067 – (Bahagian 7) – Prinsip-prinsip Ahlus Sunnah Menurut Imam Ahmad

(Bahagian 7) – Prinsip-prinsip Ahlus Sunnah Menurut Imam Ahmad

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Dari imam Ahmad bin Hanbal (katanya):

Dasar ahlus sunnah menurut kami adalah,

15 – Dan Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat Rabbnya. Telah ada atsar yang sahih dari Rasulullah yang diriwayatkan oleh Qatadah dan Ikrimah dari lbnu Abbas radhiyallahu ‘anhu dan diriwayatkan oleh al-Hakam bin Abban[1] dari lkrimah dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, serta diriwayatkan oleh Ali bin Zaid[2] dari Yusuf bin Mihran[3] dari lbnu Abbas[4]. Dan hadis tersebut menurut kami hendaklah difahami bersesuaian dengan makna zahirnya, sebagaimana perkara itu datang dari Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam, sebab memperdebatkan tentangnya adalah bid’ah. Akan tetapi kami mengimaninya sesuai dengan (makna) zahirnya sebagaimana perkara itu datang (kepada kami), dan kami tidak memperdebatkan berkenaan dengannya dengan siapapun.

16 – Beriman kepada aI-Miizan (timbangan) pada hari Kiamat, sebagaimana dalam hadis:

“Seorang hamba akan ditimbang pada hari kiamat, maka ia tidak dapat mengimbangi berat sayap seekor nyamuk.”[5]

Dan juga amalan-amalan para hamba akan ditimbang sebagaimana dalam atsar[6], mengimani dan membenarkannya[7], dan berpaling dari orang yang menolaknya serta meninggalkan perdebatan dengannya.

Penjelasan/Syarah:

[1] al-Hafiz (Ibnu H ajar) berkata tentangnya di dalam kitab at-Taqriib:

“Shaduuq ‘Abid yang mempunyai beberapa kesalahan (dalam meriwayatkan hadis).”

[2] Ali bin Zaid adalah Ibnu Jad’aan. Adz-Dzahabi berkata tentangnya: “Salah seorang hafiz akan tetapi tidak kuat.” (Lihat kitab aI-Kaasyif (2/285))

Imam Ibnu Katsir berkata tentangnya: “Ia mempunyai beberapa kemungkaran.” (Lihat kitab Tafsirnya (1/299)). Ia juga pernah mengatakan tentangnya:

“Seorang (perawi) yang Iemah yang meriwayatkan hal-hal yang aneh.” (Lihat Tafsirnya (1/340)

Al-Haflzh (lbnu Hajar) berkata tentangnya di dalam at-Taqriib: “Seorang yang lemah.”

Al-‘Allaamah al-Albani berkata tentangnya:

“Lemah dari sisi hafalannya, sebahagian mereka menghasankan hadisnya.” (Lihat as-Silsilah ash-Shahihah (1/524))

AI-Hafizh berkata di dalam at-Tahdziib: “Muslim meriwayatkan baginya (di dalam Shahihnya) dengan diiringi perawi Iainnya.”

[3] Yusuf bin Mihran al-Bashri. Al-Hafizh berkata tentangnya di dalam at-Taqriib: “Tidak ada yang meriwayatkan darinya kecuali lbnu Jad’an, dan ia adalah orang yang hadisnya layyin.” Dan al-Albani sepakat dengannya dalam menghukuminya dalam kitab as-SiIsilah ash-Shahihah (5/27)

[4] Inilah yang sahih. Dan ada riwayat sahih pula darinya yang menyelisihi riwayat tersebut, ia berkata:

“Tidaklah berdusta hatinya tentang apa yang dia lihat.” (an-Najm, 53: 11)

“Dan sungguh dia telah melihat Rabbnya pada waktu yang lain.” (an-Najm, 53: 13)

Dia (Ibnu Abbas) berkata: “Nabi melihat Rabbnya dengan hatinya dua kali.” (Mukhtashar Muslim: 83). Dan tidaklah benar riwayat dari Ibnu Abbas yang menyatakan dengan jelas bahawa beliau melihat Rabbnya dengan pandangan mata. Bahkan dalam sebahagian riwayat darinya ia memutlakkan kata Ar-ru’yah, dan dalam sebahagian riwayat Iainnya ia mentaqyidnya dengan pandangan hati sebagaimana dalam atsar terakhir tadi.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “Telah datang riwayat-riwayat mutlak dan muqoyyad dari Ibnu Abbas, maka wajib mentaqyid riwayat-riwayat yang mutlak tersebut.”

