096 – Sunnahkah – Berdoa & Berzikir Dengan Berjama’ah, Berlagu, Dan Menangis?

Sunnahkah – Berdoa & Berzikir Dengan Berjama’ah, Berlagu, Dan Menangis?

Mukaddimah

As-Salaamu ‘alaikum,

Artikel ini asalnya adalah sebuah tulisan (berbentuk buku) bantahan yang disusun untuk membantah dan memberi pencerahan terhadap sebuah buku berjudul “Dzikir Berjama’ah: Sunnah Atau Bid’ah?” karya KH Ahmad Dimyathi Badruzzaman, MA. Artikel ini adalah asalnya milik Ustaz Muhammad Arifin Baderi (Indonesia).

Namun, telah saya sunting semula susunan kandungannya dan penggunaan bahasanya supaya nampak lebih bercorak umum dan sesuai sebagai bacaan di peringkat yang lebih umum untuk pembaca di Malaysia. Judul asal tulisan Ustaz Muhammad Arifin Baderi adalah “Sorotan Tajam Terhadap Dzikir Jama’i”.

Melalui artikel ini, ia cuba merungkaikan semula sunnah berzikir dengan memberi penjelasan dan pencerahan terhadap persoalan bagaimanakah sunnah yang sebenar dalam melaksanakan ibadah zikir sekaligus merungkai apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan zikir. Seterusnya ia akan membahaskan (membantah) persoalan berkenaan amalan zikir dengan suara yang dikuatkan (dikeraskan), dinyaringkan, dan dilagukan. Yang mana sebenarnya zikir dengan bentuk suara tersebut adalah sebenarnya menylisihi sunnah.

Juga akan turut diperbincangkan adalah amalan zikir yang dilakukan secara berjama’ah yang telah menjadi seakan-akan suatu sunnah serta syi’ar agama di kalangan masyarakat Islam di sekeliling kita, yang mana sebenarnya ia bukanlah sunnah tetapi bid’ah.

– Nawawi

Pendahuluan

Zikir atau membaca puji-pujian adalah salah satu ibadah yang paling agung. Setelah mengingatkan kaum muslimin akan kenikmatan-Nya di mana ketika diubahnya kiblat mereka dari Bait al-Maqdis dan diutusnya Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam, Allah ta’ala memerintahkan mereka agar berzikir kepada-Nya:

“Kerana itu, ingatlah kepada Aku niscaya Aku akan ingat kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, serta janganlah kamu mengingkari (kenikmatan)-Ku.” (al-Baqarah, 2: 152)

Pada ayat ini terdapat suatu isyarat bahawa zikir adalah ibadah yang agung, kerana zikir merupakan penzahiran yang nyata terhadap rasa syukur kepada Allah Ta’ala atas kenikmatan besar ini, iaitu dengan diubahnya kiblat kaum muslimin menjadi ke arah Ka’bah, dan diutusnya Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam (s.a.w). Dan dalam ayat lain, Allah subhanahu wa Ta’ala (s.w.t.) berfirman:

“Dan laki-laki dan perempuan yang banyak berzikir menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.” (al-Ahzab, 33: 35)

Kerana itulah, kita sebagai seorang muslim meyakini bahawa Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam telah melaksanakan tugas menjelaskan ibadah ini dengan sempurna. Dan mustahil ada kekurangan dalam penjelasan beliau tentang ibadah ini, sama ada kekurangan yang berkaitan dengan jenis, waktu, atau metode/kaedah pelaksanaannya.

Oleh kerana itu, jika kita perhatikan tidaklah ada suatu keadaan atau waktu yang kita dianjurkan untuk berzikir secara khusus padanya, melainkan beliau telah menjelaskan kepada umatnya. Beliau telah menjelaskan zikir tersebut lengkap dengan tata caranya. Dimulai dari zikir semenjak kita bangun tidur, sehingga kita hendak tidur kembali. Bahkan di ketika kita terjaga di waktu malam, telah diajarkan dan ditunjukkan/dicontohkan zikir-zikir yang sesuai dengannya. Bila kita membuka pelbagai kitab-kitab kumpulan zikir Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang ditulis oleh para ulama’, niscaya kita akan mendapati bahawa seluruh keadaan manusia dan perbuatannya, sama ada dalam solat atau di luar solat, telah diajarkan zikir yang sesuai dengan keadaan itu. Para pembaca yang budiman dijemput dan dipersilakan membaca kitab al-Adzkar karya/susunan Imam Nawawi asy-Syafi’i.

Berdasarkan suasana semasa di masa ini, selain menjadi kenikmatan, juga ada sebahagian keadaan dan tempat menjadi tentangan bagi kita. Sejauh manakah pengamalan kita terhadap sunnah-sunnah beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam dalam berzikir kepada Allah?

Oleh kerananya, tidak ada alasan lagi bagi sesiapa pun untuk mereka-cipta zikir yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Mari kita selidiki hadis berikut, dengan harapan agar kita mendapat pelajaran penting tentang tata cara berzikir:

“Dari sahabat al-Bara’ bin ‘Azib, bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Bila engkau akan berbaring tidur, hendaklah engkau berwudhu’ seperti engkau berwudhu’ untuk solat. Kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu, lalu katakanlah: “Ya Allah, sesungguhnya aku menyerahkan wajahku kepada-Mu, dan menyerahkan urusanku kepada-Mu. Dengan rasa mengharap (kerahmatan-Mu) dan takut (akan siksa-Mu) aku menyandarkan punggungku kepada-Mu. Tiada tempat perlindungan dan keselamatan (dari siksa-Mu) melainkan kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab-Mu yang telah Engkau turunkan, dan Nabi-Mu yang telah Engkau utus.” Dan jadikanlah bacaan (doa) ini sebagai akhir perkataanmu, kerana jika engkau mati pada malam itu, niscaya engkau mati dalam keadaan menetapi fitrah (agama Islam).” Al-Bara’ bin ‘Azib berkata: “Maka aku mengulang-ulang bacaan (doa) ini, untuk menghafalnya, dan mengatakan: “aku beriman kepada Rasul-Mu yang telah Engkau utus.” Nabi pun bersabda: “Katakan: Aku beriman kepada Nabi-Mu yang telah Engkau utus.” (Riwayat al-Bukhori, 5/2326, hadis no: 5952. Dan Muslim, 4/2081, hadis no: 2710)

Al-Bara’ bin ‘Azib salah mengucapkan doa ini di hadapan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Yang seharusnya ia mengucapkan: “Aku beriman kepada Nabi-Mu yang telah Engkau utus”, ia ucapkan: “Aku beriman kepada Rasul-Mu yang telah Engkau utus”. Perbezaannya hanya kata “Nabi” dan kata “Rasul”, padahal yang dimaksudkan dari keduanya sama, iaitu Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam. Walau pun demikian, Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam tidak membiarkan kesalahan ini terjadi, sehingga beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam sendiri menegur sahabat al-Bara’ agar membenarkan ucapannya.

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa zikir kepada Allah adalah salah satu bentuk ibadah, dan setiap ibadah diatur oleh sebuah kaedah penting, iaitu:

“Hukum asal setiap ibadah ialah tauqif (harus ada contohnya dari Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam)”

Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata:

“Hukum asal setiap ibadah ialah tauqif (harus ada contohnya dari Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam), sehingga tidak boleh dibuat ajaran melainkan yang telah diajarkan oleh Allah Ta’ala. Kalau tidak demikian niscaya kita akan termasuk ke dalam firman Allah:

“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan lain yang mensyari’atkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?!” (asy-Syura, 42: 21)

Sedangkan hukum asal setiap adat istiadat adalah diperbolehkan, sehingga tidak boleh ada yang dilarang melainkan suatu hal yang telah diharamkan oleh Allah. Kalau tidak demikian niscaya kita akan termasuk ke dalam firman Allah:

“Katakanlah: Terangkanlah kepadaku tentang rezeki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebahagiannya haram dan (sebagiannya) halal.” (Yunus, 12: 59) (Lihat: Majmu’ Fatawa, oleh Ibnu Taimiyyah 29/17).

Apabila Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam menegur kesalahan al-Bara’ bin ‘Azib mengucapkan satu kata dalam zikir yang beliau ajarkan, maka bagaimana halnya seandainya yang dilakukan oleh Bara’ bin ‘Azib ialah zikir hasil ciptaannya sendiri?

Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani asy-Syafi’i, berkata:

“Pendapat yang paling tepat tentang hikmahnya Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam membenarkan ucapan orang yang mengatakan “Rasul” sebagai ganti kata “Nabi” adalah: Bahawa bacaan-bacaan zikir adalah bersifat tauqifiyyah (harus ada tuntunannya), dan bacaan-bacaan zikir itu memiliki keistimewaan dan rahsia-rahsia yang tidak dapat diketahui dengan cara qiyas, sehingga wajib kita memelihara lafaz (zikir) sebagaimana diriwayatkan.” (Lihat: Fathul Bari oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani, 11/112).

Maksud & Pengertian Zikir

Zikir berasal dari kalimat ذكر، يذكر، ذكرا yang membawa maksud mengingat sesuatu atau menyebutnya selepas terlupa atau berdoa kepada Allah. Zikir juga membawa maksud mengingat sesuatu atau menghafaz sesuatu. Juga dapat dimaksudkan dengan sesuatu yang disebut dengan lidah atau suatu yang baik. (Rujuk al-Qamus oleh Fairuz Abadi, Lisanul Arab, dan Mu’jam al-Wasit)

Menurut Imam an-Nawawi, “Berzikir adalah suatu amalan yang disyari’atkan dan sangat dituntut di dalam Islam. Ia boleh dilakukan dengan hati atau lidah. Afdhalnya dengan kedua-duanya sekali”. (Rujuk: al-Adzkar, m/s. 23)

Zikir juga bermaksud solat, membaca al-Qur’an, bertasbih, berdoa, bersyukur, dan taat. (Rujuk: Lisanul Arab)

Zikir menurut syari’at ialah setiap ucapan yang dilakukan bagi tujuan memuji dan berdoa. Iaitu lafaz yang digunakan untuk beribadah kepada Allah, berkaitan dengan pengangungan terhadap-Nya dengan menyebut nama-nama atau sifat-sifat-Nya, memuliakan dan mentauhidkan-Nya, bersyukur dan mengangungkan Zat-Nya, membaca kitab-Nya, dan berdoa kepada-Nya. (Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, jil. 21, m/s. 220)

Imam an-Nawawi di dalam kitabnya, “Ketahuilah bahawa sesungguhnya zikir tidak hanya tasbih, tahlil, dan takbir, bahkan zikir ialah setiap amalan ketaatan yang dilakukan kerana Allah”. (Rujuk al-Adzkar, m/s. 7)

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, “Zikrullah juga bermaksud berterusan melakukan perkara yang wajib atau yang sunat seperti membaca al-Qur’an, membaca hadis, dan mengikuti majlis-majlis ilmu. Seperti yang dinyatakan di dalam Kitab Nuzhatu al-Muttaqin; Zikir meliputi solat, membaca al-Qur’an, berdoa untuk kebaikan di dunia dan akhirat serta menuntut ilmu.” (Fathul Bari, 11/250)

Perintah, Galakkan, Dan Saranan Berzikir

“Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (menyebutlah nama) Allah, dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzab, 33: 41-42)

Ayat ke-42 ini mengisyaratkan bahawa berzikir kepada Allah subhanahu wa Ta’ala boleh dilakukan dalam apa jua waktu.

“(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali Imran, 3: 191)

Ayat ini dengan jelas menyebutkan bahawa berzikir kepada Allah subhanahu wa Ta’ala dapat dilakukan dalam segala situasi dan kadaan, sama ada di ketika berdiri, atau duduk, atau ketika sedang berbaring.

Ganjaran Bagi Mereka Yang Berzikir

Allah subhanahu wa Ta’ala amat menyukai golongan yang sentiasa berzikir dan mengingati-Nya. Pelbagai ganjaran dan kedudukan tertentu akan diberikan kepada individu yang sentiasa menjaga dan melaksanakan zikir dengan sebaik-baiknya. Sebahagiannya, dapat kita lihat melalui beberapa dalil sebagaimana berikut,

Allah Menyediakan Ampunan Dan Pahala;

“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” (al-Ahzaab, 33: 35)

Dimasukkan Ke Dalam Golongan Ahli Zikr;

“Dari Abi Sa’id dan Abi Hurairah radhiallahu ‘anhuma (r.a.) bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Bila seorang suami membangunkan isterinya pada malam hari, kemudian keduanya solat dua raka’at, niscaya keduanya dicatat termasuk laki-laki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah.” (Riwayat Abu Dawud, 2/33, hadis no: 1309, Ibnu Majah 1/423, hadis no:1335, dan Al Hakim 2/452, hadis no: 3561)

Allah Sentiasa Mengingati Mereka Yang Berzikir;

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.” (al-Baqarah, 2: 152)

Menurut Sheikh Abdur Rahman bin Nashir as-Sa’di dalam menafsirkan ayat tersebut (Rujuk: Tafsir as-Sa’di), “Zikir kepada Allah subhanahu wa Ta’ala yang paling istimewa adalah zikir yang dilakukan dengan hati dan lisan iaitu zikir yang menumbuhkan ma’rifat kepada Allah, kecintaan kepada-Nya dan menghasilkan ganjaran yang banyak dari-Nya. Zikir adalah puncaknya rasa syukur, oleh kerana itu Allah memerintahkan hal tersebut secara khusus, kemudian memerintahkan untuk bersyukur secara umum seraya berfirman, (maksudnya) “Dan bersyukurlah kepada-Ku”, maksudnya, terhadap apa yang telah Aku nikmatkan kepada kalian dengan nikmat-nikmat tersebut dan Aku jauhkan dari kalian pelbagai jenis kesulitan. Syukur itu dilakukan dengan hati berbentuk pengakuan atas kenikmatan yang diperolehinya, dengan lisan berbentuk zikir dan pujian, dan dengan anggota tubuh berbentuk ketaatan Allah serta kepatuhan terhadap perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.”

Hati Orang Yang Berzikir Dikurniakan Ketenangan;

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. Orang-orang yang beriman dan beramal sholeh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.” (ar-Ra’d, 13: 28-29)

Diberi Kejayaan Dan Keberuntungan;

“Hai orang-orang yang beriman. Apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu berjaya.” (al-Anfal, 8: 45)

Melindungi Diri Dari Gangguan Syaitan;

Banyak sekali zikir-zikir dan doa dari hadis-hadis mahupun al-Qur’an yang menjadi panduan buat kita untuk menjauhkan diri dari gangguan syaitan dalam keadaan dan waktu-waktu tertentu. Sebagimana contohnya adalah ayat al-Qursi dan doa-doa yang lain.

“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (az-Zukhruf, 43: 36)

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan azd-Dzikr (al-Quran), dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (al-Hijr, 15: 9)

Zikir Menghapuskan Dosa;

Rasulullah shollahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidaklah seseorang manusia mengamalkan satu amalan yang lebih menyelamatkan dirinya dari azab Allah iaitu dengan Zikrullah.” (Rujuk: Shahihul Jami’, no. 5644, oleh al-Albani)

Berzikir Dengan Perlahan Dan Merendah Diri Adalah Sunnah

Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan berzikirlah (sebutlah) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan senja, dan janganlah kamu menjadi orang yang lalai.” (al-A’araf, 7: 205)

Imam al-Qurthubi al-Maliki ketika menafsirkan ayat ini berkata:

“وَدُونَ الْجَهْر – Dunal Jahri – (tidak mengeraskan suara) maksudnya ialah: tidak meninggikan suara, iaitu cukup dengan memperdengarkan diri sendiri, sebagaimana firman Allah: ‘dan carilah jalan tengah di antara keduanya itu.’ Maksudnya: antara mengeraskan suara dan merendahkannya. Dan ayat ini menunjukkan bahawa meninggikan suara ketika berzikir adalah terlarang.” (al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an, oleh al-Qurthubi al-Maliki, 7/355)

Imam Ibnu Katsir menafsirkan ayat ini dengan berkata:

“Maksudnya: berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rasa harap dan takut, dan dengan suaramu (lisanmu) tanpa mengeraskannya, oleh kerana itu Allah berfirman:

“dan dengan tidak mengeraskan suara”, dan demikianlah yang disunnahkan, hendaknya zikir itu (dengan suara) tidak seperti suara memanggil, dan suara yang terlalu keras, oleh kerana itu tatkala para sahabat bertanya kepada rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, dan mereka berkata: Apakah Tuhan kita itu dekat, sehingga kita bermunajat (berdo’a dengan berbisik-bisik) kepada-Nya ataukah jauh sehingga kita memanggilnya? Maka Allah turunkan firman-Nya:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku itu dekat, Aku mengabulkan permohonan orang yang memohon, bila ia memohon kepada-Ku.” (al-Baqarah, 2: 186). (Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim, oleh Ibnu Katsir 2/281). Inilah keterangan Ibnu Katsir secara lengkap, dan pada penjelasanya ini, beliau menyebutkan tiga bentuk suara: suara yang tidak keras dan sewajarnya, yang beliau ungkapkan dengan بالقول لا جهرا, panggilan/seruan نداء dan suara yang terlalu keras بليغا جهرا, dan suara yang tidak sampai pada tingkat panggilan dan juga tidak terlalu keras, inilah yang dimaksudkan dalam hadis-hadis dan ucapan para ulama’ yang menjelaskan dibolehkannya mengeraskan suara, bukan seperti yang dilakukan oleh kebanyakan masyarakat masa ini dengan mengadakan kumpulan-kumpulan zikir berjema’ah yang diketuai oleh seorang tekong dengan menggunakan pembesar suara.

