043 – Definisi Ahli Sunnah Menurut Para Ulama-nya (Secara Ringkas)

Definisi Ahli Sunnah Menurut Para Ulama-nya (Secara Ringkas)

Maksud Sunnah Menurut Istilah:

Menurut ulama hadis, sunnah bererti sesuatu yang disandarkan kepada Nabi s.a.w., berupa ucapan, perbuatan, ketetapan, sifat bawaan, karakter, akhlak, atau perilaku, sama ada yang terjadi sebelum atau setelah kenabian. (Tauzih an-Nadzar ila Ushul al-Atsar, Thahir as-Simasqi, hal. 3)

Menurut ulama ushul fiqh, sunnah adalah sesuatu yang dinukil dari Rasulullah s.a.w. yang tidak termaktub secara tekstual di dalam al-qur’an akan tetapi tekstualnya dari beliau sebagai penjelas dari al-Qur’an. (al-Muwafaqat, asy-Syatibi, jil. 4, hal. 3)

Imam asy-Syatibi berkata, “Sunnah menjadi dari bid’ah, dikatakan Fulan di atas as-Sunnah bila ia berbuat sesuai dengan ajaran Nabi s.a.w., atau Fulan di atas kebid’ahan bila perbuatannya berseberangan dengan ajaran beliau.” (al-Muwafaqat, asy-Syatibi, jil. 4, hal. 4)

Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyah menukil perkataan Imam Abu Hasan Muhammad bin Abdul Malik al-Kharji, “Sunnah adalah meniti jalan Rasulullah s.a.w. dan meniru tingkah laku beliau dalam tiga hal; ucapan, perbuatan, dan aqidah.” (Majmu’ Fatawa, jil. 4, hal. 180)

Ibnu Rejab berkata, “Sunnah ialah jalan yang ditempuh mencakup seluruh ajaran Rasulullah s.a.w., para Khulafaurrasyidun Radhiyallahu ‘Anhum, sama ada berupa keyakinan, tindakan, dan ucapan. Oleh kerana itu, ruang lingkup sunnah menurut generasi salaf mencakup itu semua. Demikian itu diriwayatkan dari Hasan al-Basri, al-Auza’i, dan Fudhail bin Iyadh.” (Muqaddimah Shiyanah al-Insan ‘an Was-was Asy-Sheik ad-Dakhlan, M. Rasyid Ridha, hal. 7)

Definisi Ahli Sunnah:

1 – Ibnu Hazm berkata:

“Ahli sunnah adalah pengikut kebenaran selain mereka termasuk ahli bid’ah. Mereka adalah para sahabat dan setiap orang yang meniti manhaj mereka dari kalangan tabi’in, kemudian ahli hadis dan para pengikut mereka dari kalangan ulama ahli fiqh, serta para pengikut mereka sama ada dari belahan bumi di bahagian timur atau pun barat hingga sekarang.” (al-Fashl al-Milal wa al-Ahwa an-Nihal, jil. 2, hal. 271)

2 – Ibnul Jauzi berkata:

“Tidak diragukan bahawa mereka ahli naql (nash) dan atsar yang mengikuti atsar Rasulullah s.a.w. dan para sahabat adalah ahli sunnah, kerana ajaran mereka tidak tercemar oleh bid’ah. Imam as-Suyuti sependapat dengan definisi ini.” (Talbis al-Iblis, hal. 21)

3 – Menurut Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyah:

Ahli sunnah adalah, “Setiap orang yang berpegang teguh kepada Kitabullah dan sunnah Rasulullah s.a.w., serta ijma’ para generasi pertama dari kaum Muhajirin dan Anshar serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik.” Beliau menambahkan, “Barangsiapa berbicara sesuai dengan al-Qur’an dan Sunnah serta ijma’ maka dia termasuk ahli sunnah.” (Majmu’ Fatawa, hal. 375, dan 346)

4 – Menurut Sheikh Abdurrahman as-Sa’di:

