Menuai Pahala Ketika Menguap & Bersin

www.ilmusunnah.com

Sedarkah kita selama ini di dalam kita menguap atau bersin, sebenarnya di sana Islam telah ada suatu garis petunjuk yang perlu kita ambil tahu mengenainya? Dari itu, tatkala bersin ataupun menguap, kita pun akan dapat menuai pahala.

Berkenaan dengan menguap, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengkhabarkan kepada kita bahawa ia adalah dari Syaitan. Maka apabila kita menguap atau terasa hendak menguap, maka hendaklah kita menahannya atau jika tidak mampu menahannya, hendaklah kita menutupnya, iaitu menutup mulut ketika menguap. Bukan sahaja sekadar menutup dan menahan diri dari menguap (dengan sedaya-upaya), tetapi hendaklah juga kita mengelak dari mengeluarkan bunyi ketika menguap. Kerana apabila seseorang itu menguap sambil mengeluarkan bunyi, maka Syaitan akan tertawa.

Ini adalah sebagaimana dari hadis Abi Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ، فَلْيُمْسِكْ بِيَدِهِ عَلَى فِيهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدْخُلُ

“Apabila seorang daripada kamu menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).” (Shahih Muslim, no. 2995)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

التَّثَاؤُبُ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ، فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَالَ: هَا، ضَحِكَ الشَّيْطَانُ

“Menguap itu dari Syaitan. Maka Apabila seseorang menguap, tahanlah ia dengan sedaya-upaya kalian. Kerana apabila salah seorang dari kalian mengeluarkan bunyi, “haa…”, syaitan pun tertawa.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3289)

Dari hadis Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

العُطَاسُ مِنَ اللَّهِ وَالتَّثَاؤُبُ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَضَعْ يَدَهُ عَلَى فِيهِ، وَإِذَا قَالَ: آهْ آهْ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَضْحَكُ مِنْ جَوْفِهِ، وَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ العُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ، فَإِذَا قَالَ الرَّجُلُ: آهْ آهْ إِذَا تَثَاءَبَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَضْحَكُ فِي جَوْفِهِ

“Bersin itu dari Allah, manakala menguap itu dari Syaitan. Jika salah seorang daripada kamu menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya dan jika dia mengeluarkan bunyi “aahh… aahhh…” maka syaitan ketawa di dalam perutnya. Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap. Apabila seseorang berkata “aahh, aahh..” ketika menguap, maka Syaitan pun tertawa di dalam perutnya.” (Jami’ At-Tirmidzi, no. 2746. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Manakala berkenaan dengan bersin pula, ia adalah suatu yang disukai oleh Allah, yang mana berbeza dengan perbuatan menguap tadi yang ianya dibenci oleh Allah. Apabila seseorang bersin, maka hendaklah dia memanjatkan pujian kepada Allah, dan kepada saudaranya yang mendengar saudaranya yang bersin tersebut mengucapkan hamdalah, maka hendaklah dia mendoakannya.

Ini adalah sebagaimana hadis dari Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ العُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ، فَإِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ وَحَمِدَ اللَّهَ، كَانَ حَقًّا عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أَنْ يَقُولَ لَهُ: يَرْحَمُكَ اللَّهُ، وَأَمَّا التَّثَاؤُبُ: فَإِنَّمَا هُوَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ، فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا تَثَاءَبَ ضَحِكَ مِنْهُ الشَّيْطَانُ

“Sesungguhnya Allah menyukai bersin, dan membenci menguap. Maka apabila salah seorang dari kamu bersin, pujilah Allah (dengan mengucapkan “الْحَمْدُ لِلَّهِ”).

Manakala bagi setiap Muslim yang mendengar saudaranya bersin (lalu dia memuji Allah), adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendoakannya dengan mengatakan “يَرْحَمُكَ اللهُ” (semoga Allah merahmati engkau).

Adapun menguap, ia adalah dari Syaitan. Maka apabila seseorang daripada kamu menguap, tahanlah ia dengan sedaya-upaya mungkin, kerana sesungguhnya apabila salah seseorang dari kamu menguap (sambil mengeluarkan bunyi  – sebagaimana di hadis yang lain) maka Syaitan akan mentertawakannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6226)

Di riwayat yang lain:

وَأَمَّا التَّثَاؤُبُ: فَإِنَّمَا هُوَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ، فَإِذَا قَالَ: هَا، ضَحِكَ مِنْهُ الشَّيْطَانُ

“… Adapun menguap, ia adalah dari Syaitan. Maka tahanlah ia dengan sedaya-upaya mungkin kerana apabila seseorang menguap sambil mengeluarkan bunyi “Haaa” maka Syaitan akan mentertawakannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6223)

