Sedekap Tangan Di Dada Ketika Qiyam Dalam Solat
Bantahan Atas Keceluparan Zamihan Al-Ghari
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Zamihan Al-Ghari (salah seorang Ustaz di bawah kelolaan JAKIM dan ILIM) sebagaimana kenyataan beliau di dalam ceramahnya melalui rakaman video ini (di bawah) telah menyatakan bahawa perbuatan bersedekap meletakkan tangan di dada ketika qiyam di dalam solat sebagai Wahhabi, anak Pak Wahhab, ajaran Pak Wahhab, dan seperti Ultraman:
Video:
Sebenarnya kalau diteliti secara saksama, persoalan ini bukanlah perkara baru di dalam persoalan ritual solat dan khazanah fiqh Islam, melainkan bagi mereka yang sengaja bersikap sombong dengan pendapatnya sendiri dan enggan berlapang dada dalam mendepani perbezaan pendapat.
Pendapat tersebut termasuk pendapat yang dipegang oleh sebahagian ulama seperti dalam kalangan mazhab Asy-Syafi’i, Imam Ahmad dalam sebahagian riwayat, Imam Ash-Shan’ani, Imam Asy-Syaukani, dan selainnya yang mengikuti mereka.
Mereka yang berpegang dengan sunnahnya meletakkan tangan (sedekap) di dada ketika qiyam dalam solat, antaranya adalah berdalilkan dengan hadis-hadis berikut:
1, Hadis Qobishah bin Hulb dari ayahnya, beliau berkata:
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْصَرِفُ عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ يَسَارِهِ، وَرَأَيْتُهُ، قَالَ، يَضَعُ هَذِهِ عَلَى صَدْرِهِ
“Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan menuju ke arah kanannya dan dengan melihat dari arah kirinya (ketika solat). Aku melihat beliau meletakkan tangannya di atas dada.” (Musnad Ahmad, no. 21967)
Syaikh Bakr bin ‘Abdillah Abu Zaid rahimahullah berkata:
وحسّنه الترمذي، وأَقره النووي في ((المجموع)): (3 / 312) وحسّنه لشواهده؛ لأَن في سنده: قبيصة، وهو إِن وثقه بعضهم لكن لم يرو عنه إِلاَّ: سماك بن حرب. وفي ((التقريب)) قال: مقبول
Imam At-Tirmidzi telah menghasankan hadis ini. An-Nawawi juga telah mengakuinya (menerimanya) di dalam al-Majmu’, 3/312, lalu ia menghasankannya kerana banyaknya syawaahid (riwayat lain yang menguatkannya). Kerana dalam rangkaian sanadnya terdapat Qobishah, walaupun ia diterima oleh sebahagian ulama hadis, namun Simmak B. Harb yang meriwayatkan hadis darinya. Dalam At-Taqrib disebutkan: “Hadisnya diterima (maqbul)”. (lihat: Bakr bin ‘Abdillah Abi Zaid, Laa Jadiida Fii Ahkamish Sholah, 1/11)
Syu’aib Al-Arnauth dalam tahqiq Musnad Ahmad mengatakan: Hadis sahih lighairihi tanpa teks “beliau meletakkan tangannya di atas dada.” Manakala Al-Albani menilainya sahih dengan syawahid.
2, Dari Wa’il bin Hujr (radhiyallahu ‘anhu), beliau berkata:
صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَوَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى يَدِهِ الْيُسْرَى عَلَى صَدْرِهِ
“Aku telah bersolat bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan beliau meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya di atas dada beliau.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 479)
Kata Mustafa Al-A’dzami, “Sanadnya dha’if kerana perawi Mu’ammal, dan beliau adalah Ibn Ismaa’iil yang buruk hafalannya, namun hadis ini adalah sahih sebagaimana datang dari jalan yang lain dengan maknanya meletakkan tangan di atas dada, ianya terdapat hadis-hadis yang menguatkannya.”
Juga diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi:
أَنَّهُ رَأَى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- وَضَعَ يَمِينَهُ عَلَى شِمَالِهِ ثُمَّ وَضَعَهُمَا عَلَى صَدْرِهِ
“Bahawasanya beliau (Wa’il bin Hujr) melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya, kemudian meletakkan keduanya di atas dadanya.” (Al-Baihaqi, Sunan Al-Kubra, no. 2336. Kata Al-Albani dalam Ahkamul Jana’iz, “Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Sunannya dari dua jalan yang setiap satunya saling memperkuatkan.”)
Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) meletakkannya di bawah bab:
بَابُ وَضْعِ الْيَدَيْنِ عَلَى الصَّدْرِ فِي الصَّلَاةِ مِنَ السُّنَّةِ
“Bab meletakkan dua tangan di atas dada di dalam solat adalah termasuk sunnah.” (Al-Baihaqi, Sunan Al-Kubra, 2/410. Di samping hadis-hadis berkaitan dan semakna yang lainnya)
Ulama Syafi’iyah berhujah dengan hadis ini (Hadis Wa’il bin Hujr) dalam menentukan posisi perletakan tangan (sedekap) ketika qiyam dalam solat. Hal ini boleh dilihat antaranya pada karya Imam An-Nawawi rahimahullah seperti Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/313 dan Syarh Shahih Muslim, 4/115.
Dari Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) dalam Al-Minhaj:
وَجَعْلُ يَدَيْهِ تَحْتَ صَدْرِهِ آخِذًا بِيَمِينِهِ يَسَارَهُ
“Dan meletakkan (sedekap) kedua tangannya di bawah dada, dengan tangan kanan di atas tangan kiri.” (Al-Minhaj, 1/33)
Kemudian dalam Al-Majmu’:
قد ذكرنا ان مذهبنا ان المستحب جعلهما تحت صدره فوق سرته
“Sebagaimana yang telah kami jelaskan bahawa mazhab kami memustahabkan (menyukai) meletakkan kedua tangan di bawah dada di atas pusat.” (Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, 3/313)
Kata Al-Imam An-Nawawi lagi:
من السنة في الصلاة وضع الكف على الاكف تحت السرة – واحتج اصحابنا بحديث وائل بن حجر قال ” صليت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم فوضع يده اليمني على يده اليسرى علي صدره ” رواه أبو بكر بن خزيمة في صحيحه
“Apa yang disunnahkan di dalam solat adalah menempatkan sedekap kedua tangan di bawah pusat – Mazhab kami berhujah dengan hadis Wa’il bin Hujr, beliau berkata:
“Aku telah bersolat bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya di atas dada beliau.” Diriwayatkan oleh Abu Bakr Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab oleh An-Nawawi, 3/313)
Di tempatn yang lain, Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
واذا وضع يديه حطهما تحت صدره فوق سرته هذا مذهب الشافعي والاكثرين وقال ابو حنيفة وبعض اصحاب الشافعي تحت سرته والاصح انه اذا ارسلهما أرسلهما ارسالا خفيفا إلى تحت صدره فقط ثم يضع اليمين على اليسار وقيل يرسلهما إرسالا بليغا ثم يستأنف رفعهماالى تحت صدره والله أعلم
“Apabila meletakan kedua tangan (setelah takbiratul ihram) adalah di bawah dada di atas pusat. Ini adalah mazhab Asy-Syafi’i kebanyakan dsari para ulama. Dan berkata Abu Hanifah serta sebahagian dari pengikut Asy-Syafi’i, kedua tangan diletakkan di bawah pusat. Adapun yang lebih tepat adalah dengan meletakkannya di bawah sedikit dari dadanya. Kemudian meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya…” (Syarh Shahih Muslim, 4/96)
Demikian juga sebagaimana kata Imam Muhammad bin Ismail Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H):
والحديث دليل على مشروعية الوضع المذكور في الصلاة ومحله على الصدر كما أفاد هذا الحديث وقال النووي في المنهاج: ويجعل يديه تحت صدره قال في شرح النجم الوهاج: عبارة الأصحاب تحت صدره يريد والحديث بلفظ على صدره قال وكأنهم جعلوا التفاوت بينهما يسيرا وقد ذهب إلى مشروعيته زيد بن علي وأحمد بن عيسى وروى أحمد بن عيسى حديث وائل هذا في كتابه الأمالي وإليه ذهبت الشافعية والحنفية
“Dan hadis ini (Hadis Wa’il bin Hujr) adalah dalil yang menunjukkan disyari’atkan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di dalam solat dan memposisikannya di atas dada sebagaimana dijelaskan oleh hadis tersebut.
An-Nawawi (Imam an-Nawawi rahimahullah, Wafat: 676H) menjelaskan di dalam kitab Al-Minhaj:
“Lalu memposisikan kedua tangannya di bawah dadanya.”
Kemudian beliau menyebutkan di dalam Syarah An-Najmu Al-Wahhaj:
“Ungkapan para sahabat kami “di bawah dada” diambil dari makna lafaz hadis “على صدره” (di atas dadanya), seakan-akan mereka menganggap bahawa perbezaan di antara keduanya hanyalah sedikit.”
Dan inilah pendapat Zaid bin ‘Ali dan Ahmad bin ‘Isa, dan Ahmad bin ‘Isa meriwayatkan hadis (Wa’il bin Hujr) di kitab Al-Amali, dan itulah pendapat Asy-Syafi’iyah dan Al-Hanafiyyah.” (lihat: Subulus Salam oleh Ash-Shan’ani, 1/169)
Demikianlah… hanya cuma, mereka menyatakan tempatnya adalah di bawah dada, di atas pusat. Iaitu di tengah-tengah di antara pusat dengan dada sedangkan mereka berhujjah dengan hadis Wa’il ini. Dan perkara ini adalah bertentangan dengan zahir hadis tersebut yang secara jelas menyatakan posisi sedekapnya tangan adalah di dada. Perkara ini telah pun diberi komentar olah Imam Muhammad bin ‘Ali Asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H) dalam Nail Al-Authar sebagaimana berikut:
وهذا الحديث لا يدل على ما ذهبوا إليه لأنهم قالوا إن الوضع يكون تحت الصدر كما تقدم والحديث صريح بأن الوضع على الصدر وكذلك حديث طاوس المتقدم ولا شيء في الباب أصح من حديث وائل
“Hadis Wa’il bin Hujr sama sekali tidak menyokong pendapat mereka ini, kerana mereka (sebahagian ulama Syafi’iyah) berpendapat bahawa tempat bersedekap adalah di bahagian bawah dada, manakala hadis Wa’il bin Hujr secara jelas menyebutkan tempatnya adalah di atas dada. Begitulah juga dengan hadis Thawus yang terdahulu. Dan tidak ada satu pun hadis yang lebih sahih dari hadis Wa’il B. Hujr ini.” (Nail Al-Authar oleh Asy-Syaukani, 2/203)
Dalam Al-Mughni, Ibnu Qudamah menjelaskan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal juga turut berhujjah dengan hadis Wa’il bin Hujr ini. Berikut nukilan dari Al-Mughni:
وَعَنْ أَحْمَدَ؛ أَنَّهُ يَضَعُهُمَا فَوْقَ السُّرَّةِ. وَهُوَ قَوْلُ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، وَالشَّافِعِيِّ؛ لِمَا رَوَى وَائِلُ بْنُ حُجْرٍ قَالَ: رَأَيْت النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فَوَضَعَ يَدَيْهِ عَلَى صَدْرِهِ إحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى
“Dari Imam Ahmad bin Hanbal bahawa beliau meletakkan tangannya di atas pusat. Ini adalah pendapat Sa’id bin Jubair dan Asy-Syafi’i kerana Wa’il bin Hujr meriwayatkan:
“Aku melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya, kemudian meletakkan keduanya di atas dadanya, satu tangan di atas tangan yang satu lagi.” (Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, 2/331)
Di dalam Fathul Bari (Syarh Shahih Al-Bukhari), Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah turut menyebutkan hadis dari Wa’il bin Hujr di atas tanpa sebarang komentar yang kemudiannya beliau menyatakan akan lemahnya hadis yang menyebutkan tempat letaknya tangan bersedekap di dalam solat adalah di bawah pusat dari hadis ‘Ali.
Berikut adalah nukilan dari beliau (Al-Hafiz Ibnu Hajar):
وقد روى بن خزيمة من حديث وائل أنه وضعهما على صدره والبزار عند صدره وعند أحمد في حديث هلب الطائي نحوه وهلب بضم الهاء وسكون اللام بعدها موحدة وفي زيادات المسند من حديث على أنه وضعهما تحت السرة وإسناده ضعيف
“Ibnu Khuzaimah meriwayatkan dari hadis Wa’il bin Hujr bahawasanya beliau (Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) meletakkan kedua tangannya di atas dadanya. Manakala riwayat Al-Bazzar disebutkan:
“Pada dadanya”.
