-lembut dan dengan cara yang baik sehingga dapat mencapai tujuan tanpa menyakiti yang lain.” (Fathul Bari, 13/53)
Badruddin al-‘Aini al-Hanafi rahimahullah (Wafat: 855H) menjelaskan perkataan Usamah B. Zaid radhiyallahu ‘anhuma:
“Demi Allah, aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya).”
Maknanya, “Aku menasihati penguasa secara senyap-senyap (rahsia), sehingga aku tidak membuka sebuah pintu dari pintu-pintu fitnah.” Kesimpulannya, aku (Usamah) menasihatinya demi meraih kemaslahatan dan adab, bukan untuk menghasut supaya fitnah (pergolakkan) muncul, kerana cara mencegah kemungkaran para pemerintah dengan terang-terangan memiliki unsur-unsur penentangan terhadapnya. Kerana pada cara tersebut terdapat pencemaran nama baik para pemimpin yang membuka ruang kepada rosaknya kalimat (perpaduan umat Islam) dan berpecah-belahnya al-jama’ah (kesatuan).” (Umdatul Qari Syarah Shahih Al-Bukhari, 23/33)
Dari hadis ini dan penjelasan para ulama tentangnya menunjukkan dengan jelas tentang adab dan disiplin dalam prinsip asal menegur pemerintah itu adalah secara rahsia dan bukan secara terbuka.
Seterusnya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
خَمْسٌ مَنْ فَعَلَ وَاحِدَةً مِنْهُنَّ كَانَ ضَامِنًا عَلَى الله، عَزَّ وَجَلَّ: مَنْ عَادَ مَرِيضًا، أَوْ خَرَجَ مَعَ جِنَازَةٍ، أَوْ خَرَجَ غَازِيًا، أَوْ دَخَلَ عَلَى إِمَامٍ يُرِيدُ تَعْزِيرَهُ وَتَوْقِيرَهُ، أَوْ قَعَدَ فِي بَيْتِهِ فَسَلِمَ النَّاسُ مِنْهُ وَسَلِمَ مِنَ النَّاسِ
“Ada lima perkara yang sesiapa melakukan salah satu di antaranya maka ia mendapat jaminan daripada Allah ‘Azza wa Jalla. Iaitu:
Orang yang menjenguk orang sakit, atau orang yang menghantarkan jenazah, atau orang yang pergi berperang, atau orang yang menemui pemimpinnya dengan tujuan untuk memuliakannya dan menghormatinya, atau mengunjungi rumahnya sehingga manusia selamat dari keburukannya dan ia pun selamat dari keburukan mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad, 36/412, no. 22093. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth. Al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bazzar, dan ath-Thabrani dalam al-Kabir dan al-Ausath. Para perawi Ahmad adalah perawi kitab Shahih, manakala Ibnu Lahi’ah hadisnya hasan kerana ada kelemahan padanya.” Manakala al-Albani menilai hadis ini sahih, begitu juga sebagaimana kata ‘Abdus Salam Barjas dalam Mu’aamalatul Hukkam)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut, “… mengunjungi rumahnya sehingga manusia selamat dari keburukannya dan ia pun selamat dari keburukan mereka” juga menunjukkan maksud supaya memberi nasihat kepada para pemimpin secara tertutup dan bukan dihebohkan secara terbuka di khalayak umum.
Hadis yang seterusnya:
عَنْ سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ لَقِيتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى وَهُوَ مَحْجُوبُ الْبَصَرِ فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ قَالَ لِي مَنْ أَنْتَ فَقُلْتُ أَنَا سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ فَمَا فَعَلَ وَالِدُكَ قَالَ قُلْتُ قَتَلَتْهُ الْأَزَارِقَةُ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ كِلَابُ النَّارِ قَالَ قُلْتُ الْأَزَارِقَةُ وَحْدَهُمْ أَمْ الْخَوَارِجُ كُلُّهَا قَالَ بَلَى الْخَوَارِجُ كُلُّهَا قَالَ قُلْتُ فَإِنَّ السُّلْطَانَ يَظْلِمُ النَّاسَ وَيَفْعَلُ بِهِمْ قَالَ فَتَنَاوَلَ يَدِي فَغَمَزَهَا بِيَدِهِ غَمْزَةً شَدِيدَةً ثُمَّ قَالَ وَيْحَكَ يَا ابْنَ جُمْهَانَ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ إِنْ كَانَ السُّلْطَانُ يَسْمَعُ مِنْكَ فَأْتِهِ فِي بَيْتِهِ فَأَخْبِرْهُ بِمَا تَعْلَمُ فَإِنْ قَبِلَ مِنْكَ وَإِلَّا فَدَعْهُ فَإِنَّكَ لَسْتَ بِأَعْلَمَ مِنْهُ
Daripada Sa’id bin Jumhan, beliau berkata, “Aku menemui ‘Abdullah bin Abi Aufa, ketika itu beliau tidak dapat melihat (buta). Kemudian aku mengucapkan salam kepadanya.
Beliau bertanya, “Siapakah engkau?” Aku menjawab, “Aku adalah Sa’id B. Jumhan.”
Beliau bertanya lagi, “Apakah yang dilakukan oleh ayahmu?” Aku menjawab, “Beliau telah dibunuh oleh (kaum) al-Azariqah.” Beliau pun berkata, “Semoga Allah melaknat kelompok al-Azariqah. Semoga Allah melaknat kelompok al-Azariqah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menceritakan kepada kami, bahawa mereka adalah anjing-anjing neraka.”
Aku bertanya, “Adakah hanya kelompok al-Azariqah sahaja, atau merujuk kepada semua kaum Khawarij?” Beliau menjawab, “Ya, benar. Semua kaum Khawarij.”
Aku pun berkata (cuba menjelaskan), “Sesungguhnya para pemimpin sedang menzalimi rakyat dan berbuat tidak adil kepada mereka.” Akhirnya Abdullah B. Abi Aufa memegang tanganku dan menggenggamnya dengan sangat erat, lalu beliau berkata, “Duhai celaka kamu wahai Ibnu Jumhan. Hendaklah kamu sentiasa bersama as-Sawaadil A’dzam, hendaklah kamu sentiasa bersama as-Sawaadil A’dzam. Sekiranya engkau mahu pemerintah tersebut mendengar nasihatmu, maka datangilah rumahnya dan beritahulah kepadanya apa-apa yang engkau ketahui sehingga ia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah, kerana kamu tidak lebih tahu daripada dia.” (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad, no. 19415. Lihat tahqiq Syu’aib al-Arnauth. Dalam Majmu’ az-Zawa’id, 5/414, no. 9163 – Al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan ath-Thabrani, dan para perawi Ahmad adalah perawi tsiqah.” Dinilai hasan oleh al-Albani, Dzilal al-Jannah, 2/143, no. 905 dan Abdus Salam Barjas dalam Mu’aamalatul Hukkam)
Dalam hadis ini terdapat lafaz “Sekiranya engkau mahu penguasa tersebut mendengar nasihatmu, maka datangilah rumahnya dan beritahulah kepadanya apa-apa yang engkau ketahui sehingga ia menerimanya.” Lafaz ini menguatkan kefahaman bahawa menasihati pemerintah itu adalah secara rahsia dan bukan dilakukan secara terbuka apatah lagi dihebohkan kepada masyarakat. Hadis ini juga turut mengisyaratkan walaupun pemerintah tersebut adalah seorang pemerintah yang zalim.
Maksud as-sawaadul a’dzam dalam hadis ini adalah merujuk golongan yang ramai yang melazimi manhaj para sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in walaupun mungkin sedikit jumlahnya pada satu-satu masa tertentu. Termasuk as-sawadul a’dzam adalah golongan yang melazimi kebenaran dan bersatu dalam mentaati pemerintah.
Berkata Imam Ibnu Al-Atsir rahimahullah:
وفيه [ عليكم بالسَّوادِ الأعْظَم ] أي جُمْلة النَّاس ومُعْظَمهم الذين يجتمعون على طاعة السُّلطان وسُلُوك النَّهج المُسْتقيم
“Dan yang dimaksudkan dengan ‘Alaikum bi as-sawaadul a’dzam (kamu di atas as-sawadul a’dzam) adalah sekumpulan besar manusia yang berhimpun di dalam mentaati sultan (pemerintah) dan berjalan di atas jalan yang benar (lurus).” (An-Nihayah fii Gharib Al-Hadits oleh Ibnul Atsir, 2/1029)
Al-Imam Al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H) turut menjelaskan dengan katanya:
أن الدين إنما جاء من قبل الله تبارك وتعالى لم يوضع على عقول الرجال وآرائهم وعلمه عند الله وعند رسوله فلا تتبع شيئا بهواك فتمرق من الدين فتخرج من الإسلام فإنه لا حجة لك فقد بين رسول الله صلى الله عليه و سلم لأمته السنة وأوضحها لأصحابه وهم الجماعة وهم السواد الأعظم والسواد الأعظم الحق وأهله فمن خالف أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم في شيء من أمر الدين فقد كفر
“Bahawasanya agama itu adalah hanya apa yang datang daripada Allah Tabaraka wa Ta’ala dan bukanlah apa yang ditetapkan oleh akal serta pemikiran manusia. Setiap ilmu agama itu sumbernya adalah daripada Allah dan Rasul-Nya, maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu sehingga kamu terlepas dari agama lalu keluar dari Islam. Tidak ada alasan bagi kamu, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan kepada seluruh umatnya dan mengajarkan kepada para sahabatnya dengan lengkap. Mereka adalah al-Jama’ah dan as-Sawaadul A’dzam. As-Sawaadul A’dzam adalah kebenaran dan para pembelanya, maka sesiapa yang menyelisihi para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam sebahagian perkara agama, maka dia termasuk orang-orang yang ingkar.” (Syarhus Sunnah oleh Al-Barbahari, m/s. 22, no. 3, Tahqiq: Muhammad Sa’id Salim al-Qahthani)
Al-Azariqah adalah salah satu kelompok khawarij yang dipelopori oleh Nafi’ bin Al-Azraq, salah seorang tokoh pemberontak besar pada ketika itu. Dalam sebuah riwayat daripada Ma’mar disebutkan bahawa:
أَبَا غَالِبٍ يَقُولُ: لَمَّا أُتِيَ بِرُءُوسِ الأزَارِقَةِ فَنُصِبَتْ عَلَى دَرَجِ دِمَشْقَ، جَاءَ أَبُو أُمَامَةَ فَلَمَّا رَآهُمْ دَمَعَتْ عَيْنَاهُ فَقَالَ: “كِلَابُ النَّارِ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، هَؤُلَاءِ شَرُّ قَتْلَى قُتِلُوا تَحْتَ أَدِيمِ السَّمَاءِ، وَخَيْرُ قَتْلَى قُتِلُوا تَحْتَ أَدِيمِ السَّمَاءِ الَّذِينَ قَتَلَهُمْ هَؤُلَاءِ”. قَالَ: فَقُلْتُ: فَمَا شَأْنُكَ دَمَعَتْ عَيْنَاكَ؟ قَالَ: رَحْمَةً لَهُمْ إِنَّهُمْ كَانُوا مِنْ أَهْلِ الْإِسْلاَمِ. قَالَ: قُلْنَا: أَبِرَأْيِكَ قُلْتَ: هَؤُلاَءِ كِلَابُ النَّارِ، أَوْ شَيْءٌ سَمِعْتَهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: إِنِّي لَجَرِيءٌ بَلْ سَمِعْتُهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَيْرَ مَرَّةٍ وَلاَ اثْنَتَيْنِ وَلاَ ثَلَاثٍ
Abu Ghalib berkata, “Ketika didatangkan kepala orang-orang al-Azariqah (yang telah dipancung) dan dipancangkan di atas tangga (masjid) di Damaskus, datanglah Abu Umamah al-Bahili radhiyallahu ‘anhu. Ketika melihat keadaan tersebut, air matanya pun mengalir dari sebalik kedua kelopak matanya (lalu berkata), “Anjing-anjing neraka, anjing-anjing neraka, anjing-anjing neraka! Mereka ini (kaum al-Azariqah) adalah seburuk-buruk orang yang dibunuh di bawah kolong langit ini. Dan sebaik-baik orang yang terbunuh di bawah kolong langit ini adalah orang yang dibunuh oleh mereka.”
Abu Ghalib pun bertanya, “Kenapa dengan kamu sehingga air matamu mengalir?” Abu Umamah menjawab, “Kerana kasihan kepada mereka, dahulu mereka ini termasuk ahlul Islam.” Abu Ghalib bertanya lagi, “Adakah perkataanmu berkenaan penisbahan “anjing-anjing neraka” adalah dari pendapatmu sendiri atau perkataan yang engkau dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?”