Di antara dalil-dalil yang menguatkan pendirian dan prinsip ini adalah hadis riwayat Khalifah Mu’awiyah bin Abi Sufyan radhiallahu ‘anhuma, ia menuturkan:

“Sesungguhnya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam pernah keluar rumah menuju ke suatu halaqah (perkumpulan) sebahagian sahabatnya, kemudian beliau bersabda: Apakah yang membuat kalian duduk-duduk? Mereka-pun menjawab: Kami berzikir kepada Allah dan memuji-Nya atas hidayah beragama Islam yang telah Ia karuniakan kepada kami. Beliau bersabda: Demi Allah, benarkah kalian tidak duduk-duduk melainkan kerana itu? Mereka menjawab: Demi Allah, tidaklah kami duduk-duduk melainkan kerana itu. Beliau bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya aku tidaklah bersumpah kerana mencurigai kalian, akan tetapi Malaikat Jibril datang kepadaku dan mengkhabarkan bahawa Allah Azza wa Jalla membangga-banggakan kalian di hadapan para malaikat.” (Riwayat Muslim 4/2075, hadis no: 2701)

Seandainya para sahabat yang duduk-duduk berjamaah ini berdizikir dengan diketuai oleh seorang tekong, dengan satu suara (jama’i), dan satu bacaan, dan dengan mengeraskan (menguatkan) suara, niscaya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam tidak perlu bertanya kepada mereka tentang apa yang mereka lakukan. Hal ini (sebagaimana dikatahui bersama) kerana rumah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam melekat dengan dinding masjidnya, sehingga bila zikir mereka bercirikan zikir yang dikuatkan/dilagukan dengan suara yang tinggi, sudah tentulah akan terdengar oleh beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam, dan beliau tidak perlu lagi bertanya tentang apa yang mereka lakukan.

Juga sama-sama kita renungkan pertanyaan para sahabat kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam: “Apakah Tuhan kita itu dekat, sehingga kita bermunajat (berdo’a dengan berbisik-bisik) kepada-Nya ataukah jauh sehingga kita memanggilnya?”

Bila perbezaan antara ketiga-tiga jenis suara ini telah jelas, maka mari kita renungkan hadis berikut:

“Dari Abi Musa rodiallahu ‘anhu ia berkata: Kami pernah bersama Rasulullah dalam suatu perjalanan, kemudian orang-orang mengeraskan suara takbir mereka, maka Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Wahai para manusia, kasihanilah dirimu dan rendahkanlah suaramu! sesungguhnya kamu tidak sedang menyeru Zat yang tuli dan tidak juga jauh. Sesungguhnya kamu sedang menyeru Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat.” (Riwayat al-Bukhori, 3/1091, hadis no: 2830. Dan Muslim, 4/2076, hadis no: 2704)

Imam an-Nawawi menjelaskan maksud hadis ini dengan berkata:

“Kasihanilah dirimu, dan rendahkanlah suaramu, kerana mengeraskan suara, biasanya dilakukan seseorang, kerana orang yang ia ajak berbicara berada di tempat yang jauh, agar ia mendengar ucapannya. Sedangkan kamu sedang menyeru Allah Ta’ala, dan Dia tidaklah tuli dan tidak juga jauh, akan tetapi Dia Maha Mendengar dan Maha Dekat …Sehingga dalam hadis ini ada anjuran untuk merendahkan suara zikir, selama tidak ada keperluan untuk mengerasakannya, kerana dengan merendahkan suara itu lebih menunjukkan akan penghormatan dan pengagungan. Dan bila ada kepentingan untuk mengeraskan suara, maka boleh untuk dikeraskan, sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis.” (Syarah Shahih Muslim, oleh Imam an-Nawawi 17/26).

Dari keterangan Imam an-Nawawi ini kita dapat menyimpulkan bahawa pada dasarnya setiap orang yang berzikir itu adalah dengan merendahkan suaranya, kecuali bila ada alasan untuk mengeraskannya, sebagai contoh misalnya apabila seorang imam yang hendak mengajari dan menunjukkan makmumnya wirid-wirid dan zikir-zikir yang dahulu diucapkan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam asy-Syafi’ rahimahullah. Hal ini sebagaimana yang dilakukan oleh sahabat Ibnu Abbas rodiallahu’anhu di ketika dia menjadi imam dalam solat janazah dan hendak mengajarkan kepada makmumnya bahawa disunnahkan membaca al-fatihah dalam solat janazah:

“Dari Thalhah bin Abdillah bin ‘Auf ia berkata: Aku pernah mensolati jenazah di belakang (berjamaah dengan) Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma, maka beliau membaca surat al-Fatihah (dengan suara keras), kemudian beliau berkata: Agar mereka mengetahui bahawa ini (membaca al-fatihah dalam solat jenazah) adalah sunnah).” (Riwayat Bukhori, 1/448, hadis no: 1270)

Adapun hadis Ibnu Abbas rodiallahu’anhu:

“Bahawa mengeraskan suara ketika berzikir sebaik sahaja orang-orang mendirikan solat fardhu selesai, biasa dilakukan pada zaman Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, dan Ibnu Abbas berkata: Dahulu aku mengetahui bahawa mereka telah selesai dari solatnya, bila aku telah mendengarnya (suara zikir).” (Riwayat Bukhori, 1/288, hadis no: 805. Dan Muslim 1/410, hadis no: 583)

Berikut ini adalah perkataan Imam asy-Syafi’i rahimahullah Ta’ala dalam menafsirkan hadis tersebut, “Bahawa beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam mengeraskan suaranya dalam beberapa waktu sahaja, ini adalah bagi tujuan mengajari (menunjukkan) sahabatnya cara berzikir, bukanlah bererti mereka (Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dan sahabatnya) sentiasa mengeraskan suaranya. Beliau (asy-Syafi’i) berkata: ‘Saya berpendapat bahawa seorang imam dan makmumnya hendaknya mereka berzikir kepada Allah, sebaik sahaja selesai menunaikan solatnya, dan seharusnya mereka merendahkan suara zikirnya, kecuali bagi seorang imam yang ingin agar para makmumnya belajar (zikir) darinya, maka ia boleh mengeraskan zikirnya, hingga bila ia sudah merasa bahawa mereka telah cukup belajar (memahami zikirnya), ia kembali merendahkannya.’” (Syarah Shahih Muslim oleh an-Nawawi 5/84. Dan Fathul Bari, oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani, 2/326. Rujuk juga kitab al-Umm oleh asy-Syafi’i, 1/126-127)

Kesimpulan Imam asy-Syafi’i ini didukung oleh beberapa hal berikut ini:

“Diriwayatkan dari Qais bin ‘Abbad ia berkata: Dahulu para sahabat Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam tidak menyukai untuk mengeraskan suara pada tiga keadaan, iaitu: di saat berperang, menghadiri janazah, dan pada saat berzikir.“ (Riwayat Ibnu Abi Syaibah, 6/143, no: 30174, Al Baihaqi 4/74, dan Al Khathib Al Baghdadi dalam kitabnya Tarikh baghdad 8/91)

Imam an-Nawawi dalam kitabnya, at-Tahqiq berkata:

“Disunnahkan untuk berzikir dan berdo’a setiap kali selesai solat (lima waktu) dan hendaknya ia merendahkan suaranya. Bila ia seorang imam dan hendak mengajarkan makmumnya (bacaan zikir) maka ia boleh untuk mengeraskan suaranya, kemudian bila mereka telah cukup belajar (apabila makmumnya telah memahami zikirnya), ia kembali merendahkannya (suaranya).” (at-Tahqiq oleh an-Nawawi: 219).

