073 – EMPAT (4) KAEDAH MEMBERI SALAM SEMASA MENGAKHIRI SOLAT MENURUT HADIS-HADIS YANG SAHIH

EMPAT (4) KAEDAH MEMBERI SALAM SEMASA MENGAKHIRI SOLAT MENURUT HADIS-HADIS YANG SAHIH

Susunan Hadis Oleh Ust. Rasul Bin Dahri
http://fiqh-sunnah.blogspot.com
Diwajibkan menutup (mengakhiri) setiap solat dengan salam. Kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:


تَحْلِيْلُهَا التَسْلِيْمُ
“Dihalalkan setelah mengakhirinya (solat) dengan mengucapkan salam”. (Hadis Riwayat al-Hakim dan Az-Zahabi, dan disahihkan oleh keduanya)

Apabila melakukan atau mengucapkan salam, hendaklah mencontohi cara yang telah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Berdasarkan hadis-hadis yang dibawakan ini menunjukkan ada empat (4) cara/kaedah dalam melaksanakan amalan salam yang dicontohkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bagi mengakhiri solat baginda iaitu:

1 – Pertama: Mengucapkan السلام عليكم ورحمة الله semasa menoleh ke kanan dan mengucapkan dengan ucapan yang sama semasa menoleh ke kiri.


كَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِيْنِهِ : اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ ، حَتَّى يُرَى بَيَاضُ خَدِّهِ اْلاَيْمَنِ ، وَعَنْ يَسَارِهِ : اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحَمَةُ اللهِ ، حَتَّى يُرَى بَيَاضِ خَدِّهِ اْلاَيْسَرِ
“Baginda mengucapkan salam dengan berpaling ke arah kanan seraya mengucapkan: As-salamu ‘alaikum wa-rahmatullah, sehingga terlihat pipi kanannya yang putih. Kemudian berpaling ke arah kiri seraya mengucapkan: As-salamu ‘alaikum wa-rahmatullah, sehingga kelihatan pipi kirinya yang putih”. (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasaii dan Tirmizi)

2 – Kedua: Menambah وبركاته “Wabarakatuhu” semasa menoleh ke kanan. Dan hanya السلام عليكم ورحمة الله semasa menoleh ke kiri tanpa menambah “warahmatullahi wabarakatuh”.

“Ada kalanya pada bacaan salam yang pertama baginda menambah ucapan: Wabarakatuh”. (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, at-Thabrani, Darquthni dan Abdur Razzaq)

3 – Ketiga: Mengucapkan السلام عليكم ورحمة الله semasa menoleh ke kanan dan hanya mengucapkan السلام عليكم semasa menoleh ke kiri.


كَانَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِذَا قَالَ عَنْ يَمِيْنِهِ : اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ ، اِقْتَصَرَ ، اَحْيَانًا عَلَى قَوْلِهِ عَنْ يَسَارِهِ اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
“Ketika baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam berpaling ke kanan, baginda terkadang mengucapkan: As-salamu ‘alaikum wa-rahmatullah, dan ketika berpaling ke kiri hanya mengucapkan: As-salamu ‘alaikum”. (Hadis Riwayat Nasai’i, Ahmad dan Siraj dengan sanad yang sahih)

4 – Keempat: Hanya menoleh sedikit ke kanan lantas mengucapkan السلام عليكم dan sama sekali tidak menoleh ke sebelah kiri dan pula tidak mengucapkan salam.


اَحْيَانًا كَانَ يُسَلِّمُ تَسْلِمَةً وَاحِدَةً : اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ . تِلْقَاءَ وَجْهِهِ يَمِيْلُ اِلَى الشِّقِّ اْلاَيْمَنِ شَيْئًا اَوْقَلِيْلاً
“Terkadang baginda mengucapkan salam sekali sahaja dengan ucapan: As-salamu ‘alaikum, dengan sedikit memalingkan wajahnya ke kanan”. (Hadis Riwayat Muslim, Abu ‘Awanah, Siraj, Ibnu Khuzaimah dan at-Thabrani)