Muharram, Bulan Meratap Kewafatan Husain?
Tepat pada 10 Muharram tahun 61 Hijrah, Allah telah memuliakan Husain bin ‘Ali bin Abi Thalib radhiyallhu ‘anhuma dengan mewafatkannya sebagai seorang syahid. Beliau wafat secara tragis hasil konspirasi puak pemberontak dari kalangan khawarij di sebuah tempat bernama Karbala.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:
الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ سَيِّدَا شَبَابِ أَهْلِ الْجَنَّةِ
“Al-Hasan dan Al-Husain adalah penghulu para pemuda Syurga.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3768. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
Melalui sabda Rasulullah ini, menunjukkan Al-Hasan dan Al-Husain telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk meraih kedudukan yang tinggi. Mereka pada awalnya tampak lahir dan membesar dalam fasa-fasa kegemilangan Islam, dididik dalam kemuliaan dan penuh kehormatan, serta berada dalam kalangan umat Islam yang sangat memuliakan dan menghormati mereka.
Ujian dan cabaran yang mereka lalui tampak biasa berbanding dengan ujian-ujian yang diberikan Allah ke atas orang-orang yang jauh lebih mulia dari mereka selaku penghulu kepada pemuda Syurga.
Oleh sebab itulah, termasuk suatu ketetapan dari Allah kepada mereka berdua apabila Allah memberikan ujian kepada mereka melalui suatu peristiwa fitnah yang besar yang mengakibatkan mereka gugur syahid. Ujian tersebut menjadikan darjat mereka mulia sebaris dengan apa yang diraih oleh keluarga mereka. Antaranya sebagaimana ‘Ali bin Abi Thalib, ayah mereka yang sebelumnya juga turut terbunuh syahid dalam sebuah konspirasi kaum khawarij.
Ketika ‘Abdurrahman bin Muljam membunuh Amirul Mukminin ‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu, para sahabat dan kaum muslimin pun membai’at Al-Hasan, anak ‘Ali bin Abi Thalib yang diisyaratkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai seorang pemimpin yang bakal mendamaikan dua kelompok besar umat Islam yang sedang berselisih.
Bertitik-tolak dari isyarat yang diperkatakan oleh Rasulullah tersebut, akhirnya Al-Hasan pun mengundurkan dirinya dari jawatan kekhalifahan dan menyerahkannya kepada Mu’awiyah bin Abi Sufyan radhiyallahu ‘anhu dalam satu perjanjian damai yang cukup bersejarah. Dari tindakan pengunduran beliau inilah Allah mendamaikan dua kelompok umat Islam yang sedang bertikai ketika itu, iaitu kelompok umat Islam secara umum dengan kelompok Mu’awiyah yang meminta agar khalifah (Al-Hasan) menuntut bela di atas pembunuhan ‘Utsman. Tahun perdamaian tersebut dikenali sebagai tahun Al-Jama’ah, iaitu tahun perpaduan (‘amm al-Jama’ah) di mana seluruh umat Islam bersatu di bawah satu pemerintahan di bawah kepimpinan Mu’awiyah bin Abi Sufyan radhiyallahu ‘anhu.
Pada fasa-fasa akhir pemerintahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan, berpandukan beberapa aspek maslahah politik tertentu beliau membuat tindakan melantik anaknya Yazid bin Mu’awiyah sebagai Putra Mahkota sekaligus sebagai isyarat bakal pengganti kerusi kekhalifahan. Tindakan ini telah menimbulkan konflik, salah faham, dan rasa tidak senang kepada beberapa pihak tertentu sehingga akhirnya mengobarkan semula fitnah di kalangan umat Islam.
Situasi ini dimanfaatkan dengan baik oleh pihak musuh dari kalangan kaum pemberontak dan golongan pelopor ideologi Syi’ah untuk mencetuskan suasana huru-hara terhadap perpaduan umat Islam ketika itu.
Setelah kewafatan Al-Hasan akibat diracun, kemudian setelah Yazid naik ke tempuk kekhalifahan menggantikan Mu’awiyah, datanglah beberapa kelompok dari bandar Kuffah (di ‘Iraq) mengutus surat kepada Al-Husain sambil memberi janji kerusi kekhalifahan. Orang-orang Kufah ini menjemput al-Husain agar segera datang ke Kufah untuk dibai’at.
Namun hakikatnya orang-orang Kufah tersebut memiliki agenda dan konspirasi buruk terhadap al-Husain dan umat Islam khasnya. Mereka sebenarnya adalah orang-orang dari kalangan pemberontak, kaum khawarij, dan para pelopor idelogi Syi’ah yang ada pada hari ini. Iaitu kumpulan manusia yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan ‘Utsman, ‘Ali, dan yang bertanggungjawab memporak-perandakan kesatuan umat Islam termasuk pencetus kepada peperangan Jamal dan Siffin.