Ucapan beliau pada kitab ini, menjelaskan maksud dari ucapan beliau pada kitab-kitabnya yang lain, hal ini kerana kitab at-Tahqiq adalah antara salah satu buku yang paling akhir yang beliau tuliskan, sehingga pendapat beliau dalam buku ini harus didahulukan berbanding pendapat beliau pada buku-buku yang lainnya, terlebih lagi apabila dibandingkan dengan kitabnya Syarah Shahih Muslim. (Rujuk: Muqaddimah kitab at-Tahqiq oleh Syeikh ‘Adil Abdul Maujud).

Maka dengan penjelasan ini juga menunjukkan bahawa amalan kebanyakan masyarakat pada hari ini yang menguatkan dan meninggikan suara di kala ketika berzikir adalah suatu kesilapan, kesalahan dan perbuatan yang menyalahi petunjuk as-Sunnah dan wahyu. Serta menyelisihi kalam dan pendirian para imam yang terawal.

Sebagai kesimpulan, kaedah yang benar adalah melaksanakan zikir dengan suara yang perlahan, cukup untuk kita sendiri yang memahami dan mendengarnya. Tidak perlu dikeraskan suara, apatah lagi dilagukan zikirnya dengan nada dan irama-irama yang tertentu.

Bantahan Terhadap Amalan Bolehnya Zikir Berjama’ah

Sebahagian besar daripada kelompok umat Islam hari ini di sekitar kita telah sebati dan menganggap bahawa amalan zikir secara berjema’ah dan dengan suara yang dinyaringkan adalah sebahagian daripada sunnah yang memiliki tuntunan (panduan) dari syari’at.

Oleh itu, sebahagian daripada susunan artikel ini telah dikhaskan untuk memberi pencerahan semula terhadap amalan tersebut dan sekaligus membantah keras terhadap corak dan bentuk amalan tersebut berdasarkan dalil-dalil yang akurat berserta kalam para ulama generasi awal.

Dalil-Dalil Yang Disangka Menjadi Sandaran Zikir Berjema’ah;

“Dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri rodhiallahu ‘anhuma, mereka berdua bersaksi bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Tidaklah suatu kaum duduk-duduk menyebut nama Allah Azza wa Jalla (berzikir), melainkan mereka akan dikelilingi oleh para malaikat, dan dipenuhi oleh kerahmatan, dan akan turun kepada mereka kedamaian, dan mereka akan disebut-sebut oleh Allah dihadapan para malaikat yang ada di sisi-Nya.” (Riwayat Imam Muslim 4/2074, hadis no: 2700)

Dan hadis:

“Dari sahabat, Abu Hurairah rodhiallahu ‘anhu, ia berkata: Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Allah Ta’ala berfirman: Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku sentiasa bersamanya bila ia mengingati-Ku. Bila ia mengingat-Ku di dalam dirinya, niscaya Aku akan mengingatnya dalam Diri-Ku, dan bila ia mengingati-Ku di perkumpulan orang (majlis), maka Aku akan mengingatnya di perkumpulan yang lebih baik dari mereka.” (Riwayat Bukhori 6/2694, hadis no: 2700, dan Muslim 4/2061, hadis no: 6970)

Dua hadis ini adalah antara dua hadis yang paling utama dan sahih dan seringkali digunakan oleh kebanyakan mereka untuk membolehkan dan menunjukkan sunnahnya amalan zikir berjema’ah. Sekaligus, intipati hadis ini juga mewakili hadis-hadis yang lain yang seringkali digunakan oleh kelompok yang berkeras menyatakan zikir secara berjema’ah itu adalah sunnah.

Untuk mengetahui maksud dan makna hadis-hadis ini, mari kita semak semula secara bersama akan keterangan para ulama’ tentang maksud dari kata majlis zikir:

“Abu Hazzan: Aku pernah mendengar Atha’ bin Abi Rabah (salah seorang tabi’in) berkata: ‘Barang siapa yang duduk di dalam majlis zikir, maka Allah akan mengampuni dengannya sepuluh majlis kebathilan. Dan bila majlis zikir itu ia lakukan di saat berjihad di jalan Allah, niscaya Allah akan mengampuni denganya tujuh ratus (700) majlis kebathilan.’ Abu Hazzan berkata: Aku bertanya kepada Atha’: Apakah yang dimaksud dengan majlis Zikir? Ia menjawab: iaitu majlis (yang membahas) halal dan haram, sebagaimana engkau menunaikan solat, sebagaimana engkau berpuasa, sebagaimana engkau menikah, sebagaimana engkau menceraikan, sebagaimana engkau menjual dan sebagaimana engkau membeli.” (Riwayat Abu Nu’aim, dalam kitabnya Hilyah al-Auliya’: 3/313)

Imam an-Nawawi asy-Syafi’i, berkata:

“Ketahuilah bahawa keutamaan/pahala berzikir tidak hanya terbatas pada bertasbih, bertahlil, bertahmid (membaca alhamdulillah), bertakbir, dan yang serupa. Akan tetapi setiap orang yang mengamalkan ketaatan kepada Allah Ta’ala, bererti dia telah berzikir kepada Allah Ta’ala, demikianlah dikatakan oleh Sa’id bin Jubair dan ulama’ yang lainnya. Atha’ (bin Abi Rabah) berkata: ‘Majlis-majlis zikir ialah majlis-majlis yang membicarakan halal dan haram, sbagaimana engkau membeli dan menjual, mendirikan solat, berpuasa, menikah, menceraikan, berhaji dan yang serupa dengan ini‘.” (al-Azkar, oleh Imam an-Nawawi, 9).

Pakar hadis dan fiqih abad ke-9H, iaitu Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata:

(Fathul Bari, oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani, 11/209, baca juga Subul al-Salam, oleh Muhammad bin Ismail al-Shan’ani, 4/390-dst, Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ at-Tirmizi, oleh al-Mubarakfuri, 9/222).

“Dan yang dimaksud dengan zikir di sini ialah: mengucapkan bacaan-bacaan yang dianjurkan untuk diucapkan dan diulang-ulang, misalnya bacaan yang disebut dengan al-Baqiyaat as-Shalihat, iaitu: Subhanallah, wa alhamdulillah, wa laa ilaha illallah, wa Allahu Akbar, dan bacaan-bacaan lain yang serupa dengannya, iaitu: al-hauqalah (laa haula walaa quwwata illa billah), Basmalah, hasbalah (hasbunaallah wa ni’ima al-wakil), dan istighfar, dan yang serupa, dan juga doa memohon kebaikan di dunia dan akhirat. Kata az-Zikir kepada Allah bila disebut juga dapat dimaksudkan: kita terus-menerus mengamalkan amalan-amalan yang diwajibkan atau disunnahkan oleh Allah, seperti membaca al-Qur’an, membaca hadis, mempelajari ilmu, dan menunaikan solat sunnah. Kemudiannya zikir kadang kala dapat dilakukan dengan lisan, dan orang yang mengucapkannya akan mendapatkan pahala, dan tidak disyaratkan untuk selalu mengingat kandungannya, tentunya dengan ketentuan selama ia tidak memaksudkan dengan bacaan itu selain dari kandungannya.(*) Bila bacaan lisannya disertai dengan zikir dalam hatinya, maka itu lebih sempurna, dan bila zikir ini disertai dengan penghayatan terhadap kandungan bacaan itu, yang berupa pengagungan terhadap Allah, dan mensucikan-Nya dari segala kekurangan, niscaya itu akan lebih sempurna. Bila zikir semacam ini terjadi di saat ia mengamalkan amal sholeh yang diwajibkan, seperti solat fardhu, jihad dan lainnya, niscaya akan semakin sempurna. Dan bila ia meluruskan tujuan dan ikhlas kerana Allah, maka itu adalah puncak kesempurnaan.

(*) Misalnya: ketika ia membaca zikir Subhanallah yang ertinya “Maha Suci Allah”, akan tetapi ia memaksudkan dari bacaan ini: ia memohon perlindungan agar terhindar dari penyakit atau yang serupa.