Lafaz yang serupa dinukil pula oleh Imam Ahmad dari hadis Halb Ath-Tha’i. Kemudian dalam riwayat-riwayat yang ditambahkan ke dalam Musnad Imam Ahmad disebutkan dari hadis ‘Ali bahawa beliau meletakkan tangannya di bawah pusatnya, tetapi sanad riwayat ini adalah lemah (dha’if).” (Fathul Bari, 2/224)
Syaikh Bakr bin ‘Abdullah bin Abu Zaid rahimahullah berkomentar tentang hadis Wa’il bin Hujr serta perkataan Al-Hafiz Ibnu Hajar:
وأَصل الحديث في ((صحيح مسلم)) وغيره بدون لفظ ((الصدر)). وقد ذكر هذا الحديث الحافظ ابن حجر في كتبه وسكت عليه, ومقتضى شرطه في ((المقدمة / هدي الساري)): (ص / 4) أَن ما سكت عليه في ((الفتح)) فهو صحيح أَو حسن. وسكت عليه في ((بلوغ المرام)): (ص / 53), وفي ((التلخيص)): (1 / 224) وقد نبه السيوطي في ((الحاوي)): (2 / 212) إِلى شرط ابن حجر في ذلك
وساقه محتجاً به ابن القيم في ((إِعلام الموقعين)): (2 / 400) في آخرين. وظاهر أَن حُسْنَهُ بشواهده
“Asal bagi hadis ini terdapat dalam Shahih Muslim dan selainnya, tanpa lafaz “ash-Shadr” (dada). Al-Hafiz Ibnu Hajar telah menyebutkan hadis ini dalam beberapa kitabnya, dan beliau tidak memberikan sebarang komentar kepadanya. Adapun kandungan dari pensyaratan yang dibuat oleh Ibnu Hajar dalam Muqaddimah Hadyu as-Saari, m/s. 4 adalah bahawa semua hadis yang beliau tidak berikan komentar dalam Al-Fath (Fathul Bari), maka darjatnya adalah sahih atau hasan (menurut penilaiannya). Beliau juga tidak memberikan sebarang komentar bagi hadis ini di kitab Bulughul Maram, m/s. 53 dan At-Talkhis, 1/224.
Imam As-Suyuthi telah mengingatkan dalam Al-Hawi, 2/212 berkenaan syarat yang disusun oleh Ibnu Hajar dalam perkara tersebut. Ibnul Qayyim juga telah menyebutkan hadis tersebut sebagai hujjah dalam I’lam al-Muwaqqi’in, 2/400 untuk membantah pendapat-pendapat lain.
Secara zahirnya, bahawa status hadis ini adalah hasan dengan syawahid (banyaknya riwayat lain yang menguatkannya).” (lihat: Bakr bin ‘Abdullah Abi Zaid, Laa Jadiida fii Ahkamish Sholah, 1/11)
3, Hadis mursal daripada Thawwus, di mana beliau menyatakan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى يَدِهِ الْيُسْرَى، ثُمَّ يَشُدُّ بَيْنَهُمَا عَلَى صَدْرِهِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ
“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat, beliau biasa meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya lalu beliau menarik keduanya di atas dadanya.” (Sunan Abi Daud, no. 759. Al-Baihaqi, Ma’rifatus Sunan, no. 750. Dinilai sahih oleh Al-Albani, tetapi mursal kepada Thawus kerana beliau adalah tabi’in)
4, Dari atsar milik ‘Ali radhiyallahu ‘anhu (tentang tafsiran firman Allah):
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ: وضع يده اليمنى على وسط ساعده على صدره
“Maka solatlah untuk Rabb-mu dan berkorbanlah.” (Surah al-Kautsar, 108: 2), beliau meletakkan tangan kanannya pada pertengahan lengannya di atas dadanya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dalam At-Tarikh Al-Kabir, 5/437. Ibnu Jarir dalam Tafsirnya Jami’ Al-Bayan fii Ta’wil Al-Qur’an, 11/325. Ad-Daruquthni, 1/285)
Syaikh Bakr bin ‘Abdullah Abu Zaid rahimahullah berkata:
وعزاه في ((الدرر المنثور)): (8 / 650) لآخرين منهم: البيهقي. ولمّا ساق ابن كثير في ((تفسيره)) (8 / 528) هذا الأَثر قال: لا يصح، وعن الشعبي مثله
“Dalam Ad-Durr Al-Mantsur, 8/650: riwayat tersebut dinisbatkan kepada ulama hadis tertentu, di antaranya adalah Al-Baihaqi. Ketika Ibnu Katsir menyebutkan atsar ini dalam Tafsirnya, 8/528, beliau menyatakan:
“Atsar ini tidak sahih, tetapi ada atsar yang serupa daripada Asy-Sya’bi.” (lihat: Laa Jadiida fii Ahkamish Sholah oleh Bakr bin ‘Abdillah Abi Zaid, 1/12)
Syaikh Al-Albani setelah mengemukakan hadis-hadis ini, beliau berkata:
“Secara makna, hadis ini (meletakkan tangan di dada ketika qiyam solat) maknanya disebut dalam Al-Muwaththa’ oleh Imam Malik dan oleh Al-Bukhari dalam Shahihnya.”