Para sahabat yang utama seperti Ibnu ‘Abbas, Ibnu ‘Umar, Abu Sa’id Al-Khudri, dan selain dari mereka semuanya bertindak menghalang serta menasihati al-Husain agar tidak pergi ke ‘Iraq kerana mereka telah menjangkakan sesuatu yang tidak baik akan berlaku ke atasnya. Termasuk yang menasihati beliau adalah juga Yazid bin Mu’awiyah rahimahullah.
Tetapi Husain tetap pergi menerima undangan orang-orang ‘Iraq tersebut dan ternyata apa yang diutarakan oleh para sahabat seperti Ibnu ‘Umar, Ibnu ‘Abbas, dan selainnya benar-benar berlaku. Husain bersama-sama pengikutnya ditipu, dikepung, ditawan dan dibunuh oleh mereka.
Ia tidak berhenti di situ, peristiwa tragis tersebut mengundang gelombang fitnah yang begitu dahsyat sekali dan terus membadai sehingga ke hari ini. Kelompok-kelompok yang zalim, zindiq, dan munafiq memunculkan diri mereka dengan membuat pelbagai makar, menyebar khabar-khabar dusta, memprovokasi umat Islam, serta mencetus suasana huru-hara ke dalam dunia umat Islam.
Antaranya mereka berpura-pura konon menampakkan kesetiaan kepada al-Husain dan kepada keluarganya. Mereka menjadikan hari kewafatan al-Husain di hari ‘Asyura (tanggal 10 Muharram) sebagai hari ratapan dan dukacita. Mereka mengangkat kembali syi’ar-syi’ar kaum jahiliyyah seperti menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyak baju, mumukul-mukul tubuh, dan meratap sambil meraung-raung kerana kononnya terlalu sedih mengenang pemergian Husain.
Oleh sebab itulah, bertitik-tolak dari peristiwa tersebut dapat kita lihat pada hari ini rutin tahunan bagi kelompok Syi’ah pada bulan Muharram adalah dengan mengadakan pesta kesedihan dan ratapan perarakan di jalan-jalan dengan berpakaian serba hitam. Ini dilakukan dalam rangka mengenang syahidnya Al-Husain bin ‘Ali radhiyallahu ‘anhu. Mereka meratapinya di jalan-jalan terbuka sambil menampar-nampar pipi, memukul-mukul dada, memukul-mukul belakang mereka, sambil menangis, serta sambil berteriak: “Ya Husain, ya Husain…!”
Ritual-ritual seperti ini pada hari ini boleh dilihat berleluasa di kebanyakan negara yang dikuasai oleh kaum Syi’ah seperti Iran, Iraq, Afghanistan, dan Bahrain.
Upacara ratapan ini menjadi lebih memuncak pada hari ke sepuluh Muharram. Mereka melakukannya tidak sekadar memukul dan menampar. Tetapi dengan turut menggunakan alat-alat berupa senjata-senjata tajam seperti pisau dan pedang sehingga tubuh-tubuh mereka berlumuran darah. Penganut agama Syi’ah menganggap ritual yang mereka lakukan ini sebagai sebahagian dari bentuk-bentuk amalan ibadah dan syi’ar Islam?!
Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:
وصار الشيطان بسبب قتل الحسين رضي الله عنه يحدث للناس بدعتين بدعة الحزن والنوح يوم عاشوراء من اللطم والصراخ والبكاء والعطش وإنشاد المراثى وما يفضي إليه ذلك من سب السلف ولعنتهم وإدخال من لا ذنب له مع ذوي الذنوب حتى يسب السابقون الأولون وتقرأ أخبار مصرعه التي كثير منها كذب وكان قصد من سن ذلك فتح باب الفتنة والفرقة بين الأمة
“Disebabkan terbunuhnya Al-Husain radhiyallahu ‘anhu, syaitan menciptakan dua bentuk bid’ah bagi manusia, iaitu bid’ah dukacita dan ratapan. Keduanya dilakukan pada hari ‘Asyura dengan cara menampar-nampar wajah, meraung, menangis teresak-esak, melaparkan diri, menyanyikan sya’ir-sya’ir dukacita, dan beberapa bentuk perkara lainnya yang semuanya berbentuk kemungkaran seperti mencaci dan melaknat para salafus soleh serta meletakkan mereka di tempat orang-orang yang berdosa. Mereka juga turut mencaci-maki generasi pertama umat Islam (para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in). Mereka mencanangkan kisah-kisah terbunuhnya Al-Husain, padahal sebahagian besarnya hanyalah dusta yang mereka ada-adakan. Tujuan asal orang-orang yang mengadakan ritual-ritual ini adalah bagi membuka pintu fitnah dan perpecahan di kalangan umat Islam.” (Minhajus Sunnah An-Nabawiyah, 4/332)
Kata Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):