Ia juga berkata: “Ada kemungkinan untuk menggabungkan di antara penetapan Ibnu Abbas dengan penafian Aisyah (atas ru’yah Nabi terhadap Rabbnya), iaitu dengan menafikan pandangan dengan mata dan menetapkan adanya pandangan dengan hati. Kemudian yang dimaksud dengan ru’yatul fu’aad adalah ru’yatul Qalbi (pandangan hati) dan bukan hanya adanya ilmu/pengetahuan, kerana sesungguhnya beliau Shalallahu ‘alaihi wa Sallam adalah orang yang selalu mengenal Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Fathul Bari, (8/474))

Syeikh al-Albani rahimahullah berkata dalam menta’liq (mengulas) hadis lbnu Abbas tentang ru’yatul fu’aad, aku katakan:

“Hadis ini mauquf, maka mafhumnya adalah bahawa Nabi tidak melihat-Nya dengan matanya. Sehingga dengan demikian tidaklah bertentangan dengan hadis Aisyah di dalam bab ini yang menyatakan dengan jelas peniadaan ru’yah, kerana maksudnya adalah ru’yatul ‘am (pandangan mata). Dan yang semisalnya adalah hadis Abu Dzar, ia berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam, apakah engkau melihat Rabbmu?” Beliau menjawab:

“Sebuah cahaya, bagaimana mungkin aku dapat melihat-Nya.” (Diriwayatkan oleh Muslim). Memang benar hadis ini menyelisihi hadis Aisyah dari sisi yang lain, kerana sesungguhnya ia (Aisyah) bertanya kepada Nabi tentang firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Dan Sungguh dia telah melihat-Nya di waktu yang lain.” (an-Najm, 54: 13)

Beliau menjawab: “Dia tiada lain adalah Jibril ‘alaihis Salam.” Dan termasuk hal yang tidak diragukan lagi bahawa riwayat yang marfu’ didahulukan daripada riwayat yang mauquf.” (Mukhtashar Muslim m/s. 29, dan lihat ta’liq Syeikh al-Albani terhadap Aqidah Thahawiyyah, m/s. 27)

Syeikhul Islam lbnu Taimiyah berkata: “Sungguh telah benar dari Nabi bahawa beliau mengatakan, “Aku telah melihat Rabbku tabaaraka wa ta’ala”, akan tetapi perkara itu bukanlah di waktu kejadian isra’ mi’raj, tetapi ketika beliau berada di Madinah, kemudian memberitahukan kepada mereka (para sahabat) bahawa beliau melihat Allah tabaraka wa ta’ala di malam itu ketika tidur. Maka dari itu Imam Ahmad mengatakan: “Betul, beliau melihat-Nya, beliau melihat-Nya dengan benar, kerana sesungguhnya mimpi para nabi adalah haq dan pasti.” Akan tetapi Imam Ahmad tidak mengatakan bahawa beliau melihat-Nya dengan mata kepalanya ketika sedar. Dan barangsiapa yang meriwayatkan hal itu darinya maka sungguh dia telah melakukan kekeliruan. Akan tetapi ia (Imam Ahmad) pernah mengatakan: “Beliau telah melihat-Nya.” Dan pernah juga mengatakan: “Beliau melihat-Nya dengan hatinya”, sehingga ada dua riwayat darinya. Dan ada riwayat ketiga darinya yang termasuk dari tindakan sebahagian murid-muridnya, bahawa ia melihat-Nya dengan mata kepalanya. Dan inilah pernyataan-pernyataan imam Ahmad yang ada, tidak ada di dalamnya hal itu.” (Majmu’ al-Fatawa (6/509))

[5] Hadis sahih, muttafaqun ‘alaihi. (Lihat Fathul Bari, (8/279) hadis: 4729, dan Muslim (4/2147) dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu secara marfu’):

“Sesungguhnya akan datang pada hari kiamat seorang laki-laki yang besar lagi gemuk, dia tidak dapat mengimbangi berat sayap seekor nyamuk. Dan ia berkata: bacakanlah (firman Allah): “Dan Kami tidak mengadakan suatu penimbangan bagi (amalan) mereka pada hari kiamat.” (al-Kahfi, 18: 105)

[6] Di antaranya hadis Bithaqah (Lihat as-Silsilah ash-Shahihah, hadis: 135). Dan ada tiga perkara yang akan ditimbang dengan timbangan tersebut: Seorang hamba, amalan-amalannya, dan lembaran-lembarannya.

[7] Sebagai dalilnya, firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tidaklah dirugikan seseorang walau sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan.” (al-Anbiyaa’, 21: 47)

Dan hadis Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam,

“Tiada sesuatu yang ditimbang yang lebih berat danpada akhlak (budi pekerti) yang baik.” (Hadis sahih. Lihat: al-Jaami’ as-Shagheir, (5726) dan ash-Shahihah, 876)

Juga di dalam hadis,

“Ada dua kalimat yang sangat dicintai oleh Allah, ringan diucapkan dengan lidah dan berat di dalam timbangan (amalan), iaitu: Subhaanallah wa bihamdihi dan Subhaanallahil ‘Azhiim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan muslim dari hadis Abu Hurairah)

Dinukil dan disunting dari:

Kitab Ushulus Sunnah, oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Tahqiq/Syarah Walid bin Muhammad Nubaih, m/s. 79-84. (Edisi Terjemahan: Terbitan Pustaka Darul Ilmi, Mac 2008M)