Mungkin apa yang Syaikh Al-Albani maksudkan adalah sebagaimana hadis dari Sahl bin Sa’ad radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata
كان الناسُ يؤمَرون أن يضَع الرجلُ اليدَ اليُمنى على ذِراعِه اليُسرى في الصلاةِ
“Bahawa dahulu manusia diperintahkan meletakkan tangan kanan di atas lengan kirinya ketika solat.” (Muwaththa’ Imam Malik, no. 47. Shahih Al-Bukhari, no. 740)
Apabila ini dipraktikkan, maka kita akan dapati bahawa sedekap yang kita lakukan benar-benar berada di atas dada, atau bawah sedikit antara perut dengan dada.
Syaikh Al-Albani rahimahullah juga menyatakan, “Amalan dengan sunnah bersedekap di dada ini turut diamalkan oleh Imam Ishaq bin Rahawayh (Wafat: 238H). Berkata Imam Al-Marwazi dalam Al-Masaa’il (m/s. 222):
كان إسحاق يوتر بنا … ويرفع يديه في القنوت، ويقنت قبل الركوع، ويضع يديه على ثَدْيَيْهِ أو تحت الثديين
“Bahawa Ishaq pernah bersolat witir bersama kami… beliau mengangkat tangan beliau ketika qunut, dan beliau berqunut sebelum ruku’, beliau menempatkan tangan beliau di atas kedua payudaranya atau di bawahnya.”
Perkara yang sama turut disebutkan oleh Al-Qadhi ‘Iyadh Al-Maaliki dalam kitab Mustahabaatush Sholaah dari bab Al-I’lam:
ووضع اليمنى على ظاهر اليسرى عند النحر
“Dan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di An-Nahr (leher).” (Ashlu Shifatish Sholaah, 1/225-226)
Ulama berbeza pendapat pada pengangkatan tangan saat berqunut di dalam solat. Sebahagian mereka mengangkat atau menadah tangan ketika berqunut sebagaimana dimaklumi ketika berdoa, manakala sebahagian kecil ulama tidak mengangkat tangannya ketika qunut witr, tetapi dengan tetap mensedekapkan tangan mereka sebagaimana keadaan qiyam. Wallaahu a’lam.
Imam Ahmad Melarang At-Takfiir (التكفير) Dalam Solat?
Sebagai tambahan perbahasan, Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah menyebutkan dalam kitabnya Bada’i’ul Fawaa’id: “Imam Ahmad berkata pada riwayat Al-Muzani:
ويكره أن يجعلهما على الصدر. وذلك لما روي عن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أنه: نهى عن التكفير. وهو وضع اليد على الصدر
“Dan beliau membenci meletakkan kedua tangan di dada, kerana telah diriwayatkan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa beliau melarang dari melakukan At-Takfiir. Dan ia adalah meletakkan tangan di atas dada.”
Istidlal seperti ini agak menghairankan kerana jika hadis tersebut sahih, maka ia tidak-lah menunjukkan larangan At-Takfiir ketika solat (di waktu qiyam). Dan tidak setiap yang dilarang di luar solat juga dilarang ketika melaksanakan solat, bahkan juga sebaliknya. Sebagai contoh, kita diperintahkan untuk berdiri dalam solat sebagai bentuk pengagungan kepada Allah Ta’ala sedangkan kita dilarang melakukannya di luar solat kepada selain-Nya Subhanahu wa Ta’ala.