Al-Fakhrurrazi berkata: Yang dimaksudkan zikir dengan lisan ialah mengucapkan bacaan-bacaan yang mengandungi makna tasbih (pensucian), tahmid (pujian), dan tamhid (pengagungan). Dan yang dimaksud zikir dengan hati ialah: memikirkan dalil-dalil yang menunjukkan akan Zat dan Sifat-sifat Allah, juga memikirkan dalil-dalil taklif (syari’at), yang merupakan perintah, dan larangan, sehingga ia dapat mengerti hukum-hukum taklifi (hukum-hukum syari’at yang lima, iaitu: wajib, sunnah, mubah, makruh dan haram), dan juga merenungkan rahsia-rahsia yang tersimpan pada makhluq-makhluq Allah. Sedangkan yang dimaksudkan dengan zikir dengan anggota badan ialah: menjadikan anggota badan sibuk dengan amaliah ketaatan, oleh kerana itulah Allah menamakan solat dengan sebutan zikir, Allah berfirman: “Maka bersegeralah kamu menuju zikir kepada Allah (iaitu solat jum’at).” (al-Jum’ah, 62: 9)

Pengertian tentang makna zikir yang disampaikan oleh seorang tabi’in murid para sahabat Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, dan dijabarkan Ibnu Hajar ini, selaras dengan hadis berikut:

“Dari sahabat Abu Hurairah rodhiallahu’anhu ia berkata: Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Tidaklah suatu kaum (sekelompok orang) duduk di salah satu rumah Allah (iaitu masjid), mereka membaca kitabullah (al-Qur’an) dan bersama-sama mengkajinya (mempelajarinya), melainkan akan turun kepada mereka kedamaian, dan mereka dipenuhi oleh kerahmatan, dan dinaungi oleh para malaikat, dan Allah menyebut mereka di hadapan para malaikat yang ada di sisi-Nya.” (Riwayat Muslim)

Tatkala Imam an-Nawawi mensyarah hadis ini, beliau berkata: “Dan (InsyaAllah) keutamaan ini juga diperoleh bagi orang-orang yang berkumpul di sekolah-sekolah, pusat-pusat pengajian dan yang serupa dengan keduanya, sebagaimana halnya berkumpul di masjid.” (Syarah Shahih Muslim, oleh an-Nawawi, 17/22).

Inilah yang dimaksud dengan kata ‘zikir’ yang disebutkan dalam hadis-hadis yang tersebut. Dengan demikian, hadis-hadis ini adalah bersifat umum, mencakupi segala amaliah ketaatan, sama ada berupa ucapan lisan, atau amalan batin, atau amalan anggota badan.

Berdasarkan penjelasan yang telah kita perhatikan, dalil-dalil hadis yang menunjukkan majlis zikir itu adalah bersifat umum dan sama sekali tidak menunjukkan bahawa ia merupakan pemberi incator (penunjuk) akan pensyari’atan ritual zikir secara berjema’ah seperti mana yang difahami oleh beberapa kelompok umat Islam zaman ini yang melakukan ritual zikir berjema’ah (beramai-ramai) dengan bacaan tahmid, tahlil, takbir, dan seumpamanya sama ada setelah selesai solat (kebiasaannya) atau selain dari waktu itu.

Agar lebih jelas lagi, mari kita semak penuturan sahabat Anas bin Malik berikut ini:

“Dari Muhammad bin Abu Bakar ats-Tsaqafi, bahawa ia pernah bertanya kepada sahabat Anas bin Malik rodhiallahu’anhu tatkala ia bersamanya berjalan dari Mina menuju ke padang Arafah: Bagaimanakah dahulu kalian berbuat bersama Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam pada hari seperti ini? Maka beliau menjawab: Dahulu ada dari kami yang membaca tahlil, dan tidak diingkari, dan ada dari kami yang membaca takbir, juga tidak diingkari.” (Riwayat Muslim 2/933, hadis no: 1285)

Inilah salah satu contoh nyata kaedah berzikir yang dilakukan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya, masing-masing berzikir dengan sendiri-sendiri, tidak dengan diketuai bertekongkan oleh satu orang imam, kemudian yang lainnya mengikuti secara berjema’ah, sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan masyarakat Islam zaman ini.

Kisah yang dituturkan oleh sahabat Anas bin Malik tentang metode berzikir yang dilakukan oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya inilah yang dimaksudkan oleh sahabat Ibnu Mas’ud dalam ucapannya, tatkala melihat sekumpulan orang berzikir secara berjama’ah:

“Sungguh demi Zat yang jiwaku berada di Tangan-Nya, sesungguhnya kalian ini sedang menjalankan ajaran (dalam berzikir) yang lebih benar berbanding ajaran Nabi Muhammad, atau sedang membuka pintu kesesatan?” (Riwayat ad-Darimi, dalam kitab as-Sunnan, 1/79, hadis no: 204, riwayat ini hasan atau shahih lighairihi, kerana diriwayatkan melalui beberapa jalur)

Maksud beliau rodhiallahu’anhu ialah: Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya bila berzikir, tidaklah dengan cara diketuai oleh satu orang (jama’i), dengan satu suara dan bacaan yang sama, akan tetapi masing-masing berzikir dengan sendiri-sendiri (masing-masing) dan secara perlahan (merendahkan suara). Ini juga dapat dilihat apabila kata kalimat “zikir” itu sendiri ditafsirkan sebagaimana yang dipaparkan oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani, sehingga mencakupi majlis-majlis ilmu. Dan sebagai bukti akan penjelasan Ibnu Hajar diatas, dipaparakan beberapa kisah berikut:

“Sahabat Uqbah bin ‘Amr berkata kepada sahabat Huzaifah: Sudikah engkau membacakan apa yang pernah engkau dengar dari Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Maka Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar beliau bersabda: Sesungguhnya tatkala Dajjal keluar kelak, ia akan membawa air dan api. Adapun yang ditunjukkan kepada orang-orang bahawa itu adalah api, maka itu sebenarnya adalah air yang dingin, sedangkan yang ditunjukkan kepada orang-orang bahawa itu adalah air, maka itu sebenarnya adalah api yang membakar. Sehingga barang siapa yang menemuinya, maka hendaklah ia memilih untuk memasuki kepada yang ia tunjukkan sebagai api, kerana sesungguhnya itu adalah air yang dingin …… (setelah Huzaifah selesai membacakan hadis-hadis yang pernah ia dengar dari Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam) Uqbah bin ‘Amr rodhiallahu ‘anhu berkata: Aku juga pernah mendengarkan beliau bersabda demikian itu.”(Riwayat Bukhori, 3/1272, hadis no: 3266)

Pada kisah ini sahabat Uqbah bin ‘Amr meminta sahabat Huzaifah untuk menyebutkan hadis-hadis yang pernah ia dengar dari Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, dan setelah selesai sahabat Uqbah ternyata pernah mendengar semua hadis yang sahabat Huzaifah bacakan. Ini salah satu bukti bahawa mereka bila bertemu saling mengingatkan tentang ilmu yang dimiliki oleh masing-masing mereka, bukan dengan cara membaca zikir yang ditekongkan oleh satu orang, kemudian ditirukan oleh yang lainnya (mengadakan ritual zikir berjema’ah).

Contoh lain:

“Dari Syaqiq (bin Salamah) ia berkata: Suatu ketika sahabat Abdullah (bin Mas’ud) dan Abu Musa duduk bersama, dan keduanya saling mengingat-ingat hadis-hadis Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, kemudian Abu Musa berkata: Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: ‘Sebelum datangnya kiamat, akan ada hari-hari yang pada saat itu ilmu akan diangkat, dan diturunkan kebodohan (kebodohan berleluasa), dan akan banyak terjadi al-haraj,’ dan al-haraj ialah pembunuhan.” (Riwayat Bukhori, 6/2590, hadis no: 6653. Muslim 4/2056, hadis no: 2672. Dan Ahmad dalam kitab al-Musnad, 4/392)

Contoh lain:

“Abu Salamah bin Abdirrahman berkata: Dahulu sahabat Umar bin al-Khatthab berkata kepada sahabat Abu Musa di ketika ia duduk di majlis: Wahai Abu Musa, ingatkanlah kita tentang Tuhan kita! Maka Abu Musa pun sambil duduk di majlis membaca (al-Qur’an), dan beliau memerdukan suaranya.” (Riwayat ad-Darimi, 2/564, no: 3493. Ibnu Hibban, 16/168, no: 7196. Abdurrazzaq dalam al-Mushannaf, 2/486, no:4179. Dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’, 1/258)

Inilah majlis zikir yang dilakukan oleh para sahabat dan ulama’ terdahulu. Bahkan Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan:

“Dari Abi Utsman (an-Nahdi) ia berkata: Salah seorang gabernur pada zaman khalifah Umar bin al-Khatthab menuliskan laporan yang isinya: Sesungguhnya di wilayah saya, ada suatu kelompok orang yang berkumpul-kumpul kemudian berdoa bersama-sama untuk kaum muslimin dan pemimpin. Maka Umar menulis surat kepadanya: Datanglah dan bawa mereka besertamu. Maka garbernur itu datang, (dan sebelum ia datang) Umar telah memerintahkan penjaga pintunya untuk menyiapkan sebuah cambuk (pemukul). Dan tatkala mereka telah masuk ke ruangan, spontan Umar langsung memukul pemimpin kelompok itu dengan cambuk.” (Riwayat Ibnu Abi Syibah dalam kitabnya al-Mushannaf, 5/290, no: 26191)

“Dari sahabat Abu Hurairah rodhiallahu’anhu, ia berkata: Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Allah Ta’ala berfirman: Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku sentiasa bersamanya bila ia mengingati-Ku. Bila ia mengingati-Ku di dalam dirinya, niscaya Aku akan mengingatinya dalam Diri-Ku, dan bila ia mengingati-Ku di perkumpulan orang (majlis), maka Aku akan mengingatnya di perkumpulan yang lebih baik dari mereka.” (Riwayat Bukhori, 6/2694, hadis no: 2700. Dan Muslim, 4/2061, hadis no: 6970).