Abu Umamah menjawab, “Sekiranya aku mengatakannya atas dasar pendapatku sendiri, maka sesungguhnya terlalu berani aku ini. Tetapi, ketahuilah bahawa perkataan tersebut telah aku dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak hanya sekali, bahkan tidak hanya dua kali atau tiga kali.” (Hadis Riwayat Ahmad, 36/518, no. 22183. At-Tirmidzi, no. 3000. At-Tirmidzi menilai hadis ini hasan. al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth menilainya sahih)
Menasihati Pemerintah Adalah Amalan Mulia
Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) berkata ketika menjelaskan lafaz hadis “Nasihat kepada para pemimpin dan umat Islam”:
وقوله ومناصحة أئمة المسلمين هذا ايضا مناف للغل والغش فإن النصيحة لا تجامع الغل إذ هي ضده فمن نصح الأئمة والأمة فقد برئ من الغل وقوله ولزوم جماعتهم هذا ايضا مما يطهر القلب من الغل والغش فإن صاحبه للزومه جماعة المسلمين يحب لهم ما يحب لنفسه ويكره لهم ما يكره لها ويسوؤه ما يسؤوهم ويسره ما يسرهم وهذا بخلاف من انجاز عنهم واشتغل بالطعن عليهم والعيب والذم لهم كفعل الرافضة والخوارج والمعتزلة وغيرهم فإن قلوبهم ممتلئة نحلا وغشا ولهذا تجد الرافضة ابعد الناس من الاخلاص اغشهم للائمة والامة واشدهم بعدا عن جماعة المسلمين
“Dan sabda beliau (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), “Nasihat kepada para pemimpin dan umat Islam” – hadis ini mengandungi maksud (penjelasan) menghilangkan sifat iri dan dengki, kerana nasihat tidak mungkin bersatu dengan kedengkian, bahkan nasihat adalah lawan bagi kedengkian. Oleh sebab itu, sesiapa yang menegakkan nasihat kepada para imam (pemimpin) dan rakyat biasa, bererti dia telah terlepas dari sifat dengki. Adapun sabda beliau (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), “dan tetap berpegang kepada jama’ah mereka” – ini juga termasuk satu perkara yang dapat membersihkan hati dari sifat iri dan dengki. Kerana pelakunya, dengan menetapi jama’ah kaum muslimin, bererti dia mencintai mereka sebagaimana cintanya kepada diri sendiri. Dan akan merasa sakit apa yang menjadikan mereka (al-Jama’ah) sakit. Akan menjadikannya mudah apa yang memudahkan mereka.
Perkara ini jauh berbeza dengan keadaan orang yang menentang (atau keluar dari ketaatan) terhadap imam (pemimpin) dan menyibukkan diri dengan celaan-celaan kepada mereka, serta sibuk menghebahkan aib dan menghinakan mereka (para pemimpin), seperti tindakan al-Rafidhah (Syi’ah), al-Khawarij, al-Mu’tazillah, dan yang selainnya yang sama seperti mereka. Kerana hati mereka telah dipenuhi dengan rasa dengki. Oleh sebab itu, kamu akan dapati bahawa al-Rafidhah adalah sejauh-jauh manusia dari rasa ikhlas dan sedengki-dengki manusia terhadap para pemerintah dan rakyat jelata, serta sejauh-jauh manusia dari jama’ah kaum muslimin…” (Miftah Daar As-Sa’adah, 1/72-73 – Daar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut)
Hadis-hadis dan atsar (kefahaman para sahabat) di atas juga sebenarnya menjelaskan hadis berikut:
إِنَّ مِنْ أَعْظَمِ الْجِهَادِ كَلِمَةَ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
“Sesungguhnya jihad yang besar adalah perkataan yang adil (benar) yang disampaikan di sisi penguasa yang diktator.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2174. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ أَوْ أَمِيرٍ جَائِرٍ
“Jihad yang paling afdhal adalah perkataan yang adil di sisi sultan yang diktator atau pemerintah yang diktator.” (Sunan Abi Dawud, no. 4344. Ibnu Majah, no. 4001. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Namun dalam masa yang sama, terdapat sebahagian pihak yang memanipulasi hadis ini untuk membenarkan tindakan mengkritik dan mengaibkan para pemimpin di mimbar-mimbar ceramah atau melalui tulisan-tulisan lalu disebarkan ke khalayak umum. Lalu mereka menyatakan ia sebagai jihad yang besar berdalilkan dengan hadis ini.
Perkara ini sama sekali tidak tepat. Kerana apa yang dimaksudkan oleh hadis tersebut adalah menyampaikan kebenaran di hadapan atau di sisi penguasa, bukannya di belakang penguasa (mengumpat) atau mencanangnya (mengadu domba) di hadapan orang ramai.
Perlu kita fahami bahawa untuk menyampaikan sesuatu kebenaran, tidak boleh dengan cara yang batil. Niat dan tujuan yang baik tidak pernah menghalalkan cara. Maka, untuk menyampaikan kebenaran, perlulah dengan cara dan kaedah yang benar juga. Iaitu sebagaimana yang telah dijelaskan, apabila kita ingin menasihati pemimpin demi untuk menyampaikan kebenaran (kalimat yang ‘adil), maka hendaklah kita pergi terus merujuk kepadanya atau bertemu dan berdepan kepadanya. Bukan sebaliknya dengan menyebarkan aib serta kesalahan para pemimpin kepada orang ramai. Kerana cara tersebut bukanlah bentuk nasihat yang syar’i. Bahkan menyebarkan aib dan mengkritik kesalahan-kesalahan pemimpin di hadapan umum adalah termasuk bentuk ghibah (mengumpat) dan celaan, bukan nasihat. Dan perbuatan ini adalah maksiat dan kemungkaran yang besar.
Oleh sebab itulah tindakan menyampaikan nasihat kebenaran kepada pemimpin ini disebut sebagai “jihad yang besar” kerana secara realitinya tidak semua pihak (umat Islam) memiliki kemampuan (dari sudut ilmu mahupun keupayaan) dalam menyampaikan sesuatu nasihat atau teguran yang bertepatan dengan kehendak agama. Ini kerana tindakan menyampaikan teguran kepada pemimpin mungkin boleh mengundang pelbagai akibat dan risiko. Dengan itu, hanya mereka yang memiliki sifat sabar, berilmu, dan beradab lagi berhikmah sahajalah yang mampu memikul beban dan tanggungjawab menasihati sekaligus mengubah para pemimpin yang zalim atau fasiq ke arah kebaikan.
Imam Muhyiddin an-Nuhas rahimahullah (Wafat: 614H) berpesan:
“Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis-hadis terdahulu:
سَيِّد الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ المُطَّلِبِ، وَرَجُلٌ قَامَ إلَى إمَامٍ جائرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ فَقَتَلَهُ
أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
“Sesungguhnya Syuhada yang paling utama adalah Hamzah bin ‘Abdul Muthalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang jahat, lalu dia memerintahkannya dan melarangnya sehingga dia dibunuh, sesungguhnya jihad yang paling utama adalah menyampaikan perkataan yang benar di sisi penguasa yang jahat (zalim).” (Hadis Riwayat Al-Hakim, 3/215. Di dalam sanadnya terdapat perawi bernama ash-Shaffar yang tidak diketahui sebagaimana kata Adz-Dzahabi)
Telah menjadi tradisi kaum salaf (para ulama generasi awal) di dalam menghadapi segala bahaya, tegas dalam mengingkari sesuatu kemungkaran, tanpa menghiraukan kebinasaan tubuhnya dan hilangnya harta, menghadapi segala bentuk ujian dan siksaan, mempersiapkan diri mereka untuk apa jua risiko (kecelakaan), memikul segala musibah yang menimpanya, bersabar dengan segala yang ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah.
Allah berfirman ketika menceritakan berkenaan wasiat Luqman kepada anaknya:
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
“Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah mereka dari perbuatan yang mungkar, lalu bersabarlah terhadap apa yang akan menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)
Sebahagian kaum salaf telah mewasiatkan kepada anaknya, “Jika seseorang daripada kamu ingin melakukan amar ma’ruf, hendaklah ia mempersiapkan dirinya untuk bersabar, yakin akan pahala yang akan diperolehinya daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sesiapa yang yakin dengan ganjaran yang akan diperolehi daripada Allah, nescaya dia tidak akan diganggu. Allah telah menjaga kebanyakkan mereka dari kejahatan orang-orang yang zalim kerana berkat keikhlasan mereka, baiknya tujuan mereka, kuatnya ketaqwaan mereka, dan perkataan mereka hanya semata-mata mengharapkan redha Allah Ta’ala.” (Rujuk: Tanbihul Ghafiliin ‘an A’malul Jahiliin wa Tahdzirus Salikiin oleh Muhyiddin Abi Zakariya bin Ahmad bin Ibrahim an-Nuhhas, m/s. 112-113, Terbitan/Terjemahan Pustaka As-Sunnah (Indonesia))
Dari sebuah hadis milik Ubadah bin Al-Walid bin Ubadah, daripada ayahnya, daripada datuknya, beliau berkata:
بَايَعْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي الْعُسْرِ وَالْيُسْرِ وَالْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ وَعَلَى أَثَرَةٍ عَلَيْنَا وَعَلَى أَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ وَعَلَى أَنْ نَقُولَ بِالْحَقِّ أَيْنَمَا كُنَّا لَا نَخَافُ فِي اللَّهِ لَوْمَةَ لَائِمٍ
“Kami telah membai’at (memberi janji taat setia) kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk mendengar dan taat di dalam kesusahan dan lapang, dalam keadaan bersemangat ataupun enggan (berat hati), serta di ketika keadaan kami diabaikan. Juga supaya kami tidak menentang pemimpin dan kita hendaklah berkata benar di mana pun berada, tidak gentar dalam mengenggam agama Allah terhadap celaan orang-orang yang suka mencela.” (Shahih Muslim, no. 1709)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:
قوله وعلى أن نقول بالحق أينما كنا لا نخاف في الله لومة لائم معناه نأمر بالمعروف وننهى عن المنكر في كل زمان ومكان الكبار والصفار لا نداهن فيه أحدا ولا نخافه هو ولا نلتفت إلى الأئمة ففيه القيام بالأمر بالمعروف والنهي عن المنكر وأجمع العلماء على أنه فرض كفاية فإن خاف من ذلك على نفسه أو ماله أو على غيره سقط الانكار بيده ولسانه ووجبت كراهته بقلبه هذا مذهبنا ومذهب الجماهير
“Sabdanya “… dan kita hendaklah berkata benar di mana pun berada, tidak gentar dalam mengenggam agama Allah terhadap celaan orang-orang yang suka mencela.” Maksudnya kita hendaklah mengajak kepada yang baik dan mencegah dari yang mungkar di setiap waktu dan di mana pun tempatnya, kepada orang tua mahupun yang muda remaja, kita tidak boleh berpura-pura di dalamnya kepada sesiapa pun, juga tidak boleh takut kepada sesiapa pun tanpa melihat statusnya sebagai pemimpin.
Dalam keratan hadis ini terdapat perintah menegakkan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Ulama bersepakat bahawa hukum amar ma’ruf nahi mungkar adalah fardhu kifayah. Apabila seseorang muslim bimbang munculnya mudharat kepada dirinya atau hartanya atau seumpamanya dalam menegakkan perkara ini, maka gugurlah kewajiban mengingkari perkara tersebut dengan tangan dan lisannya. Tetapi dia tetap wajib untuk membenci kemungkaran tersebut dengan hatinya. Inilah mazhab kami dan jumhur ulama.” (Syarh Shahih Muslim, 12/230)
Al-Imam An-Nuhas rahimahullah menyatakan:
“Mereka yang masuk untuk menemui para pemimpin dan penguasa dengan tujuan mencegah suatu kemungkaran dan untuk memberikan nasihat, maka tujuannya tersebut wajib berlandaskan pada keikhlasan, semata-mata hanya mengharapkan redha Allah.
Mereka yang melakukan perbuatan ini tetapi tujuannya supaya dikenali oleh penguasa dan mendapatkan jawatan, atau supaya mendapatkan pujian daripada orang ramai, sehingga orang ramai memuji-mujinya, orang ramai mengucapkan terima kasih atas perbuatannya, sehingga hatinya penuh dengan sanjungan dan pengagungan daripada masyarakat, sehingga orang akan berkata, “Dia telah berkata tegas di hadapan penguasa dan memberikannya nasihat, dia juga tidak menghiraukan risiko yang akan dihadapinya”.
Sehingga dia menjadi seorang yang begitu hebat dan dihormati oleh manusia, dan dibimbangi perkara tersebut akan diikuti oleh orang-orang yang sepertinya yang memiliki tujuan yang pelbagai dalam perbuatannya. Ini adalah suatu fitnah besar yang wajib dijauhi serta perlu sentiasa diawasi dan memperbaiki tujuan sebelum melaksanakan. Jika tidak, mungkin ia hanya mendapat kebencian di dunia dan tidak akan mendapat ganjaran apa pun, malah dia adalah seorang yang berdosa dan hina. Kemungkinan perbuatannya (menasihati pemerintah) tersebut akan menyebabkan kematiannya, sehingga dia terbunuh dalam keadaan bermaksiat (kerana buruknya niat), manakala ia menyangka bahawa dirinya adalah syuhada yang paling hebat. Sedangkan manusia dibangkitkan pada hari kiamat nanti berdasarkan niatnya.” (Rujuk: Tanbihul Ghafiliin ‘An A’malul Jahiliin wa Tahdzirus Salikiin, m/s. 131, Terbitan/Terjemahan Pustaka as-Sunnah (Indonesia))
Rangkaian Fatwa Para Ulama Ahli Sunnah wal-Jama’ah Kontemporari
Fatwa Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Bazz rahimahullah (Pengerusi Hai’ah Kibar Ulama dan Mufti Am Arab Saudi pada masanya). Beliau berkata:
ليس من منهج السلف التشهير بعيوب الولاة وذكر ذلك على المنابر؛ لأن ذلك يفضي إلى الفوضى، وعدم السمع والطاعة في المعروف، ويفضي إلى الخوض الذي يضر ولا ينفع، ولكن الطريقة المتبعة عند السلف: النصيحة فيما بينهم وبين السلطان، والكتابة إليه، أو الاتصال بالعلماء الذين يتصلون به حتى يوجه إلى الخير، وإنكار المنكر يكون من دون ذكر من فعله، ويكفي إنكار المعاصي والتحذير منها من غير ذكر أن فلانًا يفعلها لا حاكم ولا غير حاكم، ولما وقعت الفتنة في عهد عثمان؟ قال: أنكر عليه عند الناس؟ لا أفتح باب شر على الناس، ولما فتحوا الشر في زمن عثمان وأنكروا عليه جهرة تمت الفتنة والقتال والفساد الذي لا يزال الناس في آثاره إلى اليوم، حتى حصلت الفتنة بين علي ومعاوية، وقتل عثمان وعلي بأسباب ذلك، وقتل جم كثير من الصحابة وغيرهم بأسباب الإنكار العلني وذكر العيوب علنًا، حتى أبغض الناس ولي أمرهم وحتى قتلوه
“Bukan dari prinsip salaf menyebarkan dan menghebahkan aib para pemimpin di atas pentas-pentas pidato kerana ia akan membawa kepada kekacauan, perintahnya tidak lagi didengar dan ditaati dalam perkara-perkara yang ma’ruf serta membawa kepada kemudharatan dan tidak bermanfaat sama sekali. Adapun kaedah yang dilakukan para ulama salaf adalah:
1. Menasihati pemerintah secara rahsia (empat mata),
2. Menulis surat kepadanya, atau
3. Menghubungi ulama yang dekat atau rapat (yang memiliki kedudukan) di sisi pemerintah supaya mereka dapat membimbingnya ke arah kebaikan.