Mungkin hadis tersebut bermakna kinayah yang melarang merendahkan diri kepada selain Allah, seperti bersikap merendah kepada-Nya dengan meletakkan tangan di dada ketika melaksanakan solat. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang sedekap seperti ini kepada selain Allah kerana mengandungi makna merendahkan diri dan pengagungan kepada selain Allah Ta’ala.
Dengan penjelasan ini, maka hadis ini tidak ada kena-mengena dengan ritual solat manakala penfasiran At-Takfiir sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ahmad, kami tidak menemuinya pada apa yang ada di sisi kami dari kitab-kitab al-lughah (penjelasan bahasa), bahkan sebaliknya Imam Ibnul Atsir menjelaskan dalam kitabnya An-Nihayah:
التكفير: هو أن ينحنيَ الإنسان ويطأطئ رأسه قريباً من الركوع، كما يفعل من يريد تعظيم صاحبه
“At-Takfiir (التكفير): adalah perbuatan di mana seseorang membongkokkan (menundukkan) dan merendahkan kepalanya hampir seperti ruku’ sebagaimana dia melakukan ketika hendak menghormati sahabatnya.”
Dalam Al-Qaamuus disebutkan:
التكفير: أن يخضع الإنسان لغيره – وقال قبل أسطر: – والكَفْرُ – بالفتح -: تعظيم الفارسيِّ مَلِكَه
“At-Takfiir: adalah perbuatan di mana seseorang menundukkan dirinya kepada orang lain. Di perenggan sebelumnya: Al-Kafru (والكَفْرُ) dengan fathah: adalah cara orang-orang Parsi menghormati rajanya.”
Pensyarah kitab menambah:
وهو إيماء بالرأس من غير سجود
“Dan ia adalah bentuk isyarat dengan cara menundukkan kepala tanpa bersujud.”
Dan nash-nash para imam (dari kalangan ahli bahasa) ini menguatkan pendapat kami bahawa hadis tersebut tidak ada kena-mengena dengan ritual solat, dan hanya mengandungi makna larangan merendahkan diri kepada selain Allah Ta’ala. Itupun jika hadis yang dikemukakan tersebut sahih. Dan saya melihatnya sebagai tidak-lah sahih kerana kami tidak mendapati asal riwayat hadis tersebut di mana-mana kitab yang ada di sisi kami. (lihat: Ashlu Shifatish Sholaah oleh Syaikh Al-Albani, 1/224-225)
Kesimpulan:
1, Demikianlah beberapa hadis yang dipegang (sebagai hujjah) oleh sebahagian ulama bagi menetapkan sunnah meletakkan tangan di atas dada ketika qiyam di dalam solat. Di sini saya suka untuk menukilkan perkataan Syaikh Bakar bin ‘Abdillah Abu Zaid rahimahullah dalam soal ini:
أَنه لا يثبت حديث مرفوع في محل وضعهما من الجسد إِلاَّ ((على الصدر))، والأَمر واسع على أَي موضع من الصدر، على الثَّدْيَيْن، أَو تحتهما؛ إِذ لم يرد فيه تحديد في المحِلِّ مِنَ الصَّدْر
“Tidak ada satu hadis marfu’ pun yang menyebutkan tentang posisi meletakkan tangan (ketika qiyam dalam solat – pen.) pada tubuh selain di atas dada. Dalam hal ini, keadaannya adalah sangat luas, boleh pada mana-mana bahagian dada, iaitu sama ada di atas kedua payudaranya, atau di bawahnya kerana tiada pembatasan posisi perletakkan tangan tersebut pada dada.” (Laa Jadida fii Ahkamish Sholah oleh Syaikh Bakr bin ‘Abdillah Abu Zaid, m/s. 16 – Maktabah Syamilah)
Kemudian, Syaikh Bakar bin ‘Abdillah Abu Zaid rahimahullah turut memberikan peringatan supaya kita tidak berlebih-lebihan dalam meletakkan kedua tangan ketika bersedekap di dada dengan meletakkannya sehingga ke bahagian pangkal leher di bawah janggut. Beliau menyatakan bahawa ia adalah termasuk perkara yang baru di mana tiada satu sunnah pun yang menyebutkannya, tidak pula atsar atau pun pendapat yang boleh dipercayai.