Daripada hadis tersebut, seandainya yang dimaksudkan dari hadis ini ialah ia berzikir dengan cara berjama’ah, saya rasa firman-Nya tidak seperti itu bunyinya, tetapi akan seperti berikut: “Bila ia mengingat-Ku dengan berjama’ah/ramai-ramai”.

Adapun ayat 28 dari surat al-Kahfi, iaitu:

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru (berdoa) kepada Tuhannya di waktu pagi dan senja, mengharapkan Wajah Allah (keredhaan-Nya)”, maka untuk memahami maksud ayat ini dengan jelas, mari kita semak bersama keterangan Imamul mufassirin, iaitu Ibnu Jarir at-Thabari:

“Allah Ta’ala berfirman kepada Nabinya Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam: Bersabarlah engkau wahai Muhammad, bersama sahabat-sahabatmu yang menyeru Tuhannya (berzikir/doa), di waktu pagi dan senja, iaitu dengan mengingat-Nya dengan ucapan tasbih, tahmid, tahlil, doa, dan amal-amal sholeh lainnya, seperti: solat-solat fardhu dan lainnya. Mereka mengharapkan dengan perbuatan itu Wajah-Nya (keredhaan-Nya) dan tidak mengharapkan kepentingan dunia apapun.” (Jami’ al-Bayan fi Ta’wil Aay al-Qur’an, oleh Ibnu Jarir at-Thabari, 15/234)

Dan pada kesempatan lain, beliau berkata: “Berdoa (menyeru) kepada Allah, boleh secara mengagungkan dan memuji Allah dalam bentuk ucapan dan perkataan. Dan doa juga dapat dizahirkan melalui ibadah kepada-Nya dengan anggota badan, sama ada itu ibadah yang diwajibkan ke atas mereka atau lainnya yang merupakan amalan sunnah yang menjadikan-Nya redha, dan pelakunya dikatakan telah beribadah kepada-Nya dengan amalan itu. Dan sangat dimungkinkan bahawa mereka (orang-orang yang dikatakan menyeru kepada Allah pada waktu pagi dan senja) melakukan semua jenis ibadah ini, sehingga Allah mensifatkan mereka dengan sebutan: orang-orang yang menyeru Allah pada waktu pagi dan senja, kerana Allah telah menyebut al-Ibadah dengan sebutan doa, Allah Ta’ala berfirman:

“Dan Tuhanmu berfirman: Berdo’alah kepada-Ku, niscaya Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari beribadah kepada-Ku, akan masuk neraka Jahnnam dalam keadaan hina dina.” (Ghafir/al-Mukmin, 40: 60)

Inilah maksud dari kata doa dalam ayat 28 surah al-Kahfi, dengan demikian bila kita gabungkan pemahaman ini dengan pemahaman kata zikir, niscaya akan menjadi jelas bahawa tidak sedikit pun ada dalil atau isyarat yang menunjukkan akan disyari’atkannya zikir berjamaah ayat 28 dari surah al-Kahfi ini.

Apalagi bila kita menggabungkan pemahaman ini dengan pemahaman terhadap hadis berikut:

“Dari Abi Sa’id ia berkata: Suatu ketika Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam beri’itikaf di masjid. Beliau mendengar orang-orang saling mengeraskan suara bacaan mereka, maka beliau membuka tabir dan bersabda: Ketahuilah bahawa kalian semua sedang bermunajat kepada Tuhannya, maka janganlah sebahagian kalian mengganggu sebagian yang lain, dan janganlah kalian saling mengeraskan dalam bacaan kalian, atau beliau bersabda: (Janganlah saling mengeraskan) dalam solat kalian.” (Riwayat Abu Dawud, 2/57, hadis no: 1332)

Fatwa Para Ulama’ Dalam Persoalan Zikir Berjama’ah

1. Imam asy-Syafi’i berkata:

“Saya berpendapat bahawa seorang imam dan makmumnya hendaknya mereka berzikir kepada Allah sebaik selesai solat, dan hendaklah mereka merendahkan (memperlahankan) zikirnya, kecuali bagi seorang imam yang ingin agar para makmumnya belajar (zikir) darinya, maka ia boleh mengeraskan zikirnya, hingga bila ia merasa bahawa mereka telah cukup belajar (telah memahami), ia kembali merendahkannya, kerana Allah Azza wa Jalla berfirman: ‘Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya.’ (al-Isra’: 110). Maksud kata الصلاة (wallahu Ta’ala a’alam) ialah: doa. Laa Tajhar: Jangan engkau mengangkat suaramu, wa laa tukhofit: Jangan engkau rendahkan hingga engkau sendiri tidak mendengarnya.“ (al-Umm, oleh Imam asy-Syafi’i, 1/127).

2. Imam Yahya bin Abil Khair al-‘Imrani asy-Syafi’i, setelah menyebutkan pelbagai riwayat tentang zikir-zikir Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, ia menyimpulkan:

“Riwayat perawi yang meriwayatkan bahawa beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam berdoa dan mengeraskan suaranya, ditafsiri bahawa beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam melakukan hal itu agar para sahabatnya belajar dari beliau. Dan riwayat perawi yang menyebutkan bahawa beliau (setelah selesai solat) diam sejenak kemudian berdiri dan pergi, ditafsiri bahawa beliau berdoa dengan merendahkan suaranya, sehingga beliau hanya memperdengarkan untuk dirinya sendiri.” (al-Bayan, oleh Yahya bin Abil Khair al-‘Imrani, 2/250).

3. Imam an-Nawawi berkata:

“Ulama’ mazhab Syafi’i (ashhabunaa), berkata: Zikir dan doa setelah solat, disunnahkan untuk dilakukan dengan merendahkan suara, kecuali bila ia seorang imam dan hendak mengajari orang-orang (makmum), maka dibolehkan untuk mengeraskan suaranya, agar mereka belajar darinya, dan bila dirasa mereka telah cukup belajar dan sudah tahu, maka hendaklah ia kembali merendahkannya.” (al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, oleh Imam an-Nawawi, 3/469)

Dari kedua penjelasan ini jelaslah bahawa zikir itu dilakukan sendiri-sendiri, sehingga yang sunnah ialah dengan cara merendahkan suara, kecuali bila si imam merasa bahawa jama’ahnya belum boleh berzikir, maka ia dianjurkan untuk mengajari mereka dengan cara mengeraskan suaranya. Dan bila dirasa mereka telah cukup belajar, ia kembali merendahkan suaranya. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa berzikir dengan satu suara dan ditekongkan oleh seorang ketua/imam, sama ada itu seorang imam solat atau selainnya maka ia tetap tidak sesuai dengan sunnah.

Zikir Secara Jama’i Adalah Bid’ah

Imam Ibnu Katsir telah menceritakan bahawa, “Khalifah Makmun telah menulis kepada Ishak bin Ibrahim yang merupakan Timbalan Gabenur Baghdad pada ketika itu supaya mengarahkan orang ramai bertakbir dengan suara yang lantang setiap sebaik sahaja selesai solat fardhu… Dialah orang pertama yang memulakan perkara tersebut di Masjid Jamek Baghdad dan al-Rashafah. Selepas selesai solat, mereka akan bangun dan bertakbir tiga kali.” Menurut Ibnu Katsir yang seterusnya, “Inilah bid’ah yang direka cipta oleh Makmun tanpa ada sebarang sanad atau dalil yang sahih, ianya tidak pernah dilakukan oleh sesiapapun sebelumnya.” (Rujuk: al-Bidayah wan Nihayah, jil. 10, m/s. 194-195)

Amalan berzikir secara berjama’ah ini juga berkembang pada zaman Makmun disebabkan emunculnya golongan-golongan Sufi dan Rafidhah iaitu golongan Syi’ah yang melampau. (Rujuk: al-Ahwa’ wa al-Firaq wa al-Bida’, jil. 2, m/s. 36)

Sunnahkah Amalan Berdoa Secara Berjama’ah Selepas Solat

Sheikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah menjelaskan, “Mengenai perbuatan imam dan makmum yang berdoa bersam-sama (berjama’ah) selepas solat, tidak seorang pun menukilkan perbuatan itu daripada Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam.” (al-Faataawa al-Kubra, 1/171)

Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan, “Berdoa selepas salam sama ada menghadap ke arah kiblat atau menghadap kepada makmum, semua itu tidak diajar oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dan tidak pernah diriwayatkan daripada baginda sama ada dengan sanad yang sahih atau hasan.” … “Secara umumnya, doa itu sendiri dilakukan ketika solat bererti munajat kepada Allah. Oleh itu, mengapa seseorang tidak berdoa ketika sedang bermunajat kepada Tuhannya. Sedangkan, seseorang hamba itu paling hampir dengan Tuhannya adalah ketika solat.” (Za’adul Ma’ad, 1/249-250)

Imam Asy-Syatibi rahimahullah menyatakan, “Berdoa secara berjama’ah tidak pernah dilakukan oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam. Ia juga tidak pernah diucap atau ditaqrirkan (dipersetujui) oleh baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam.” (al-I’tishom, 1/295)

Beberapa Tempat Yang Disyari’atkan Doa/Zikir Dibaca Dengan Kuat (Jahr)

1 – Doa Qunut (Berjama’ah)

2 – Doa khatib yang baca khutbah

3 – Takbir Raya

4 – Talbiyah haji

5 – Doa solat Istisqa’ (Solat/doa minta diturunkan hujan) (Berjama’ah)

6 – Ketika meng-Amiinkan bacaan al-Fatihah di dalam Solat. (Berjama’ah)

Di Antara Tangisan Dan Menyembunyikan Zikir

“Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya, iaitu: Pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh dalam beribadah kepada Tuhannya, laki-laki yang hatinya senantiasa tekait dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, mereka bersatu dan berpisah di atas dasar cinta ini, seorang laki-laki yang dirayu oleh wanita bangsawan (memiliki kedudukan sosial) dan berparas cantik, kemudian ia berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah, orang yang bersedekah dengan suatu sedekah yang ia sembunyikan, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, dan seseorang yang berzikir kepada Allah di kesunyian, kemudian berlinanglah kedua matanya.” (Riwayat Bukhori, 1/234, hadis no: 629. Dan Muslim, 2/705, hadis no: 1031)

Allah Ta’ala berfirman:

“Allah telah menurunkan perkataan yang paling bagus (iaitu al-Qur’an), sebuah kitab yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhan-nya kemudian menjadi luluh kulit dan kalbunya menuju kepada zikir (mengingat) Allah.” (az-Zumar, 39: 23)

Ketika menafsirkan ayat ini, Ibnu Katsir asy-Syafi’i menyebutkan kriteria orang-orang Abraar (yang baik), di antaranya adalah:

“Kriteria ketiga: Mereka sentiasa menjaga adab (kesopanan) tatkala mendengarkan ayat-ayat al-Qur’an, sebagaimana dahulu yang dilakukan oleh para sahabat radhiallahu ‘anhum tatkala mendengar bacaan al-Qur’an dari Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, kulit mereka tergetar, kemudian menjadi luluh bersama kalbunya untuk berzikir kepada Allah. Mereka tidaklah berteriak seakan histeria, dan menangis dengan dibuat-buat, akan tetapi mereka memiliki ketegaran, keteguhan, kesopanan dan rasa takut, yang tidak akan ada orang yang dapat menyamai mereka dalam hal itu. Oleh kerana itu mereka meraih pujian di dunia dan akhirat dari Tuhan Yang Maha Tinggi.” (Tafsir al-Qur’an al ‘Adzim, oleh Ibnu Katsir, 4/51).

Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam dan sahabatnya, mereka tergentar oleh bacaan al-Qur’an, air mata mereka berlinang, hati mereka dipenuhi oleh rasa takut kepada Allah. Mereka menangis kerana kalbunya dipenuhi oleh keimanan, bukan kerana hanyut oleh suasana dan intonasi komando. Renungkanlah beberapa riwayat berikut ini:

“Dari sahabat Abdullah bin asy-Syikhkhir rodiallahu ‘anhu ia berkata: Aku pernah menyaksikan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam sedang solat, dan di dadanya terdengar suara seakan suara periuk yang mendidih.” (Riwayat Ahmad 4/25. Abu Dawud, 1/390, hadis no: 904. An-Nasa’i, 3/13, hadis no: 1214. Ibnu Khuzaimah, 2/53, hadis no: 900. Ibnu Hibban, 2/439, hadis no: 665. Dan al-Hakim, 1/396, hadis no: 971)

Ini menunjukkan bahawa beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam menahan tangisnya, sehingga yang terdengar hanya suara esak-kan di dada beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam, dan tidaklah sehingga menjadi tangisan dengan suara keras.

Dalam riwayat lain:

“Dari sahabat Abdullah bin Mas’ud ia berkata: Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda kepadaku: Bacakan untukku al-Qur’an. Aku menjawab: Wahai Rasulullah, apakah layak aku membacanya untukmu, sedangkan al-Qur’an kepadamu lah diturunkan?! Beliau menjawab: Ya. Maka akupun membaca surah an-Nisa’ hingga sampai ke ayat: ‘Maka, bagaimanakah (halnya orang-orang kafir nanti) apabila Kami mendatangkan seorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat, dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu).’ (an-Nisa’, 4: 41). Beliau bersabda: ‘Sekarang berhentilah (cukup)!’ Dan ternyata kedua mata beliau telah berlinangkan air mata.” (Riwayat Bukhori, 4/1925, hadis no: 4763)

Beliau hanya menitiskan air mata, berbanding dengan tangisan kebanyakan orang pada zaman sekarang bila mendengar ceramah atau nasihat seorang da’i, mereka menangis meraung-raung, sehingga masjid menjadi riuh-rendah kerana suara tangisan orang-orang yang menghadiri ceramah itu. (Situasi ini adalah merujuk pada sebahagian kelompok yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai golongan pengamal sufi dan tasawuf) Dan renungkan pula kisah berikut ini:

“Dari sahabat ‘Irbadh bin as-Sariyyah rodiallahu ‘anhu ia berkata: Pada suatu hari Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam solat berjamaah bersama kami, kemudian beliau menghadap kepada kami, lalu beliau memberi kami nasihat dengan nasihat yang sangat mengesankan, sehingga air mata kami berlinang, dan hati kami tergetar……”

Para sahabat hanya merasakan takut dan tergetar hatinya, dan mata mereka berlinang. Berbeza hal-nya dengan kebanyakan orang pada zaman sekarang, yang menangis meraung-raung. Subhanallah, apakah keimanan mereka lebih tinggi dibanding keimanan para sahabat?! Mustahil.

Ataukah penceramahnya lebih mengena, pandai dan tulus bila dibandingkan dengan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam? Na’uzubillahi min dzalika.

Asma’ binti Abi Bakar tatkala mendengar cerita bahawa ada sekelompok orang yang bila mendengar bacan al-Qur’an, mereka terjatuh pengsan, beliau malah membaca ta’awudz, pertanda beliau tidak menyukai hal ini, sebagaimana disebutkan dalam riwayat berikut:

“Abdullah bin Urwah bin al-Zubair, ia berkata: Aku bertanya kepada nenekku Asma’: Bagaimana dahulu para sahabat Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bila mereka membaca al-Qur’an? Ia menjawab: Dahulu mereka sebagaimana yang disifatkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla, berlinang air matanya dan bergetar kulitnya. Akupun berkata: Sesungguhnya di sini ada beberapa orang yang bila mendengarkan bacaan al-Qur’an, mereka terjatuh pengsan: Nenekku berkata: Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan.” (Riwayat Sa’id bin Manshur 2/330, no: 95. Dan al-Baihaqi dalam kitabnya Syu’ab al-Iman, 2/365, no: 2062)

Bila ada yang bertanya: Kalau demikian, bagaimana caranya untuk membezakan orang yang benar-benar menangis kerana takut kepada Allah dengan orang yang menangis kerana hanyut oleh suasana dan intonasi suara penceramah?