Mencegah kemungkaran adalah dengan tidak menyebut nama si pelaku, memadai dengan menegur maksiat yang dilakukan serta memberi amaran dengan ancaman yang benar, tidak perlu mengisyaratkan siapa si pelaku maksiat. Cara begini dilakukan kepada semua orang tanpa mengira sama ada si pelaku adalah dari kalangan pemimpin atau orang awam.
Ketika ditanya berkaitan fitnah di zaman ‘Utsman, beliau menjawab:
(Utsman sendiri berkata), “Aku menafikan fitnah yang berlaku ini adalah dari kalangan rakyat, aku tidak mahu membuka pintu kejahatan terhadap rakyat.”
Namun, apabila masyarakat membuka pintu kejahatan (fitnah) di zaman beliau dan mereka menentang ‘Utsman secara terbuka, maka berlakulah fitnah, pembunuhan, serta kerosakkan yang mana sehingga sekarang masyarakat Islam masih merasai kesannya, bahkan setelah itu, berlaku pula fitnah di antara ‘Ali dengan Mu’awiyah. Pembunuhan Utsman dan ‘Ali adalah rentetan dari fitnah tersebut. Begitu juga pembunuhan sebahagian besar dari kalangan sahabat dan yang lainnya. Yang merupakan dengan sebab mengingkari dan membuka aib pemerintah di khalayak umum sehingga masyarakat ketika itu membenci pemimpin dan akhirnya membunuh mereka.” (Lihat: Mu’aamalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah oleh ‘Abdus Salam Barjas, m/s. 57-58. Fiqh As-Siyasah Asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah oleh Dr. Khalid Al-Anbari, m/s. 210-211)
Fatwa al-‘Allamah al-faqih Syaikh Muhammad bin Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah. Beliau berkata:
“Nasihat untuk para pemerintah (umara’) dilaksanakan dengan cara:
1 – Meyakini dan mengiktiraf kepimpinannya serta kedudukan mereka. Sesiapa yang tidak meyakininya, bererti ia tidak termasuk orang-orang yang menasihati mereka. Dengan tidak meyakininya, ia tidak akan melakukan perintah daripada mereka dan tidak pula menghentikan larangannya. Maka yang pertama, kita perlu mengiktirafnya sebagai imam atau amir (pemimpin). Sesiapa yang meninggal dunia tetapi tidak memiliki bai’at (ketaatan) kepada pemerintah, maka ia mati dalam keadaan jahiliyah. Dan sesiapa sahaja yang mentadbir atau menguruskan hal-ehwal umat Islam, walaupun ia naik dengan cara pemberontakkan, maka bererti ia adalah seorang pemerintah, sama ada dari bangsa Quraisy atau pun selainnya.
2 – Menyebarkan kebaikan mereka kepada rakyat, kerana perkara tersebut akan menambahkan rasa cinta rakyat terhadapnya, dan sekiranya rakyat mencintainya maka mereka akan lebih mudah untuk diatur dan mengikuti perintahnya. Berbeza dengan apa yang dilakukan oleh sebahagian pihak yang begitu mudah menyebarkan keburukan-keburukan mereka dan menyembunyikan pelbagai kebaikannya. Ini adalah perbuatan yang zalim dan tidak amanah di mana mereka menyebarkan suatu keburukan tetapi melupakan kebaikan yang telah mereka laksanakan. Perkara tersebut jelas tidak bertanggungjawab.
Melaksanakan perintah dan menjauhi apa yang mereka larang, melainkan apa yang mereka perintahkan tersebut merupakan maksiat kepada Allah ‘Azza wa Jalla, kerana tiada ketaatan kepada makhluk dalam soal maksiat kepada al-Khaliq (Allah yang Maha Pencipta). Melaksanakan perintah mereka bukan bererti kita sedang bermain dengan politik, tetapi kita katakan bahawa perkara tersebut termasuk ibadah, dengan dalil bahawa Allah ‘Azza wa Jalla yang telah memerintahkan kita dengan firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu.” (Surah an-Nisaa’, 4: 59)
Allah menjadikan ketaatan kepada mereka (pemerintah) termasuk di antara ketaatan kepada-Nya dan apa yang diperintahkan Allah adalah merupakan ibadah.
Dalam urusan mentaati mereka (pemerintah) tidak disyaratkan bahawa pemimpin tersebut mestilah yang suci dari maksiat kepada Allah. Taatilah perintah mereka (selagi mana bukan dalam urusan maksiat), walaupun mereka sendiri (pemerintah) bermaksiat kepada-Nya, kerana kamu hanya diperintahkan mentaatinya (dalam urusan yang tidak bertentangan dengan agama), walaupun mereka sendiri melakukan maksiat kepada Allah.
4 – Menutup aib-aib mereka (tidak menyebarkannya) dengan sedaya-upaya. Alasannya adalah sekiranya ‘aib mereka anda sebarkan, maka ia bukanlah termasuk bentuk-bentuk nasihat, dan perkara tersebut hanya akan mengakibatkan hati (seluruh rakyat) diselubungi kebencian, kedengkian, dan kemarahan terhadap para pemerintah, dan jika perasaan seluruh rakyat penuh dengan sifat tersebut, maka akan muncul pula pembangkangan (protes) terhadap pemerintah yang akhirnya akan menimbulkan keburukan dan kefasadan (kejahatan) yang hanya Allah mengetahuinya.
Menutupi ‘aib mereka bukanlah bermaksud kita membiarkan ia begitu sahaja, tetapi kita wajib menasihati pemerintah secara langsung (sekiranya mampu) atau melalui perantara para ulama atau sesiapa sahaja yang memiliki kedudukan. Berkaitan dengan ini, Usamah B. Zaid radhiyallahu ‘anhu mengingkari ucapan suatu kaum yang mengatakan, “Kamu belum melakukan apa pun dan belum menasihati khalifah (pemimpin).”
Kemudian beliau menjawab, “Adakah kamu mahu aku menceritakan kepada kamu setiap apa yang aku perkatakan kepada khalifah?” Sudah tentu ia tidak perlu.
Maka termasuk perbuatan yang bijak, sekiranya kamu menasihati pemerintah dan kamu tidak menceritakan kepada sesiapa pun kerana perkara tersebut hanya akan menimbulkan keburukan yang dahsyat.
5 – Tidak melakukan pemberontakkan dan penentangan (gerakkan membangkang) terhadap mereka. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak memberikan keringanan melakukan pembangkangan, melainkan sebagaimana yang beliau katakan:
“Kamu melihat ia melakukan kekufuran yang nyata, di mana kamu memiliki keterangan yang nyata daripada Allah dalam perkara tersebut.” Iaitu dengan dalil yang jelas lagi pasti.
Kemudian, jika perkara tersebut adalah jelas dengan syarat tersebut, adakah bererti kita boleh terus memberontak begitu sahaja? Kerana di sana terdapat perbezaan dalam perkara ini.
Dan jawabnya:
Kita tidak dibolehkan terus sahaja dengan serta-merta memberontak, walaupun telah jelas darinya kekufuran yang padanya memiliki dalil daripada Allah (yang boleh dipertanggungjawabkan) melainkan sekiranya telah jelas padanya memiliki kemaslahatan (kemampuan dan keupayaan). Tidak termasuk kemaslahatan jika hanya kelompok yang kecil dengan senjata yang tidak seberapa untuk menghadapi sebuah kuasa negara yang lengkap dengan bala tentera dan persenjataannya. Ini kerana ia hanya akan mengakibatkan pertumpahan darah dan menghalalkan yang haram (membunuh jiwa yang tidak berdosa), tanpa mendatangkan hasil. Padahal pada awalnya, mereka menghendaki keburukan penguasa diubah, sebagaimana pemberontakkan yang dilakukan kaum khawarij di zaman Khulafa’ur Rasyidin radhiyallahu ‘anhum sehingga zaman ini. Di mana yang terhasil hanyalah keburukan dan kehancuran yang tidak diketahui seorang pun melainkan oleh Allah, Tuhan para makhluk.
Namun, sebahagian pihak tetap menyalakan api kebencian di hati-hati mereka, kemudian mereka melakukan pelbagai jenis aksi atau tindakkan yang buruk hasilnya. Ini adalah kesalahan yang besar.
Lalu kita bertanya, sekiranya demikian, apa ukuran kekufuran kerana sebahagian kelompok menganggap kafir tetapi sebahagian yang lainnya tidak?
Jawabnya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memberi peringatan yang penting dalam perkataannya, iaitu “Kuffran Bawaahan” (kekufuran yang jelas nyata) yang tidak lagi dapat ditakwil dengan maksud yang lain, seperti contohnya kamu melihat mereka sujud kepada patung, mendengar secara langsung dia mencela Allah atau Rasul-Nya atau yang seumpamanya (walaupun hujjah telah ditegakkan – pent.).” (Rujuk: Syaikh Ibn ‘Utsaimin, Syarah al-Arba’in an-Nawawiyyah, hadis no. 7, dari website beliau: http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_17802.shtml)
Beliau juga menjelaskan:
فالله الله في فهم منهج السلف الصالح في التعامل مع السلطان، وأن لا يتخذ من أخطاء السلطان سبيلاً لإثارة الناس وإلى تنفير القلوب عن ولاة الأمور؛ فهذا عين المفسدة، وأحد الأسس التي تحصل بها الفتنة بين الناس، كما أن ملء القلوب على ولاة الأمر يحدث الشر والفتنة والفوضى، وكذا ملء القلوب على العلماء يحدث التقليل من شأن العلماء، وبالتالي التقليل من الشريعة التي يحملونها، فإذا حاول أحد أن يقلل من هيبة العلماء وهيبة ولاة الأمر؛ ضاع الشرع والأمن؛ لأن الناس إن تكلم العلماء؛ لم يثقوا بكلامهم، وإن تكلم الأمراء؛ تمردوا على كلامهم، وحصل الشر والفساد، فالواجب أن ننظر ماذا سلك السلف تجاه ذوي السلطان، وأن يضبط الإنسان نفسه، وأن يعرف العواقب، وليعلم أن من يثور إنما يخدم أعداء الإسلام ؛ فليست العبرة بالثورة ولا بالانفعال، بل العبرة بالحكمة، ولست أريد بالحكمة السكوت عن الخطأ، بل معالجة الخطأ ؛ لنصلح الأوضاع؛ لا لنغير الأوضاع؛ فالناصح هو الذي يتكلم ليصلح الأوضاع لا ليغيرها
“Berpeganglah dengan manhaj Salafus Soleh dalam bermu’amalah terhadap pemerintah. Kesalahan pemerintah tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk membangkitkan kemarahan masyarakat. Tidak mentaati pemerintah merupakan tanda awal berlakunya kerosakan dan munculnya fitnah di tengah-tengah masyarakat. Menyibukkan hati untuk mencari-cari kesalahan pemerintah hanya akan menimbulkan kejahatan, fitnah, dan kekacauan. Sama keadaannya ketika seseorang menyibukkan hatinya untuk mencari-cari kekurangan para ulama, nescaya perbuatan tersebut akan menimbulkan sikap meremehkan mereka, yang seterusnya akan membawa kepada meremehkan syari’at yang mereka (ulama) cuba sampaikan. Maka yang wajib kita lakukan adalah meneliti apa yang menjadi pegangan dalam manhaj salaf ketika bermu’amalah terhadap pemerintah. Setiap orang sepatutnya mampu mengendalikan dirinya dan menimbang sebaik-baiknya akibat yang akan ditimbulkan oleh perbuatan tersebut.