Dari hadis Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَمْسٌ تَجِبُ لِلْمُسْلِمِ عَلَى أَخِيهِ، رَدُّ السَّلَامِ، وَتَشْمِيتُ الْعَاطِسِ، وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ، وَعِيَادَةُ الْمَرِيضِ، وَاتِّبَاعُ الْجَنَازَةِ

“Lima (5) perkara yang menjadi kewajiban seorang muslim terhadap saudaranya adalah: Menjawab salam, mendoakan orang yang bersin, menghadiri undangan, melawat yang sakit, dan mengiringi jenazahnya.” (Sunan Abi Dawud, no. 5030. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Ucapan Apabila Bersin

Dalam hadis daripada Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ: الحَمْدُ لِلَّهِ، وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ: يَرْحَمُكَ اللَّهُ، فَإِذَا قَالَ لَهُ: يَرْحَمُكَ اللَّهُ، فَلْيَقُلْ: يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

“Apabila salah seorang dari kalian bersin, maka hendaklah ia memanjatkan pujian kepada Allah (dengan mengucapkan “الْحَمْدُ لِلَّهِ”). Manakala bagi yang mendengar saudaranya atau sahabatnya bersin, ucapkanlah:

يَرْحَمُكَ اللَّهُ

“Semoga Allah merahmati engkau.”

Dan jika orang yang bersin mendengar saudaranya menyebutkan “يَرْحَمُكَ اللهُ”, maka hendaklah dia mengucapkan pula:

يَهْدِيْكُمُ اللهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

“Semoga Allah memberi petunjuk kepada kalian dan memperbaiki keadaan kalian.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6224)

Boleh juga mengucapkan sebagaimana dalam hadis daripada Abi Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ، وَلْيَقُلْ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ، وَيَقُولُ هُوَ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

“Apabila salah seorang daripada kalian bersin maka ucapkanlah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

“Segala puji bagi Allah atas setiap perkara.” Dan bagi saudaranya atau sahabatnya (yang mendengar) hendaklah mengucapkan:

يَرْحَمُكَ اللَّهُ

“Semoga Allah merahmati engkau.”

Dan dia kembali membalas ucapan saudaranya dengan:

يَهْدِيْكُمُ اللهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

“Semoga Allah memberi petunjuk kepada kalian dan memperbaiki keadaan kalian.” (Sunan Abi Daud, no. 5033. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dalam hadis yang lain, dinyatakan bahawa orang yang bersin yang mendengar saudaranya mendoakannya, maka dia boleh juga mengucapkan (selain di atas), antaranya sebagaimana tsabit dalam hadis yang lain, dari Saalim bin ‘Ubaid, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi w aSallam bersabda:

“Jika salah seorang daripada kalian bersin, hendaklah dia memuji Allah. Dan hendaklah orang-orang yang mendengarnya medoakan orang yang bersin dengan mengucapkan:

يَرْحَمُكَ اللهُ

“Semoga Allah merahmati engkau.”

Dan orang yang bersin tersebut membalas kembali dengan mengucapkan:

يَغْفِرُ اللهُ لَنَا وَلَكُمْ

Atau sebagaimana dalam sebuah atsar dari Naafi, kata beliau:

“Apabila Ibnu ‘Umar (radhiyallahu ‘anhuma) bersin dan seseorang mengucapkan:

يَرْحَمُكَ اللهُ

“Semoga Allah merahmati engkau.” Maka beliau (Ibnu ‘Umar) pun mengucapkan:

يَرْحَمُنَا اللَّهُ وَإِيَّاكُمْ، وَيَغْفِرُ لَنَا وَلَكُمْ

“Semoga Allah merahmati kami dan kalian serta mengampuni kami dan juga kalian.” (Muwaththa’ Imam Malik, no. 3543. Syarhus Sunnah Al-Baghawi, 12/309)

Menutup Mulut Ketika Bersin

Satu lagi sunnah yang boleh diamalkan apabila bersin adalah dengan menutup atau meletakkan tangannya atau bajunya (atau kain yang seumpamanya) ke mukanya sambil merendahkan mukanya dan memperlahankan suaranya.

Ini adalah sebagaimana hadis daripada Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

إِذَا عَطَسَ وَضَعَ يَدَهُ أَوْ ثَوْبَهُ عَلَى فِيهِ، وَخَفَضَ أَوْ غَضَّ بِهَا صَوْتَهُ

“Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersin, beliau meletakkan tangannya atau kain dari bajunya ke mulutnya (untuk menutupnya) sambil memperlahankan atau merendahkan suaranya (ketika bersin).” (Sunan Abi Dawud, no. 5029. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Berapa Kali Mendoakan Orang Bersin?