Untuk menjawab pertanyaan ini, perhatikanlah jawaban seorang tabi’in berikut ini:

“Dari ‘Imran bin Abdil Aziz, ia berkata: Aku pernah mendengarkan Muhammad bin Sirin ditanya tentang orang yang mendengar bacaan al-Qur’an kemudian dia jatuh pengsan. Ia menjawab: untuk membuktikan kebenaran mereka, biarkan mereka duduk di atas tembok pagar, kemudian mereka diperdengarkan bacaan al-Qur’an dari awal hingga selesai, bila mereka tetap terjatuh, maka mereka benar-benar seperti apa yang mereka katakan (benar-benar khusyu’).” (Riwayat Abu Nu’aim , dalam kitabnya Hilyah al-Auliya’, 2/265).

Metode Muhammad bin Sirin ini adalah metode yang paling tepat untuk membuktikan kebenaran dan ketulusan tangis orang-orang yang menangis di saat berzikir dan mengaminkan do’a orang lain.

Dan menurut hemat saya, yang perlu ditanyakan dan direnungkan lebih mendalam dan pada setiap saat ialah: Mengapa masyarakat kita sekarang menangisnya hanya pada saat mendengar ceramah seseorang atau meng-aminkan do’a seseorang, sedangkan tatkala mendengar bacaan al-Qur’an atau membaca al-Qur’an tidak ada tangisan? Apalagi tangisan, sebutir air mata saja tidak ada, terlebih-lebih bila ia membaca al-Qur’an di kesunyian, dan tidak ada yang mendengar bacaannya?!

Apakah ceramah, nasihat, dan do’a penceramah itu lebih fasih, mengena, tulus bila dibandingkan dengan bacaan al-Qur’an?

Saya ingin mengajak pembaca yang budiman untuk jujur pada diri sendiri, dan bertanya kepada hati nurani masing-masing: Mengapa kalau mendengar orang yang lembut suaranya dan merdu irama bacaannya kita merasa lebih khusyu’, sedangkan bila kita mendengar orang yang tidak menawan suaranya dan kurang enak iramanya, kita kurang khusyu’ atau bahkan tidak khusyu’?! Apakah al-Qur’an-nya berbeza, ataukah hati kita lebih terpengaruh oleh suara seseorang daripada makna al-Qur’an?

Marilah kita jujur kepada diri sendiri, sehingga kita tidak mendustai hati nurani kita, dan (na’uzubillah) tidak mendustai Allah.

Dan contoh nyata, mari kita renungkan kisah berikut ini:

“Dari Nuh bin Qais, ia menyatakan: Antaraku dan saudaraku Khalid dengan ‘Amr bin ‘Ubaid (tokoh golongan Mu’tazilah – pent.) terjalin persahabatan, sehingga ia sering berkunjung ke rumah kami. Dan bila ia mendirikan solat di masjid, ia berdiri seperti sebatang kayu, maka akupun berkata kepada saudaraku Khalid: Tidakkah engkau lihat ‘Amr, betapa khusyu’nya dan betapa rajinnya ia beribadah?! Maka saudaraku Khalid menjawab: Apakah engkau tidak pernah melihatnya bila ia solat di rumah, bagaimanakah ia mendirikan solat?! Maka akupun melihatnya tatkala ia solat di rumah, ternyata ia menoleh ke kanan dan ke kiri.” (Lihat kisah ini di kitab ad-Dhu’afa’ oleh al-‘Uqaili, dan 3/285, Mizan Al I’itidal oleh az-Zahabi 5/333).

Sesungguhnya semua ini kita akan dipertanggung jawabkan kelak di hadapan Allah subhanahu wa Ta’ala, di hari qiamat. Pada saat itu kita tidak akan dapat berpura-pura di hadapan-Nya, sebagaimana digambarkan dalam firman Allah Ta’ala berikut ini:

“Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka lakukan.” (Yaasiin, 36: 65)

Menangis ketika berzikir adalah salah satu sifat terpuji, asalkan tangisannya yang tersebut adalah benar-benar lahir dari ketulusan kerana Allah, oleh kerana itu dalam banyak dalil disebutkan bahawa yang terpuji ialah orang yang berzikir lalu menangis, sedangkan ia dalam kesunyian, bukan di dalam keramaian.

Kesimpulan:

1 – Berzikir adalah suatu yang disyari’atkan dan merupakan amalan yang tinggi nilainya di sisi Allah.

2 – Berzikir tidak terhad dengan tasbih, tahmid, tahlil, atau takbir semata-mata. Tetapi maksud kalimat zikir itu sendiri boleh membawa pengertian/penisbahan kepada majlis ilmu, kuliah ilmu, doa, bacaan al-Qur’an, perbincangan tentang agama, dan solat. Ia juga merangkumi segala amal yang merupakan perbuatan taqarrub mengingati Allah yang berupa ketaatan.

3 – Kalimat/lafaz zikir yang di-amalkan dan dipraktikkan mestilah tsabit dan sahih dari saranan wahyu iaitu sama ada dari dalil al-Qur’an mahupun sunnah. Dan lafaz-lafaz zikir tidaklah boleh direkacipta menurut kehendak hawa nafsu.

4 – Berzikir yang betul adalah dengan cara merendahkan suara dan tidak menguatkannya, cukup untuk diri sendiri mendengarnya. Di samping hati yang ikhlas dan tulus kerana mencari keredhaan Allah semata-mata.

5 – Berzikir secara berjama’ah bukanlah suatu sunnah tetapi adalah merupakan bid’ah iaitu suatu ritual dan amalan yang se-akan-akan ibadah yang di-ada-adakan tanpa berpandukan dalil. Juga tidak tsabit kepada Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam terhadap amalan berdoa secara berjama’ah sebaik selesai solat.

6 – Tiada dalilnya yang menunjukkan adanya zikir-zikir yang dilafazkan dalam bentuk berlagu (nyaring) dan berirama atau dengan intonasi-intonasi yang tertentu.

2 Comments

  1. assalamualaikum.tahniah saya ucapkan pada saudara dalam membetulkan amalan umat Islam. Masha Allah, Allah telah berikan kekuatan pada saudara untuk membawakan dalil-dalil yang begitu banyak dan berkualiti.
    Saya bersetuju dengan saudara.Tapi saudara, jika berzikir dan membaca doa beramai-ramai selepas solat dianggap bid’ah, tentulah mereka yang pergi menyaksikan konsert dan aurat perempuan serta laki lebih menyesatkan bukan?
    Dunia hari ini, umat Islam banyak dilalaikan dengan serangan hiburan sehingga mereka lupa akan zikir. jadi melihat pada keperluan semasa, lebih baik zikir dan doa secara berjamaah dibiarkan dahulu kerana tujuan mereka juga adalah untuk mendapatkan redha Allah. Malah hukumnya juga tidak haram bukan. Ianya hanyalah bid’ah yang tidak bercanggah dengan aqidah dan syari’at bukan?
    Adalah lebih baik saudara membawakan dalil-dalil mengenai mereka yang terang2 membuat dosa, berhimpun dalam maksiat, melalaikan dan menjauhkan manusia dari ingat dan menyebut Allah dan rasulNya.
    Apapun, saya kagumi dengan saudara yang membawa dalil yang cukup banyak. Moga Allah membuka jalan pada saudara untuk melihat perbuatan yang lebih Allah murkai dari peringkat individu sehinggalah pimpinan negara. Tekankan pada sekular,hedonisme,nepotisme,liberalisme.
    Selagi wujud kumpulan yang mengingati Allah, kita sokonglah mereka. kita bersatu dengan mereka.janganlah pula saudara pertikaikan.cuma saya tiada dalil untuk dibawakan pada saudara.saya tidak sekuat saudara.tapi cubalah saudara bermuzakarah dengan dr aziz hanafi ataupun syaikh nuruddin al-banjari al-makki untuk memahami dalil-dalil.papapun,tahniah pada saudara.

  2. wa ‘alaikumussalam,

    Terima kasih kepada saudara kerana memberikan pandangan. Blok saya yang ini “Fiqh-sunnah” adalah telah saya khususkan utk membincangkan persoalan fiqh.

    Kalau saydara nak seperti isu yg saudara utarakan tu, sila lawati blog saya http://an-nawawi.blogspot.com ..

    Berkenaan, pemfokusan bid’ah. Jika saudari melakukan pengkajian, bid’ah = membawa syirik, dan mengubah agama.

    Manakala maksiat= lebih rendah dari syirik dan tidak sehingga mengubah agama, namun hanya merosakkan fizikal.

    Maka, dosa bid’ah adalah lebih besar seperti mana golongan yg banyak mengubah agama dalam al- qur’an yg diberitahukan kepada kita adalah ahli kitab yg faham agama,bukan ahli maksiat.

    wallahu a’lam..

Comments are closed.