Ketahuilah bahawa orang yang melakukan pemberontakan tersebut sebenarnya sedang membantu musuh-musuh Islam. Kerana jalan penyelesaian yang tepat tidak terletak pada pemberontakan dan tidak pula dengan membakar emosi, melainkan solusi yang tepat iaitu dengan cara yang penuh hikmah. Adapun yang dimaksudkan dengan hikmah di sini bukanlah berdiam diri dari kesalahan. Tetapi, memperbaiki (atau memperbetulkan) kesalahan supaya kita dapat memperbaiki keadaan, bukan untuk mengubah keadaan. Sebenarnya yang diangap sebagai seorang penasihat itu adalah orang yang berbicara demi memperbaiki keadaan, bukan untuk mengubahnya.” (Al-Fitnah wa Mauqif Al-Muslim Minha oleh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab al-‘Aqil, m/s. 174-175 – http://iu.edu.sa/web/iuwebcp/books_files/18.pdf)
Di tempat yang lain, Syaikh Al-‘Utsaimin juga berkata:
إنَّ بعض الناس ديدنه في كل مجلس يجلسه الكلام في ولاة الأمور والوقوع في أعراضهم، ونشر مساوئهم وأخطائهم، معرضاً بذلك عما لهم من محاسن أو صواب. ولا ريب أن سلوك هذا الطريق، والوقوع في أعراض الولاة لا يزيد الأمر إلا شدة، فإنه لا يحل مشكلة ولا يرفع مظلمة، وإنما يزيد البلاء بلاءً، ويوجب بغض الولاة وكراهيتهم، وعدم تنفيذ أوامرهم التي يجب طاعتهم فيه
“Terdapat satu kebiasaan buruk yang dilakukan pihak tertentu di ketika mereka berkumpul (dalam majlis-majlis tertentu). Mereka membicarakan aib dan merendah-rendahkan kredibiliti para pemimpin. Mereka juga bertindak menyebarkan keburukan dan kesalahannya, dalam masa yang sama mereka bertindak menutup mata atas segala kebaikan dan kebenaran yang ada pada para pemimpin. Tidak syak lagi bahawa perbuatan ini yang kandungannya merendah-rendahkan kedudukan para pemimpin hanya akan menjadikan permasalahan semakin rumit. Sikap seperti ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah mahupun menghilangkan kezaliman. Sebaliknya hanya menambah keburukan dan menyebabkan kemarahan (terhadap pemimpin dan rakyat). Akibatnya, perintah mereka (pemimpin) yang secara asalnya wajib untuk ditaati akan ditinggalkan.” (Muhammad B. ‘Abdul Wahhab al-‘Aqil, al-Fitnah wa Mauqif al-Muslim Minha, m/s. 156-157 – http://iu.edu.sa/web/iuwebcp/books_files/18.pdf)
Syaikh Dr. Soleh bin ‘Abdullah Al-Fauzan hafizahullah berkata:
أما أننا نتخذ من العثرات والزلات سبيلاً لتنقُّص ولاة الأمور، أو الكلام فيهم، أو تبغيضهم إلى الرعية؛ فهذه ليست طريقة السلف أهل السنة والجماعة. أهل السنة والجماعة يحرصون على طاعة ولاة أمور المسلمين، وعلى تحبيبهم للناس، وعلى جمع الكلمة، هذا هو المطلوب.
والكلام في ولاة الأمور من الغيبة والنميمة، وهما من أشد المحرمات بعد الشرك، لا سيما إذا كانت الغيبة للعلماء ولولاة الأمور فهي أشد، لما يترتب عليها من المفاسد، من: تفريق الكلمة، وسوء الظن بولاة الأمور، وبعث اليأس في نفوس الناس، والقنوط
“Adapun sekiranya kita menjadikan kesilapan dan kesalahan para pemimpin sebagai ruang (atau peluang) untuk menghina para pemimpin, mencela kehormatan mereka dan menjadikan mereka dibenci oleh rakyatnya, maka semua ini bukanlah jalan salaf ahlus sunnah wal-jama’ah. Ahlus sunnah wal-jama’ah sentiasa komited dalam mentaati para pemerintah umat Islam, menjadikan mereka dicintai oleh rakyatnya dan menyatukan kalimat. Inilah yang dikehendaki.
Mencela para pemerintah Islam merupakan perbuatan ghibah (mengumpat) dan mengadu domba, di mana keduanya termasuk perkara yang sangat diharamkan setelah syirik. Lebih-lebih lagi jika melakukan ghibah terhadap para pemerintah dan ulama. Ini lebih besar bahayanya kerana kerosakan yang akan ditimbulkan dari tindakan tersebut berupa terpecahnya perpaduan, sangka buruk terhadap pemerintah, menjadikan rasa putus-asa dalam jiwa manusia, dan akhirnya tidak menghiraukannya.” (Al-Ajwibah Al-Mufidah oleh Jamal bin Furaihan al-Haritsi, no. 37)
Sebenarnya, pengalaman umat Islam di sepanjang zaman yang berlalu menguatkan hujjah bawa membangkang dan mengkritik para pemerintah secara terbuka sehingga membawa kepada berkumpulnya orang ramai adalah perkara yang sangat-sangat membawa fitnah. Mencaci, memaki-hamun, dan menghina pemimpin adalah perbuatan yang bertentangan dengan agama dan akhlak umat Islam, bahkan akan membawa kepada nyalaan api fitnah yang besar.
Perlu kita fahami bahawa perbuatan mencegah kemungkaran adalah suatu perkara yang diwajibkan oleh agama, namun caranya juga perlulah dengan apa yang dijelaskan oleh agama. Mereka yang meninggalkan garis panduan tersebut lalu menggantikannya dengan cara-cara yang lain, sebenarnya mereka menjerumuskan diri mereka sendiri kepada dosa dan termasuk perbuatan mengubah-suai kaedah-kaedah agama. Dan mungkin, dosa perbuatan mereka tersebut adalah lebih besar berbanding dosa golongan yang hanya berdiam diri. Ini disebabkan mereka bertindak dengan menyalahi kaedah-kaedah syara’ dan mengikuti hawa nafsu yang dengannya hanya mengakibatkan kerosakkan yang lebih besar, jauh sekali untuk meraih kebaikan.
Sekiranya Pemimpin Tidak Mahu Menerima Nasihat
Seringkali kita mendengar alasan bahawa nasihat dan amar ma’ruf nahi mungkar telah disampaikan dan dilaksanakan ke atas para pemerintah. Namun, mereka masih tetap juga tidak berubah dan tidak mahu berbuat baik. Dalam masa sama, mereka sendiri pun sebenarnya bukanlah pendakwah yang baik untuk para pemimpin mereka.
Mereka tidak langsung menyelami bagaimana sukarnya untuk mengubah keadaan dan mentadbir jutaan pemikiran masyarakat. Termasuk yang berpemikiran seperti mereka. Yang pastinya tidak mungkin cukup sekadar setahun dua tahun, bahkan tidak cukup sepuluh tahun atau dua puluh tahun.
Kita perlu redha dan mengakui bahawa hidayah itu milik Allah jua. Bagi kita adalah sekadar apa yang dibebankan ke atas kita. Iaitu memperbaiki diri dan menyampaikan dakwah amar ma’ruf nahi mungkar berpandukan petunjuk yang benar. Tidak lebih dari itu. Jika kita lihat sejarah para Nabi sendiri, antaranya Nabi Nuh ‘alaihis Salam. Berapa ramai manusia yang mengikuti seruannya, dan apakah yang beliau lakukan kepada mereka yang mengingkari dakwahnya? Selama hampir satu ribu tahun beliau berdakwah, hanya beberapa orang sahaja yang taat mengikuti dakwahnya. Adakah bermakna beliau telah gagal dalam misinya?
Sudah tentu tidak. Kerana apa yang dipertanggungjawabkan ke atas beliau adalah sebagaimana apa yang diperintahkan, tidak lebih dari itu. Adapun bagi mereka yang ingkar ajakannya, maka Allah jualah yang membalas dengan banjir besar yang memusnahkan.
Begitu juga balasan buat Fir’aun yang ingkar terhadap seruan Musa dan Harun, iaitu dengan ditenggelamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam gelombang laut merah yang menelan. Tidak sedikitpun Musa dan Harun bertindak melakukan revolusi mahupun pemberontakan ke atas Fir’aun. Kerana bukan itu perkara yang ditugaskan ke atasnya. Sebaliknya Allah jualah yang membalasnya.
Begitu jualah dengan kita hari ini. Tugas kita sebagai rakyat jika memiliki kemampuan untuk menegur kesalahan dan kemungkaran di pihak pemerintah, maka hendaklah dengan apa yang telah ditentukan. Adapun untuk menjatuhkannya, untuk menggulingkannya, atau untuk mencela dan mengaibkannya, maka itu bukanlah suatu yang dibebankan dan diperintahkan ke atas kita oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sedikitpun.
Tapi, demikianlah sikap kebanyakan kelompok manusia. Atas alasan pemimpin tidak berubah sebagaimana yang dikehendaki, maka kelompok-kelompok inipun bertindak agresif membakar emosi rakyat. Antaranya dengan mencanang aib para pemimpin, menyeru menukar kepimpinan, menyeru rakyat berdemonstrasi terpekik terlolong di jalanan, menuntut hak kebebasan bersuara, dan mencetuskan pelbagai bentuk provokasi serta cemuhan terbuka di serata tempat.
Wallahu a’lam, ini bukanlah adab yang benar dalam menghadapi kemelut politik. Islam adalah agama yang penuh ketenangan, kesabaran, dan mengutamakan maslahah. Mana mungkin Allah akan mengubah suatu kelompok masyarakat sedangkan mereka sendiri mengabaikan diri mereka sendiri. Keamanan yang sedia ada mereka gadaikan. Manakala petunjuk Allah mereka lupakan.
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) ketika menjelaskan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
إِنَّكُمْ سَتَلْقَوْنَ بَعْدِيْ أَثَرَةً فَاصْبِرُوْا حَتَّى تَلْقَوْنِيْ عَلَى الْحَوْضِ
“Bahawasanya kamu nanti akan menemui atsarah. Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di haudh.” (Shahih Al-Bukhari, no. 4330. Muslim, no. 1061, 1845)
Kalimat atsarah yang disebutkan dalam hadis ini adalah merujuk kepada pemegang amanah (iaitu pemimpin) yang tidak memenuhi amanahnya terhadap para rakyat dengan bersikap mementingkan dirinya sendiri. Seperti nepostisme dan kronisme.
Katanya:
فيه الحث على السمع والطاعة وإن كان المتولي ظالماً عسوفاً، فيعطي حقه من الطاعة، ولا يخرج عليه، ولا يخلع، بل يتضرع إلي الله – تعالي – في كشف أذاه، ودفع شره، وإصلاحه
“Dalam hadis ini mengandungi anjuran untuk mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia merupakan seorang yang zalim lagi mementingkan diri sendiri. Maka berikanlah haknya (sebagai pemimpin) iaitu berbentuk ketaatan, tidak keluar dari mentaatinya, dan tidak menjatuhkannya. Tetapi (perbuatan yang perlu dilakukan oleh seseorang muslim adalah) dengan bersungguh-sungguh lebih mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala supaya Dia menghilangkan gangguan atau siksaan darinya, menolak kejahatannya, dan supaya Allah memperbaikinya (dengan kembali taat kepada Allah dengan meninggalkan kezalimannya).” (Syarh Shahih Muslim, 12/232)
Sabar dalam hadis ini juga merujuk kepada sikap tetap istiqamah di atas kebenaran dan petunjuk Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan tidak bertindak melampuai batas-batas agama. Walaupun pelbagai ujian dan dugaan datang melanda dengan sebab pemerintah yang disifatkan oleh hadis tersebut.
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (wafat: 728H) mengingatkan:
“Aku telah menyebutkan di tempat (bab) yang lain bahawa punca kepada masalah yang berlaku kepada pemerintah, kemudian para menterinya, hakim-hakimnya, dan para panglimanya bukan hanya perlu dilihat dari kekurangan pada diri mereka sahaja, akan tetapi kerana kekurangan para pemimpin dan rakyat sekaligus, kerana sebagaimana keadaan kamu, maka begitulah akan dijadikan pemimpin untuk kamu. Allah Ta’ala berfirman:
وَكَذَلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman (pemimpin) bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 129)
Telah diketahui dan ditetapkan secara masyhur di selain tempat ini bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan supaya mentaati para pemimpin selagi mereka tidak dalam bermaksiat kepada Allah, (bertindak) menasihati mereka, bersabar di dalam menerima keputusan dan ketetapan mereka, berperang bersama mereka, solat di belakang mereka, mengikuti mereka di dalam perkara-perkara yang baik yang tidak dilaksanakan melainkan oleh mereka.
Maka ini adalah termasuk perbuatan tolong-menolong di dalam kebaikan dan taqwa. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga melarang membenarkan mereka untuk perkara dusta (yang tidak benar), membantu mereka melakukan penganiayaan, mentaati mereka dalam persoalan maksiat kepada Allah dan perkara-perkara semakna dengannya yang termasuk tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan salah.
Dan (Rasulullah) juga memerintahkan supaya melaksanakan amar ma’ruf serta nahi mungkar kepada mereka dan kepada selain mereka dengan cara yang disyari’atkan, termasuk dalam perkara ini adalah menyampaikan risalah Allah kepada mereka.
Ianya hendaklah tidak ditinggalkan kerana sebab takut, kedekut dan malu (atau segan) kepada mereka, serta tidak demi menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, tidak pula dilaksanakan supaya dapat meraih kuasa ke atas mereka atau umat Islam secara umum, bukan pula kerana hasad (atau dengki), sombong, dan riya’ kepada mereka dan masyarakat awam (umat Islam secara umumnya).
