117 – PERKARA-PERAKA YANG WAJIB DIJAUHI OLEH ORANG YANG BERPUASA

PERKARA-PERAKA YANG WAJIB DIJAUHI OLEH ORANG YANG BERPUASA

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Sama-samalah kita untuk mentaati Rabb Jalla Sya’nuhu dengan sedaya upaya. Maka, dengan itu perlulah kita memahami bahawa yang dinamakan orang yang berpuasa adalah mereka yang berusaha bersungguh-sunguh dalam menjaga seluruh anggota badannya dari dosa, dan menjaga lisannya dari perkataan dusta, kotor, dan keji, menahan perutnya dari makan dan minum, dan memelihara kemaluannya dari perbuatan yang keji. Jika berbicara dia berbicara dengan perkataan yang tidak merosakan puasanya, hingga menjadilah perkataannya dan perbuatannya itu hanya yang baik-baik dan amalannya adlaah amalan-amalan yang soleh.

Inilah ciri-ciri puasa yang disyari’atkan oleh Allah dan bukanlah hanya sekadar tidak makan dan minum serta tidak menunaikan syahwat. Puasa adalah dengan berpuasanya anggota badan dari dosa, puasanya perut dari makan dan minum, sebagaimana halnya makan dan minum merosak puasa, demikian pula perbuatan dosa berupaya merosakkan pahalanya, merosak buah puasa sehingga menjadikan dia seperti orang yang tidak berpuasa.

Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam telah menganjurkan seorang muslim yang puasa untuk behias dengan akhlak yang mulia dan soleh, menjauhi perbuatan keji, hina dan kasar. Perkara-perkara yang buruk ini walaupun seorang muslim diperintahkan untuk menjauhinya setiap hari, namun larangannya lebih ditekankan lagi ketika sedang menunaikan puasa yang wajib.

Seseorang muslim yang berpuasa, dia wajib menjauhi amalan yang boleh merosakkan puasanya tersebut, sehingga bermanfaatlah puasanya dan tercapailah ketaqwaan yang Allah sebutkan (yang ertinya): “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian.” (Surah al-Baqarah, 2: 183). Kerana puasa adalah pengantar kepada ketaqwaan, puasa menahan jiwa dari banyak perbuatan maksiat, berdasarkan sabda Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wasallam (yang ertinya): “Puasa adalah perisai”, dan perkara ini telah pun dijelaskan dalam bab keutamaan berpuasa.

Beginilah adanya di mana amalan-amalan buruk yang harus kita sama-sama ketahui agar mampu kita menjauhinya dan tidak terjatuh ke dalamnya. Bagi Allah lah untaian syair:

“Aku mengenal kejahatan bukan untuk berbuat jahat,
Tapi untuk menjauhinya…

Dan barangsiapa yang tidak tahu membezakan kebaikan dari keburukkan,
Maka akan terjatuhlah ke dalamnya…”

1. Perkataan palsu (Qauluz Zuur)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Barangsiapa yang tidak meninggalkan qauluz zuur (perkataan dusta) dan pengamalkannya, Allah tidak memerlukan orang tersebut untuk meninggalkan makanan dan minumannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/99))

2. Berkata/berbuat sia-sia dan kotor

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Puasa bukanlah dari makan dan minum (semata), tetapi puasa itu menahan diri dari perkataan-perkataan yang tidak bermanfaat dan perkataan-perkataan yang kotor. Oleh kerana itu, jika ada orang yang mencelamu, katakanlah: “Aku sedang berpuasa, sesungguhnya aku sedang berpuasa”.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah (1996), al-Hakim (1/430-431). Sanadnya sahih)

Oleh kerana itu, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam mengancam dengan ancaman yang keras kepada orang-orang yang melakukan sifat-sifat tercela ini.

Beliau pernah bersabda (yang ertinya): “Ramai orang yang berpuasa, namun hanya mendapatkan lapar dan dahaga (dari puasanya).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah (1/539), ad-Darimi (2/221), ). Ahmad (2/441, 373), al-Baihaqi (4/270) dari jalan Said al-Maqbari dari Abu Hurairah. Sanadnya sahih)

Dan antara punca terjadinya perkara sedemikian adalah kerana ramai di antara mereka yang berpuasa gagal memahami hakikat berpuasa yang sebenar, sehingga Allah memberikan keputusan atas perbuatan tersebut dengan tidak memberikan pahala kepadanya. (Lihat: Kitab Riyadhush Shalihin (1215)).

Oleh sebab itulah Ahlul Ilmi dari generasi salafus soleh membezakan di antara larangan untuk makna yang dikhususkan pada ibadah sehingga membatalkannya dengan larangan yang tidak dikhususkan pada ibadah sehingga tidak membatalkannya. (Rujuk: Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam (hal. 58) oleh Ibnu Rajab al-Hanbali)