Beliau juga turut memberikan komen kepada mereka yang berpendapat supaya meletakkan kedua tangan di bawah pusat (ketika bersedekap) supaya tidak berlebihan dalam menetapkannya. Kerana dibimbangi ia termasuk kepada perbuatan yang meremehkan sunnah apabila mereka menurunkannya sehingga meletakkan kedua tangannya sejajar di bahagian bulu kemaluan. Walau bagaimanapun, kedua-dua golongan mereka ini tetap telah melaksanakan sunnah dalam bersedekap (meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri), namun cuma mereka ini telah meremehkan sunnah meletakkan tangan yang bersedekap tersebut di atas dada. (lihat: Laa Jadida fii Ahkamish Sholah, m/s. 17 – Maktabah Syamilah)
2, Tidak pula disebutkan bahawa bersedekap tangan di atas dada (atau di dada) ketika solat itu menyerupai ultraman. Dan para ulama lainnya yang berselisih dalam perkara ini sama ada yang berpendapat bolehnya meletakkannya di atas pusat, di bawah pusat, pada pusat atau di dada sama sekali tidak pernah mentohmah dan mencaci di antara satu dengan yang lainnya.
Dan perkara ini (memperlekeh para ulama) hanya dilakukan oleh Zamihan al-Ghari yang lancang dan bongkak tetapi sebenarnya bodoh.
3 – Dan kaedah meletakkan tangan di atas dada ketika bersedekap di dalam solat itu bukanlah sebagaimana ditunjukkan oleh Zamihan di dalam rakaman videonya yang cuba bermain-main dengan praktikal agama serta memperlekeh sunnah lalu melabelkan pihak tertentu sebagai Wahhabi, anak Pak Wahhab, terpengaruh dengan ajaran Wahhabi, dan seperti ultraman. Tetapi ia adalah dengan cara yang kemas lagi tenang. Dan para ulama yang berbeza pendapat dalam perkara ini sentiasa bersikap tenang (berlapang dada) dan tidak ada sama sekali yang memberi contoh sikap seperti sikapnya Zamihan Al-Ghari. Berikut saya sertakan rakaman video yang berkaitan yang mungkin boleh dijadikan sebagai contoh dan panduan (bagi perbahasan ini):
Sumber Video: http://youtu.be/-rzDVTkEBZA
Penulis mengharapkan supaya Zamihan Al-Ghari dapat melakukan lebih kajian dan bersikap lebih hati-hati serta teliti. Semoga beliau segera menyedari kesilapannya, bertaubat, dan memperbaiki setiap keterlanjurannya. Zamihan sebenarnya bukan sekadar memperlekeh pandangan para ulama sama ada ulama silam mahupun kontemporari (masa kini), bahkan lebih dari itu, beliau terlalu terburu-buru dan lancang dalam menyikapi hadis-hadis nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Atau mungkin dengan perkataan yang lebih sopan, mungkin sahaja beliau ini adalah merupakan orang yang jahil dalam berinteraksi dengan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sehingga tidak mengerti adab-adab dalam beragama, tetapi cuba berlagak pandai di hadapan orang awam. Atau mungkin juga boleh dikatakan dengan perkataan yang lebih keras dan tegas bahawasanya beliau ini sengaja bertindak sebagai seorang pendusta dan penyesat!
Dan sebagai peringatan, Allah memerintahkan supaya meninggalkan orang-orang yang menjadikan agama Islam sebagai bahan untuk bermain-main serta senda-gurau.
Berikut firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا
“Dan tinggalkan-lah orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan senda-gurau.” (Surah Al-An’am, 6: 70)
Wallahu a’lam… dan kepada Allah-lah kita memohon pertolongan, petunjuk dan taufiq.
4 Comments
mohon ana sebar kepada sahabat2…tabahlah wahai pendakwah sunnah…Allah bersama kita sumer..inshaAllah
Actually this Zamihan is indirectly belittling and speaking-ill of our Prophet's (s.a.w) sunnah. He has education and yet he does this?!
The worst of people are the educated munafiques who intend to lead people astray and may Allah blind them and give them long and suffering life and heinous death. Ameen.
Oh Allah, place us among the pious and the muhsineen. And keep us away from such insolent pretenders. As long as You are happy with us, kholas. Ameen.
Memperlekehkan sunnah Nabi. Apa hukumnya?
perlekehkan sunnah nabi bukan ke sama mcm perlekehkan dan hina nabi? Kalau ya, maka hukumnya ialah hukum mati jika tak bertaubat. Ijma' ulama. Itu yg ana tahu.