Dan kemungkaran tidaklah dihilangkan dengan kemungkaran yang lebih mungkar. Iaitu seperti dalam bentuk keluar memberontak ke atas mereka dengan kekerasan (atau senjata), dan fitnah-fitnah yang menimbulkan perselisihan sebagaimana ia telah diketahui dari prinsip dasar ahlus sunnah wal-jama’ah dan sebagaimana perkara tersebut ditunjukkan oleh nash-nash nabawiyah kerana perbuatan tersebut menimbulkan keburukan yang lebih besar berbanding keburukan kerana kezaliman mereka, dan yang benar hendaklah Allah ditaati dengan mentaati mereka dan selain mereka, apa yang diperintahkan hendaklah dilaksanakan dan apa yang dilarang-Nya hendaklah dijauhi.” (Majmu’ Al-Fatawa oleh Ibnu Taimiyyah, 35/20-21)
Ibnu Taimiyyah juga menyebutkan di tempat yang lain:
“Al-Hasan al-Bashri pernah berkata, “Sesungguhnya kemunculan al-Hajjaj (salah seorang pemimpin zalim di zaman beliau – pent.) adalah disebabkan dari azab Allah, maka janganlah kamu melawan azab Allah dengan tangan-tangan kamu. Akan tetapi wajib bagi kamu untuk tunduk dan memohon dengan merendah diri kerana sesungguhnya Allah telah berfirman:
وَلَقَدْ أَخَذْنَاهُمْ بِالْعَذَابِ فَمَا اسْتَكَانُوا لِرَبِّهِمْ وَمَا يَتَضَرَّعُونَ
“Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Rabb mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.” (Surah Al-Mukminun, 23: 76)
Thalq bin Habib berkata, “Lindungilah dirimu dari fitnah dengan ketaqwaan.” Maka dikatakan kepadanya, “Simpulkanlah untuk kami apa itu ketaqwaan?” Beliau berkata, “Iaitu engkau beramal dengan ketaatan kepada Allah dengan cahaya (petunjuk) daripada Allah dengan berharap rahmat Allah. Dan engkau meninggalkan kemaksiatan kepada Allah dengan cahaya (petunjuk) daripada Allah kerana takut akan azab Allah.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Abi ad-Dunya).” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah an-Nabawiyyah, 4/527-531 – Mu’asasah al-Qurthubah)
Sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dan Ibnu Taimiyyah di atas, kebaikan tidak boleh hanya diharapkan dari para pemimpin semata-mata. Tetapi, sebelum itu wajib bagi masyarakat (rakyat) supaya memperbaiki diri-diri mereka dengan kembali kepada agama yang lurus, bersih, dan murni. Yang dengannya, Allah akan menjadikan bagi mereka pemimpin-pemimpin yang baik dari kalangan mereka.
Dan prinsip ini jugalah yang turut dipertegaskan oleh para salaf lainnya. Termasuklah Al-Imam Al-Muzani rahimahullah (Wafat: 264H), murid utama Imam Asy-Syafi’i rahimahullah di mana beliau menegaskan dalam salah satu prinsip aqidahnya:
وَالطَّاعَة لأولي الْأَمر فِيمَا كَانَ عِنْد الله عز وَجل مرضيا وَاجْتنَاب مَا كَانَ عِنْد الله مسخطا، وَترك الْخُرُوج عِنْد تعديهم وجورهم وَالتَّوْبَة إِلَى الله عز وَجل كَيْمَا يعْطف بهم على رعيتهم
“Hendaklah taat kepada pemerintah dalam perkara yang diredhai di sisi Allah ‘Azza wa Jalla dan menjauhi perkara yang mendatangkan kemurkaan di sisi Allah, juga meninggalkan pemberontakan (melawan pemerintah) ketika pemerintah melampaui batas dan bertindak zalim. Dan hendaklah BERTAUBAT kepada Allah agar supaya Allah menjadikan pemerintah mereka (yang zalim) itu bersikap lemah-lembut kepada para rakyatnya.” (Syarhus Sunnah oleh Al-Muzani, no. 14)
Di antara sebabnya adalah kerana para pemimpin itu sendiri asalnya diangkat dari kalangan mereka sendiri. Sekiranya masyarakat di dalam keadaan yang baik, maka para pemimpin juga akan diangkat dengan cara yang baik dan bersikap pula dengan sikap yang baik.
Tetapi sebaliknya yang banyak kita lihat di dunia Islam hari ini. Mereka menuntut agar dilantik para pemimpin yang baik-baik. Tetapi mereka melakukannya dengan cara yang tidak baik yang bertentangan dengan petunjuk. Antaranya dengan keluar ke jalan-jalan berdemonstrasi menuntut sebuah revolusi kepimpinan dilakukan. Ini dapat dilihat sebagaimana berlaku di Iraq, Mesir, dan Afghanistan. Namun apa yang berlaku pada ketiga-tiga buah negara ini? Iraq kini menderita dikuasai Syaitan Barat bersama-sama kelompok sesat Syi’ah! Setiap hari masyarakat sunni dibunuh dan disembelih. Jauh lebih baik ketika mereka berada di bawah Saddam Hussein. Afghanistan pula terus dicengkam Amerika hingga kini. Demikian juga dengan Mesir, pergolakkan terus membadai.
Perkara yang sama berlaku pula kepada Syiria, Bahrain, Yaman, Libya dan beberapa tempat di Timur Tengah hari ini. Mereka mungkin berjaya mengusir pemimpin yang mereka benci, tetapi mereka tidak mungkin mampu membayar harga sebuah keamanan yang hilang. Berapa banyak kerosakan yang berlaku? Berapa banyak jiwa yang terkorban? Siapakah bakal pengganti bagi pemimpin yang telah mereka tumbangkan? Bagaimana aqidah dan pegangan agamanya?
Akhirnya puak-puak kuffar, Barat, dan Yahudi juga yang meraih keuntungan. Umat Islam masih terus terpinga-pinga. Keadannya tidaklah lebih baik dari sebelumnya. Fikirkanlah ke mana hilangnya berbilion aset Muammar Gaddafi dan Housni Mubarak yang dibekukan kalau bukan jatuh ke tangan Yahudi dan sekutu mereka? Siapa kini yang mula masuk campur, kalau bukan Yahudi dan barat. Demonstrasi yang mereka lancarkan itu sendiri adalah hasil proganda tangan-tangan ghaib milik Yahudi dan sekutu mereka. Sayang seribu kali sayang, keluar dari mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau.
Kita di sini yang tidak tahu apa-apa, tiba-tiba naik ke mimbar-mimbar memukul gendang mengobar semangat revolusi dengan harapan pemimpin yang adil lagi beriman dapat bertahkta. Tidak semudah itu untuk bermimpi!
Mana mungkin kalau kita sendiri lupa menanamkan iman dan aqidah yang benar ke dalam diri dan masyarakat, lupa untuk menuntut ilmu-ilmu syar’i, meninggalkan pula amal-amal yang soleh. Sebaliknya hanyut dengan doktrin-doktrin sesat yang dipropagandakan barat dan ahli bid’ah. Melupakan cara hidup Islam. Menyemarakkan amal-amal agama yang bid’ah dan menyimpang?!
Inilah yang banyak berlaku di Mesir, bahkan di kebanyakan negara umat Islam. Amalan menyembah kubur begitu subur di kalangan tarekat sufi di sana (Mesir). Kubur dianggap masjid dan tempat ibadah. Mereka meyakini kubur memiliki keramat dan membantu memperkenankan hajat. Terutamanya kubur-kubur para wali yang dianggap keramat. Hati-hati masyarakat pula berpecah-belah dan tidak bersatu kerana wujud kepelbagaian doktrin pemikiran dan fahaman aqidah yang menyimpang.
Inilah yang pelik dan kita sedihkan. Mana mungkin ketika diri-diri mereka sendiri bergelumang dengan syirik, bid’ah, dan maksiat, tiba-tiba mereka memberontak menagih kepimpinan yang adil dan mulia dengan cara yang hina?
Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di rahimahullah menjelaskan ketika mentafsirkan surah al-An’am pada ayat 129:
أن العباد إذا صلحوا واستقاموا، أصلح الله رعاتهم، وجعلهم أئمة عدل وإنصاف، لا ولاة ظلم واعتساف
“… sebagaimana para hamba (masyarakat) itu jika baik dan istiqamah berada di atas jalan yang benar, maka Allah memperbaiki pemimpin mereka, iaitu menjadikan untuk mereka pemimpin-pemimpin yang bersikap adil dan insaf. Bukan yang zalim lagi jahat.” (Taisir Karim Ar-Rahman fii Tafsir Kalam Al-Mannan, 1/273)
Perkara ini diperkuatkan pula dengan penjelasan oleh Imam Ibnu Abi Al-‘Izz Al-Hanafi rahimahullah (Wafat: 792 H):
وأما لزوم طاعتهم وإن جاروا، فلأنه يترتب على الخروج من طاعتهم من المفاسد أضعاف ما يحصل من جورهم، بل في الصبرعلى جورهم تكفير السيئات ومضاعفة الأجور، فإن الله تعالى ما سلطهم علينا إلا لفساد أعمالنا، والجزاء من جنس العمل، فعلينا الإجتهاد في الإستغفار والتوبة وإصلاح العمل. قال تعالى: وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ. وقال تعالى: أَوَلَمَّا أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُمْ مِثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّى هَذَا قُلْ هُوَ مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِكُمْ. وقال تعالى: مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ. وقال تعالى: وَكَذَلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ. فإذا أراد الرعية أن يتخلصوا من ظلم الأمير الظالم، فليتركوا الظلم
“Adalah menjadi kewajiban bagi kita untuk mentaati mereka (para pemerintah) walaupun mereka banyak melakukan kefasadan (keburukan). Ini adalah kerana keburukan yang ditimbulkan akibat keluar dari ketaatan kepada mereka lebih besar dari kesan keburukan yang terhasil disebabkan keburukan mereka. Malah, kesabaran di dalam menghadapi kejahatan mereka dapat menghapuskan pelbagai keburukan dan melipat-gandakan pahala. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan mereka berkuasa ke atas kita (dengan keburukannya tersebut) melainkan kerana buruknya amal-amal kita sendiri. Balasan yang diberikan itu bergantung kepada jenis amal yang dilakukan. Maka, yang menjadi kewajiban bagi kita adalah berusaha bersungguh-sungguh di dalam memohon keampunan, bertaubat, dan memperbaiki amal. Allah Ta’ala telah berfirman:
“Dan setiap musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan kamu).” (Surah asy-Syuuraa, 42: 30)
“Apa sahaja nikmat yang kamu perolehi adalah daripada Allah, dan apa sahaja bencana yang menimpa kamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri.” (Surah an-Nisaa’, 4: 79)
“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-An’aam, 6: 129)
Maka apabila rakyat mahu melepaskan diri dari kezaliman pemimpin yang zalim, hendaklah mereka meninggalkan kezaliman mereka (terlebih dahulu).” (Ibnu Abi al-‘Izz al-Hanafi, Syarah al-‘Aqidah ath-Thahawiyyah. Tahqiq: Syaikh Ahmad Muhammad Syakir, m/s. 252 – Maktabah Syamilah)
Prinsip ini turut dipegang oleh para ulama lainnya termasuk Asy-Syaikh Al-‘Allamah Muhammad Nashiruddin Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H) dengan penjelasannya:
“Dengan itu, jelaslah bagaimana cara menghilangkan kezaliman yang dilakukan oleh para pemerintah yang satu kulit dan satu bahasa dengan kita. Caranya, kaum muslimin (umat Islam) mestilah bertaubat kepada Allah, memurnikan aqidah, dan mendidik diri serta keluarga mereka dengan pendidikan Islam yang benar (lagi sahih). Perkara tersebut adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri-diri mereka.” (Surah Ar-Ra’d, 13: 11)
Bertepatan dengan perkara persebut, ada seorang da’i (pendakwah) di zaman kita ini berkata:
“Tegakkanlah daulah Islam di dalam hati-hati kamu, maka daulah Islam itu pun kemudiannya akan tertegak di atas muka bumi.”
Jadi, di dalam menyelesaikan masalah tersebut bukanlah dengan kaedah-kaedah seperti yang diguna-pakai sebahagian orang, iaitu dengan memberontak dan memerangi pemerintah. Kerana, perkara tersebut di samping termasuk ke dalam bentuk bid’ah, ia juga bertentangan dengan nash-nash syar’i yang mana memerintahkan kita untuk mengadakan perubahan (islah) pada masyarakat dengan cara yang baik. Dalam persoalan ini, kita juga perlu memehami sebuah prinsip:
وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِي
“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah Al-Hajj, 22: 40).” (Takhrij Al-‘Aqidah Ath-Thahawiyyah oleh Al-Albani, m/s. 69 – Maktabah Syamilah)
Syaikh Dr. Soleh bin ‘Abdullah bin Fauzan Al-Fauzan hafizahullah menasihatkan dengan katanya:
“Imam Ahmad telah bersabar dalam menghadapi dugaan dan ujian (dengan sebab kezaliman penguasa Muktazilah di zamannya), dan tidak tsabit tentangnya bahawa beliau pernah mendoakan mereka agar mendapat melapetaka dan kebinasaan, bahkan tidak juga berbicara memburuk-burukkan mereka, akan tetapi beliau tetap bersabar dan kerana itulah kemenangan berpihak kepada beliau. Inilah mazhab ahlus sunnah wal-jama’ah. Orang-orang yang mendoakan agar para pemimpin umat Islam mendapat malapetaka dan kebinasaan tidaklah berpegang kepada mazhab ahlus sunnah wal-jama’ah, demikian juga orang-orang yang tidak mahu mendoakan agar mereka mendapat kebaikan. Semua ini adalah tanda penyimpangan mereka dari aqidah ahlus sunnah wal-jama’ah.
Sebahagian mereka mengingkari ke atas orang-orang yang berdoa dalam khutbah Juma’at supaya para pemimpin kaum muslimin mendapat kebaikan, kemudian mereka mengatakan, “Doa seperti ini adalah sikap mencari muka (keududukan) terhadap pemimpin tersebut (mudahanah), ini merupakan kemunafikan, dan ini hanya pendekatan diri kepada penguasa tersebut.”
Subhanallah, padahal sebenarnya inilah mazhab ahlus sunnah wal-jama’ah (mazhab yang benar) kerana yang sunnah adalah mendoakan para pemimpin supaya mereka mendapat kebaikan. Kerana apabila mereka baik, akan baik pulalah masyarakat. Maka anda hendaklah mendoakan supaya mereka mendapat hidayah, kesolehan dan kebaikan, sekalipun mereka memiliki keburukan. Selagi mereka masih muslim, maka mereka masih tetap memiliki kebaikan. Selagi mereka menjalankan syari’at, menegakkan hukum hudud, menjaga keamanan, mencegah orang-orang kafir dari mereka, maka semua ini adalah kebaikan yang besar, maka mereka didoakan supaya mendapat kebaikan. Dan apa yang ada pada diri mereka berbentuk maksiat dan kefasikan, dosa tersebut adalah di bawah tanggungan mereka sendiri. Akan tetapi mereka memiliki kebaikan yang lebih besar, sehingga mereka didoakan dengan istiqamah dan kesolehan. Inilah mazhab Ahlus sunnah wal-jama’ah. Sedangkan mazhab orang-orang yang mengikuti kesesatan dan orang-orang yang mengikuti kejahilan, maka mereka beranggapan bahawa doa seperti ini adalah merupakan suatu sikap mencari muka (mudahanah) dan pendekatan diri kepada pemerintah sehingga mereka tidak mendoakan mereka supaya mendapat hidayah, akan tetapi sebaliknya mendoakan mereka agar ditimpakan kebinasaan dan keburukan.
Dan ghirah (semangat) bukan dengan mendoakan keburukkan bagi mereka. Jika anda benar-benar inginkan kebaikan, maka doakanlah supaya mereka mendapatkan kesolehan dan kebaikan. Allah Maha Berkuasa untuk memberikan hidayah kepada mereka dan mengembalikan mereka kepada kebenaran. Adakah anda berputus-asa akan adanya hidayah bagi mereka? Ini ertinya berputus asa dari rahmat Allah. Mendoakan mereka supaya memperolehi kebaikan termasuk nasihat untuk mereka, sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Agama adalah nasihat, agama adalah nasihat, agama adalah nasihat. Kami (para sahabat) bertanya, “Untuk siapa wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, untuk para pemimpin umat Islam dan kaum muslimin keseluruhannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Maka inilah prinsip yang agung yang wajib ditekankan baginya, khususnya di zaman kita hari ini.” (Al-Ilmamu bi manhaj as-Salaf fiit Ta’amul ma’al hukkam oleh Abu ‘Umar Usaamah, m/s. 28-29 – http://www.otiby.net/book/files/elemia/alilmam.doc)
Di sini penulis bawakan perkataan Imam Abu Bakr Muhammad bin Al-Walid Ath-Thurthusyi rahimahullah (Wafat: 520H) untuk sama-sama kita fikirkan. Beliau berkata:
فلئن قلت إن الملوك اليوم ليسوا كمن مضى من الملوك، فالرعية أيضًا ليسوا كمن مضى من الرعية، ولست بأن تذم أميرك إذا نظرت آثار من مضى منهم بأولى من أن يذمك أميرك إذا نظر آثار من مضى من الرعية، فإذا جار عليك السلطان، فعليك بالصبر، وعليه الوزر
“Sekiranya kamu mengatakan bahawa para raja (pemerintah) pada hari ini tidak seperti raja-raja terdahulu, maka para rakyat juga tidak seperti rakyat terdahulu. Kamu lebih gemar mencela para pemimpin kamu apabila kamu melihat kesalahan mereka sebagaimana para pemimpin terdahulu juga mencela kamu apabila mereka melihat kesalahan-kesalahan rakyat terdahulu. Maka apabila seseorang pemerintah menzalimi kamu, maka hendaklah kamu bersabar. Dia akan mendapat dosa dari pebuatannya tersebut.”
Kemudian beliau menukilkan perkataan ‘Abdul Malik bin Marwan (seorang Khalifah Bani Umayyah) kepada rakyatnya:
قال عبد الملك بن مروان: ما أنصفتمونا يا معشر الرعية، تريدون منا سيرة أبي بكر وعمر ولا تسيرون فينا ولا في أنفسكم بسيرتهما
Berkata ‘Abdul Malik B. Marwan, “Berlaku adillah kepada kami wahai seluruh rakyat. Kamu mahukan daripada kami seperti pemerintahan Abu Bakr dan ‘Umar, tetapi kamu tidak mahu berjalan bersama kami dan tidak pula mencontohi rakyat di zaman mereka berdua (Abu Bakr dan ‘Umar).” (Siraj al-Muluk oleh Ath-Thurthusyi, 1/94)
Perkataan ‘Abdul Malik bin Marwan ini hampir serupa dengan perkataan ‘Ali radhiyallahu ‘anhu sebagaimana yang disebutkan oleh Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah:
وذكروا أن رجلا من الخوارج الذين خرجوا على علي بن أبي طالب جاءوا إلى علي فقال له يا علي ما بال الناس قد تغيروا عليك ولم يتغيروا على أبي بكر وعمر؟ قال لأن رجال أبي بكر وعمر أنا وأمثالي ورجالي أنت وأمثالك
Terdapat seorang lelaki dari kalangan khawarij datang untuk memberi peringatan kepada ‘Ali B. Abi Thalib lalu berkata, “Wahai ‘Ali, kenapa manusia ramai yang mengkritik pentadbiran engkau, sebaliknya tidak seperti permerintahan Abu Bakr dan ‘Umar?”
Maka ‘Ali pun menjawab, “Kerana para rakyat di zaman Abu Bakr dan ‘Umar adalah aku dan orang-orang yang sepertiku, tetapi rakyat pada masaku pula adalah kamu dan orang-orang yang seperti kamu.” (al-‘Utsaimin, Syarah Riyadhus Shalihin, 1/220 – Maktabah Syamilah. Lihat juga web rasmi Ibn al-‘Utsaimin, Syarah Riyadhush Shalihin, Bab 23: al-Amr bil Ma’ruf wa an-Nahi ‘an al-Mungkar – http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_18033.shtml)
Maka dengan ini, telah jelaslah prinsip-prinsip di dalam memperbaiki kesalahan para pemimpin yang melakukan maksiat atau kezaliman. Iaitu dengan cara menasihatinya dengan cara terbaik lagi berhikmah dan sentiasa mendoakannya dengan keikhlasan yang penuh pengharapan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dalam masa yang sama hendaklah berusaha memperbaiki diri kita sendiri, keluarga, dan masyarakat secara umumnya supaya sentiasa berada di atas landasan agama yang sebenar.
Bukannya dengan cara melakukan provokasi, memalukannya, menghakis kepercayaan rakyat ke atasnya, melakukan pemberontakan, kritikan terbuka, menjatuhkannya, atau seumpamanya. Yang dengannya hanya akan menimbulkan fitnah yang lebih besar. Lebih perlu diperhatikan, ia juga bukanlah kaedah yang dibenarkan oleh agama. Bukan juga amalan ahlus sunnah wal-jama’ah dari kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Dan dengannya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berjanji melalui ayatnya:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan adalah benar bahawa Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah sebelumnya mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mentauhidkan-Ku dengan tidak mensyirikkan Aku. Dan sesiapa yang ingkar setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah An-Nuur, 24: 55)
Perincian Bolehkah Menegur Pemerintah Secara Terbuka?
Dari sini timbul beberapa persoalan, benarkah para ulama salaf (ahlus sunnah wal-jama’ah) melarang sama sekali teguran terhadap pemerintah dilakukan secara terbuka?
Oleh itu, berikut penulis utarakan beberapa dalil berkaitan menegur pemerintah yang dianggap oleh sebahagian pihak tentang bolehnya mengkritik pemerintah secara terbuka.
Dalil-dalil ini sering sekali digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai hujjah bolehnya mengkritik serta mencanang kesalahan para pemimpin secara terbuka lagi bebas tanpa melihat perincian dan huraiannya. Maka di sini penulis berusaha menjelaskannya bagi mengelakkan salah faham akibat syubhat yang dimainkan golongan tidak bertanggungjawab tersebut.
[Dalil Pertama] Hadis Abu Sa’id al-Khudri Menegur Khalifah Marwan bin Al-Hakam
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ فَيَبْدَأُ بِالصَّلَاةِ فَإِذَا صَلَّى صَلَاتَهُ وَسَلَّمَ قَامَ فَأَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ وَهُمْ جُلُوسٌ فِي مُصَلَّاهُمْ فَإِنْ كَانَ لَهُ حَاجَةٌ بِبَعْثٍ ذَكَرَهُ لِلنَّاسِ أَوْ كَانَتْ لَهُ حَاجَةٌ بِغَيْرِ ذَلِكَ أَمَرَهُمْ بِهَا وَكَانَ يَقُولُ تَصَدَّقُوا تَصَدَّقُوا تَصَدَّقُوا وَكَانَ أَكْثَرَ مَنْ يَتَصَدَّقُ النِّسَاءُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ. فَلَمْ يَزَلْ كَذَلِكَ حَتَّى كَانَ مَرْوَانُ بْنُ الْحَكَمِ فَخَرَجْتُ مُخَاصِرًا مَرْوَانَ حَتَّى أَتَيْنَا الْمُصَلَّى فَإِذَا كَثِيرُ بْنُ الصَّلْتِ قَدْ بَنَى مِنْبَرًا مِنْ طِينٍ وَلَبِنٍ فَإِذَا مَرْوَانُ يُنَازِعُنِي يَدَهُ كَأَنَّهُ يَجُرُّنِي نَحْوَ الْمِنْبَرِ وَأَنَا أَجُرُّهُ نَحْوَ الصَّلَاةِ فَلَمَّا رَأَيْتُ ذَلِكَ مِنْهُ قُلْتُ أَيْنَ الِابْتِدَاءُ بِالصَّلَاةِ فَقَالَ لَا يَا أَبَا سَعِيدٍ قَدْ تُرِكَ مَا تَعْلَمُ قُلْتُ كَلَّا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تَأْتُونَ بِخَيْرٍ مِمَّا أَعْلَمُ ثَلَاثَ مِرَارٍ ثُمَّ انْصَرَفَ
Daripada Abu Sa’id al-Khudri, (beliau menjelaskan), “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar pada hari ‘Iedul Adha dan ‘Iedul Fitri, lalu beliau memulakannya dengan solat. Ketika beliau telah menyelesaikan solatnya dan mengucapkan salam, beliau bangkit berdiri dan menghadap kepada manusia (orang ramai yang hadir) sementara orang ramai tersebut dalam keadaan duduk di tempat solat masing-masing.
Sekiranya beliau memiliki keperluan untuk mengirim (pasukan), maka beliau mengingatkan orang ramai tentang itu, atau sekiranya beliau memiliki keperluan lain, maka beliau memerintahkan mereka untuk melakukannya. Beliau bersabda, “Bersedekahlah kamu, bersedekahlah kamu semua.” Orang yang paling banyak bersedekah adalah kaum wanita, kemudian beliau berganjak dari tempatnya. Perbuatan seperti ini sentiasa dilakukan sehingga pada zaman pemerintahan Marwan B. Al-Hakam.
Aku keluar sambil memegang tangan Marwan sehinggalah sampai ke Mushalla (tempat solat). Di sana nampaknya Katsir B. Ash-Shalt telah membuat mimbar dari tanah liat dan batu bata. Tiba-tiba Marwan menarik tangannya sambil seakan-akan ia menarikku sama ke arah mimbar. Manakala aku pula menariknya untuk melaksanakan solat. Ketika aku melihat situasi ini berlaku, aku pun mengatakan:
“Kenapa tidak dimulakan dengan perlaksanaan solat terlebih dahulu?” Maka beliau pun menjawab, “Tidak, wahai Abu Sa’id. Sesungguhnya perbuatan tersebut telah ditinggalkan tanpa pengetahuanmu.” Aku katakan, “Sekali-kali bukan demikian sepatutnya. Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, kamu tidak melakukan kebaikan dari apa yang telah aku ketahui.” Beliau mengucapkan tiga kali, kemudian pergi.” (Shahih Muslim, Bab Solat Al-‘Iedain, no. 889. Syarh Shahih Muslim, 6/178)
Penjelasan Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkenaan teguran Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu kepada Marwan bin Al-Hakam tersebut:
فيه أن الخطبة للعيد بعد الصلاة وفيه الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر وان كان المنكر عليه واليا وفيه أن الانكار عليه يكون باليد لمن أمكنه ولا يجزئ عن اليد اللسان مع امكان اليد
1. (Dapat difahami bahawa) Khutbah hari raya dilaksanakan setelah solat.
2. Amar ma’ruf nahi mungkar perlu dilaksanakan walaupun yang ditegah adalah seorang pemimpin.
3. Mencegah kemungkaran adalah dengan tangan bagi sesiapa yang mampu, dan dengan lisan sekiranya tidak dapat dengan tangan sebagai pengganti sekiranya seseorang mampu melaksanakannya. (Syarh Shahih Muslim, 6/177-178)
Di antara syarat-syarat mampu (secara ringkas) adalah:
1. Memiliki ilmu dan kelayakan (autoriti).
2. Terdapat maslahah.
3. Tidak menimbulkan mudharat yang lebih besar berbanding yang sedia ada.
4. Berdasarkan pertimbangan masa dan tempat yang sesuai sebagaimana garis panduan dalam memberikan sebuah teguran dan nasihat.