“Ahli sunnah yang asli adalah mereka yang lurus, bersih dari kotoran bid’ah, berpegang teguh terhadap ajaran Nabi s.a.w. dan ketetapan para sahabat dalam seluruh dasar agama, sama ada yang berkaitan dengan asas tauhid, risalah, takdir, masalah iman dan yang lain. Dan yang bertentangan dengan mereka sama ada dari kalangan Khawarij, Mu’tazilah, Jahmiyah, Qadariyah, Rafidhah, dan Murjiah serta orang yang mengikuti manhajnya tergolong ahli bid’ah.” (al-Fatawa as-Sa’diyah, Sheikh Abdurrahman as-Sa’di, hal. 63-64)

5 – Menurut Sheikh Dr. Ibrahim Amir ar-Ruhaili:

“Ahli sunnah adalah orang yang selalu berpegang teguh kepada Kitabullah dan sunnah Rasulullah s.a.w., serta ijma’ para sahabat dan tabi’in serta orang-orang yang mengikuti mereka secara baik hingga sekarang. Termasuk ahli sunnah, orang awam yang mengikuti manhaj mereka. Seseorang belum boleh dikatakan sebagai ahli sunnah sebelum berlepas diri dari ahli bid’ah dan para pengikut hawa nafsu serta segala ucapan mereka.” (Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid’ah (terjemahan dari kitab: Mauqif Ahli Sunnah wal Jama’ah min Ahli Ahwa’ wa al-Bid’a), hal. 7)

6 – Menurut Ibnul Mubarak:

“Sumber kesesatan tujuh puluh dua firqah kembali kepada empat firqah iaitu Qadariyah, Murji’ah, Syi’ah, dan Khawarij. Barangsiapa yang mengutamakan Abu Bakar, Umar, Usman, dan Ali, dan mendudukkan selain mereka secara baik serta berdoa kebaikan untuk mereka, maka ia telah keluar dari tuduhan Syi’ah secara keseluruhan. Siapa yang mengatakan iman terdiri daripada ucapan dan perbuatan boleh bertambah dan berkurang, bererti dia telah bebas dari tuduhan Murji’ah. Barangsiapa yang menyatakan bahawa, solat boleh ditegakkan di belakang orang yang baik dan buruk, jihad bersama khalifah dan tidak keluar dari imam dengan pedang serta selalu berdoa kebaikan untuk pemimpin, bererti dia telah bersih dari tuduhan Khawarij, serta siapa saja yang menyatakan bahawa semua ketentuan takdir dari allah yang baik dan yang buruk, Allah memberi petunjuk kepada siapa saja yang dikehendaki dan menyesatkan siapa saja yang dikehendaki, aka dia telah terbebas dari kesesatan Qadariyah dan tergolong dalam kelompok ahli sunnah.” (Syarh as-Sunnah, Imam al-Hasan al-Barbahari, hal. 57)

Dasar Dari Hadis:

1 – Berpegang teguhlah dengan sunnahku dan sunnah para Khulafaurrasyidun yang telah mendapat petunjuk, peganglah dan gigitlah dengan gigi geraham. Dan berhati-hatilah terhadap segala perkara yang baru (dalam urusan agama), setiap perkara baru adalah bid’ah, dan setiap yang bid’ah adalah sesat. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, al-Hakim, dan ad-Darimi)

2 – Sesungguhnya ahli kitab berpecah di dalam agama mereka menjadi 72 kelompok, dan umat ini akan pecah menjadi 73 golongan. Semua di neraka, kecuali satu iaitu jamaah. Dan akan muncul dari umatku sekelompok kaum yang dibawa hanyut oleh hawa nafsu laksana orang terkena penyakit anjing gila yang melemahkan seluruh otot dan persendian. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, ad-Darimi, al-Maruzi, dan Ibnu Abu ashim dalam as-Sunnah)

Imam qadhi Ibnu Abi al-Izz alHanafi berkata, “al-Jama’ah adalah jamaah kaum muslimin, iaitu para sahabat dan tabi’in yang mengikuti mereka dengan baik hingga hari pembalasan. (Syarh Aqidah ath-Thahawiyah, hal. 431)