وأما اتخاذه مأتما كما تفعله الرافضة لأجل قتل الحسين بن علي رضي الله عنه فهو من عمل من ضل سعيه في الحياة الدنيا وهو يحسب أنه يحسن صنعا ولم يأمر الله ولا رسوله باتخاذ أيام مصائب الأنبياء وموتهم مأتما فكيف بمن دونهم
“Menjadikan hari ‘Asyura sebagai hari kesedihan (ratapan) sebagaimana dilakukan oleh kaum Syi’ah Rafidhah sempena terbunuhnya Al-Husain bin ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, maka ini semua termasuk perbuatan orang-orang yang sesat amalnya dalam kehidupan dunia di mana mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan. Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah memerintahkan supaya pada mana-mana hari berlaku musibah atau kematian para Nabi dijadikan sebagai hari ratapan. Jadi, bagaimana lagi terhadap yang selain mereka (yang tidaklah lebih mulia dari para Nabi)?” (Lathaa’if al-Ma’aarif oleh Ibn Rajab, m/s. 113 – Daar Ibnu Katsir)
Bentuk-bentuk ritual yang diadakan oleh kaum Syi’ah ini begitu jelas penyimpangannya dari ajaran Islam yang benar. Kerana Allah dan Rasul-Nya sendiri memerintahkan kepada kita apabila ditimpa musibah antaranya adalah dengan sabar, mengucapkan kalimat istirja’, dan mengharap pahala dari Allah Ta’ala.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأمْوَالِ وَالأنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
“Dan sesungguhnya Kami akan berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.” Mereka itulah yang mendapat keberkahan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-Baqarah, 2: 155-157)
Sebaliknya orang-orang yang meninggalkan saranan Allah ini lalu menggantikannya dengan hal-hal yang lain yang bertentangan dengan ajaran Islam, maka itu adalah petanda hilangnya petunjuk dan rahmat dari Allah Ta’ala.
Menjadikan musibah pembunuhan tragis Al-Husain radhiyallahu ‘anhu sebagai hari ratapan dan pesta kesedihan bukanlah alasan yang benar, bahkan sangat jauh menyimpang dari Islam. Lebih awal dari peristiwa terbunuhnya Husain, telah ada ketika zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam peristiwa terbunuhnya keluarga ‘Ammar oleh kaum Musyrikin Makkah dan juga terbunuhnya Hamzah bin ‘Abdil Muthalib radhiyallahu ‘anhu. Tetapi peristiwa tersebut tidak sedikit pun menjadikan Rasulullah dan para sahabatnya yang lain mengadakan hari-hari kenangan atau ratapan mahupun hari-hari kesedihan bersempena dengannya sebagaimana yang dilakukan oleh penganut agama Syi’ah yang mengaku mengamalkan ajaran Islam.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الْخُدُودَ وَشَقَّ الْجُيُوبَ وَدَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ
“Tidak termasuk golongan kami orang-orang yang menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyakkan baju, dan meratap seperti ratapan kaum jahiliyyah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1294)
Demikianlah serba sedikit bagaimana penganut agama sesat Syi’ah meraikan bulan Muharram dan hari ‘Asyura. Walhal nenek-moyang mereka sendirilah yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Al-Husain yang mereka ratapi pada hari ini. Ini sebagaimana yang diisyaratkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallhu ‘anhuma.
Ibnu Abu Nu’m rahimahullah berkata:
كُنْتُ شَاهِدًا لِابْنِ عُمَرَ وَسَأَلَهُ رَجُلٌ عَنْ دَمِ الْبَعُوضِ فَقَالَ مِمَّنْ أَنْتَ فَقَالَ مِنْ أَهْلِ الْعِرَاقِ قَالَ انْظُرُوا إِلَى هَذَا يَسْأَلُنِي عَنْ دَمِ الْبَعُوضِ وَقَدْ قَتَلُوا ابْنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ هُمَا رَيْحَانَتَايَ مِنْ الدُّنْيَا
“Aku pernah menyaksikan Ibnu ‘Umar ketika beliau ditanya oleh seorang lelaki berkaitan darah nyamuk. Ibnu ‘Umar bertanya kembali, “Dari manakah kamu?” Lelaki tersebut menjawab, “Dari ‘Iraq.”
Ibnu ‘Umar pun berkata, “Lihatlah orang ini, dia bertanya kepadaku tentang darah nyamuk, dalam masa yang sama mereka (penduduk ‘Iraq) telah membunuh cucu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Kedua mereka (Al-Hasan dan Al-Husain) adalah penyejuk hatiku di dunia.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5994)
Wallahu a’lam…