Kemudian beliau (An-Nawawi rahimahullah) menyatakan:
قوله لا تأتون بخير مما أعلم هو كما قال لأن الذي يعلم هو طريق النبي صلى الله عليه و سلم وكيف يكون غيره خيرا منه قوله ثم انصرف قال القاضي عن جهة المنبر إلى جهة الصلاة وليس معناه أنه انصرف من المصلى وترك الصلاة معه بل في رواية البخاري أنه صلى معه وكلمه في ذلك بعد الصلاة وهذا يدل على صحة الصلاة بعد الخطبة ولولا صحتها كذلك لما صلاها معه واتفق أصحابنا على أنه لو قدمها على الصلاة صحت ولكنه يكون تاركا للسنة مفوتا للفضيلة
Perkataan Abu Sa’id Al-Khudri, “kamu tidak melakukan kebaikan dari apa yang telah aku ketahui.” Inilah yang beliau nyatakan dan ketahui berdasarkan apa yang dilaksanakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Jadi, bagaimana mungkin ada cara lain lagi yang lebih baik (daripada cara Nabi)?
Perkataan beliau, “Kemudian beliau pun pergi,” al-Qadhi berkata, “(Maksudnya) beliau pergi dari arah mimbar untuk melaksanakan solat (mengambil tempat), bukan pergi dari tempat solat tersebut sehingga tidak solat bersamanya (bersama Marwan B. Al-Hakam). Malah, dalam riwayat al-Bukhari disebutkan bahawasanya Abu Sa’id tetap solat bersama Marwan, dan kemudiannya berbicara berkaitan persoalan tersebut setelah solat. Ini menunjukkan sahnya solat setelah khutbah. Sekiranya tidak sah, nescaya Abu Sa’id tidak solat bersamanya. Sahabat-sahabat kami sepakat bahawa sekiranya khutbah didahulukan ke atas solat, maka tetap sah, tetapi perbuatan tersebut (mendahulukan khutbah sebelum solat ‘Ied), ianya termasuk meninggalkan sunnah dan tidak memiliki keutamaan (hilang fadhilat)…” (Syarh Shahih Muslim, 6/178)
Setelah meneliti Syarah an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkaitan hadis Abu Sa’id al-Khudri dan tindakannya tersebut – Sama ada ia boleh digunakan sebagai dalil untuk menegur pemerintah secara terbuka atau tidak. Maka, berikut perincian dan pencerahannya secara ringkas:
1 – Hadis tersebut adalah berkaitan teguran yang dilakukan ketika ibadah solat yang hendak dilakukan. Di mana pada ketika itu, berlaku kesalahan apabila khutbah ‘Ied didahulukan sebelum solat. Dalam soal praktik ibadah, memang dibenarkan tegur secara langsung, supaya praktik ibadah sentiasa berada dalam keadaan sempurna. Sebagaimana biasa juga tentang persoalan tersalah menghadap kiblat, tersalah bacaan dalam solat, atau kesalahan-kesalahan lainnya berkaitan solat (atau praktik ibadah), ia boleh ditegur secara langsung pada waktu tersebut bagi memperbaiki keadaan.
2 – Apa yang dapat kita lihat adalah, Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu telah melaksanakan teguran secara langsung dan berdepan. Beliau menjelaskan dengan hujjah yang jelas berdasarkan apa yang beliau ketahui dari Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
3 – Walau bagaimanapun, dapat kita perhatikan bahawa nasihat Abu Sa’id al-Khudri tersebut tidak diterima oleh Marwan B. Al-Hakam. Dan beliau tetap meneruskan khutbahnya sebelum solat dengan alasan supaya lebih ramai yg akan mendengar khutbahnya.
4 – Walaupun demikian, apa tindakan Abu Sa’id al-Khudri seterusnya? Yang jelas, Abu Sa’id tidak memberontak atau menjadikan suasana tegang sehingga mencanangkan keburukan tersebut. Abu Sa’id bertindak meninggalkan mimbar (dari tempat dia ditarik tersebut), dan kembali mengambil tempat sambil menunggu untuk solat. Lebih manis, Abu Sa’id tetap melaksanakan solat bersama-sama Marwan B. Al-Hakam tersebut.
5 – Apa yang dilakukan oleh Abu Sa’id seterusnya adalah beliau menunggu sehingga tamatnya solat ‘Ied, kemudian beliau pergi menemui Marwan B. Al-Hakam secara berduaan dan beliau mengadakan perbincangan dan nasihat secara langsung.
6 – Bahkan sebenarnya hadis ini menunjukkan hujjah menegur pemimpin adalah secara tertutup dan bukan terbuka di khalayak ramai, apatah lagi mencanangkannya. Hikmah dalam soal ini antaranya adalah dalam rangka menjaga ‘aib dan kredibiliti seseorang pemimpin, di samping agar sesebuah nasihat itu lebih mudah diterima, meraih maslahah, dan mengelakkan pelbagai mudharat lainnya yang lebih besar.
Sila buat rujukan pada Syarh Shahih Muslim, 6/478 berkaitan hadis tersebut dalam bab Solat ‘Iedain dan juga dalam bab Amar Ma’ruf Nahi Mungkar Sebahagian Dari Iman.
[Dalil Kedua] Hadis Khalifah ‘Umar Al-Khaththab ditegur Dalam Isu Penetapan Mahar
Sebahagian pihak dan kelompok pergerakan dakwah politik tertentu menggunakan antaranya hadis berikut ini untuk menghalalkan tindakan mereka mengkritik dan mencela pemerintah secara terbuka di media-media dan pentas-pentas ceramah. Oleh itu, berikut adalah pencerahannya.
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah menyebutkan riwayat yang dimaksudkan tersebut dalam tafsirnya:
عن مسروق، قال: ركب عمر بن الخطاب منبر رسول الله ثم قال: أيها الناس، ما إكثاركم في صُدُق النساء وقد كان رسول الله صلى الله عليه وسلم وأصحابه وإنما الصدقات فيما بينهم أربعمائة درهم فما دون ذلك. ولو كان الإكثار في ذلك تقوى عند الله أو كرامة لم تسبقوهم إليها. فَلا أعرفَنَّ ما زاد رجل في صداق امرأة على أربعمائة درهم.
قال: ثم نزل فاعترضته امرأة من قريش فقالت: يا أمير المؤمنين، نَهَيْتَ الناس أن يزيدوا النساء صداقهم على أربعمائة درهم؟ قال: نعم. فقالت: أما سمعت ما أنزل الله في القرآن؟ قال: وأي ذلك؟ فقالت: أما سمعت الله يقول: وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنْطَارًا [فَلا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا
قال: فقال: اللهم غَفْرًا، كُلُّ الناس أفقه من عمر. ثم رجع فركب المنبر فقال: إني كنت نهيتكم أن تزيدوا النساء في صداقهن على أربعمائة درهم، فمن شاء أن يعطي من ماله ما أحب.
قال أبو يعلى: وأظنه قال: فمن طابت نفسه فليفعل.
Diriwayatkan daripada Masruq, beliau berkata, “‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu menaiki mimbar Rasulullah lalu berkata (berkhutbah), “Wahai sekalian manusia, mengapa kamu terlalu meninggikan mahar wanita. Sesungguhnya dahulu Rasulullah dan para sahabat, jumlah mahar di antara mereka hanyalah empat ratus dirham dan kurang dari itu. Jika meninggikan mahar adalah tanda ketaqwaan kepada Allah atau sebuah kemuliaan, tentulah kamu tidak akan mampu mendahului mereka dalam perkara tersebut. Jangan sampai aku ketahui ada orang yang meninggikan mahar lebih dari empat ratus dirham.”
Masruq berkata, “Kemudian beliau pun turun dari mimbar. Beliau (‘Umar) kemudiannya ditahan oleh seorang wanita Quraisy dan berkata kepadanya, “Wahai Amirul Mukminin, engkau telah melarang manusia menetapkan mahar bagi wanita lebih dari empat ratus dirham.”
‘Umar menjawab, “Ya!” Wanita tersebut pun berkata lagi, “Tidakkah engkau mendengar Allah berfirman dalam kitab-Nya, “… Sedang kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya walaupun sedikit. Adakah kamu akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhan yang dusta dan dengan (menanggung) dosa yang nyata?” (Surah An-Nisaa’, 4: 20)
‘Umar pun berkata, “Ya Allah, berilah keampunan kepadaku. Semua orang lebih faqih (memahami) daripada ‘Umar.”
Kemudian beliau pun kembali menaiki mimbar dan berkata, “Sesungguhnya tadi aku telah melarang kamu menetapkan mahar wanita lebih dari empat ratus dirham. (Tetapi) sekarang, siapapun boleh memberikan hartanya berdasarkan yang ia suka (sebagai mahar).”
Abu Ya’la berkata, “Aku kira ia mengatakan, “Sesiapa yang dengan rela hatinya, maka silalah untuk memberi mahar berdasarkan kesanggupannya (kehendaknya).” (Tafsir Ibnu Katsir, 2/244. Ibnu Katsir menyatakan, sanadnya baik dan kuat. Dinilai dhaif oleh al-Haitsami, Majma’ Az-Zawa’id, 4/521. Juga dinilai dhaif oleh Al-Albani dalam Al-Irwa’ al-Ghalil kerana bertentangan dengan apa yang diriwayatkan dalam kitab-kitab Sunan)
Setelah diteliti, hadis ini dapat difahami sebagaimana berikut:
1 – Tindakan wanita tersebut bukan untuk membangkang. Sebaliknya adalah untuk mendapatkan lebih penjelasan kerana fakta yang baru diterimanya tersebut bertentangan dengan apa yang ia fahami. Ibarat seorang murid bertanya kepada seorang guru.
2 – Begitu juga mungkin seperti ketika dalam kelas matematik, mungkin guru kita tersilap, maka kita pun bangun dan bertanya sehingga kesalahan itu disedari oleh guru lalu segera memperbetulkannya. Bangunnya si pelajar tersebut bukanlah untuk melucutkan jawatan guru atau mengkritiknya. Sebaliknya adalah mencari kepastian apabila ilmu yang difahami sebelum itu bertentangan dengan ilmu yang sedang dipelajari.
3 – Pertanyaan oleh wanita Quraisy tersebut dilakukan setelah ‘Umar turun dari mimbar khutbah. Dilakukan pula secara berhadapan dan langsung. Bukan ketika di atas mimbar sehingga menampakkan kepada orang ramai.
4 – Wanita Quraisy tersebut tidak juga bertindak mencanang kesilapan ‘Umar tersebut.
5 – Selain itu, menggunakan hadis ini sebagai hujjah akan mengarahkan kita kepada beberapa sisi kritis:
[1] Pertamanya, hadis ini diperselisihkan status kesahihannya sehingga kita perlu mengutamakan hadis-hadis yang telah pasti kesahihannya.
[2] Sekiranya hadis ini sahih, ia secara terang telah menjelaskan bahawa adab “menegur pemimpin” itu wajib dilakukan secara langsung dan berhadapan sehingga mata bertemu mata.
[3] Sekiranya hadis ini sahih, dengan jelas telah menunjukkan bahawa wanita itu bukan bertujuan mengkritik dan membangkang, apatah lagi mempertikaikan kedudukan ‘Umar (selaku khalifah), sebaliknya sekadar bertanya meminta penjelasan lanjut tentang ijtihad khalifah ‘Umar.
Dari itu, telah jelaslah bahawa hadis ini sedikit pun tidak dapat dikaitkan untuk menghalalkan perbuatan menegur pemerintah secara terbuka dari sisi manapun. Apatah lagi untuk menghalalkan perbuatan tercela seperti mengumpat, membuka ‘aib, mengkritik, dan mencaci-maki pemerintah sama ada secara langsung di hadapannya atau di belakangnya (tanpa pengetahuan pemerintah tersebut) seperti di pentas-pentas pidato, akhbar, media-media massa, dan sebagainya. Wallahu a’lam.
[Dalil Ketiga] Mu’awiyah Ditegur Ketika Berkhutbah
وعن أبي قبيل عن معاوية بن أبي سفيان أنه صعد المنبر يوم الجمعة فقال عند خطبته:
إنما المال مالنا والفيء فيئنا فمن شئنا أعطيناه ومن شئنا منعناه فلم يجبه أحد فلما كان في الجمعة الثانية قال مثل ذلك فلم يجبه أحد فلما كان في الجمعة الثالثة قال مثل مقالته فقام إليه رجل ممن حضر المسجد فقال : كلا إنما المال مالنا والفيء فيئنا فمن حال بيننا وبينه حاكمناه إلى الله بأسيافنا فنزل معاوية فأرسل إلى الرجل فأدخله فقال القوم: هلك الرجل ثم دخل الناس فوجدوا الرجل معه على السرير فقال معاوية للناس:
إن هذا أحياني أحياه الله سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول:
سيكون بعدي أمراء يقولون ولا يرد عليهم يتقاحمون في النار كما تتقاحم القردة
وإني تكلمت أول جمعة فلم يرد علي أحد فخشيت أن أكون منهم ثم تكلمت في الجمعة الثانية فلم يرد أحد فقلت في نفسي: إني من القوم ثم تكلمت في الجمعة الثالثة فقام هذا الرجل فرد علي فأحياني أحياه الله
Daripada Abu Qobail, daripada Mu’awiyah bahawasanya beliau (Muawiyah B. Abi Sufyan) menaiki mimbar pada hari Jumaat, dia berkata dalam khutbahnya:
“Harta ini (harta kerajaan) adalah harta kami, dan harta fa’i (harta rampasan perang) juga harta kami. Kami beri kepada sesiapa yang kami mahu, dan kami tidak berikan kepada sesiapa yang kami mahu.”
Tiada seorang pun yang menjawabnya (atau membantah beliau).
Apabila tiba jumaat yang kedua, dia mengucapkan perkara yang sama. Tiada siapa pun yang tampil menjawabnya. Pada jumaat yang ketiga beliau mengatakan perkara yang sama, lalu seorang lelaki yang hadir dalam masjid itu pun bangun dan berkata:
“Sama sekali tidak! Sesungguhnya harta tersebut adalah harta kami (rakyat) dan fa’i ini adalah fa’i kami (rakyat). Sesiapa yang menghalang kami dari harta tersebut, kami akan berhukum dengan hukum Allah menggunakan pedang-pedang kami.”
Lalu Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhu pun turun dari mimbar dan mengutus seseorang untuk memanggil lelaki itu.
Orang ramai berkata, “Habislah dia.”
Kemudian orang ramai masuk dan mendapati dia sedang duduk bersama Mu’awiyah di atas tempat duduknya (tempat tidur). Mu’awiyah berkata kepada orang ramai:
“Dia ini telah menghidupkanku, semoga Allah menghidupkannya. Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku (yang melakukan kesalahan), mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab (menegur) mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun.”
(Kata Muawiyah lagi):
“Aku bercakap pada jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian pada jumaat yang kedua, tiada siapapun menjawabku, maka aku pun berkata, “Aku termasuk dalam kalangan mereka (pemimpin yang dimaksudkan Rasulullah).” Aku bercakap pada jumaat ketiga, lelaki ini bangun menjawabku. Dia telah menghidupkanku (menyelamatkan aku), semoga Allah menghidupkannya.” (Diriwayatkan oleh ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Kabir, 19/393, no. 925. al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh ath-Thabrani dalam al-Kabir dan al-Ausath, dan oleh Abu Ya’la. Para perawinya tsiqah.” Majma’ az-Zawa’id, 5/425, no. 9199. Dinilai hasan oleh al-Albani, as-Silsilah ash-Shahihah, 4/398, no. 1790)
Setelah diteliti, hadis ini dapat difahami bahawa:
1 – Mu’awiyah B. Abi Sufyan radhiyallahu ‘anhu sebenarnya bertujuan menguji rakyatnya dalam rangka memastikan dirinya bukan termasuk dalam kalangan pemimpin yang dimaksudkan oleh hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut, “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku (yang melakukan kesalahan), mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab (menegur) mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun.”
Ini dapat difahami apabila Mu’awiyah menyatakan kerisauannya dengan katanya, “Aku bercakap pada jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka.”
Oleh sebab itulah Mu’awiyah membuat pengumuman bahawa harta mal (kerajaan) dan harta fa’i (rampasan perang) adalah milik beliau dengan tujuan mahu melihat sama ada akan ada orang yang menegurnya atau tidak.
Inilah sebab utama berlakunya kisah sebagaimana riwayat tersebut. Iaitu bertujuan memastikan dirinya bukan dari kalangan pemimpin yang dimaksudkan oleh hadis Nabi tersebut.
2 – Dalam masa yang sama, Mu’awiyah tidak membiarkan orang yang menegur beliau tersebut dengan begitu sahaja terus mengkritik (atau menegur) di khalayak ramai. Sebaliknya beliau turun dari mimbar dan mengutuskan orang lain agar memanggil si penegur tersebut bertemu dengannya.
Ini menunjukkan adanya perbincangan secara tertutup berlangsung di antara mereka berdua (di antara Mu’awiyah dengan orang yang menegurnya).
3 – Mu’awiyah menjelaskan rasa lega dan gembiranya apabila beliau bukanlah pemimpin yang termasuk dalam hadis Nabi yang dimaksudkan. Ini kerana masih ada orang yang sanggup menegur beliau apabila melakukan kesalahan. Sebab itulah beliau (Mu’awiyah) mengatakan:
“Aku bercakap pada jumaat ketiga, lelaki ini bangun menjawabku. Dia telah menghidupkanku (menyelamatkan aku), semoga Allah menghidupkannya.”
4 – Konteks hadis ini dan cara memahaminya sebenarnya tidak jauh bezanya dengan dua hadis yang dibentangkan sebelumnya. Sekaligus bukanlah dalil yang valid digunakan bagi mengkritik pemerintah secara terbuka di serata ceruk dan tempat.
Sebaliknya, apa yang dapat difahami adalah bolehnya menegur pemerintah secara berdepan dan langsung sebaik mengetahui pemerintah tersebut sedang melakukan kesalahan. Tujuan dan bentuk teguran seperti ini adalah bagi mengelakkan fakta dan kesalahan yang sedang berlaku dari diikuti atau disalah-fahami oleh orang ramai yang hadir ketika itu. Maka dibolehkan untuk memperbaiki atau membetulkan keadaan secara langsung (atau serta-merta) supaya kesalahan yang sedang berlaku tidak berpanjangan atau dianggap sebagai suatu kebenaran.
Ini boleh disamakan keadaannya dalam sebuah pengajian atau kelas apabila seorang guru yang sedang mengajar di hadapan tiba-tiba melakukan kesilapan dan ianya disedari oleh sebahagian pelajarnya. Maka pelajar yang mengetahui pada masa itu berhak untuk bangun atau segera menegurnya dengan baik supaya kesalahan yang dilakukan oleh guru tersebut tidak diikuti oleh para pelajar lain lalu menganggapnya sebagai suatu kebenaran atau ilmu.
Maka, tindakan pelajar yang segera menegur itu adalah benar. Atau sekiranya guru tersebut telah keluar dan teguran tidak sempat dibuat ketika dalam kelas, maka para pelajar perlu menemui guru tersebut dan memohon penjelasan. Ini sebagaimana hadis seorang wanita menegur ‘Umar al-Khaththab di atas tadi.
Sebaliknya sekiranya guru tersebut telah beredar keluar baru para pelajar tersebut kecoh, memburuk-burukkan guru, atau melakukan umpatan sesama sendiri berkaitan kesalahan guru tadi, maka itu adalah tindakan yang salah atau kurang tepat. Lebih biadap lagi apabila para pelajar tadi mencanangkan kesalahan guru tersebut ke serata tempat tanpa sedikitpun mengambil inisiatif membetulkan keadaan dengan berbincang menemui guru tersebut.
5 – Bahkan dalam hal ini jika kita melihat kisah Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhu sendiri sebagai khalifah di zamannya, kita akan mendapati bahawa beliau sendiri pernah bertindak menahan dan menghukum bunuh seorang bernama Hujr B. Adi al-Kindi dengan sebab Hujr telah mencerca, membangkitkan provokasi, dan menunjukkan sikap kepembangkangan secara terbuka kepada gabernor Mu’awiyah di Kuffah yang sedang berkhutbah. Sedangkan Hujr bin Adi al-Kindi adalah termasuk daripada kalangan sahabat (sahabat kecil), dan sebahagian ulama menyatakan beliau adalah tabi’in.
Tindakan Mu’awiyah tersebut tidak mendapat bantahan dari kalangan sahabat lain, sebaliknya ia termasuk sebahagian kebenaran dan menjadi hak bagi seseorang pemimpin untuk mengelakkan fitnah dan huru-hara (bibit-bibit pemberontakan). (Rujuk penjelasannya dalam Al-Awashim min Al-Qowashin oleh Imam Al-Qadhi Abu Bakr Ibnu al-Arabi. Tahqiq: Muhibbudin al-Khatib, Mahmud al-Istanbuli, dan al-Maktab as-Salafi)
Kesimpulan:
Maka dari sini telah kita fahami beberapa bentuk perincian terhadap beberapa dalil yang sering digunakan oleh golongan tertentu sebagai syubhat menghalalkan teguran dan kritikan terhadap pemerintah secara terbuka di atas. Bahkan sebahagian besar dari mereka menggunakannya sebagai dalil untuk mencanang kesalahan pemerintah sekaligus berhasrat agar pemerintah sedia ada dapat dijatuhkan melalui provokasi-provokasi yang mereka canangkan.
Maka setelah hasil penelitian dan perincian tersebut dibuat, dapat kita ambil kefahaman bahawa:
1 – Asal hukum menegur pemerintah adalah secara tertutup.
2 – Dibolehkan menegur atau memperbetulkan kesalahan pemerintah secara terbuka pada keadaan yang benar-benar kritikal dan memaksa sebagaimana dijelaskan agar maslahah dapat ditegakkan. Iaitu dilakukan secara berdepan di ketika kita sedar bahawa pemerintah sedang melakukan kesalahan. Maka pada ketika itu, kita dibolehkan menegur pemerintah tersebut serta-merta secara langsung agar kesalahan dapat diperbetulkan dan tidak berlarutan.
3 – Sekiranya kesalahan tidak dapat diperbetulkan dan pemerintah tetap terus dengan pendiriannya (yang salah tersebut), maka dakwah secara hikmah dan teguran secara tertutup tetap perlu diteruskan demi mencari maslahah dan redha Allah Subhanahu wa Ta’ala. Keadaan ini pun dikembalikan kepada kaedah dan hukum asal menegur pemerintah iaitu dilakukan secara tertutup agar jauh dari fitnah.
Sahabat Nabi, ‘Abdullah bin Abi Aufa radhiyallahu ‘anhu berkata kepada Sa’id bin Jumhan di ketika rakyat dizalimi oleh pemerintah (pada zamannya), “Sekiranya engkau mahu pemerintah tersebut mendengar nasihatmu, maka datangilah rumahnya dan beritahulah kepadanya apa-apa yang engkau ketahui sehingga ia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah, kerana kamu tidak lebih tahu daripada dia.” (Musnad Ahmad, no. 19415. Dinilai hasan oleh Al-Albani dalam Dzilal Al-Jannah, 2/143, no. 905)
Perlu ditegaskan di sini bahawa prinsip-prinsip yang ditegaskan ini adalah prinsip-prinsip yang digariskan dan dibina oleh para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah sejak zaman berzaman. Sebuah prinsip yang konsisten berdasarkan dalil-dalil yang autentik dan tafsiran yang jelas oleh para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah generasi sahabat, tabi’in, tabi’ut tabi’in serta para ulama setelah mereka yang meniti di atas manhaj mereka dengan baik sehinggalah ke zaman ini. Bukan tafsiran yang dibina semata-mata dengan ideologi liberal, mazhab zahiri (literal), bertujuan mengampu, mahupun semata-mata dengan akal (ra’yi) dan hawa nafsu yang meninggalkan prinsip-prinsip salaf.
Wallahu a’lam.
2 Comments
salam, mungkin akh dah terangkan segala umum..
Soalan.
1) Adakah dibenarkan kita menasihati pemimpin secara umum?
cth: Kita memberi tazkirah berkenaan kewajiban menjadi pemimpin adil dan kutukan terhadap kejahatan-kejahatan mereka sambil kita ulang-ulang dalam majlis2 kita dan kita mencela perangai para pemimpin yang zalim tanpa kita menyebut nama mereka.
Seperi mana yang dilakukan oleh Imam Ghazali dan Iman Abdul Qadir Jailani
2) dikatakan Imam Al-Ghazali dan Imam An-Nawawi membuat pengecualian terhadap mengumpat antaranya:
a. Perbuatan mengumpat ( mendedahkan ) itu bertujuan membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran "Si Fulan melakukan kemungkaran maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat atau pendedahan tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.
b. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang/pihak tertentu agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.
c. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang. Walaubagaimanapun kejahatan yang dibenarkan untuk didedahkan hanyalah perbuatan mungkar yang dilakukannya secara terang-terangan. Adapun kejahatan lain yang dilakukannya secara bersembunyi maka haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.
jika perktaan2 ini benar, maka dalam konteks ketiadaan khilafah pada masa ini, adakah dibenarkan kita mengkritik kezaliam yang dilakukan oleh kumpulan tertentu yang memerintah sperti mengkritik tindakan Parti Baath (Sosialis) yang memenjara ramai pendakwah Islam.
Akh minta maaf cuma ana nak kita adil dan tidak tertipu dengan petunjuk musuh Islam (kafir harbi) yg sudah lama membaca text2 kita.
Ana takut kekeliruan terhadap kefahaman tentang menasihati pemimpin secara lemah lembut menjadikan ulama2 kita sbg boneka memenagkan kefasiqan sbhgian pihak.
Maka ana mencadangkan akh menyusun artikel (mengikut manhj salaf yg terlebih adil dan saksama):
1. Golongan yang dibenarkan diumpat
2. Ancaman-ancaman terhadap pemimpin yang zalim
3. Ahlu Aqli wa Ahdi: dalam konteks siyasah muasirah.
terpaksa kita akur bahawa politik masyarakat dunia mengalami perubahan drastik. Tidak dapat mengelak untuk kita berijtihad dlam perkra soal kenegaraan.
Bukankah Khalifah Umar pernah mmbuat separation of power terhadap institusi kehakiman dan eksekutif?
Maka, selaku peminat dan penyanjung manhaj yg akh bawa, menasihati akh untuk berfikiran muasir tanpa meninggalkan manhaj salaf.
lagi hebat dan disanjung kalau boleh rangka sistem negara Islam Malaysia mengikut acuan salaf.
Ingat! jangan tertipu dengan kolonial?
akhuka fillah syukran
benarkah bacaan iftitah yg diamalkan mejoriti rakyat malaysia tidak shahih??blh saudara ulas