Kata Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu:

شَمِّتْ أَخَاكَ ثَلَاثًا فَمَا زَادَ فَهُوَ زُكَامٌ

“Doakanlah saudara engkau apabila dia bersin, jika dia bersin sampai berulang lebih dari tiga kali bermakna dia sedang sakit (selesema).” (Sunan Abi Dawud, no. 5034 dan 5035. Dimarfu’kan oleh Abu Dawud)

Dalam hadis yang lain:

تُشَمِّتُ الْعَاطِسَ ثَلَاثًا، فَإِنْ شِئْتَ أَنْ تُشَمِّتَهُ فَشَمِّتْهُ وَإِنْ شِئْتَ فَكُفَّ

“Mendoakan orang bersin itu tiga kali. Jika engkau mahu (setelah bersin ketiga), boleh terus mendoakannya, dan jika engkau mahu maka boleh cukup sampai bersin yang ketiga.” (Sunan Abi Daud, no. 5036. Namun didha’ifkan oleh Al-Albani)

Dalam hadis yang lain, daripada Iyaas bin Salamah Al-Akwa’ daripada ayahnya:

أَنَّ رَجُلًا، عَطَسَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ لَهُ: «يَرْحَمُكَ اللَّهُ» ثُمَّ عَطَسَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «الرَّجُلُ مَزْكُومٌ»

“Ada seorang lelaki bersin di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka Nabi pun mengucapkan (mendoakannya dengan): “يَرْحَمُكَ اللَّهُ” kemudian orang tersebut bersin lagi, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun mengatakan, “Lelaki ini sedang selesema.” (Sunan Abi Dawud, no. 5037. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Apabila Orang Kafir (Yang Dzimmi) Bersin

Dari hadis Abi Burdah daripada ayahnya, beliau berkata:

كَانَتِ الْيَهُودُ تَعَاطَسُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجَاءَ أَنْ يَقُولَ لَهَا يَرْحَمُكُمُ اللَّهُ، فَكَانَ يَقُولُ: «يَهْدِيكُمُ اللَّهُ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

“Suatu ketika pernah ada orang Yahudi bersin di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan harapan agar Nabi mendoakan mereka dengan doa “يَرْحَمُكُمُ اللَّهُ” (semoga Allah merahmati kalian), namun Nabi mendoakan mereka dengan doa:

يَهْدِيْكُمُ اللهُ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

“Semoga Allah memberi hidayah petunjuk kepada kalian dan memperbaiki keadaan kalian.” (Sunan Abi Dawud, no. 5038. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Bersin Tetapi Tidak Mengucapkan Hamdalah

Dari hadis Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

عَطَسَ رَجُلَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَشَمَّتَ أَحَدَهُمَا، وَتَرَكَ الْآخَرَ، قَالَ: فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ: رَجُلَانِ عَطَسَا فَشَمَّتَّ أَحَدَهُمَا قَالَ أَحْمَدُ: أَوْ فَسَمَّتَّ أَحَدَهُمَا، وَتَرَكْتَ الْآخَرَ، فَقَالَ: «إِنَّ هَذَا حَمِدَ اللَّهَ، وَإِنَّ هَذَا لَمْ يَحْمَدِ اللَّهَ

“Ada dua orang lelaki bersin di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tetapi Nabi hanya mendoakan salah seorang daripada mereka dan tidak mendoakan yang seorang lagi. Beliau ditanya, “Wahai Rasulullah, ada dua orang yang bersin, tetapi kenapa engkau hanya mendoakan salah seorang daripadanya dan tidak mendoakan yang seorang lagi?” Maka beliau jawab:

“Orang ini memuji Allah (sebaik bersin), manakala orang yang ini tidak memuji Allah.” (Sunan Abi Dawud, no. 5039. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Berdoa Dengan Doa Selain Yang Ditunjukkan Sunnah

Dari hadis Naafi’, beliau berkata:

أَنَّ رَجُلًا عَطَسَ إِلَى جَنْبِ ابْنِ عُمَرَ، فَقَالَ: الحَمْدُ لِلَّهِ، وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ قَالَ ابْنُ عُمَرَ: وَأَنَا أَقُولُ: الحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ، وَلَيْسَ هَكَذَا عَلَّمَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، عَلَّمَنَا أَنْ نَقُولَ: «الحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ»

“Ada seorang lelaki bersin di sebelah Ibnu ‘Umar. Lalu mengucapkan:

الحَمْدُ لِلَّهِ، وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ

Alhamdulillahi was Salaamu ‘ala Rasulillah (Segala puji bagi Allah dan salam ke atas Rasulullah).” Maka Ibnu ‘Umar pun menyoal:

Alhamdulillahi was Salaamu ‘ala Rasulillah (Segala puji bagi Allah dan salam ke atas Rasulullah)??!” Bukanlah begitu yang diajar oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kami. Beliau mengajar kami (agar berdoa sebaik bersin dengan doa):

الحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Alhamdulillahi ‘ala kulli hal (Segala puji bagi Allah dalam segala perkara).” (Jaami’ At-Tirmidzi, no. 2738. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest